Senin, 30 Mei 2011

13. Kitab-kitab Hadis Dan Tingkatannya

13.Kitab-kitab Hadis Dan Tingkatannya ;

Kitab-kitab Hadis yang biasa disebut di dalam mengemukakan alasan untuk menentukan sesuatu hukum agama itu terdapat banyak sekali, tetapi yang masyhur di antaranya ialah Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Jami’ Tirmizi, Shahih Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Khuzaimah, Al-Muwaththa’ Malik, Sunan Abu Daud, Sunan Ibnu Majah, Sunan Nasa’I, Sunan Baihaqi, Al-Mustadrak Hakim, Musnan Ahmad, Al-Mu’jam Thabrani (terdiri daripada Shaghir, Awsath dan Kabir) dan Shahih Ibnu ‘Awanah.

Dari huraian di atas dapat kita ketahui bahawa di antaranya ada yang disebut Musnad, Sunan atau tidak menggunakan kedua-dua kata tersebut.



Perbezaan di antara Musnad dan Sunan adalah seperti berikut ;

Pertama ; Musnad ertinya yang disandarkan sebagaimana yang telah kita ketahui hurainya pada nombor 7. Apa yang dikatakan sebagai Musnad Ahmad misalnya, ialah Hadis-hadis yang dikumpulkan oleh Imam Ahmad bin Hambal, sedang cara pengumpulannya ialah tiap-tiap Hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat adalah secara berurutan. Misalnya sahabat Ibnu Abbas, lalu Ibnu Umar, Aisyah, Abu Hurairah dan semikian seterusnya.

Oleh kerana itu Kitab Hadis yang bernama Musnad, fasal-fasalnya tidak berurutan seperti kitab Fekah, umpamanya mengenai thaharah dahulu, diikuti dengan bab solat, bab zakat, bab puasa, bab haji, muamalat dan lain-lain, serta diteruskan dengan bab munakahat, jenayah dan lain-lain. Bab-bab di dalam Musnad itu adalah mengenai perihal rawi-rawinya yang diutamakan, maka didalamnya terdapat fasal Aisyah, fasal Abdullah bin Umar, fasal Abu Hurairah, fasal Abdullah bin Abbas dan seterusnya bermula dengan rawi yang terbanyak meriwayatkan Hadis sampai yang paling sedikit.

Kedua ; Sunan adalah kitab-kitab Hadis yang mana bab-bab yang terdapat didalamnya adalah secara berurutan mengikut fasal-fasal yang berhubungan dengan Fekah seperti Thaharah, Mu’amalat, Munakahat, Jinayah (jenayah) dan lain-lain.

Terdapat juga kitab Hadis yang tidak disebut sebagai musnad ataupun sunan, maka cara fasal-fasal disusun adalah berbeza-beza, ada yang menyerupai musnad dan ada pula yang menyerupai sunan.

Sebagai makluman, diantara semua kitab-kitab yang masyhur di atas, yang lazim dinamakan ‘Ummahatu kutubil Hadis’ atau ‘Induk kitab-kitab Hadis’, maka yang boleh dijamin untuk dijadikan pegangan atau pedoman dalam menentukan sesuatu hukum adalah Shahih Bukhari dan kemudian Shahih Muslim (sebagai makluman, penentuan hukum yang paling utama adalah berdasarkan kepada Al-Quran kemudian barulah kepada Hadis, Cuma apabila kita membincangkan mengenai Hadis maka penentuan hukum melalui Al-Quran dan lain-lain tidak dibincangkan di dalam bab ini) sebab didalam kedua-dua kitab ini, semua Hadis-hadis yang terkandung didalamnya sudah diteliti perihal keshahihannya oleh para ahli Hadis. Adapun yang lain-lain adalah bercampur-baur dengan berbagai taraf Hadis.

Kamis, 26 Mei 2011

Semak Arah Qiblat




ISTIWA MATAHARI DI ATAS KAABAH

Assalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian. Kali ini saya ingin berkongsi maklumat dengan para pembaca sekalian. Sebagai makluman Fenomena Istiwa Matahari ialah satu fenomena di mana matahari akan berada tegak di atas Kaabah. Justeru itu, pada masa inilah waktu yang paling sesuai buat kita semua untuk menyemak semula arah Qiblat masjid, surau, rumah atau pejabat kita.

