Jumat, 30 Oktober 2009

Hadis 11 - Mengambil Yang Di Yakini Dan Meninggalkan Syubahat

Daripada Abu Muhammad al-Hasan Ali bin Abu Tolib, cucu Rasulullah s.a.w dan penawar hati baginda. Beliau berkata : "Aku menghafal daripada Rasulullah s.a.w : " Tinggalkan apa yang meragukan mu kepada apa yang tidak meragukan mu."
Kepentingan Hadis
Ini adalah salah satu lagi hadis yang pendek lagi padat daripada baginda Rasulullah s.a.w dan juga merupakan di antara hikmat-hikmat nabawiyyah yang tinggi. Dengan beberapa kalimah sahaja baginda telah meletakkan satu kaedah yang besar buat pedoman umatnya di dalam meninggalkan perkara-perkara syubahat.

Kamis, 29 Oktober 2009

Hadis 10 - Baik Dan Halal Syarat Penerimaan

Daripada Abu Hurairah r.a katanya : " Rasulullah s.a.w bersabda : " Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima kecuali yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan muslimin dengan apa yang Dia perintahkan kepada para Rasul. Firman Allah s.w.t : " Wahai para Rasul makanlah dari (makanan) yang baik-baik dan beramalah dengan amalan salih." ( Al-Mukminun:51). Allah s.w.t juga telah berfirman : " Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami kurniakan kepada kamu" ( Al-Baqarah : 172). Kemudian baginda menyebut tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai dan berdebu rambutnya, menadahkan tangannya ke langit sambil berdoa: " Wahai Tuhan ku ! Wahai Tuhan ku !" sedangkan makanan, minuman dan pakaiannya adalah haram dan dia diberi makan dengan benda-benda yang haram, maka bagaimanakah dikabulkan permintaannya...."
Kepentingan Hadis
Hadis ini menerangkan syarat-syarat doa itu dimakbulkan Allah s.w.t di samping menjadi asas di dalam melakukan perkara-perkara yang halal dan menjauhkan perkara-perkara yang haram. Hadis ini juga mementingkan aspek kualiti di dalam segala amalan kita supaya kita lebih teliti didalam melakukan segala suruhanNya dan bukannya mengambil sikap sambil lewa di dalam beribadat.

Rabu, 28 Oktober 2009

Hadis 9 - Mudah Dan Tidak Menyusahkan

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman Bin Sokhr r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : " Sesuatu yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka hendaklah kamu lakukannya sekadar kemampuan. Sesungguhnya telah binasalah kaum sebelum kamu lantaran banyak bertanya dan mereka menyalahi para nabi"
Kepentingan Hadis
Menurut Imam Nawawi "Ini adalah antara asas Islam yang penting dan di antara jawami' al kalim yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w. Hadis ini mempunyai hukum-hukum yang tidak terhitung banyaknya.

Minggu, 25 Oktober 2009

Gangsterism Di Sekolah

Tips daripada PDRM


Faktor Pelajar Terjerumus


- Pengaruh rakan atau kawan yang terlibat dalam kumpulan jahat di sekolah atau di luar sekolah.


- Remaja atau pelajar yang kurang keyakinan kepada diri sendiri ("low self-esteem" )


- Di rekrut secara paksa oleh ahli-ahli kongsi gelap


-Mereka yang kurang mendapat perhatian atau kawalan ahli-ahli keluarga.



Langkah Pencegahan


- Setiap pihak perlu memainkan penting didalam membasmi kegiatan gansterism di sekolah.

- Orang ramai perlu bekerjasama dengan memberi maklumat tentang penglibatan pelajar dalam kegiatan yang tidak sihat.

- Ibubapa atau penjaga hendaklah memberitahu pihak sekolah atau polis sekiranya mengesyaki ahli keluarga terlibat di dalam gengsterism disekolah.

- Menggalakkan mangsa-mangsa tampil kehadapan membuat pengaduan kepada pihak sekolah seterusnya kepada pihak polis.

