Jumat, 30 Juli 2010

Ilmuan Islam - Sheikh Idris Al-Marbawi

MOHD IDRIS AL-MARBAWI

Nama sebenar beliau ialah Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi atau lebih dikenali dengan panggilan Sheikh Idris Al-Marbawi, seorang ulama tersohor di Nusantara, Mesir dan Mekah. Beliau amat terkenal dengan kefahamannya di dalam bidang bahasa Arab, Ilmu Hadis, Ilmu Tafsir dan Ilmu Fekah.

Sheikh Idris dilahirkan pada tahun 1893 di Mekah. Keluarganya berpindah dan pulang semula ke Malaysia pada tahun 1913 iaitu pada usia 20 tahun. Ketika beliau berusia 10 tahun, beliau telah berjaya menghafal 17 juzuk Al-Quran dan beberapa buah kitab. Beliau memiliki ketajaman fikiran dan tergolong di dalam golongan manusia yang cerdik pandai dan fakih tentang agama Islam.

Sheikh Idris mendapat pendidikan secara formal di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Beliau juga belajar di beberapa buah sekolah pondok seperti sekolah pondok Sheikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi di Kedah, Pondok Sheikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Selepas beliau menamatkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, beliau telah ditawarkan berkerja sebagai guru agama di salah sebuah pondok di Perak. Pada waktu itu juga beliau berkahwin dengan gadis pilihannya. Kemudian pada tahun 1924, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar di Mesir. Kepandaian dan kebijaksanaan beliau terserlah di sana apabila beliau seringkali mendapat pencapaian tertinggi dari pihak Universiti.

Semasa beliau berada di Universiti al-Azhar, beliau melihat masalah dalam kalangan para pelajar melayu adalah sukar memahami dan bertutur di dalam bahasa Arab. Beliau bersama-sama dengan lima sahabatnya cuba menyusun sebuah kamu Arab-Melayu, tetapi di pertengahan jalan sahabat-sahabatnya telah menarik diri. Walaubagaimana pun ianya tidak melemahkan semangat Sheikh Idris untuk menyiapkan kamus ini dan terbukti beliau telah berjaya menerbitkan sebuah kamus Arab-Melayu pada tahun 1927 dengan judul Qamus al-Marbawi. Kamus tersebut telah mendapat sambutan ramai sehinggakan penerbitnya terpaksa mengulang cetak berpuluh-puluh kali dan sehingga sekarang kamus beliau tetap menjadi rujukan.

Setelah itu beliau telah terlibat secara aktif di dalam bidang penulisan dan telah menghasilkan katya-karya ilmiah yang agung. Antara karya beliau yang memberikan sumbangan penting dalam pengajian hadis di Malaysia adalah kitab Bahru Mazi ( Lautan Madu ). Kitab ini adalah ringkasan kepada sunan at-Tirmizi. Kitab ini menghuraikan hadis dalam bentuk fekah, tasawuf,akidah dan muamalat. Kitab ini menggunakan tulisan jawi terbesar dan ia antara kitab terawal diterbitkan oleh orang Melayu dan sehingga kini kitab beliau telah dijadikan rujukan oleh para ustaz bagi menyampaikan kuliah-kuliah agama dan di antara mereka yang menggunakan kitab ini ialah Ustaz Dato’ Shamsuri Ahmad.

Antara kitab-kitab lain yang telah diterjemahkan kedalam bajasa Melayu oleh beliau adalah kitab Bulugh al-Maram. Kitab ini adalah karya seorang tokoh hadis yang bernama Ibn Hajar al-Asqalany. Selain itu beliau juga terlibat di dalam menghasilkan tafsir Surah Yassin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir dan Quran Bergantung Makna.

Beliau juga turut menulis di dalam bidang Fekah, akidah dan falsafah. Antara karya beliau yang terkenal adalah kitab Nizam al-Hayah, kitab pati Hukum-hukum Ibadah, Kitab usul Islam pada membicarakan mengambil air sembahyang, ensiklopedia Kamus segala Ilmu, Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu dan banyak lagi.

Jasa beliau di dalam bidang agama dan persuratan Arab-Melayu telah diiktiraf oleh Universiti Kebangsaan Malaysia di mana beliau telah di anugerahkan ijazah kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 05hb Julai 1980 dan dianugerahkan sebagai tokoh Maal Hijrah pada 01 Muharam 1408 Hijrah.

Sumbangan beliau yang tidak terbilang ini menyebabkan nama beliau telah dikenang sehingga ke hari ini. Nama beliau juga telah diabadikan pada sebuah kolej yang berada di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kolej itu diberi nama Kolej Idris al-Marbawi. Sekolah pertama tempat beliau belajar dahulu juga menggunakan nama beliau iaitu Sekolah Kebangsaan Sheikh Idris al-Marbawi.

Beliau telah meninggal dunia pada 13hb Oktober 1989 di Hospital Besar Ipoh pada usia 96 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Lubuk Merbau, Perak. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Kamis, 29 Juli 2010

Perawi 38 - Ummu Kalthum

Ummu Kalthum , ialah ; Ummu Kalthum binti Uqbah bin Abi Mu’ith, beliau seorang Islam dan turut berhijrah. Beliau merupakan saudara seibu dengan Syaidina Uthman bin Affan, beliau telah berkahwin dengan Zaid bin Harithah selepas peristiwa Hijrah. Walaubagaimanapun beliau berkahwin semula setelah Zaid syahid pada perang Mu’tah.

Rabu, 28 Juli 2010

Sahabat 3 - Uthman Bin Affan

Sahabat 3 – Uthman bin Affan (Yang Pemalu)

Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga Quraisy yang kaya raya beberapa tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad. Beliau yang melakukan dua hijrah, pertamanya ke Habsyah dan kemudiannya ke Madinah dan amat terkenal kerana sifat pemurah kepada orang-orang susah. Antara penghormatan yang beliau perolehi ialah mengahwini dua orang puteri Nabi iaitu Ruqayyah dan Kalthum (dalam masa yang berbeza). Justeru beliau digelar sebagai Zun Nur’ain yang bermaksud “dia mempunyai dua cahaya”.

Beliau memerintah selama 12 tahun iaitu dari tahun 644 Masihi hingga 656 Masihi. Semasa pemerintahannya keseluruhan Iran, sebahagian daripada Afrika Utara dan Cyprus Berjaya ditakluki. Pada tahun 35 Hijrah, Usman bin Affan meninggal dunia selepas dibunuh didalam rumahnya semasa sedang membaca Al-Quran. Semasa pemerintahannya beliau telah Berjaya menyalin semula Al-Quran berasaskan catatan yang dibuat dihadapan Nabi, kemudian dibukukan (Mashaf Usmani) dan dihantar keseluruh pusat jajahan Islam.

