Jumat, 20 April 2012

Lepak Remaja - Program Masjid Bandar Bukit Puchong




Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian.  Saya ingin memaklumkan bahawa Masjid Bandar Bukit Puchong akan menganjurkan program Lepak Remaja seperti di butiran dibawah ;

Nama Program  : Lepak Remaja
Tempat              : Masjid Bandar Bukit Puchong
Tarikh               : 29hb April 2012
Hari                   : Ahad
Masa                 : 10.00 pagi - 12.00 Tgh
Peserta              : Remaja Lelaki & Perempuan berumur 9 - 17 tahun

Salah satu daripada objektif program ini adalah untuk mendekatkan remaja dengan Masjid.  Kepada anda yang berkelapangan jemput hadir ke program ini dan mohon di hebahkan. Terima kasih.

Jom ke Masjid

Warkah Nizam


Selasa, 17 April 2012

Ulasan Forum Bila Diri Di Sayangi

Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, sebagaimana seperti yang telah diketahui, pada 11hb April 2012 yang lepas Masjid Bandar Bukit Puchong telah menganjurkan Forum dengan tajuk "Bila Diri Di Sayangi" di mana ahli panel forum terdiri daripada Sham Kamikaze dan Ustaz Zulkifli Ahmad manakala saya sebagai moderator forum pada malam tersebut.

Ingin saya kongsikan bersama dengan para pembaca sekalian pengalaman saya pada malam tersebut. Rasanya ramai yang telah tahu bagaimana Sham Kamikaze boleh berhijrah dengan melihat kisahnya di Youtube tetapi apa yang saya hendak kongsikan disini adalah apabila saya ajukan soalan tentang cabaran yang dihadapinya selepas berhijrah.  Katanya memanglah ramai yang menyokong perubahan pada diri beliau terutamanya kaum keluarga dan sahabat handai tetapi ada juga yang memandang sinis dan mengejek beliau dengan pelbagai tohmahan.

Para pembaca yang saya kasihi sekalian, daripada kisah ini, ingin saya berpesan kepada diri saya dan juga para pembaca sekalian, hendaklah kita meletakkan diri kita sebagai seorang pendakwah dan janganlah kita meletakkan diri kita sebagai seorang penghukum.  Mengapa bila ada orang yang ingin berubah daripada kehidupannya yang negatif kepada yang positif maka akan ada saja suara-suara sumbang seperti "tak lama la tu", "ada hidden agenda" dan lain-lain lagi.  Janganlah kita menghukum mereka, biar siapa pun mereka, berilah mereka peluang dan sokongan serta doa semoga mereka dan juga kita sentiasa berada di atas jalan yang diredhai Allah, kan elok begitu daripada kita berperangsangka buruk terhadap mereka. Bukanlah bermakna kita membiarkan sahaja apa yang mereka lakukan malah sekiranya terdapat kesalahan, berilah nasihat dengan cara yang berhikmah dan penuh kasih sayang mudah-mudahan dengan nasihat kita tadi dapat memberikannya peluang untuk memperbaiki kesalahan yang telah dibuat.

Begitu juga dengan ahli agama atau jemaah masjid janganlah kita memandang dengan renungan yang tajam kepada mereka-mereka yang baru nak berjinak-jinak dengan masjid ataupun di majlis-majlis ilmu, raikanlah mereka jadikanlah mereka sebagai sebahagian daripada kita sebagaimana hadis Nabi s.a.w "setiap orang Islam itu bersaudara" maka kasihilah mereka sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri. Insyallah suatu masa nanti masjid-masjid akan penuh dengan manusia apabila mereka seronok dengan suasana persaudaraan di dalam Islam. Wallahualam.

Saya sertakan beberapa keping gambar pada malam tersebut ihsan dari sahabat saya untuk para pembaca sekalian kerana pada malam tersebut saya bertugas sebagai moderator jadi tak dapatlah nak ambil gambar.


 Ramai juga jemaah yang hadir

 Dari Kiri Sham Kamikaze, Ustaz Zulkifli dan saya


Antara muslimat yang hadir


Sekian, 
Warkah Nizam


Kamis, 12 April 2012

Amaran Tsunami

Panik gempa Aceh
Oleh Norfatimah Ahmad, Wan Faizal Ismayatim, Nur Fazlina Abd Rahim, Zanariah Abd Mutalib dan Nor Fariza Ramlan
bhnews@bharian.com.my
2012/04/12

Gempa bumi di Aceh, semalam, menyebabkan penduduk di beberapa negara merasai gegaran lari menyelamatkan diri

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan kejadian gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara, pada jam 4.38 petang semalam.