- Ibubapa atau penjaga hendaklah memberi sokongan ke atas setiap tindakan pihak sekolah atau polis dalam menangani kegiatan gangsterism yang melibatkan ahli keluarga mereka.

- Pelajar jangan bergaul dengan bukan pelajar yang karektornya diketahui bersifat penjenayah atau mencurigakan.

- Pelajar hendaklah mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat seperti bersukan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain.

Ulasan

Gejala gangsterism ini memerlukan kerjasama erat daripada ibubapa, jiran tetangga dan pihak sekolah serta polis. Pihak berkuasa perlu menyediakan satu saluran kepada orangramai untuk menyalurkan maklumat berhubung dengan perkara ini.

Ketiadaan saluran bagi menyalurkan maklumat akan menyebabkan usaha-usaha membenteras kegiatan ini akan terbantut. Ibubapa juga perlu memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada anak-anak sekiranya mereka dihampiri oleh kumpulan ini bagi menggelakkan anak-anak diperdaya atau menjadi mangsa.







Hadis 8 - Kehormatan Muslim

Daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : " Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Apabila mereka melaksanakan semua itu, maka terselamatlah darah dan harta mereka daripada aku melainkan dengan hak Islam dan hisab mereka terserah kepada Allah s.w.t"
Kepentingan Hadis
Hadis ini memberi penekanan kepada asas-asas agama Islam yang mustahak iaitu kalimah Toyibbah dimana penyaksian dan membenarkan tanpa sebarang keraguan bahawa tiada tuhan selain Allah bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat serta mengeluarkan zakat kepada yang berhak menerimanya.

Sabtu, 24 Oktober 2009

Hadis 7 - Agama Adalah Nasihat

Daripada Abu Ruqayyah Tamim Bin Aus, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : " Agama adalah an-nasihah.". Kami bertanya : " Untuk siapa ?" Jawab baginda : "Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan bagi para imam-imam muslimin dan seluruh muslimin."
Kepentingan Hadis
Hadis ini digolongkan sebagai hadis yang ungkapan yang ringkas tetapi mengandungi makna yang cukup mendalam. Jika diperhatikan kandungan hadis ini terdiri daripada kalimah-kalimah yang ringkas sahaja tetapi mengandungi berbagai-bagai makna yang memberikan kesan yang amat besar.
Pada masa kini terdapat segelintir masyarakat kita apabila tiba di dalam persimpangan untuk membuat keputusan, pada kebiasaannya mereka akan lebih merujuk kepada penyelesaian yang bersifat duniawi dan kebiasaannya keputusan yang berdasarkan kepada keuntungan duniawi ini akan membawa kepada kemusnahan yang lebih besar lagi.
Kita perlu berubah di mana setiap keputusan yang akan dibuat perlu merujuk kepada Al-quran dan Hadis terlebih dahulu. Sebagaimana seperti yang di terangkan didalam hadis ini dan juga Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al An'aam: 38, yang bermaksud ;
"Tiada Kami tinggalkan sesuatupun di dalam Kitab Al-Quran"
Sememangnya Islam adalah satu agama nasihat yang membimbing umatnya supaya tidak terjerumus ke lembah kehinaan (neraka).

Kamis, 15 Oktober 2009

Hadis 6 - Halal Dan Haram

Daripada Abu Abdullah an-Nu'maan bin Basyiir r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : " Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram (itupun ) jelas dan di antara kedua-duanya (terdapat ) perkara-perkara yang syubhat, ramai dari kalangan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga diri daripada perkara syubhat, (maka) dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara syubhat, dia akan jatuh ke dalam perkara haram. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, dibimbangi gembalaannya akan meragut makanan di dalamnya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya bagi setiap raja itu ada kawasan larangan dan kawasan larangan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging apabila ia baik maka baiklah jasad seluruhnya. Apabila ia rosak maka rosaklah jasad seluruhnya, ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Kepentingan Hadis

Hadis ini menerangkan terhadap perkara halal, haram, syubhat serta apa yang dapat memperbaiki hati serta perkara-perkara yang merosakkannya. Justeru itu seseorang itu perlulah mempunyai ilmu terlebih dahulu mengenai perkara-perkara yang telah disebutkan diatas sebelum dapat beramal dengan hadis ini. Hadis ini juga melarang kita daripada melakukan perkara-perkara yang haram serta peringatan tentang bahaya syubhat.