Usman bin Affan juga memiliki sifat pemurah dimana semasa perang Tabuk beliau telah mendermakan sebanyak 1,000 dinar, Usman juga mendermakan 600 ekor unta berserta pelananya sekali. Berhubung dengan peristiwa ini Nabi bersabda;”ibnu Affan tidak mendapat kemudaratan selepas ini kerana perbuatannya pada hari ini”.

Di samping itu Usman juga terkenal sebagai seorang yang pemalu. Pernah pada suatu petang Abu Bakar meminta izin bertemu Nabi Muhammad sedang beliau berbaring dan bajunya terangkat sehingga ternampak sedikit betisnya. Selesai berbincang Abu Bakar pun pulang kemudian datang pula Umar Al Khattab dan selepas berbincang beliau pun pulang. Tidak lama selepas itu datang pula Usman bin Affan, tiba-tiba Nabi Muhammad duduk dan merapikan pakaiannya dan menutup betisnya yang sedikit terbuka itu.

Selepas Usman pulang, Siti Aisyah bertanya kepada Nabi, “Wahai Nabi Muhammad, engkau tidak merapikan pakaian kamu di hadapan Abu Bakar dan Umar.” Nabi menjawab,”Usman seorang yang pemalu. Jika dia masuk sedang aku masih berbaring dia pasti malu untuk masuk dan terus pulang sebelum menyelesaikan hajatnya.” [hadis riwayat Imam Muslim]

Sifat pemurah dan pemalu ini menjadikan Usman bin Affan seorang yang hebat di dunia dan juga di akhirat.

Selasa, 27 Juli 2010

Kursus Kusyuk & Terapi Solat

Asalamualaikum wbt.

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Masjid Bandar Bukit Puchong akan menganjurkan kursus kusyuk & terapi solat oleh Bapak Yus Ansari dari Solatcenter, Jawa Barat pada hari khamis ini 29hb Julai 2010.


Sehubungan dengan itu saya menjemput para pembaca yang berkelapangan untuk mengikuti kursus ini di Masjid Bandar Bukit Puchong.

Agenda Kursus adalah seperti berikut :

7.00 pm Kedatangan jemaah
7.30 Solat Maghrib
7.45 Modul Khusyuk solat
8.40 Solat Isya'
9.00 Makan Malam
9.30 Modul Terapi Solat
11.00 Bersurai

Insyallah, kita jumpa di majlis nanti.

Sekian, wasalam.

Ahmad Nizam Hashim

Perawi 37 - Al-Nu'man

Al-Nu’man, ialah ; Al-Nu’man bin Basyir bin Sa’ad bin Thalabah Al-Khazraji Al-Ansari Al-Madani. Di lahirkan pada tahun ke-2 Hijrah dan merupakan bayi pertama dilahirkan selepas Hijrah di kalangan golongan Ansar. Beliau telah meriwayatkan 114 buah hadis. Beliau meninggal dunia di Syam pada tahun 64 Hijrah.

Senin, 26 Juli 2010

Sahabat 2 - Umar Al Khattab

Sahabat 2 – Umar Khattab Al-Farouq ( Yang Memisahkan )

Beliau berasal dari kabilah Bani Adi iaitu salah satu puak dari kalangan Quraisy. Pada peringkat awal Islam berkembang di Mekah, beliau amat memusuhi Islam sehingga Nabi pernah berdoa, “Ya Allah, kuatkanlah Islam samada dengan umar Al Khattab atau Abu Jahal bin Hisyam.” Akhirnya beliau memeluk Islam. Semasa beliau dilantik menjadi khalifah empayar Islam berkembang dengan pesatnya. Umat Islam Berjaya menakluki Mesopotamia dan meruntuhkan empayar Parsi di samping menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia, sekaligus melemahkan empayar Rom.

Pada tahun 637 Masihi, tentera Islam berjaya menakluki Kota Baitul Muqaddis. Paderi besar pada masa itu ialah Sophronius telah menyerahkan kunci kota kepada Khalifah Umar. Umar Al Khattab amat rapat dengan Nabi sehingga Nabi mengahwinkan anak baginda yang bernama Hafsah dengan Umar Al Khattab. Beliau meninggal dunia pada tahun 644 Masihi ( tahun 23 Hijrah ) selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu’lu’ah.

Antara sifat unggul yang ada pada Umar Al-Khattab adalah beliau seorang yang tegas berpegang pada agama. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi bersabda,; “Wahai Ibnu Khattab, demi Allah, tidaklah kamu berjalan di satu lorong melainkan syaitan memilih lorong yang lain”.

Sifat unggul lain yang terdapat pada Umar Al Khattab adalah berani demi kebenaran. Sifat ini banyak membantu perkembangan awal Islam di Mekah. Beliau telah meminta izin daripada Nabi supaya mengizinkan umat Islam mengisytiharkan keislaman mereka dan Nabi mengizinkan. Maka umat Islam keluar menuju ke Masjidil Haram untuk bersolat didalam dua barisan, satu dipimpin oleh Umar Al Khattab dan satu lagi dipimpin oleh Hamzah. Kerana itu Nabi menggelar beliau sebagai al-Faruq yang bermaksud “Yang memisahkan antara kebenaran dan kesesatan.”

Justeru berpegang teguh dan tegas terhadap agama serta berani menyatakan yang hak adalah lambang kehormatan dan kekuatan yang memacu manusia kepada kejayaan.

Minggu, 25 Juli 2010

Biografi Ringkas Sheikh Ahmad Deedat



AHMAD HUSSEIN DEEDAT

Ahmad Hussein Deedat dilahirkan pada 01hb Julai 1918 di Surat, India. Beliau lahir di dalam sebuah keluarga yang miskin. Pada tahun 1927, beliau berasal dari keluarga yang miskin. Beliau telah berhijrah ke Afrika Selatan pada tahun 1927 iaitu pada ketika berusia 9 tahun untuk tinggal bersama-sama ayahnya.

Di sebabkan oleh masalah kemisikinan beliau tidak mampu mendapatkan pendidikan formal sebagaimana kanak-kanak yang lain. Pada usia sembilan tahun, beliau mula belajar bahasa inggeris secara formal dan berjaya menjadi pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik.

