Minggu, 23 September 2012

Hikmah-Hikmah Mengerjakan Ibadah Haji


Asalamualaikum wbt,

Kepada para pembaca yang saya kasihi sekalian, semoga anda semuanya sentiasa berada dibawah rahmat dan redha Allah swt.

Pada kali ini saya ingin berkongsikan sedikit ilmu mengenai ibadah haji dengan para pembaca sekalian.  Mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua. Insyallah.


Makna Haji dari sudut syarak adalah ;

“Mengunjungi Baitullah di Makkah untuk melakukan beberapa amal ibadah pada bulan haji dengan rukun dan syarat tertentu sebagai perlaksanaan rukun Islam yang kelima”


Terdapat beberapa dalil daripada Al-Quran & Al-Hadis mengenai ibadah Haji ini dan salah satunya ialah seperti berikut di mana Firman Allah swt ;

“Dan serulah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, mereka datang dari segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh dari seluruh dunia”

[Surah Al-Hajj ayat 27]


Terdapat beberapa hikmah mengenai ibadah haji ini dan di antaranya adalah seperti berikut ;

1. Seperti yang telah kita sedia maklum, ibadah haji yang dilaksanakan di Makkah pada suatu tempoh waktu yang di hadkan di dalam Bulan Haji dapat menemukan umat Islam dari pelbagai tempat, berlainan bangsa, warna kulit, budaya serta bahasa.

Perhimpunan ini juga adalah untuk memenuhi undangan sebagai tetamu Allah dan menghidupkan satu suasana persaudaraan sesama Islam berserta tekad dan keimanan yang teguh  kepada Allah swt.


2. Dengan berpakaian serba putih dan berkain ihram menunjukkan persamaan di antara satu sama lain tanpa mengira pangkat, kedudukan atau kekayaan apabila seseorang itu datang menunaikan ibadah Haji.


3. Apabila kita mengunjungi Baitullah atau rumah Allah ini, kita akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana kesan perjuangan para Rasul terutamanya Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan juga Rasulullah saw di dalam menegakkan syariat Allah.


4. Di samping itu umat Islam juga berpeluang untuk menghayati sendiri kesan-kesan tempat bersejarah seperti Gua Thur, Gua Hira’, Bukit Uhud serta menziarahi makam Nabi dan para Sahabat.


5. Berwukuf di Padang Arafah juga disifatkan oleh sesetengah ulama sebagai satu lambang perhimpunan manusia pada hari akhirat nanti.  Dimana semuanya menunggu pengadilan daripada Allah swt di atas segala pekerjaan yang dilakukan semasa di dunia.


6. Ibadah Haji ini juga akan dapat menyemai rasa keinsafan di kalangan umat Islam bahawa mereka pasti akan kembali menemui Allah suatu hari nanti dengan tidak membawa bersama-sama mereka harta, pangkat dan anak pinak kecuali amal soleh mereka.

Wallahualam. 


Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Minggu, 16 September 2012

Selamat Berangkat Kepada Bakal-Bakal Haji


Asalamualaikum wbt

Masa begitu pantas berlalu, sedar tak sedar bakal-bakal haji kita akan mula berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji bermula esok.  Sememangnya saat inilah yang dinanti-nantikan oleh setiap orang Islam yang beriman untuk mengerjakan haji.  

Sememangnya untuk mengerjakan ibadah haji ini memerlukan keimanan, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi.  Ini adalah kerana ibadah haji merupakan kemuncak kepada pengabdian diri seorang hamba kepada Penciptanya.  Mereka yang terpilih untuk ke sana, baik untuk mengerjakan umrah atau haji merupakan para tetamu Allah yang terpilih. Insyallah.  Berapa ramai orang yang kita lihat secara zahirnya mampu untuk ke sana samada untuk mengerjakan umrah atau haji, tetapi hingga ke saat ini masih belum sampai lagi.  Justeru itu kepada yang telah sampai atau yang bakal ke sana, bersyukurlah kepada Allah dengan mengerjakan secara besungguh-sungguh ibadah semasa anda di sana.  Bukanlah pangkat haji atau hajjah yang penting, tetapi yang lebih penting ialah ibadah umrah atau haji kita diterima Allah swt. Berbahagialah kepada mereka yang dijemput Allah untuk menunaikan ibadah haji pada kali ini.

Kepada bakal-bakal haji, saya doakan anda semua selamat pergi dan kembali, dipermudahkan segala urusan, dikurniakan dengan kesihatan yang baik, sentiasa berada dibawah perlindungan Allah swt dan yang lebih penting mudah-mudahan anda semua akan dikurniakan dengan haji yang mabrur. Amin.