Selasa, 13 Oktober 2009

Al Hazim Basri

Al Hazim Basri merupakan salah seorang lagi tokoh ilmuan Islam yang terkenal di dalam bidang fizik . Beliau dilahirkan pada tahun 965 dan meninggal dunia pada tahun 1038. Antara bidang-bidang ilmu yang dipeloporinya adalah cermin, kuasa tarikan magnet dan lain-lain.

Kitab karangan beliau yang terkenal di dalam bidang ilmu fizik adalah " Mizan al-Hikmah". Kitab ini telah menjadi salah sebuah kitab yang terpenting bagi rujukan ilmu fizik. Banyak lagi kitab-kitab karangan beliau yang telah diterjemahkan kepada bahasa latin yang kemudiannya menjadi rujukan para saintis Barat.

Hadis 5 - Menghapuskan Kemungkaran & Bidaah

Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdullah, Aisyah r.a katanya : " Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya, maka ia adalah ditolak."
Hadis Riwayat Al-Bukhari

Kepentingan Hadis

Hadis ini boleh dikatakan sambungan daripada hadis yang pertama berkenaan dengan niat ataupun perkara-perkara yang melibatkan perkara batin. Ini adalah kerana hadis ini merupakan timbangan kepada amalan-amalan yang dilakukan secara zahir, dimana semua pekerjaan zahir yang dibuat yang bukan daripada suruhan Allah dan Rasul-Nya, maka ianya adalah ditolak.


Senin, 12 Oktober 2009

Hadis 4 - Peringkat Kejadian Manusia Dan Kesudahannya

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah Bin Mas'ud r.a katanya : Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kami - dan dia adalah orang yang benar lagi dibenarkan :- " Sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam rahim ibunya selama empat puluh hari sebagai mani, Kemudian dia menjadi ketulan darah seperti tempoh tersebut juga (empat puluh hari), Kemudian dia menjadi ketulan daging seperti tempoh tersebut. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan ruh padanya. Lalu dia (malaikat) disuruh oleh Allah supaya menulis empat perkara ; rezekinya, ajalnya, amalnya dan celaka atau bahagiannya. Sesungguhnya dikalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada diantaranya syurga kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia pun memasukinya (neraka). Dikalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada diantaranya dengan neraka kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu dia pun memasukinya (syurga)

Kepentingan Hadis ini merangkumi perbincangan tentang proses kejadian manusia dari mula hingga ke akhir samada dia akan memasuki syurga atau neraka, hasil dari amalannya semasa kehidupannya di alam dunia ini. Semua ini bertepatan dengan ketentuan yang telah ditetapkan dalam ilmu Allah swt.

Jumat, 09 Oktober 2009

JABIR BIN HAYYAN

Jabir Bin Hayyan adalah salah seorang ilmuan Islam yang pakar di dalam bidang Kimia. Beliau juga dikenali sebagai Gaber oleh Eropah. Pada masa tersebut para ilmuan Islam telah pun berjaya membezakan antara alkali dan asid.

Jabir Bin Hayyan telah menerbitkan banyak kitab didalam bidang kimia yang menjadi rujukan penting kepada para ahli kimia pada masa tersebut dan kitabnya yang terpenting adalah Al-Istitmam.

Pada tahun 1672 kitab beliau ini telah diterjemahkan kepada bahasa Perancis. Ini membuktikan pengiktirafan masyarakat kepada beliau pada masa itu bukan sahaja dari kalangan negara-negara Islam malah negara bukan Islam lain juga turut mengagumi beliau.

Kejayaan beliau dalam bidang kimia bukan sahaja dari sudut teori semata-mata malah beliau sendiri menjalankan ujikaji-ujikaji bagi membuktikan teori beliau. Malah orang-orang Islam pada ketika itu sudahpun mempraktikkan ilmu kimia ini didalam bidang perindustrian seperti tekstil, minyak wangi, penawar kepada racun dan bidang-bidang lain.