Oleh kerana kesempitan hidup, beliau terpaksa bekerja pada usia 16 tahun di sebuah kedai yang menjual buku-buku agama dan pada tahun 1936 berlakulah satu peristiwa yang mengubah kehidupannya dimana sekumpulan pelatih missionary kristian menghinanya kerana beragama Islam.

Penghinaan yang dilontarkan kepadanya menjadikan beliau bertambah bersemangat untuk berdebat jika bertemu lagi dengan mereka pada masa hadapan. Dengan izin Allah beliau telah menemui sebuah buku yang bertajuk Izharal-Haq yang menerangkan teknik-teknik yang digunakan oleh orang Islam India bagi menghadapi missionary kristian di India.

Buku tersebut telah menjadi inspirasi kepada beliau untuk berhadapan dengan misionari Kristian yang datang ke tempat beliau bekerja. Daripada buku inilah beliau mempelajari teknik berdebat dan seterusnya beliau telah membeli kitab injil kristian dan mengkaji isi kandungannya. Usaha gigih dan ikhlas beliau ini telah berjaya mematahkan setiap hujah oleh para pelatih misionari kristian.

Lama-kelamaan beliau bukan sahaja berjaya berdebat dengan para pelatih, bahkan misionari dan paderi juga berasa bimbang dan digeruni dengan kebolehan berdebat dan pengetahuan beliau mengenai kristian.

Pada tahun 1942 iaitu pada ketika beliau berusia 24 tahun, beliau telah mula bersyarah kepada orang ramai dimana mereka yang mendengar ceramahnya hingga ribuan orang dan semenjak itu beliau telah menghadiri ribuan majlis di seluruh dunia di dalam menyampaikan ceramahnya.

Sebagai seorang sarjana dalam bidang perbandingan agama, beliau bukan sahaja menyampaikan ceramah-ceramah umum, malah beliau juga telah mengajar kelas yang mengkaji kandungan kitab injil. Di samping itu beliau juga telah menulis buku di dalam pekbagai topik dan buku beliau yang terkenal adalah “The Choice”.

Deedat dan beberapa rakannya telah menubuhkan Islamic Propagation Center International bagi tujuan dakwah dan di atas sumbangan beliau ini, beliau telah dikurniakan Anugerah King Faisal pada tahun 1986 iaitu pada ketika beliau berumur 68 tahun.

Pada bulan Mei 1996 beliau telah menderita penyakit lumpuh selama 9 tahun setelah mengalami serangan strok dan telah meninggal dunia pada bulan Ogos 2005 ketika berumur 78 tahun di rumahnya di Verulam, Afrika Selatan. Semoga Allah merahmati roh beliau, Amin.

Petua Ketua Bilal Masjidil Haram Jaga Suara



Utusan Malaysia Online 24hb Julai 2010 (Sabtu)


Petua Ketua Bilal Masjidil Haram jaga suara


SHAH ALAM 23 Julai – Jika mahu menjaga suara supaya sentiasa elok, sedap dan nyaring, jangan merokok, elak makanan pedas, berminyak dan jangan suka marahkan isteri. Demikian petua yang diamalkan oleh Ketua Bilal Masjidil Haram, Sheikh Ali al-Muolla, 54, yang telah bertugas selama lebih 30 tahun sebagai muazin di masjid tersebut.
“Saya perhatikan ada bilal di negara ini yang merokok, ini tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Universiti Antarabangsa al-Madinah (Mediu) di sini hari ini.

Ketibaan beliau di Mediu disambut oleh Rektornya, Prof. Dr. Mohammad Khalifa Al-Tamimi dan pegawai kanan universiti tersebut. Dalam lawatan selama kira-kira 45 minit itu, beliau dibawa melawat sekitar Mediu dan mengadakan perbincangan dengan Dr. Mohammad Khalifa.
Sheikh Ali yang sedang bercuti tiba di Malaysia, Selasa lalu dan dijadualkan pulang ke Mekah, Ahad ini. Beliau turut diberi penghormatan melaungkan azan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


Menurut beliau, pada waktu dahulu iaitu semasa ketiadaan pembesar suara, azan dilaungkan oleh enam orang bilal di enam menara yang terdapat di sekitar Masjidil Haram.
Katanya, ketika itu, Masjidil Haram mempunyai 24 orang bilal tetapi dengan adanya sistem pembesar suara, bilangan itu kini hanyalah 14 orang.
“Zaman dahulu, syarat utama menjadi muazin adalah mereka yang bersuara kuat,” katanya yang menerima sanad lagu azan itu daripada datuknya. Ditanya perbezaan laungan azan Mekah dan Madinah, Sheikh Ali berkata, muazin di Mekah suaranya lebih kuat manakala muazin di Madinah lebih pandai berlagu.


Mengenai kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram, beliau memberitahu, ia masih berjalan bagi menampung keperluan jemaah haji yang semakin meningkat.
“Setakat ini, kita belum tahu berapa jumlah jemaah yang boleh ditampung tetapi pada setiap malam 27 Ramadan, ada lebih empat juta jemaah solat di Masjidil Haram,” jelas beliau.

Perawi 36 - Rafi

Rafi, ialah ; Rafi bin Khadij bin Rafi Al-Ansari Al-Ausi Al-Haritsi, telah menyertai perang Uhud, Khandaq dan banyak lagi. Telah meriwayatkan sebanyak 78 buah hadis. Beliau meninggal dunia di Madinah pada tahun 78 Hijrah kerana cedera parah.

Jumat, 23 Juli 2010

Perawi 35 - Abi Dzar

Abi Dzar , ialah ; Jundub Bin Janadah bin Sufyan bin Abid, Abu Dzar dari Bani Ghifar dan merupakan orang yang kelima memeluk Islam, juga merupakan orang yang banyak bersedekah. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, beliau berhijrah ke Syam dan kemudian kembali ke Madinah semula. Selepas itu beliau berhijrah ke Rubzah dan meninggal di sana pada tahun 32 Hijrah.

Kamis, 22 Juli 2010

Sahabat 1 - Abu Bakar As-Siddiq


Sahabat 1 – Abu Bakar As-Siddiq (Yang Membenarkan Risalah)

Nama sebenar beliau adalah Abdullah bin Abu Quhafah dan beliau termasuk didalam golongan yang terawal memeluk Islam. Beliau adalah khalifah pertama dari tahun 632 – 634 Masihi dan amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq yang bermaksud yang membenarkan risalah.