Kira-kira dua jam kemudian, penduduk turut dikejutkan dengan gempa susulan pada jam 6.43 petang yang berukuran 8.5 pada skala Richter.
Kedua-dua kejadian itu menyebabkan penduduk merasai gegaran berterusan hampir satu minit, dan gegaran lebih kuat dialami penduduk di Perlis, Langkawi, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Malah, penghuni bangunan tinggi dan hotel di sepanjang pantai peranginan di Batu Feringgi dan Pulau Langkawi diarah keluar dan berlindung di kawasan tanah tinggi berikutan kebimbangan berlaku tsunami.

Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dipindahkan ke wad pesakit luar, manakala di Hospital Selayang, Selangor yang turut merasai gegaran diminta supaya tidak panik dan ada yang mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar dari bangunan hospital berkenaan.

Majlis Keselamatan Negara Kedah mengarahkan semua penduduk di pesisir pantai Kedah terutama Langkawi dan Kuala Muda bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan), Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata setakat jam 10 malam tadi, nasihat supaya rakyat menjauhi kawasan pantai ditamatkan.
“Situasi yang semakin reda terutama di sekitar Indonesia membolehkan kita menarik balik nasihat itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebaik tsunami berlaku petang semalam, jabatan itu mengeluarkan nasihat berkenaan yang wajar dipatuhi bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Che Gayah berkata, hasil pemantauan yang dijalankan, ombak setinggi 0.3 meter dikesan berlaku di Sabang, Aceh iaitu susulan kejadian gempa bumi pertama dan menurun kepada hanya 0.06 meter selepas gempa susulan.

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di kawasan sama mengakibatkan tsunami mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Hassan Abd Rahman, berkata hanya dua hospital iaitu Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan merasai gegaran akibat gempa bumi, petang semalam.

“Pihak Hospital Selayang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa jika berlaku kebocoran gas, manakala di Hospital Tengku Ampuan Afzan pula, sebahagian pesakit dipindahkan ke wad pesakit luar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, berkata pihaknya menerima 83 panggilan di seluruh negara berhubung gegaran dialami.

Katanya, Pulau Pinang mencatatkan paling tinggi iaitu 35 panggilan diikuti masing-masing Kuala Lumpur dan Kedah iaitu 12 panggilan. Jentera bomba turut ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

“Kebanyakan panggilan diterima daripada mereka yang tinggal di bangunan tinggi. Semua anggota dan jentera bomba di seluruh negara kini diletakkan dalam berjaga-jaga,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke semua bangunan yang merasai gegaran sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, bermula jam 4.47 petang di Wangsa Maju.

Kamis, 05 April 2012

Forum ; Bila Diri Di Sayangi



Asalamualaikum wbt
Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Masjid Bandar Bukit Puchong akan mengadakan suatu Forum dengan tajuk Bila Diri Di Sayangi seperti butiran di bawah ;
Tarikh : 11hb April 2012
Hari : Rabu
Masa: Selepas Solat Maghrib
Tempat : Masjid Bandar Bukit Puchong
Ahli Panel terdiri daripada :
1. Ustaz Zulkifli Ahmad
2. Sham Kamikaze


Aturcara Majlis ;

7.00 ptg : Kehadiran Tetamu & Penceramah

7.25 ptg : Azan & Solat Maghrib

7.50 ptg : Ucapan alu-aluan

8.00 mlm : Forum bermula

10:00 mlm : Solat Isya’

10:30 mlm : Jamuan ringan (pot luck dialu-alukan)

11:00 mlm: Bersurai
 
 
Saya menjemput semua yang berkelapangan untuk hadir bersama keluarga ke Forum ini. Insyallah jumpa anda di Masjid.
Jom Kita Ke Masjid
Warkah Nizam

Selasa, 03 April 2012

Hidayah


Asalamualaikum wbt.

Ingin saya kongsikan sedikit pengalaman saya berjumpa dengan saudara baru secara "kebetulan" sebentar tadi. Nak kata baru pun tidaklah baru sangat,cuma beliau telah memeluk Islam sekitar 4 tahun yang lepas.