Banyak kitab karangan Jabir telah diterjemahkan oleh orang-orang Eropah kepada Bahasa Latin. Daripada kitab-kitab terjemahan inilah orang-orang Eropah dapat mempelajari tentang sains kimia dan seterusnya mengembangkan ilmu tersebut hingga ke saat ini. Sebenarnya saintis Barat terhutang budi dengan saintis Islam kerana jika tidak kerana kejayaan orang-orang Islam nescaya orang barat tidak akan mengetahui rahsia ilmu kimia.

Kamis, 08 Oktober 2009

OPS SIKAP 20

Ops Sikap 20 yang bermula pada 13/09/2009 telah pun tamat pada 27/09/2009 yang lalu. Seramai 2,000 orang anggota Polis telah dikerahkan di dalam Ops Sikap 20 yang mencatatkan jumlah kematian seramai 261 orang.
Pelbagai pandangan telah dikeluarkan oleh banyak pihak ada yang mengatakan Ops Sikap pada kali ini gagal, ada yang memberi pendapat agar silibus di sekolah memandu perlu diperbaiki dan sebagainya . Bagi saya, saya melihat dari sudut keselamatan. Sememangnya masyarakat kita tidak menitikberatkan soal keselamatan. Sebagai contoh tali pinggang keledar, kerap kali kita akan lihat ada pemandu yang akan kelam kabut memasang tali keledar apabila ada sekatan jalanraya yang dilakukan oleh pihak Polis. Asas kepada senario ini ialah orang tersebut memakai tali pinggang keledar kerana takutkan Polis dan bukannya keselamatan dirinya sendiri. Begitu juga dengan penggunaan hand phone tanpa alat hands free apabila ternampak saja Polis maka handphone pun diletakkan di bawah dan setelah melepasi Polis dia akan berbual seperti biasa. Perkara seperti ini sebenarnya sudah biasa kita lihat dan sememangnya menjadi kebiasaan kepada segelintir pemandu kita.
Pada saya pendidikan keselamatan perlu bermula dirumah. Kita perlu memberikan pendedahan kepada anak-anak tentang soal keselamatan supaya anak-anak kita dapat membuat keputusan yang terbaik. Sebagai contoh penggunaan pisau dirumah perlu di ajar bagaimana untuk menggunakan pisau dan simpan semula di tempat yang sepatutnya selepas digunakan agar tidak membahayakan adik-adik yang lain.
Apa kaitannya pula pendidikan keselamatan di rumah dengan kadar kemalangan jalanraya? Sebenarnya apabila kita mendidik anak-anak kita tentang faktor keselamatan ia akan menanamkan kesedaran pada diri mereka sejak dari kecil tentang keselamatan diri dan juga orang lain sebelum melakukan sesuatu perkara. Apabila ini telah menjadi rutin dalam hidupnya maka walau apa perkerjaan sekalipun yang dilakukannya dua faktor ini akan diutamakan terlebih dahulu.
Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa kadar kemalangan yang tinggi pada Ops Sikap pada kali ini berpunca daripada sikap pemandu sendiri. Jadi untuk mengubah senario ini sikap pemandu kita perlulah diubah terlebih dahulu. Sekiranya kita tergolong didalam kategori ini maka kita perlu membuat perubahan terhadap diri kita sendiri sebelum orang lain menjadi mangsa atau kita dan keluarga kita menjadi mangsa kepada sikap buruk kita. (minta dijauhkan)
Wallahualam.

Rabu, 07 Oktober 2009

Hadis 3 - Rukun Islam Dan Tunggak-Tunggak Asasnya

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah Bin Umar Bin Khattab r.a, beliau berkata : " Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Islam dibina di atas lima perkara ; penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadhan." ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Kepentingan Hadis

Hadis ini adalah hadis yang sangat agung. Ia merupakan salah satu daripada kaedah Islam dan penghimpun hukum-hakam. Ini adalah kerana terdapatnya pengenalan terhadap agama dan persoalan-persoalan yang berhubung dengannya serta himpunan rukun-rukun di dalamnya.