Abu Bakar merupakan antara sahabat Nabi yang paling rapat sekali dengan Baginda. Semasa Nabi berhijrah daripada Mekah ke Madinah, beliaulah yang menemani Baginda. Hubungan ini makin erat apabila Nabi mengahwini anak perempuannya Siti Aisyah. Abu Bakar merupakan seorang yang kara raya dan seringkali menggunakan kekayaannya itu bagi membebaskan hamba-hamba sahaya yang Islam daripada tuan mereka yang kafir, antaranya Bilal bin Rabah. Beliau meninggal dunia pada tahun 634 masihi bersamaan 27 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah.

Antara ciri-ciri unggul yang terdapat Syaidina Abu Bakar ialah beliau bersifat pemurah demi perjuangan Islam. Sifat ini terserlah semasa tentera Islam menghadapi tentera Rom semasa berlaku perang Tabuk pada tahun ke-9 Hijrah. Jauhnya Tabuk ke Madinah adalah lebih kurang 692 kilometer. Perjalanan yang jauh ini memerlukan persiapan yang mantap di kalangan tentera-tentera Islam. Bagi tujuan ini Abu Bakar mendermakan seluruh harta bendanya bagi perjuangan Islam dan semasa ditanya Nabi berkaitan dengan apa yang ditinggalkannya untuk keluarganya, beliau menjawab, “Allah dan Rasul”.

Sifat unggul yang kedua adalah keimanan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi sehingga tidak wujud ruang keraguan didalam hatinya terhadap islam yang dibawa oleh Nabi. Peristiwa yang menyerlahkan kehebatan iman Abu Bakar adalah semasa peristiwa Israk dan Mikraj, dimana beliau berkata “Aku tetap mengakui kebenarannya kerana ia merupakan perkhabaran daripada langit yang berlangsung sepanjang pagi dan petang. Kenapa pula aku perlu menolaknya sedangkan beliau (Nabi) memang dating dari Baitul Maqaddis.” Kerana sifat beliau inilah beliau mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud “Yang membenarkan risalah”

Justeru Iman dan keyakinan yang mendalam merupakan asas kejayaan dan apabila disusuli dengan pengorbanan harta benda, ia adalah kehebatan tanpa tandingan.

Rabu, 21 Juli 2010

Pengenalan – 10 Orang Sahabat Yang Di Jamin Syurga

Asalamualaikum wbt

Insyallah, topik baru yang akan saya perkenalkan didalam blog ini adalah mengenai 10 orang sahabat yang dijamin syurga yang dipetik dari buku Minda Muslim Super oleh Dr. Danial Zainal Abidin.

Walaubagaimanapun kita janganlah tersalah anggap bahawa daripada kalangan sahabat Rasulullah hanya sepuluh orang ini sahaja yang dijamin syurga sedangkan dalam hadis-hadis yang lain ada juga menyebutkan orang-orang selain daripada 10 diatas yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. Begitu juga dengan Firman Allah s.w.t mengenai ahli-ahli syurga. Cuma bezanya Rasulullah menyebut nama-nama mereka sekaligus.

Kebanyakan daripada kita hanya mengetahui nama siapakah 10 orang yang dimaksudkan diatas tetapi yang ingin saya sampaikan disini ialah ciri-ciri ringkas yang terdapat pada 10 orang sahabat tersebut. Mudah-mudahan dengan yang demikian akan dapat membantu kita mengenali mereka dengan lebih dekat dan berazam untuk sama-sama mengikuti jejak langkah mereka.


Hadis riwayat Tirmizi melalui sahabat Abdul Rahman bin Auf, Nabi berkata; “Abu Bakar adalah ahli syurga, Umar adalah ahli syurga, Usman adalah ahli syurga, Ali adalah ahli syurga, Thalhah adalah ahli syurga, Zubair adalah ahli syurga, Abdul Rahman Bin Auf adalah ahli syurga, Saad bin Abi Waqas adalah ahli syurga, Said bin Zaid adalah ahli syurga dan Abu Ubaidah bin Jarrah adalah ahli syurga.”

Hadis ini juga dilaporkan oleh Ibnu Majah melalui sahabat Said bin Zaid.

Semoga usaha ini diberkati Allah s.w.t

Perawi 34 - As-Sa'ab

As-Sa’ab, ialah ; As-Sa’ab bin Jasamah bin Qis Al-Laithi. Hidup pada zaman kenabian dan turut serta dalam pembukaan kota Parsi dan meninggal dunia pada tahun 25 Hijrah.

Sheikh Ali Ahmad Mullah

Asalamualaikum wbt.

Saya baru saja dimaklumkan bahawa usaha untuk membawa Sheikh Ali Ahmad Mullah, Ketua Muazzin Masjidil Haram ke Masjid Bandar Bukit Puchong pada hari sabtu ini tidak berjaya berikutan jadual beliau yang amat padat. Sebagai makluman kepada semua beliau akan berada di Masjid Negeri, Shah Alam untuk solat Jumaat pada hari Jumaat ini di sana dan akan menjadi Muazzin untuk solat Jumaat tersebut. Kepada sesiapa yang berkelapangan bolehlah pergi ke Masjid Negeri, Shah Alam pada hari Jumaat ini.

Beliau akan bertolak pulang ke Mekah pada hari isnin depan. Mudah-mudahan kita akan terus menerima tetamu daripada Masjidil Haram, insyallah.

Sekian, wasalam.

Ahmad Nizam Hashim

Nota ; masih teringat kenangan melayani kunjungan beliau ke Masjid Bandar Bukit Puchong.

Perawi 33 - ZAID

Zaid, ialah ; Zaid bin Arqam bin Zaid bin Qis Al-Khazraji Al-Ansari Al-Madani dan telah bersama-sama Rasulullah s.a.wmenyertai peperangan sebanyak 17 kali serta meriwayatkan 70 buah hadis. Beliau tinggal di Kufah dan meninggal dunia di sana pada tahun 56 Hijrah, ada pendapat mengatakan 68 Hijrah.

Minggu, 18 Juli 2010

Penutup - Sheikh Ali Ahmad Mullah


Saya bersama dengan Sheikh Ali Ahmad Mullah dan anaknya



Asalamualaikum wbt

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Allah swt kerana dengan izin-Nya dapat saya bertemu dengan salah seorang idola saya iaitu Sheikh Ali Ahmad Mullah. Belum tentu jika kita pergi ke Mekah, kita dapat bertemu, bersalam apatah lagi bergambar atau berbual dengan beliau tetapi saya dapat buat semua itu di Masjid Bandar Bukit Puchong, Selangor. Allah Hu Akbar.

