Minggu, 04 Agustus 2013

Selamat Menyambut Eidul Fitri



Asalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana dengan izin-Nya maka kita telah dapat menjalani ibadah puasa pada tahun ini dan mudah-mudahan kita juga akan dipertemukan lagi dengan ramadhan yang akan datang, insyaAllah. Mudah-mudahan puasa kita pada kali ini merupakan puasa kita yang terbaik dan segala amalan kita di terima Allah.

Tidak berapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya Fitrah sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kita kepada Allah di dalam melawan hawa nafsu kita.  Semoga tarbiah Ramadhan pada kali ini dapat mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dan lebih baik berbanding dahulu.  Amatlah rugi sekiranya selepas Ramadhan ini kita kembali kepada sifat-sifat buruk kita seperti mana sebelum Ramadhan dan lebih malang lagi jika Ramadhan ini tidak membawa apa-apa pengertian bahkan sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain. 

Sempena dengan hari raya yang bakal menjelang tiba, marilah kita ambil kesempatan untuk maaf bermaafan di antara satu sama lain, ziarahlah ibubapa, saudara mara serta rakan taulan. Bawa bersama anak-anak kita dan perkenalkan kepada saudara mara kita dan jangan kita biarkan anak-anak kita leka dengan gadjet seperti smart phone, tablet dan lain-lain sehingga tidak mempedulikan orang lain, sebagai ibubapa kita perlu pastikan cuti hari raya ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengeratkan lagi silaturahim sesama keluarga.

Marilah kita sama-sama berazam untuk meneruskan puasa 6 hari di dalam bulan Syawal sebagai tanda kencintaan kita kepada ibadah puasa ini.

Dengan ini saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah kepada para pembaca yang saya kasihi sekelian tidak kira dimana jua anda berada. Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk menguatkan lagi persaudaraan sesama Islam tanpa mengira bangsa dan negara. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin daripada kami sekeluarga sekiranya terdapat salah dan silap saya di dalam mengendalikan blog ini.

Sekian,

Warkah Nizam

Jumat, 05 Juli 2013

Marhaban Ya Ramadhan



Asalamualaikum wbt

Agak lama juga saya tidak kemaskini info di blog saya disebabkan oleh kesibukan tugas serta kelemahan saya sendiri. Apa pun harapan saya agar semua pembaca yang saya kasihi berada di dalam keadaan sihat wal afiat semuanya di samping keluarga tersayang.

Beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan, insyallah.  Apabila direnung kembali sebenarnya bulan Ramadhan ini adalah salah satu anugerah Allah yang cukup besar kepada hamba-hambaNya, tidak semua orang berpeluang untuk berada di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini, lihatlah di sekeliling kita mungkin ada di kalangan adik beradik, saudara mara, jiran tetangga serta sahabat handai kita yang telah meninggal dunia ( mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa-dosa mereka serta di tempatkan bersama-sama hamba-hambaNya yang beriman dan yang beramal soleh, amin).  Oleh yang demikian jika kita diberi peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan pada kali ini maka pergunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya kerana mungkin kita juga tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengannya selepas ini.

Hidupkanlah Ramadhan kita dengan amalan-amalan sunat seperti berzikir, berselawat, membaca Al-Quran, bersedekah, solat Terawih dan lain-lain lagi.  Pada masa yang sama perbanyakkanlah berdoa kepada Allah memohon keampunanNya dan apa-apa yang kita hajatkan.  Mudah-mudahan kita juga akan dipertemukan dengan malam lailatul qadar, amin.

Di dalam kita sibuk beribadah di dalam bulan Ramadhan ini janganlah kita lupa kepada saudara-saudara kita yang sedang berpuasa di bumi yang sedang bergolak seperti di Palestine, Syria, Myanmar, Mesir dan lain-lain lagi.  Bagaimanakan keadaan mereka? makanan apakah yang mereka makan semasa berbuka? sedangkan sesetengah kita di sini berbuka dengan makanan yang mewah-mewah dan adakalanya sehingga membazir.  Janganlah kita lupa bahawa salah satu hikmah berpuasa ialah melawan hawa nafsu kita marilah kita didik nafsu kita di bulan Ramadhan ini.

Akhir kalam saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada seluruh umat Islam tak kira dimana jua anda berada terutamanya kepada para pembaca setia blog ini, walaupun sudah agak lama saya tidak kemaskini laman blog ini, anda masih juga setia mengikuti sebarang perkembangan jika ada, sekali lagi saya mohon maaf di atas kelemahan saya. 

Sekian...