Caranya mudah sahaja, ambil sebatang kayu atau apa-apa yang lurus kemudian letakkan di atas kawasan yang rata dan tunggu sehingga tiba masanya fenomena ini berlaku. Bayang yang terhasil daripada kayu pada waktu tersebut menunjukkan arah Qiblat.

Fenomena ini berlaku 2 kali setahun iaitu pada 28hb Mei pada jam 5.16 pm dan pada 16hb Julai pada jam 5.28 pm.

Selamat mencuba...

Wasalam.

Selasa, 24 Mei 2011

Serangan Asid : Gunakan Air dan Serbuk Penaik Untuk Kurangkan Kesan

KUALA LUMPUR 24 Mei - Beberapa siri insiden serangan asid di Lembah Klang baru-baru ini jelas menimbulkan ketakutan di kalangan orang awam, terutamanya kaum wanita.

Sehingga kini, sejumlah 23 kes dilaporkan sejak Mac namun orang yang bertanggungjawab masih bebas lepas.

Namun, seorang pakar kimia Prof Dr Zainudin Arifin berkata, orang ramai tidak seharusnya berasa cemas dan terancam dengan insiden berkenaan.

“Mereka seharusnya keluar dan pergi bekerja seperti biasa, dan pada masa sama mereka hendaklah mengambil tindakan dan langkah keselamatan. Kesan akibat simbahan asid boleh dikurangkan jika mereka tahu apa yang hendak dilakukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi mencegah kesan penghakisan teruk dan kecacatan kekal pada kulit, Zainudin daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya menasihatkan kaum wanita supaya membawa sebotol air dalam beg tangan mereka dan menggunakannya untuk mencuci simbahan asid jika kejadian seumpamanya berlaku kerana air adalah bahan pelarut mudah mencairkan kimia.

“Cuci bahagian badan dan bersihkan simbahan asid dengan menggunakan sebanyak air yang mungkin kerana masa amat kritikal ketika ini. Jika anda melengahkan pencucian asid itu, kesan lebih buruk dan menakutkan akan berlaku.

“Dapatkan sebanyak air dan berada di dalam aliran air sekurang-kurangnya 15 minit, lebih baik jika dapat 30 minit, kemudian tukar pakaian dan hanya selepas itu anda dapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, jika serbuk penaik, sodium bikarbonat boleh diperoleh, mangsa simbahan asid boleh mencampurkannya dengan air dan meletakkan di kawasan yang terkena simbahan asid bagi meneutralkan kesan asid berkenaan.

“Dan jika dalam paling teruk di mana tiada air boleh diperoleh, lap kawasan yang terkena simbahan asid dengan sebersih-bersihnya,” kata beliau.

Beliau juga mencadangkan kaum wanita menggunakan alat pelindung keselamatan seperti kaca mata besar.

Mengenai insiden simbahan asid yang berlaku di sekitar Lembah Klang ini, Zainuddin percaya bahan yang digunakan dalam serangan berkenaan bukan larutan beralkali seperti yang dilaporkan tetapi adalah asid cair.

Katanya terdapat empat jenis asid yang lazimnya mudah diperoleh di pasaran iaitu asid formik, asid hidroklorik, asid sulfurik dan asid nitrik.

Beliau berpendapat bahawa cadangan kerajaan untuk mengawal jualan asid di pasaran tidak sesuai dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

“Jika ada seorang yang lemas, adakah kita akan melarang semua orang daripada berenang? soalnya.

Beliau berkata, cadangan ini juga tidak membantu memandangkan asid merupakan bahan penting bagi kebanyakan industri pembuatan dan pertanian.

Asid boleh diperoleh dengan mudah di kedai-kedai menjual alat perkakasan dan ia juga digunakan untuk tujuan pembersihan.