Tiada kata-kata yang dapat saya ceritakan di sini, gambar saya bersama dengan beliau di atas sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya betapa gembiranya saya apabila dapat bersama-sama dengan beliau.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Sheikh Ali Ahmad Mullah yang telah sudi meluangkan masanya untuk bersama-sama dengan para jemaah Masjid Bandar Bukit Puchong. Mudah-mudahan Allah akan mempertemukan kami lagi, insyallah.

Sekian, wasalam.


Ahmad Nizam Hashim

Azan 2 Masjid Bandar Bukit Puchong 2 - Sheikh Ali Ahmad Mullah

Azan ke dua Solat Jumaat oleh Sheikh Ali Ahmad Mullah, Ketua Muazzin Masjidil Haram

Azan Pertama Solat Jumaat - Sheikh Ali Ahmad Mullah

Apabila azan dikumandangkan oleh beliau, fikiran saya terus melayang ke Masjidil Haram, terasa rindu untuk menjejakan kaki ke sana. Ada juga di kalangan jemaah yang menitiskan air mata.

Nota ; Saya tak sempat nak rakamkan azan ini daripada mula...mohon maaf

Video Azan Sheikh Ali Ahmad Mullah

Asalamualaikum wbt

Untuk makluman semua, saya sedang berusaha untuk upload video azan Sheikh Ali Ahmad Mullah, tetapi menghadapi sedikit masalah kerana bloggers hanya benarkan video saiz 100MB sedangkan rakaman yang saya buat adalah lebih 100 MB.

Insyallah, saya akan cuba upload kedalam youtube jika boleh.

Harap bersabar.

Ahmad Nizam Hashim

Sabtu, 17 Juli 2010

Sheikh Ali Ahmed Mullah - Foto 2

Lawatan Sheikh Ali Ahmed Mullah Ketua Muazzin Masjidl Haram Mekah ke Masjid Bandar Bukit Puchong Pada 16hb Julai 2010.



Sheikh Ali Ahmed Mullah sedang menyampaikan taklimat mengenai Masjidil Haram kepada para Jemaah dengan di terjemahkan oleh Yang Berbahagia Ustaz Baharuddin @ Nazri




Para jemaah yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Sheikh Ali Ahmed Mullah






Antara jemaah yang bergambar kenang-kenangan dengan Sheikh Ali Ahmed Mullah selepas solat Jumaat.



Sheikh Ali Ahmed Mullah - Photo 1

Sekitar lawatan Ketua Muazzin Masjidil Haram Mekah Sheikh Ali Ahmed Mullah ke Masjid Bandar Bukit Puchong untuk Solat Jumaat pada 16hb Julai 2010.



Antara gambar yang sempat saya rakamkan pada hari tersebut ;












Penyampaian cenderahati oleh Tuan Haji Saadon Hasan, Nazir Masjid Bandar Bukit Puchong kepada Sheikh Ali Ahmad Mullah



















Wilders Tubuh Perikatan anti-Islam





Utusan Malaysia Online 17hb Julai 2010 (Sabtu)


Wilders tubuh perikatan anti-Islam


THE HAGUE 16 Julai - Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders mahu menubuhkan sebuah perikatan antarabangsa bagi menyebarkan mesej anti-Islam di seluruh dunia Barat dalam usaha, antara lain bertujuan menyekat kemasukan pendatang dari negara-negara Islam.
Wilders memberitahu Associated Press (AP) semalam, beliau akan melancarkan gerakan itu pada akhir tahun ini, sebagai permulaan di lima negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada, Britain, Perancis dan Jerman.

"Mesej 'sekat Islam, pertahankan kebebasan' ialah mesej yang bukan sahaja penting bagi Belanda tetapi juga bagi seluruh dunia Barat yang bebas," kata Wilders dalam ucapan di Parlimen Belanda.


Antara matlamat perikatan itu ialah mengharamkan penghijrahan pendatang dari negara Islam ke Barat dan pengharaman pelaksanaan Syariah.


Bermula daripada peringkat akar umbi, gerakan itu diharapkan akan mempunyai anggota di kalangan ahli Parlimen atau dapat mempengaruhi ahli Parlimen lain, kata Wilders.
Seorang jurucakap bagi umat Islam Belanda, Ayhan Tonca berkata, beliau khuatir mesej Wilders itu akan mendapat sambutan di sebahagian besar Eropah, di mana sentimen anti-Islam semakin merebak sejak beberapa tahun ini.


"Selagi keadaan ekonomi teruk, kebanyakan orang akan memerlukan kambing hitam dan ketika ini, kambing hitamnya ialah umat Islam di Eropah Barat," kata Tonca.
Beliau menyeru 'penduduk yang berhati baik di Eropah supaya menentang gerakan itu'.
Dengan menyuarakan retorik anti-Islam, Wilders menyaksikan popularitinya di Belanda melonjak, sekalipun beliau mendapat perlindungan keselamatan 24 jam disebabkan ugutan bunuh.


Parti Kebebasan pimpinannya mendapat pertambahan kerusi terbanyak pada pilihan raya umum bulan lepas, menduduki tempat ketiga dengan 24 kerusi di dewan yang mempunyai 150 anggota, berbanding sembilan kerusi sebelum pilihan raya. - AP


Komen saya ; Mudah-mudahan Allah limpahkan hidayah kepadanya.

Kamis, 15 Juli 2010

Masjid Bandar Bukit Puchong





Asalamualaikum wbt


Saya telah dimaklumkan bahawa Muazzin 1 Masjidil Haram, Mekah iaitu Sheikh Ali Mullah berada di Malaysia dan akan berada di Masjid Bandar Bukit Puchong esok ( 16hb Julai 2010 ) bagi solat Jumaat. Beliau juga akan melaungkan azan bagi Solat Jumaat pada esok hari.


Oleh yang demikian kepada mereka yang berada di sekitar Puchong esok bolehlah datang ke Masjid Bandar bukit Puchong untuk solat Jumaat.

Penutup - Adab Dan Kepentingan Berdoa



Asalamualaikum wbt


Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya maka topik Adab dan Kepentingan Berdoa dapat kita habiskan. Walaubagaimanapun ingin saya tekankan disini bahawa apa yang saya paparkan hanyalah secebis dari rahsia Doa. Maka saya menyeru kepada diri saya dan juga para pembaca sekalian, supaya kita sama-sama mencari ilmu berhubung dengan bab doa ini samada melalui pembacaan atau dengan menghadiri kuliah-kuliah agama supaya kita dapat memahami dan menghayati apa yang tersurat dan tersirat di sebalik doa.