Senin, 05 Oktober 2009

Ragut & Seluk Saku

Tips daripada Polis DiRaja Malaysia

Tempat di mana sering berlaku

  • Kejadian kerap berlaku di tepi jalan dan di lorong sunyi
  • Biasanya peragut berjalan kaki dan bermotosikal
  • Penyeluk saku sering bertindak di tempat yang sibuk.

Bagaimana boleh berlaku

  • Menyimpan wang atau dompet di saku yang terbuka.
  • Memakai barang kemas dengan ketara dan mendedahkan untuk tontonan.
  • Berebut-rebut menaiki kenderaan awam atau berada di tempat sesak.
  • Membawa beg tangan dengan cara yang mudah diragut.
  • Meletakkan beg tangan di tempat duduk semasa memandu kereta (passenger seat)
  • Sibuk menjawab panggilan telefon /sms sehingga lupa keadaan sekitar.




Cara Pencegahan

  • Bawa wang sekadar mencukupi untuk membeli-belah. Simpan wang dengan baik bagi mengelakkan penyeluk saku mengintai peluang.
  • Bagi wanita, beg tangan seelok-eloknya dibimbit untuk mengelakkan diragut oleh peragut bermotosikal.
  • Bagi lelaki, dompet elok disimpan di dalam kocek berbutang.
  • Jangan biarkan beg tangan diletak ditempat yang mudah dicapai oleh orang lain ketika membeli-belah atau ketika memandu (Passenger Seat).
  • Pastikan anda mengepit/membimbit tas tangan dengan kemas ketika berjalan di tempat yang sibuk/sesak.
  • Jangan memakai barang kemas yang terlalu banyak ketika berada di tampat awam.
  • Elakkan dari berjalan di tempat yang sibuk dan berebut-rebut.
  • Jangan mudah lalai oleh kekecohan yang dilakukan oleh orang yang tidak kenali dan tawaran untuk menolong membersihkan baju anda.
  • Elakkan daripada tertidur semasa menaiki kenderaan awam atau meninggalkan barang kepunyaan anda tanpa dijaga.
  • Jangan tertipu oleh orang yang tidak dikenali dan cuba berbuat baik dengan anda tanpa sebarang sebab umpamanya bertanyakan alamat, nama orang dan sebagainya.
  • Periksa segera dompet atau beg tangan anda jika dilanggar atau diasak oleh orang lain.
  • Sentiasa berwaspada dengan persekitaran semasa menunggu di perhentian bas dan menjawab telefon/sms.
Maklumat Tambahan

Terdapat juga kes seluk saku di dalam bas yang dilakukan oleh warga asing. Dimana mereka akan menaiki bas secara berkumpulan / beramai-ramai dan akan bergerak dari hadapan bas ke bahagian belakang bas. Ini sengaja dilakukan bagi mewujudkan suasana berasak-asak di dalam bas seterusnya mereka akan menggunakan kesempatan ini bagi aktiviti seluk saku mereka dan apabila berjaya mereka akan turun daripada bas tersebut. Terdapat juga kes dimana mangsa seluk saku mengetahui bahawa dia telah menjadi mangsa dan bertanya kepada suspek tetapi apabila diperiksa dompet tersebut tiada pada suspek kerana mereka licik dalam menyembunyikan dompet tersebut dikalangan mereka yang ramai. Akibatnya mangsa akan di marahi atau dipukul oleh kumpulan mereka kononnya menuduh rakan mereka mencuri tanpa usul periksa.

Jadi beringat-ingatlah sebelum kita pula menjadi mangsa. Pastikan anda menyimpan dompet/wang di dalam poket yang berbutang.