“Mengenai kegunaan asasnya, asid sangat berkesan sebagai agen bagi membersihkan kotoran.

“Dan sebagai negara perindustrian, kita menggunakan banyak asid terutamanya asid sulfurik, yang juga merupakan sejenis bahan yang paling banyak dikeluarkan dan bahan penghakis paling berkesan,” katanya.


--------------------------------------------------------------------------------

Senin, 23 Mei 2011

Ilmuan Islam - MALIK BIN NABI

MALIK BIN NABI

Malik Bin Nabi dilahirkan di kota Tabissah, Costantine, Timur Algeria pada tahun 1905. Kedua ibubapanya berbangsa Arab, beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat kepada agama Islam.

Beliau menerima pendidikan awal di sebuah sekolah tradisional atau madrasah di Perancis. Ketika beliau berusia 7 tahun, keluarganya telah diusir oleh penjajah ke Tripoli barat. Beliau menghabiskan zaman persekolahan menengahnya dengan membaca dan dalam masa yang sama belajar Bahasa Arab dari seorang guru yang bernama Abdul Majid.

Semasa masih bersekolah, beliau terpaksa berniaga kerana mahu menampung kekurangan keluarga. Ketika itulah beliau merasai kezaliman penjajah ke atas bangsanya.

Malik berjaya memperolehi biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah El-Djelis, Costantine selama 2 tahun. Kemudian beliau memperolehi ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dari sebuah politeknik di Paris. Beliau meneruskan kecemerlangan di dalam bidang akademik apabila berjaya memperolehi ijazah sarjana di dalam bidang yang sama.

Kegiatan Malik di dalam menyebar kesedaran politik telah dikesan oleh pihak penjajah Perancis, akibatnya bapanya yang bekerja dengan kerajaan dipecat dan keluarganya ditekan oleh penjajah. Malah beliau sendiri terpaksa menganggur kerana tidak mendapat pekerjaan akibat ditekan oleh penjajah. Akhirnya beliau berjaya mendapat pekerjaan sebagai wartawan di Harian ‘La Monde’. Hasil penulisan beliau banyak menyentuh mengenai masyarakat Algeria, dunia Arab dan Islam. Dunia penulisan menjadi dunia Malik. Selain menulis di dalam akhbar dan majalah, beliau turut menulis buku. Antara buku beliau yang terkenal adalah al-Zahirah al-Qur’aniyah yang telah berjaya membawa seorang sarjana Perancis memeluk Islam iaitu Dr. Ali Sulaiman Banua.

Kemudian pada tahun 1956, beliau telah berhijrah ke Kaherah,Mesir. Di sana beliau telah menerbitkan makalah bertajuk Al-Najdah al-Sya’b al-Jaza’iriy Yubad. Dengan bantuan seorang rakan bernama Abdul Sabur Syahid, buku-buku tulisan Malik diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Bermula daripada sinilah nama beliau dikenali ramai di negara-negara Arab. Bahkan beliau pernah diberi penghormatan menjadi Pengerusi Muktamar Islam di Kaherah.

Pada tahun 1963, Malik telah pulang ke negara asalnya (Algeria) semasa pemerintahan Huwairiy Bomedin dan dengan reputasinya, beliau telah dilantik ke jawatan Ketua Pengarah Pelajaran Peringkat Tinggi Algeria dan juga menjadi rektor Universiti Algeria.

Beliau dianggap oleh sesetengah pihak antara pemikir Muslim yang tersohor selepas perang dunia kedua, malah menandingi reputasi Muhammad Iqbal. Hasil tulisan beliau banyak menyentuh mengenai keadaan sosial umat Islam. Malik berpendapat kejatuhan kerajaan Al-Muwaheed di utara Afrika pada 1269 telah mengakibatkan tamadun Islam ketandusan idea. Keadaan umat Islam pada hari ini menyedihkan bukan kerana kegagalan Islam tetapi umat Islam dan kerajaan Islam yang meninggalkan ajaran Islam.

Beliau telah menunaikan haji pada tahun 1972 dan tidak sampai setahun kemudian beliau telah meninggal dunia pada usia 68 tahun.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat.

