Jumat, 31 Agustus 2012

Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal



Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, bertemu kita lagi di halaman ini setelah hampir seminggu kita semua bercuti sempena dengan Hari Raya Fitrah dan pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai puasa sunat enam hari di dalam Bulan Syawal.


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran di panjatkan kepada Allah swt, kerana dengan izin-Nya, maka kita telah berjaya menunaikan kewajipan berpuasa di dalam bulan Ramadhan dan mudah-mudahan kita di pertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang, Amin

Sebagaimana seperti yang telah kita sedia maklum, sekarang ini kita telah pun berada di dalam bulan Syawal dan seperti biasa budaya masyarakat kita apabila setiap kali tibanya Syawal ialah budaya ziarah-menziarahi saudara mara, sahabat handai atau menghadiri majlis rumah terbuka sambil bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Mudah-mudahan budaya ini dapat diteruskan di dalam bulan-bulan yang lain dan begitu juga dengan budaya bermaaf-maafan bukan dikhususkan hanya di dalam bulan Syawal sahaja.

Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini dan yang masih berbaki hampir setengah bulan sahaja lagi marilah kita sama-sama mengambil peluang untuk menunaikan ibadah puasa sunat di dalam bulan Syawal. Sebagaimana di dalam beberapa hadis Nabi saw yang bermaksud ;

“Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun.”
 (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam satu hadis yang lain, Baginda Nabi saw turut bersabda yang bermaksud ;

"Barangsiapa berpuasa enam hari selepas hari raya Aidilfitri maka adalah dia mencukupi setahun. Barangsiapa mengerjakan satu kebajikan maka baginya sepuluh kali ganda." 

(Riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi, Ahmad dan lain-lain)

Bersandarkan kepada hadis-hadis di atas, sekiranya kita  mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari  di dalam bulan Syawal maka telah diibaratkan oleh Rasulullah saw bagaikan kita berpuasa sepanjang tahun. Ini kerana sebulan puasa di dalam bulan Ramadan itu menyamai dengan berpuasa sepuluh bulan atau 300 hari  dan puasa enam di dalam bulan Syawal pula menyamai dengan dua bulan atau 60 hari . Jika dicampurkan kesemuanya sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun kita berpuasa.  Begitulah pemurahnya Allah kepada para hamba-hamba-Nya.

Sebagaimana yang telah kita ketahui antara hikmah berpuasa di dalam bulan Ramadhan, puasa sunat enam hari didalam bulan Syawal juga turut mempunyai hikmah tersebut di samping daripada sudut kesihatan dimana setelah sebulan berpuasa dan apabila tiba Hari raya tiba-tiba perut kita terpaksa mencernakan pelbagai makanan yang kita makan oleh itu dengan puasa sunat ini dapat memberi kelegaan semula kepada perut kita.

Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah kefardhuan, manakala puasa di dalam bulan Syawal pula adalah sunat.  Justeru itu dengan berpuasa sunat ini dapat membantu kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah kerana kita melakukan ibadah ini bukan semata-mata kerana kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai hamba kepada Allah yang ingin mencari jalan mendekatkan diri kepada-Nya. Wallahualam.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Jumat, 17 Agustus 2012

Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah 1433H/2012M


Asalamualaikum wbt

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah swt kerana dengan izin-Nya maka dapat kita menjalani ibadah puasa pada kali ini dan mudah-mudahan ramadhan pada kali ini dapat mendidik jiwa kita dan keluarga kita supaya menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dengan melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang dan mudah-mudahan segala amal kita serta puasa kita diterima Allah swt. Amatlah malang sekiranya kita hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja maka sia-sialah sahaja puasa kita maka peluang yang masih ada beberapa hari sahaja lagi ini hendaklah kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah dan Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca yang saya kasihi, tidak kira dimana jua anda berada.  Mudah-mudahan kita semua kembali kepada keadaan suci dan bersih sesuai dengan fitrah kejadian kita.  Kepada yang berada diperantauan sudah tentu perasaan rindu kepada kampung halaman dan sanak saudara itu akan datang tetapi janganlah kita biarkan sambutan hari kemenangan kita melawan hawa nafsu diselubungi suasana sedih maka bergembiralah wahai saudara-saudara ku di pagi Syawal nanti.

Walaubagaimanapun di samping kita bergembira menyambut Syawal ini janganlah kita lupakan kepada mereka-mereka yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim, fakir miskin, mereka-mereka yang kematian orang yang tersayang  serta saudara-saudara kita yang berada di negara-negara yang sedang bergolak, mudah-mudahan Allah mencurahkan rahmat-Nya kepada mereka. Amin.

Fenomena biasa di Malaysia apabila setiap kali tibanya Syawal ialah budaya kunjung-mengunjungi serta majlis rumah terbuka.  Ingin saya berpesan kepada ibubapa, supaya setiapkali anda ingin mengunjungi saudara-mara anda maka bawalah sekali anak-anak anda bertemu dengan saudara-mara mereka kerana merekalah yang akan menyambung warisan ziarah-menziarahi ini didalam menyambung silaturrahim kerana Allah swt dan  di dalam keghairahan kita memenuhi jemputan rumah terbuka pula, janganlah sehingga membazir atau makan sehingga terlalu kenyang, jagalah adab-adab kita semasa berada di dalam majlis dan makanlah secara sederhana.

Kepada anda yang akan pulang kekampung halaman masing-masing berhati-hatilah semasa memandu, pastikan anda dan kenderaan anda berada di dalam keadaan baik dan saya doakan kita semua selamat sampai kedestinasi masing-masing dan sentiasa berada dibawah perlindungan Allah swt . Amin.

Akhir qalam, saya sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah dan Maaf Zahir dan Batin daripada saya dan keluarga kepada anda semua.

Sekian, wasalam.

Warkah Nizam