Minggu, 04 Oktober 2009

Hadis 2 - Islam, Iman dan Ihsan

Daripada Saidina Umar r.a beliau berkata: " Ketika kami sedang duduk disisi Rasulullah s.a.w pada suatu hari, tiba-tiba muncul dihadapan kami seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan (musafir) jauh dan tiada seorangpun diantara kami yang mengenalinya sehingga dia duduk dihadapan Rasulullah s.a.w. Lalu dia merapatkan lututnya ke lutut Rasulullah s.a.w dan meletakkan dua tapak tangannya diatas dua pehanya, lantas dia berkata: "Wahai Muhammad! ceritakan kepadaku tentang Islam". Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: " Islam itu adalah kamu menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah peseuruh Allah, kamu mendirikan sembahayang, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji jika kamu mampu mengerjakannya." Lelaki itu berkata: "Benarlah kamu!" Kami merasa hairan terhadapnya; dia bertanya dan dia juga yang membenarkannya.

Lelaki tu berkata lagi: "Ceritakan kepadaku tentang iman" Baginda s.a.w bersabda "Bahawa kamu beriman dengan Allah, para maklaikat-Nya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari kiamat dan kamu beriman dengan kadar baik dan buruk-Nya". Lelaki itu berkata; "Benarlah kamu!"

Dia berkata lagi: "Ceritakan kepadaku tentang ihsan". Baginda s.a.w menjawab: "Bahawa kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu."

Lelaki itu berkata lagi: "Ceritakan kepada ku tentang kiamat". Baginda menjawab: "Tidaklah orang yang ditanya mengenainya (kiamat) lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. (Maksudnya kedua-duanya tidak mengetahui tentang bila berlakunya kiamat)."

Lelaki itu berkata lagi;"Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya." Baginda menjawab: "Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan." Kemudian lelaki itu pun pergi. Maka akupun menunggu beberapa hari. Kemudian Rasulullah s.a.w berkata ; "Wahai Umar! Tahukah kamu siapakan orang yang bertanya itu." Aku menjawab ; "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah s.a.w ; "Sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu."

Munajat Ramadhan

Munajat Ramadhan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Segala puji-pujian bagi Mu Ya Allah, Tuhan seluruh alam. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw serta keluarga Baginda dan para sahabat dan para pengikut dari dulu hingga kini.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Engkaulah pemilik alam semesta ini, Ya Allah

Engkaulah Rabbul Alamin, Penguasa alam semesta ini, Ya Allah,

Engkaulah yang menciptakan bumi yang kami pijak dan

Engkaulah yang menciptakan siang dan malam, Ya Allah.

Kami bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan engkau Ya Allah

Dan kami bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Engkau.

Ya Allah,

Engkau jadikan kami dari setitis air yang hina,

Engkau berikan kami kedua belah mata sehingga kami dapat melihat

Engkau berikan kami kedua belah telinga sehingga kami dapat mendengar

Engkau jadikan kami mulut sehingga kami dapat berkata-kata

Engkau tiupkan ruh sehingga kami dapat hidup dan berjalan di atas muka bumi mu Ya Allah.

Ya Allah,

Engkaulah pemilik segala kehidupan,

Engkau yang menghidup dan yang mematikan

Engkau yang Maha melihat lagi Maha mengetahui,

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Pada hari ini kami tundukkan wajah dan hati kami, Ya Allah

Untuk memohon keampunan di atas segala dosa yang telah kami lakukan

Ya Allah,

Ampunilah hamba-hamba mu ini yang penuh dengan dosa,

Ampunilah hambamu ini yang selalu berbuat maksiat

Ampunilah hambamu ini yang selalu sombong diri

Ya Allah,

Kami sering bangga diri

Kami sering mengharapkan balasan dunia

Kami sering mengharapkan pujian manusia

Kami sering meminta tanpa pernah mencintai mu Ya Allah.