Senin, 16 Mei 2011

12.Cara Menyampaikan Yang Tidak Di Terima

12.Cara Menyampaikan Yang Tidak Di Terima

Manakala seorang rawi menyampaikan sesuatu Hadis dan ia berkata : “Dikatakan oleh Salim” , atau “diberitakan oleh Abdullah” atau ”Dikhabarkan oleh Aisyah”, atau “diceritakan oleh Amr”, atau “Umar berkata” atau “kuriwayatkan dari Abbas”, atau lain-lain ucapan yang senada dengan yang tersebut di atas, sedangkan perkataan “kepadaku” atau “kepada kami” tidak disebutkan, maka penyampaian yang sedemikian itu tidak dapat diterima atau dengan kata lain bahawa sanad yang semacam itu tidak boleh dianggap sah. Sebabnya ialah rawi tersebut tidak bertegas di dalam menyatakan bahawa ia sendiri yang menerima Hadis itu dari orang yang menyampaikan kepadanya dari rawi yang diatasnya. Jadi mungkin, rawi yang tidak mengikut sertakan kata-kata “kepada saya” atau “kepada kami” itu tidak menerima Hadis itu sendiri secara langsung, tetapi dari orang lain dan orang lain ini yang menyampaikan kepadanya. Dengan yang demikian dapat dianggap bahawa ada orang lain, seorang atau beberapa orang yang tidak disebutkan dan dengan sendirinya sanad yang sedemikian itu terputus. Oleh sebab itu tidak dapat diterima atau tidak sah sanad sebagaimana seperti yang disebutkan di atas.

Sabtu, 14 Mei 2011

HUJJATUL ISLAM - IMAM AL-GHAZALI

HUJJATUL ISLAM - IMAM AL-GHAZALI

Nama sebenarnya ialah Muhammad Bin Muhammad Bin Muhammad Bin Ahmad Al-Ghazali. Beliau lahir di Tusia Khurasan pada tahun 450 Hijrah/1058 Masihi. Ayahnya adalah seorang pemintal benang (al-ghazul) dan menjualnya di pasar Tusi. Oleh kerana ini beliau dinisabkan kepada Ghazali.

Pada permulaannya, beliau mempelajari Fekah di negerinya sendiri dengan Syeikh Ahmad Bin Muhammad Ar-Razikani. Setelah itu barulah beliau mengembara ke berbagai tempat untuk belajar dengan ulama-ulama yang terkenal pada zamannya dan di antaranya kepada Imam Al-Haramain dan setelah itu menjadi orang alim di dalam Mazhab As-Syafie. Al-Ghazali berangkat ke Al-Askar dan disitu beliau diangkat menjadi guru di Institusi Pengajian Tinggi Nizamiah.

Beliau telah mengerjakan haji pada tahun 488H dan setelah itu terus ke Palestin mengunjungi Batul Maqdis dan kemudian ke Damsyik dan menetap di Masjid Umawi di kota tersebut. Di suatu sudut sufat (serambi) masjid itulah Al-Ghazali menyusun kitab Ihya’ Ulumuddin yang terkenal ini.

Setelah puas di dalam pengembaraan pencarian ilmunya, Imam Al-Ghazali kembali ke kampung halamannya Tusia. Maka beliau telah mendirikan sebuah madrasah di samping rumahnya untuk ulama-ulama Fekah dan sebuah pondok untuk kaum sufi. Al-Ghazali membahagikan waktunya untuk membaca Al-Quran, membimbing kaum tasawuf dalam kerohanian, megajar ahli-ahli Fekah, mendirikan solat, zikir dan mengarang. Pembahagian waktu tersebut dijalaninya dengan penuh disiplin dengan mengendalikan nafsunya sehingga dia meninggal dunia pada 14 Jamaddil Akhir 505 Hijrah/1111 Masihi di Tusia.

Semoga Allah merahmati roh beliau, Al-Fatihah.