Lazimnya di Malaysia, setiap bakal haji akan mengadakan majlis bacaan Yaasin, doa selamat, solat hajat dan kenduri sebelum mereka berangkat menunaikan ibadah haji.  Oleh yang demikian, masjid ditempat saya (Masjid Bandar Bukit Puchong) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis tersebut bagi meraikan bakal-bakal haji dengan harapan dapat mengurangkan perbelanjaan para bakal haji untuk mengadakan kenduri kendara dan supaya tumpuan mereka kepada persiapan ke Tanah Suci tidak terganggu.  Mudah-mudahan ianya akan dapat diteruskan lagi dimasa-masa hadapan dan diperkembangkan pula kepada masjid-masjid dan surau-surau yang lain pula.

Berikut adalah sebahagian daripada gambar Majlis Meraikan Bakal Haji dan Jamuan Eidul Fitri Masjid Bandar Bukit Puchong baru-baru ini, dimana saya merupakan pengarah kepada program pada kali ini. ;

Majlis bacaan Yaasin, tahlil dan doa selamat


Saya sedang menyampaikan ucapan alu-aluan


Majlis penyampaian cenderahati kepada bakal-bakal haji

Antara bakal-bakal haji yang bergambar kenangan dengan Ketua Kampung & Nazir MBBP



Suasana di sekitar jamuan sebagai acara penutup

Sekian, 

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

p/s- dah dua hari saya diserang demam panas.



Minggu, 02 September 2012

Berita Terkini - Ibadah Haji




Sumber : Berita Harian Online

Kuota jemaah haji Malaysia kekal 28,000

Cetak
PUTRAJAYA: Kerajaan Arab Saudi mengekalkan kuota 28,000 orang untuk jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Bagaimanapun, katanya permohonan untuk mendapatkan kuota tambahan akan diteruskan berikutan masih ramai jemaah Malaysia yang belum berpeluang menunaikan haji ekoran kuota yang terhad setiap tahun.
Sehingga kini seramai 936,000 rakyat Malaysia termasuk 4,000 daripadanya berusia lebih 75 tahun sudah berdaftar untuk menunaikan haji, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Masjid Putra, di sini malam tadi. 

Sebelum ini isu kuota haji untuk jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini menjadi kebimbangan banyak pihak dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi Bersih 3.0 di Makkah dan Madinah pada 26 April lalu. 

Berikutan tindakan itu, kerajaan Arab Saudi menghantar nota diplomatik kepada Wisma Putra untuk melahirkan rasa kecewa dengan tindakan berkenaan. 

Sehubungan itu Jamil Khir menasihati jemaah haji Malaysia supaya menjaga tingkah laku dan ketertiban sepanjang berada di tanah suci serta tidak mengadakan sebarang program atau perhimpunan yang tidak dibenarkan. 

"Maka ini akan menjadi satu kekuatan untuk kerajaan Arab Saudi untuk sentiasa melihat Malaysia sebagai negara keutamaan apabila mereka ingin memberikan kuota tambahan dan sebagainya," katanya. 
Beliau berkata
penerbangan pertama untuk ke tanah suci tahun ini akan bermula pada 17 Sept melibatkan 400 jemaah dan penerbangan terakhir pada 29 Oktober. 

Katanya kerajaan juga akan mengekalkan kos haji untuk 28,000 jemaah muassasah iaitu pada kadar RM9,980 seperti tahun lepas, manakala jemaah kali kedua atau seterusnya perlu membayar tambang mengikut kos sebenar tanpa subsidi. 

Mengenai Kursus Perdana Haji yang dianjurkan serentak di seluruh negara, Jamil Khir berkata ia diharap akan memberikan gambaran dan panduan lengkap kepada bakal jemaah untuk melaksanakan ibadah kelak. 

"Kursus ini adalah sebahagian daripada apa yang dirancangkan supaya Malaysia kekal menjadi negara ikon, contoh dan penanda aras kepada negara-negara dunia yang melihat Malaysia begitu tertib, berdisiplin dalam pengaturan dan penyusunan jemaah haji," katanya. 

Katanya Tabung Haji juga sudah melancarkan e-Book supaya dapat dijadikan panduan untuk jemaah Malaysia merujuk mengenai sebarang masalah berkaitan ibadah itu. - BERNAMA

Ulasan saya ;
Memohon supaya pihak Kerajaan Malaysia dapat berbincang dengan Kerajaan Arab Saudi bagi meningkatkan lagi  jumlah quota jemaah haji daripada Malaysia, bertujuan bagi mengurangkan masa menunggu untuk menunaikan ibadah haji  bagi seseorang bakal haji. 
Mengakui hakikat bahawa semua umat Islam daripada seluruh dunia ingin mengerjakan ibadah haji, adalah diharapkan agar pihak Tabung Haji atau Kerajaan Malaysia sendiri  dapat mencadangkan agar satu mekanisme yang lebih adil di dalam menentukan jumlah kuota jemaah haji daripada mana-mana negara.
Adalah diharapkan agar dengan pembesaran kompleks Masjidil Haram yang sedang giat dilaksanakan sekarang ini, dapat sedikit sebanyak menambah bilangan kuota jemaah haji daripada seluruh dunia.