Hati kami penuh dengan cinta kepada dunia Ya Allah,

Ampunilah kami Ya Allah,

Kami mohon ampun daripadamu

Dari segala dosa

Dari segala kesalahan

Dari segala khilaf.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami

Kami pernah melukakan hati kedua ibubapa kami Ya Allah

Kami Pernah menyakiti hati mereka Ya Allah

Kami pernah membuatkan mereka menangis, Ya Allah,

Kami mohon kepadamu Ya Allah,

Engkau ampunilah kami Ya Allah,

DI atas segala dosa-dosa yang pernah kami lakukan ke atas mereka

Ya Allah Ya Tuhan Kami

Sesungguhnya ada dikalangan kami yang telah kematian ibu atau bapa meraka,

Ya Allah , Engkau kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami semasa kami masih kecil

Engkau lapangkanlah kubur mereka Ya Allah

Engkau terangilah kubur mereka Ya Allah

Engkau bahagiakanlah mereka di sana Ya Allah

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Jauhilah kami dari kemunafikan

Jauhilah kami dari kebohongan

Jauhilah kami dari kepura-puraan

Jauhilah kami dari ujub dan takkabur

Jauhilah kami dari cinta diri

Jauhilah kami dari kejahilan Ya Allah.

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim

Hari ini kami mohon kepada mu keampunan Ya Allah

Atas segala dosa-dosa yang kami lakukan

Dosa kepada ibu kami

Dosa kepada ayah kami

Dosa kepada suami atau isteri kami

Dosa kepada anak-anak kami

Dosa kepada adik beradik kami

Dosa kepada saudara mara kami

Dosa kepada guru-guru kami

Dosa kepada taulan dan jiran-jiran kami Ya Allah

Ya Allah kami mohon keampunan Mu Ya Allah

Sucikanlah hati kami

Sucikanlah fikiran kami

Siramilah kami dengan kemuliaan Mu Ya Allah.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Kami sering terlupa ya Allah

Kami sering lalai ya Allah

Ampunilah kami

Bimbinglah kami kepada jalan Mu yang lurus

Bimbinglah kami kepada jalan Mu yang benar

Bimbinglah kami agar bilamana saat kematian menjemput

kami dalam keadaan husnul khatimah

Ya Allah

Jadikanlah setiap perbuatan dan perkataan kami mendapat redha Mu

Jadikanlah setiap langkah kami mendapat redha Mu Ya Allah

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Jadikanlah keluarga kami mendapat rahmat Mu

Jadikanlah suami , isteri serta anak-anak kami

Termasuk di dalam golongan mereka-mereka yang soleh dan solehah

Rahmatilah Qariah kami ya Allah

Rahmatilah negeri kami ya Allah

Rahmatilah Negara kami ya Allah

Engkau jadikanlah pemimpin-pemimpin kami mereka yang beriman dan bertakwa kepada Mu ya Allah

Engkau jadikanlah pemimpin-pemimpin kami mereka yang dapat membimbing kami mendekatkan diri kepada Mu Ya Allah

Ya Allah

Ramadhan Mu yang penuh dengan keberkatan ini bakal meninggalkan kami Ya Allah

Izinkanlah kami untuk bertemu lagi dengan Ramadhan Mu pada tahun-tahun yang mendatang

Terimalah puasa kami, Ya Allah

Terimalah solat kami, Ya Allah

Terimalah segala amal kami Ya Allah.

Ya Rahman Ya Rahim

Ampunilah kami Ya Thawab

Ampunilah Kami Ya Rahman

Ampunilah kami Ya Ghafuur

Ampunilah kami Ya Afuww

Sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat

Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun

Masukkanlah kami dan keluarga kami ke dalam syurga Mu ya Allah

Jauhilah neraka Mu daripada kami Ya Allah

Sabtu, 03 Oktober 2009

Pencegahan Kecurian Kenderaan

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan kecurian kenderaan daripada PDRM ;

Curi Kenderaan

Tempat di mana kecurian kerap berlaku

  • Tempat letak kereta awam
  • Kompleks membeli-belah
  • Di hadapan rumah, tepi jalan raya
  • Tempat letak kereta di hotel-hotel

Faktor berlaku kecurian

  • Tidak dikunci
  • Tiada kunci tambahan
  • Meletakkan di tempat yang terpencil atau gelap pada waktu malam
  • Meninggalkan barang berharga di motosikal