Mudah-mudahan dengan apa yang dipaparkan dan yang disampaikan akan dikira sebagai amal kebajikan di sisi Allah. Seandainya ada salah dan silap, saya memohon kemaafan dan diharapkan agar para pembaca sekalian sudi untuk memberikan teguran atau nasihat.


Sekian, wasalam.


Ahmad Nizam Hashim




Rabu, 14 Juli 2010

Doa Orang Yang Tidak DiMakbulkan




DOA ORANG YANG TIDAK DIMAKBULKAN

Seorang ulama terkemuka iaitu Ibrahim bin Adham pernah di tanya oleh penduduk Basrah sebab doa penduduk negeri itu bagaikan tidak dimakbulkan. Beliau menjawab ada 10 sebab mengapa doa seseorang itu tidak dimakbulkan. Antaranya adalah seperti berikut ;

1. Kamu mengaku mengenali Allah tetapi kamu tidak memenuhi hak-Nya.( mengikut segala yang disuruh serta meninggalkan segala yang dilarang)


2. Kamu mengaku mencintai Rasulullah tetapi kamu tidak mengikut sunnahnya.


3. Kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak mengamalkan segala isi kandungannya.


4. Kamu mengaku bahawa syaitan musuh kamu tetapi kamu patuh kepadanya.


5. Kamu berdoa supaya dijauhi api neraka tetapi kamu mendekatinya dengan selalu berbuat maksiat.


6. Kamu berdoa supaya dimasukkan kedalam syurga tetapi kamu tidak berusaha untuknya.


7. Kamu tahu bahawa kematian itu pasti tetapi kamu tidak bersiap sedia untuknya.


8. Kamu selalu membuka keaiban saudara kamu tetapi kamu tidak melihat keaiban diri kamu

sendiri


9. Kamu memakan rezeki dan nikmat Allah tetapi kamu tidak mahu mensyukurinya.


10 Kamu mengebumikan orang yang meninggal dunia tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.

Perawi 32 - ADI

Adi, ialah ; Adi bin Hatim bin Abdullah At-Tha’i. Merupakan pemimpin Bani Tha’I semasa Islam dan jahiliyah. Beliau bersama-sama dalam peperangan menentang golongan murtad, beliau juga telah menyaksikan pembukaan kota Iraq dan tinggal di Kufah serta meriwayatkan sebanyak 66 buah hadis. Umur beliau agak lanjut, lebih dari 100 tahun dan meninggal dunia pada tahun 68 Hijrah.

Senin, 12 Juli 2010

Tempat Mustajab Doa




Tempat Mustajab Berdoa

1. Di dalam Kaabah


2. Di sisi Multazam


3. Di makam Nabi Ibrahim


4. Di Telaga Zam-zam


5. Di Bukit Safa’ dan Marwah


6. Di Raudhah Masjid Nabawi


7. Di tempat wajib haji seperti di Arafah, Muzdalifah, Mina dan di tiga-tiga Jamrah

Perawi 31 - Ali bin Abi Talib

Ali, ialah; Saidina Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib Al-Hasyimi Al-Quraisy Al-Makki; Abu Al-Hasan, Khulafa Ar-Rasyidin yang ke-4. Beliau adalah sepupu Rasulullah dan juga merupakan salah seorang yang dijanjikan menjadi ahli syurga. Orang yang mula-mula memeluk Islam selepas Saidina Khadijah r.anha. Dilahirkan di Mekah pada tahun 23 sebelum Hijrah dan mendapat tarbiyah secara langsung dari Rasulullah s.a.w. Beliau banyak menyertai peperangan bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, dan telah meriwayatkan sebanyak 286 buah hadis. Beliau telah shahid pada tahun 40 Hijrah dan dikafankan di Kufah ada pendapat menyatakan di Bilad Tha’1.

Sabtu, 10 Juli 2010

Hari Mustajab Doa



Hari Mustajab Doa


1. Hari dan malam Jumaat

2. Hari Arafah


3. Hari dan malam raya ei’dul fitri dan ei’dul adha


4. Malam Lailatul Qadar


5. Malam Nisfu Syaaban


6. Awal malam bulan Rejab


7. Malam Israk dan Mikraj

Perawi 30 - Umar Al Khattab

Umar, ialah; Sayidina Umar Bin Al-Khattab bin Nufail Al-Qurasyi Al-Adawi. Khulafa Ar-Rasyidin yang ke-2, dan merupakan salah seorang yang dijanjikan syurga, juga merupakan orang pertama menggunakan gelaran Amirul Mukminin. Beliau dilahirkan pada tahun ke-40 sebelum Hijrah. Di zaman jahiliyah, beliau merupakan seorang pahlawan Quraisy yang gagah berani. Beliau telah memeluk Islam 5 tahun sebelum Hijrah. Ibnu Mas’ud r.a berkata “Kami tidak berani menunaikan solat disekitar Kaabah hinggalah Umar memeluk Islam.” Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 13 Hijrah pada hari kewafatan Saidina Abu Bakar r.a dan telah meriwayatkan sebanyak 527 buah hadis. Beliau ditikam ketika menunaikan solat subuh oleh Abu Lu’Lu’ Fairuz Al-Majusi laknatullah dan meninggal dunia 3 hari kemudian, iaitu pada tahun 23 Hijrah.

Jumat, 09 Juli 2010

Waktu Mustajab Doa




Waktu Mustajab Doa

1. Selepas Azan


2. Antara Iqamah dan solat


3. Antara dua khutbah Solat Jumaat


4. Waktu sahur


5. 1/3 malam


6. Waktu hujan mulai turun


7. Ditengah medan peperangan


8. Semasa melihat Kaabah


9. Ketika tawaf dan saie


10. Selepas setiap kali mendirikan solat


11. Ketika berpuasa wajib atau sunat


12. Semasa di dalam kesusahan serta penderitaan


13. Selepas membaca Al-Quran


14. Waktu hampir berbuka puasa


15. Semasa meminum air zam-zam


16. Ketika waktu subuh


17. Semasa berkumpul dimajlis zikir.


18. Semasa bermusafir

Perawi 29 - Hakim

Hakim ialah ; Hakim bin Hizam bin Khuwailid Al-Qurasyi Al-Asadi Al-Makki, merupakan anak saudara Sayyadatina Khadijah Ummul Mukminin. Di lahirkan di Mekah 13 tahun sebelum tahun gajah. Beliau hidup di dalam dua zaman, iaitu 60 tahun di zaman jahiliah dan 60 tahun lagi di zaman Islam. Beliau memeluk Islam pada pembukaan kota Mekah dan telah meriwayatkan sebanyak 40 buah hadis dan meninggal dunia di Madinah pada tahun 54 Hijrah.