Apabila saya ajukan soalan kepadanya bagaimana beliau boleh tertarik untuk memeluk Islam, beliau mula bercerita ; pada mulanya beliau adalah seorang peniaga dan memiliki sebuah keluarga, tetapi entah bagaimana perniagaannya merosot teruk dan menghadapi masalah kewangan yang cukup besar. Ibarat sudah jatuh di timpa tangga, beliau menghadapi satu lagi masalah apabila isterinya pula meminta untuk diceraikan lantaran tidak sanggup lagi hidup bersamanya. Puas beliau memikirkan bagaimana untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut tetapi semuanya buntu dan sia-sia sahaja tambahan pula isterinya juga tiada di sisinya di waktu beliau sedang terkapai-kapai mencari arah tujuan.

Sudah ramai kawan yang ditemui dan sudah bermacam cadangan yang diberi dan dicubanya namun tidak juga berhasil sehinggalah pada suatu hari apabila beliau bertemu dengan seorang rakan Islamnya lalu beliau pun menceritakan masalah yang sedang dihadapinya kepada rakannya tadi dan rakannya menjawab "sudahkan awak berdoa dan mengadu kepada Allah?", lantas dengan fikiran yang bercelaru beliau menjawab "belum lagi, tetapi bolehkah saya memohon kepada Allah? sebab saya menyembah tokong" rakannya menjawab "kenapa tidak, tetapi awak mesti berdoa dengan bersungguh-sungguh!" jawab rakannya lagi. Di dalam kecelaruan dan ditambah dengan sudah pelbagai usaha yang telah dibuatnya namun masih tiada hasil apa salahnya beliau mencuba lantas beliau menjawab "baiklah saya cuba".

Setelah itu setiap hari beliau pun berdoa dan mengadu dengan bersungguh-sungguh kepada Allah akan masalah yang dihadapinya dan Alhamdulillah, doa beliau telah dimakbulkan Allah. Kemudian datang pula masalah yang lain dan beliau pun teringat akan pesan kawannya dan ditambah pula dengan pengalaman sendiri merasai nikmat "keajaiban doa" maka beliau pun berdoa lagi dan pada kali ini juga Allah mendengar doanya. Setelah dua kali doanya di terima dan dengan pengalaman ketenangan jiwa yang ditempuhinya semasa dan selepas berdoa kepada Allah telah menyebabkan beliau ingin mempelajari Islam dan akhirnya beliau telah menemui jalan yang benar dan sujud kepada Allah, Alhamdulillah.

Saya juga turut mengajukan soalan kepada beliau "Apakah pandangan beliau kepada orang Melayu dan Islam mereka pada masa sekarang?" dalam nada kecewa beliau menjawab kebanyakkan orang Melayu sekarang sudah tidak pentingkan lagi Islam mereka dengan tidak mendalami dan mempelajari agama Islam. Ramai yang ambil mudah tentang bab agama dan ramai yang mengejar dunia semata-mata. Amatlah malang katanya lagi sebab sepatutnya sebagai orang Melayu yang dilahirkan beragama Islam sepatutnya merekalah yang mengembangkan Islam dengan mempertontonkan akhlak yang terpuji kepada bukan Islam tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Lihatlah kisah dirinya, saya terpaksa membayar harga yang cukup mahal untuk mengenali dan memeluk Islam, saya telah kehilangan perniagaan dan juga isteri tercinta dan juga anak-anak untuk menjadi seorang Islam namun mengakui bahawa nikmat Islam itu memang mahal malah apa yang telah beliau hilang sebenarnya tidak dapat membayar nikmat Islam yang dikecapinya sekarang.

Begitulah serba sedikit pengalaman saya berjumpa dengan saudara baru kita. Mudah-mudahan kisah ini dapat di jadikan pengajaran dan sebenarnya saya juga terasa malu mendengar komen beliau tentang sikap orang-orang Melayu sekarang.

Seandainya ada salah dan silap daripada tulisan saya ini, saya mohon maaf.

Saya doakan agar kita semua termasuk isteri-isteri dan anak-anak kita serta seluruh keturunan kita menjadi hamba-hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Amin.

Sekian,
Warkah Nizam

Minggu, 01 April 2012

Masalah Teknikal

Asalamualaikum wbt

Ingin saya maklumkan di sini kepada para pembaca sekalian, terdapat masalah apabila membuka blog saya, dimana apabila anda klik kepada blog Warkah Nizam ia akan terus ke youtube dan saya sendiri tidak pasti mengapa ia menjadi begitu. Mungkin juga semasa saya membuat perubahan pada wajah blog saya menyebabkan berlaku masalah tersebut.

Insyallah saya cuba untuk atasi masalah ini walaupun saya sendiri tidak pasti samada dapat selesaikannya atau pun tidak.

Sekian, harap maklum.

Warkah Nizam