Bagaimana mencegah kecurian kereta

  • Pastikan kereta dipasang dengan alat penggera keselamatan yang baik
  • Memasang kunci tambahan untuk stering, gear, roda dan kelac. Pastikan juga kereta sentiasa dikunci
  • Sentiasa meletak kereta di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat yang terang berlampu
  • Pastikan anda berhati-hati supaya kunci kereta tidak ditiru semasa menghantar kenderaan anda untuk diservis
  • Jangan serahkan kunci kepada 'Jockey' kereta
  • Adalah lebih baik untuk mencetak nombor pendaftaran di cermin kereta ('sandblasting')
  • Bersiap sedia dengan kunci kereta apabila menuju ke kereta.
  • Elakkan meletak kenderaan bersebelahan dengan kenderaan yang lebih besar seperti lori atau bas kerana ini memudahkan pencuri mencuri.(terlindung dari pandangan orang)

Bagaimana mencegah kecurian motosikal

  • Letak motosikal ditempat yang dikhaskan.
  • Pastikan anda mengunci motosikal ketika meninggalkannya.
  • Letakkan di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat yang terang/berlampu.
  • Rantai dan kunci tambahan adalah penting untuk mengelakkan motosikal dari dicuri.
  • Pasangkan alat penggera kecurian motosikal dan ukirkan nombor pendaftaran motosikal pada bahagian-bahagian yang jelas dilihat.

Rasanya antara faktor lain yang menyebabkan kecurian kenderaan atau barangan didalam kenderaan dicuri adalah kerana terdapat pemilik kenderaan yang mempunyai hobi menghias kenderaan mereka sehingga menarik perhatian orang ramai dan termasuklah para pencuri. Jadi berpada-pada didalam menghias kereta, yang saya selalu jumpa kes sport rim kereta dicuri orang.

Pada saya, saya pegang satu konsep dalam berkenderaan iaitu biarlah kenderaan yang saya miliki memudahkan saya bukannya menyusahkan. Keutamaan saya ialah apabila kenderaan saya perlu diservis maka saya hantar ke worksyop bagi memastikan kereta saya sentiasa berada didalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan biarlah tanpa sport rim atau asessori kereta, yang penting saya selesa dan rasa selamat dengan kereta saya.

Hadis 1 - Semua Amalan Adalah Dengan Niat

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar Bin Al-Khattab r.a katanya ; " Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : " Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat balasan berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan."

Hadis ini menjadi paksi kepada Islam kerana ia adalah perkara yang paling asas di dalam Islam. Kebanyakkan hukum-hukum di dalam Islam disandarkan kepada hadis ini.

Imam Ahmad & Imam Syafie berkata " Di dalam hadis ini mengandungi satu pertiga ilmu. Sebabnya ialah kerana usaha seseorang itu adalah samada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat adalah dengan hati dan hati adalah salah satu daripada tiga cabang pembahagian tersebut.

Kerana itu kebanyakkan ulama suka meletakkan hadis ini dipermulaan kitab-kitab, penulisan atau ceramah mereka.

Mudah-mudahan setiap amalan kita akan dimulakan dengan niat yang betul iaitu kerana Allah swt.

Jumat, 02 Oktober 2009

Blogger Baru

Asalamualaikum wbt

Baru-baru ini saya telah bertemu dengan rakan lama saya. Kami mempunyai minat yang sama iaitu membaca. Beliau telah mencadangkan kepada saya untuk membuat blog bagi sama-sama berkongsi ilmu dengan para blogger yang lain melalui laman blog. Sebenarnya telah lama saya cuba untuk mempunyai laman blog sendiri tetapi atas kekurangan ilmu (teknikal) saya untuk menerbitkan laman blog ini telah mematikan minat saya.

Namun selepas pertemuan saya dengan rakan saya tadi, minat untuk memiliki laman blog sendiri kembali bersemangat dan sebagai permulaan saya buat dengan trial and error dan inilah hasilnya walaupun secara peribadi saya sendiri kurang berpuashati dengan apa yang telah dihasilkan, namun saya yakin "by time" saya akan dapat mempelajarinya sedikit demi sedikit insyallah. Niat saya hanya satu iaitu untuk sama-sama berkongsi ilmu dan semoga ilmu yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada semua dan mendapat ganjaran di sisi Allah.