Kamis, 08 Juli 2010

Doa Orang-orang Yang Cepat Dimakbulkan




DOA ORANG-ORANG YANG CEPAT DIMAKBULKAN


1.Doa mereka yang dizalimi


2.Doa orang tua dan kanak-kanak


3.Doa ibubapa kepada anak-anaknya


4.Doa anak yang patuh kepada kedua ibubapanya


5.Doa orang soleh dan bertaqwa.


6.Doa orang musafir (musafir yang diharuskan syarak)


7.Doa orang yang berpuasa (ketika hendak berbuka)


8.Doa orang yang sakit dan orang yang didalam kesusahan.


9.Doa para maklaikat


10.Doa para Rasul dan Nabi


11.Doa Raja atau pemerintah yang adil.

Perawi 28 - Ibnu Mas'ud

Ibnu Mas’ud ialah ; Abdullah bin Mas’ud bin Ghafil bin Habib. Ibunya bernama Ummu Abdun binti Abdu Waddu, beragama Islam dan berhijrah. Ibnu Masud r.a telah memeluk Islam, iaitu ketika pengislaman Said Bin Zaid r.a dan beliau merupakan orang yang pertama membaca Al-Quran dengan suara yang nyaring di Mekah. Beliau telah meriwayatkan 848 buah hadis dan meninggal dunia di Madinah pada tahun 32 Hijrah, ketika berumur 60 tahun.

Rabu, 07 Juli 2010

Biografi Ringkas Abu Hurairah r.a



Biografi Ringkas Abu Hurairah r.a

Abu Hurairah r.a merupakan salah seorang sahabat yang banyak menghafal hadis, beliau telah dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat. Abu Hurairah berasal daripada kabilah al-Dusi, iaitu satu suku kaum yang tinggal di Yaman. Beliau juga merupakan seorang anak yang telah kehilangan bapanya semenjak beliau kecil.

Ketika dilahirkan beliau telah diberi nama Abdusy Syams iaitu hamba matahari, ini adalah kerana kaumnya merupakan mereka yang menyembah matahari. Apabila beliau memeluk Islam, Rasulullah s.a.w telah menukar nama beliau kepada Abdur Rahman Bin Sakhr. Beliau telah pergi ke Madinah bersama-sama dengan Tufail Bin Amru pada tahun ke 7 Hijrah bagi bertemu dengan Rasulullah s.a.w untuk menyatakan keislamannya.

Walaubagaimana pun beliau lebih dikenali dengan nama Abu Hurairah, ini adalah kerana sifat beliau yang menyayangi kucing. Pernah diriwayatkan pada suatu masa Rasulullah s.a.w ternampak ada sesuatu yang bergerak-gerak di dalam lengan baju Abu Hurairah, lalu Baginda bertanya kepadanya apakah yang bergerak-gerak di dalam lengan bajunya, rupa-rupanya terdapat anak kucing di dalam lengan bajunya. Sejak dari peristiwa tersebutlah beliau mendapat gelaran Abu Hurairah iaitu bapa kucing.

Semasa permulaan Islamnya, beliau telah menghadapi ujian dari Allah s.w.t dimana ibu yang dikasihinya masih kekal di dalam kepercayaan lamanya malah menghina dan mencaci Rasulullah s.a.w. Oleh kerana beliau terlalu sayang kepada ibunya, Abu Hurairah telah mengadu kepada Rasulullah akan perkara ini dan Baginda telah berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ibu Abu Hurairah, berkat doa baginda ibu Abu Hurairah telah memeluk Islam.

Beliau banyak memberi sumbangan kepada Islam dan telah meriwayatkan sebanyak 5,374 buah hadis. Hadis dari beliau yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim adalah sebanyak 325 buah hadis. Beliau telah meninggal dunia pada 57 atau 59 Hijrah ketika berumur 78 tahun dan kematian beliau diibaratkan sebagai kehilangan sebutir permata yang amat berharga. Semoga Allah merahmati beliau.

Selasa, 06 Juli 2010

Adab-Adab Dalam Berdoa






ADAB-ADAB DI DALAM BERDOA


1. Menjauhkan diri daripada segala yang haram pada makanan,minuman atau pakaian.

2. Solat 2 rakaat sebelum berdoa

3. Mengadap Qiblat (jika seorang diri)

4. Mengirikan Qiblat bagi imam

5. Menghadap kumpulan (Jika membuat bulatan)

6. Dimulakan dengan Bismillah

7. Merendahkan suara dan mengakui segala kesalahan diri sebelum berdoa.

8. Ikhlas, khusyuk dan tawaduk

9. Berdoa dengan bersungguh-sungguh dan memahami isi kandungan doa.

10. Menangis serta menitiskan air mata ketika berdoa.

11. Berwuduk serta bersih dari segala hadas.

12. Mengucapkan amin selepas berdoa

13. Mendahulukan doa untuk diri sendiri sebelum orang lain.

14. Membacakan doa untuk muslimin dan muslimat samada yang hidup atau yang telah mati dengan perkataan kami.

15. Duduk berlutut serta tunduk.

16. Berdoa untuk ibubapa

17. Sepenuh hati dengan harapan doa dimakbulkan serta tidak jemu untuk berdoa.

18. Mintalah semua hajat dan keperluan kepada Allah s.w.t dan ulangi 3 kali untuk hajat yang amat diperlukan.

Perawi 27 - Samurah

Samurah, ialah; Samurah bin Jundub bin Hilal. Bapanya meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil dan beliau telah bersama ibunya di Madinah. Ada pendapat menyatakan Rasulullah s.a.w telah mengharuskan beliau menyertai peperangan Uhud dan telah menyertai banyak peperangan bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, dan telah meriwayatkan sebanyak 123 buah hadis. Beliau menetap di Basrah dan meninggal dunia di sana pada tahun 59 atau 58 Hijrah.

Senin, 05 Juli 2010

Bahasa Dalam Berdoa


BAHASA DALAM BERDOA


Sebagaimana seperti yang diterangkan sebelum ini, salah satu daripada syarat untuk doa dimakbulkan ialah dengan mengetahui erti dan maksud doa yang dipohon. Oleh yang demikian kita boleh menggunakan apa jua bahasa untuk berdoa. Namun sebaik-baik bahasa yang digunakan adalah bahasa Arab kerana ;

1. Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab maka adalah lebih baik jika dapat menggunakan bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran.