Rabu, 11 Mei 2011

11.Cara Menerima Hadis, Menyampaikan Dan Sifatnya

11. Cara Menerima Hadis, Menyampaikan Dan Sifatnya :

Para ahli Hadis yang meriwayatkan Hadis itu menggunakan cara yang berlainan untuk menerima serta meriwayatkan Hadis tersebut. Sebagai contohnya adalah seperti berikut ;

a. Mendengar daripada guru yang meriwayatkan Hadis, maksudnya ialah murid mendengarkan guru ketika membacakan sesuatu Hadis, lalu dihafal atau ditulis, kemudian dibacakan kepada gurunya tersebut.
b. Seseorang membacakan sebuah atau beberapa Hadis lalu ahli Hadis itu membenarkan yakni tidak menyalahkannya.
c. Dengan ijazah yakni seorang ahli Hadis berkata kepada yang lain, misalnya:”Hadis yang ku bacakan atau yang ku tulis itu anda boleh meriwayatkan daripada ku. Aku menerima Hadis itu dari A, A dari B, B dari C” dan seterusnya hingga sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w.
d. Seorang ahli Hadis menuliskan Hadis dalam sebuah kitab, kemuadia ia berkata kepada orang yang dipercayai olehnya :”Hadis-hadis yang ada dalam kitab itu, boleh anda riwayatkan daripadaku”

Empat kaedah di atas adalah cara yang tersohor di dalam menerima Hadis serta meriwayatkannya kepada orang lain. Adapun kata-kata yang lazim digunakan untuk meriwayatkan Hadis itupun berbeza-beza, umpamanya ;

a. Dengan kata Haddatsanaa “Umaru, ertinya; “Umar memberitahukan kepada kami”,atau; Akhbaranii Sahlun, ertinya;”Sahal mengkhabarkan kepada ku”
b. Dengan kata : Sami’tu atau Sami’naa, ertinya : “Aku mendengar”, atau : “Kami mendengar”, lalu dilanjutkan : “Aliyan yaquulu”, ertinya : “Ali berkata”.
c. Dengan kata-kata : Rawainaahu’an Saalimin, ertinya ; “Kami meriwayatkan Hadis itu daripada Salim”. Lalu diteruskan bahawa Salim dari A, A dari B, sehingga akhirnya Rasulullah s.a.w.
d. Atau dengan kata-kata lain yang menunjukkan bahawa rawi yakni yang meriwayatkan itu menerima Hadis yang dimaksudkan olehnya itu secara langsung dari orang yang ada di atasnya, misalnya : “Diucapkan oleh ‘Amir kepada saya’, dikhabarkan oleh ‘Usamah kepada saya’, “Dikatakan oleh Ibnu Abbas kepada saya”, “Diceritakan oleh “Aisyah kepada saya”, “Di bacakan oleh Zainab kepada saya” dan lain-lain lagi.

Perubahan kata-kata itu besar pengaruhnya terhadap perubahan tingkatan atau darjat sesuatu Hadis yang diriwayatkan. Oleh kerana itu rawi sesuatu Hadis wajiblah memiliki syarat-syarat yang diperlukan untuk dapatkan Hadis yang disampaikan itu berdarjat tinggi. Perihal sifat meriwayatkan sesuatu Hadis itu ada dua sifat, iaitu ;

a. Dengan ucapan sebagaimana yang didengarnya sendiri oleh rawi itu dari Nabi s.a.w tanpa mengubah, menambah atau menguranginya.
b. Dengan maksud dan ertinya saja, sedang lafaz dan ucapannya disusun sendiri oleh rawi atau orang yang meriwayatkan Hadis itu.

Ada juga rawi yang menceritakan perbuatan Rasulullah s.a.w ataupun taqrirnya terhadap perbuatan orang lain dengan lafaz atau ucapannya sendiri pula.

Sifat meriwayatkan Hadis sebagaimana yang tercantum di bahagian ;

a. Itu dinamakan Hadis menurut riwayat yakni dengan keaslian yang disabdakan oleh Nabi s.a.w., sedang yang tercantum dalam bahagian ,
b. Itu dinamakan Hadis menurut makna, yakni makna dari sabda Nabi s.a.w.