2. Doa-doa yang diajarkan oleh Nabi juga di dalam bahasa Arab.

3. Kandungan bahasa Al-Quran adalah sangat luas maksudnya dari segala bahasa yang ada di dunia.

Perawi 26 - Usamah

Usamah ialah; Usamah bin Zaid bin Harithah, merupakan wakil Rasulullah s.a.w. Ibunya bernama Ummu Aiman. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 128 buah hadis, merupakan orang yang terkenal dan meninggal dunia di Madinah pada tahun 54 Hijrah.

Jumat, 02 Juli 2010

Berita Utusan Malaysia

257,000 sijil kelahiran tanpa bapa

IPOH 1 Julai – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, negara sedang berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan dari tahun 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa.
Titah baginda, berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, ini bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari.
Tambahnya, perangkaan dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 70,430 anak luar nikah didaftarkan iaitu 30,978 beragama Islam, Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395).
Baginda bertitah, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

“Nyatalah masalah anak luar nikah makin meningkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tong sampah semakin menjadi-jadi.

“Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Persidangan Ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.

Kamis, 01 Juli 2010

Kisah Syaidina Umar Al Khattab


Kisah Umar Al-Khattab

Dalam satu peristiwa sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w pernah melihat Umar menangis dan kemudian tertawa tanpa sebab yang jelas. Akhirnya ada yang berani bertanya, “Wahai pemimpin orang Islam, kenapa kamu menangis kemudian tersenyum tanpa sebab yang dapat kami fahami.”

Umar menceritakan, “Dahulu aku dan orang-orang Quraisy sangat membenci anak perempuan. Ketika aku mendapat perkhabaran anak perempuan, daripada saat kelahirannya lagi kebencian ku sudah bermula. Aku pendam rasa benci itu, aku sabar sampailah umurnya enam tahun, aku sudah tidak tahan lagi, aku membawanya ke padang pasir dan aku gali lubang. Dia menyangka aku membawanya berkelah dan bermain-main, dia turut sama membantuku menggali lubang. Apabila lubang telah siap, aku menolak dia ke dalam lubang dan aku mula menimbusnya dengan pasir. Anakku masih belum tahu niat ku, masih ingat aku sedang bermain-main dengannya, dia tolong mengibaskan pasir-pasir daripada janggut dan pakaian ku, tetapi akhirnya aku menimbusnya hidup-hidup tanpa ada perasaan belas kasihan kepada anak ku sendiri. Inilah kehidupan kami sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w, kami memuliakan anak lelaki dan menghina anak perempuan bahkan kami membunuh mereka hidup-hidup. Maha Besar Allah, Maha Baik Allah yang telah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w yang meletakkan perempuan ditempat yang mulia. Marilah kita bersyukur di atas nikmat ini. Itulah rahsianya, apabila aku teringat kisah ini aku akan menangis.”

Umar berkata lagi,”Berkenaan mengapa aku tersenyum, pada suatu hari aku keluar dari Bandar Mekah. Apabila keluar dari Mekah, biasanya kami membawa batu, tetapi aku ada membawa kurma, aku membuat berhala dari kurma yang aku bawa dan aku sembah kurma itu. Apabila makanan aku habis, mulalah aku makan tuhan aku itu sedikit demi sedikit. Apabila aku teringat kisah ini aku ketawa sendirian.”

Doa Yang Di Makbulkan



Antara Syarat-Syarat Untuk Doa Dimakbulkan


1. Mengetahui Erti Dan Maksud Doa

Adalah penting untuk kita mengetahui erti dan maksud doa yang kita panjatkan kepada Allah s.w.t, kerana Allah swt telah berfirman di dalam Al-Quran pada surah Hud ayat 46;
“Maka janganlah kamu meminta kepada Ku, apa yang kamu tidak mengerti, sesungguhnya Aku memberi nasihat kepadamu, supaya kamu tidak termasuk kedalam golongan orang-orang yang bodoh”


2. Berdoa Dengan Bersungguh-sungguh

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Ankabut ayat 69 ;
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

3. Memenuhi Penyebab Untuk Makbulnya Doa Itu (berusaha)

Maksud syarat ini adalah untuk mengajak kita berusaha dengan bersungguh-sungguh setelah kita berdoa. Contohnya sekiranya kita berdoa untuk menjadi pandai maka kita perlu belajar dengan bersungguh-sungguh.


4. Berdoa Dengan Khusyuk Dan Yakin Bahawa Doa Akan di Makbulkan

Iaitu berdoa dengan penuh perasaan serta merendah diri kepada Allah s.w.t serta yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa kita.
Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-A’raaf, ayat 55 ;
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan dengan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”


5. Bertaqwa Kepada Allah

Merupakan syarat yang paling asas iaitu dengan melakukan apa yang Allah perintahkan dan meninggalkan apa yang Allah larang. Sebagaimana dengan firman Allah di dalam surah Al-Maidah; ayat 27

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putra Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan Qurban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa".


6. Menjauhkan Diri Dari Larangan Allah

Sama seperti syarat di atas, bagi memastikan doa kita dimakbulkan Allah kita bukan sahaja ditegah daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah malah turut menjauhinya.


7. Berdoa dengan Ikhlas

Berdoa semata-mata kerana Allah dengan tidak ada perantaraan lain.


8. Tidak Meminta Perkara Yang Mustahil, Buruk Dan Perkara Yang Berdosa, Memutuskan Silaturrahim Serta Tidak Minta Untuk Cepat Dikabulkan.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda yang bermaksud ; “Tetap akan dikabulkan doa seorang hamba selama mana ia tidak meminta sesuatu yang jahat atau mendatangkan dosa atau memutuskan silaturrahim, selama ia tidak meminta cepat terkabul. Lalu Rasulullah ditanya; “Apa maksud minta cepat terkabul itu ? Baginda menjawab; “Seperti orang berkata, aku sudah berdoa dan berdoa lagi, tetapi tidak juga terkabul, kemudia ia rasa menyesal dan tidak mahu berdoa lagi”.

Perawi 25 - Al Barra'

Al-Barra’ Bin Azib, ialah ; Al-Barra’ bin Azib bin Al-Harith Al-Khazraji Al-Ansari, Abu Umarah. Ibunya bernama Ummu Habibah binti Abi Habibah, dan telah memeluk Islam ketika masih kecil lagi. Beliau berperang bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w sebanyak 15 kali, dan telah meriwayatkan 305 buah hadis. Meninggal dunia di Kufah pada tahun 71 Hijrah.