Oleh sebab itu seringkali kita menemui beberapa Hadis yang berlainan lafaznya antara yang diriwayatkan oleh A dengan yang diriwayatkan oleh B,C, dan sebagainya. Namun demikian maksud dan isinya adalah sama. Cara semacam itu tidak mengapa, asalkan terpelihara makna dan maksudnya, sesuai dengan tujuan yang dikehendaki oleh Nabi s.a.w

Jumat, 06 Mei 2011

Tajuk Baru ?

Asalamualaikum wbt.

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, mudah-mudahan anda serta keluarga anda sentiasa berada di dalam keadaaan sihat dan dirahmati Allah sentiasa.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana agak lewat membuat posting artikel-artikel baru di dalam blog ini. Ini adalah kerana buku-buku rujukan saya telah disusun semula oleh isteri dan anak-anak saya semasa ketiadaan saya, menyebabkan saya mengambil sedikit masa untuk mencari semula buku-buku tersebut dan di samping itu pada tahun ini juga saya agak sibuk dengan kerja dan antara sebab utama saya tidak dapat update blog saya adalah kerana, anak saya yang kecil sekali sudah pandai main komputer. Setiap kali saya buka komputer, dia pun sibuk juga suruh saya buka youtube nak tengok "funny animals" jadi macamana saya nak update blog.

Apapun saya sekarang tengah memikirkan tajuk baru untuk di ketengahkan ke dalam blog ini dalam sedikit masa lagi insyallah. Cadangnya mungkin selepas tajuk "Apa Itu Hadis" di selesaikan.

Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan kepada kita semua di dalam mencari ilmu dan memartabatkan ilmu di samping diletakkan kita di atas jalan yang diredhaiNya. Amin.

Sekian, wasalam.

Rabu, 04 Mei 2011

10.Kedudukan Hadis Dalam Islam

Kita semestinya talah mengetahui bahawa di dalam agama Islam terdapat lima (5) jenis hukum iaitu ;

a. Wajib atau fardhu
b. Sunnah atau sunat
c. Haram
d. Makruh
e. Mubah

Di dalam bab ini perkara ini tidak akan dikupas memandangkan ia mempunyai bidangnya yang sendiri iaitu usul fiqh. Apa yang cuba disampaikan disini adalah kedudukan Hadis di dalam menentukan hukum-hukum yang lima seperti di atas. Hadis atau sunnah Nabi s.a.w merupakan asas atau pokok pedoman yang kedua selepas Al-Quran. Ada juga di kalangan para ulama yang menyebutkan bahawa ada lagi asas Islam yang ketiga dan keempat iaitu ijma dan Qias.

Oleh sebab hadis merupakan asas untuk menentukan hukum, maka adalah penting sekali untuk mengetahui pemerinciannya, yang manakan yang benar-benar hadis dan dapat digunakan sebagai sumber hukum dan yang mana yang tidak dapat digunakan sebagai sumber rujukan hukum.

Manakala al-Quran sudah mantap dan tidak dapat berubah-ubah serta pasti dapat di andaikan dan dipercayai kebenarannya, ini adalah kerana Allah s.w.t sendiri telah memberi jaminan untuk menjadi pelindungnya sampai hari kiamat nanti dari tangan yang hendak mengotori kesuciannya, tetapi tidak sedemikian dengan hadis Nabi s.a.w. Banyak sekali manusia yang dengan sengaja mengotori, mengubah,menambah ataupun mengurangi dari keaslian hadis itu sendiri, bahkan ada yang mencipta ucapan yang keluar dari hawa nafsunya, lalu dikatakan kepada orang lain bahawa itu adalah sabda atau kelakuan ataupun taqrir Nabi s.a.w. Ini adalah manusia dajjal yang suka berdusta. Oleh sebab itu para alim ulama ahli hadis suatu ilmu yang dinamakan Musthalahul Hadis agar dapat dibezakan antara yang betul-betul hadis yang dapat dijadikan asas di dalam menentukan hukum dengan hadis yang palsu, lemah dan lain-lain lagi.