Warkah Nizam




Sabtu, 22 Juni 2013

Program Muslimat Masjid Bandar Bukit Puchong



Asalamualaikum wbt

Masjid Bandar Bukit Puchong akan mengadakan program berikut pada 23hb Jun 2013.  Semua muslimin dan muslimat di jemput hadir.  Cuma program Muslimah Seanggun Bidadari dikhaskan untuk muslimat sahaja.  Mohon dihebahkan.

Terima kasih.










Kamis, 04 April 2013

MBBP - Kuliah Maghrib Oleh Ustaz Yo Kemaman


Asalamualaikum wbt

Masjid Bandar Bukit Puchong akan mengadakan kuliah Maghrib khas pada 08hb April 2013 dimana penceramah jemputan kita pada kali ini adalah Ustaz Yo daripada Kemaman.  Muslimin & Muslimat di jemput hadir .  Mohon di hebahkan.

Warkah Nizam

Rabu, 13 Maret 2013

Iklan - Alat Pemadam Api Untuk Rumah Anda

Setiap rumah perlu memiliki sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api ini sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang musibah samada kepada kita atau pun kepada jiran-jiran kita.  Ianya mudah, ringan dan praktikal untuk kegunaan di rumah. Anak-anak anda juga boleh mengendalikannya. Bracket untuk menggantung alat ini turut disertakan sekali.

Rabu, 06 Maret 2013

Jumat, 15 Februari 2013

Leftenan Adnan Saidi - Al-Fatihah



Asalamualaikum wbt.
 
Pada kali ini saya ingin berkongsi kisah yang sempat saya baca daripada FB Isu Politik Semasa mengenai pengorbanan Allahyarham Leftenan Adnan Saidi.  Semoga beliau ditempatkan bersama-sama dengan para syuhada Allah. Amin Ya Rabb...Al-Fatihah.
 
 
Hari ini genaplah 77 tahun pemergian Wira Negara, Leftenan Adnan Saidi... Allahyarham berhempas pulas berjuang mempertahankan tanah air dari dijajah Jepun hingga ke titisan darah terakhir...

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk granet dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur d...
alam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.di dalam keadaan kacau bilau pertempuran, tubuh Korporal Yaakob(satu-satunya yang selamat) jatuh di atas timbunan mayat rakan-rakan seperjuangannya yang telah mati ditembak tentera Jepun.
 
Beberapa detik sebelum itu dia dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Leftenan Adnan dari Rejimen Askar Melayu berserta beberapa orang anak-anak buahnya yang lain akhirnya berjaya ditawan Jepun. Leftenan Adnan berusia 27 tahun ketika kejadian ini berlaku...Sejak pagi semalam lagi tentera Jepun telah menumpukan serangan bedilan bom, mortar berat dan bedilan meriam ke kawasan Pasir Panjang kerana mereka tahu, inilah kawasan terakhir yang perlu mereka tawan sebelum Singapura jatuh ke tangan mereka. Pihak British mempertahankan kawasan secara habis-habisan kerana kawasan tanah tinggi ini menghadap ke arah utara Singapura serta merupakan jalan ke arah Alexandra di mana letaknya depot senjata serta hospital tentera, serta kepentingan lain milik British.
 
Divisyen Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun di bawah pemerintahan Leftenan Jeneral Renya Mutaguchi telah diperintahkan untuk menghadapi 'C' Coy. 'C' Coy merupakan sebuah pasukan yang membentuk Batalion Pertama dan Kedua Kedua Rejimen Askar Melayu Rejimen British 2nd Loyals dan Briged 44th Indian. 'C' Coy berserta Leftenan Adnan Saidi telah ditempatkan untuk mempertahankan Perkampungan Pasir Panjang. Mereka telah memberi tentangan yang hebat kepada Tentera Jepun sehingga tentera Jepun dari Divisyen Chrysanthemum yang terkenal kerana kehebatan serta kehandalan mereka berperang terpaksa berundur.

Pada tengah malam semalam, Leftenan Adnan telah diperintahkan oleh Kepten H.R. Rix untuk berpindah ke sebuah tapak pertahanan baru. Mereka telah bertahan di sebuah kilang memproses candu kepunyaan pemerintah British di kaki sebuah bukit di Pasir Panjang.
 
Seramai 42 orang anggota Batalion pertama dan Kedua Rejimen Askar Melayu bertahan di situ tanpa air, makanan serta bekalan senjata tambahan. Di dalam keadaan terdesak, Leftenan Adnan telah memerintah anak buahnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Dia tahu, jumlah tentera Jepun yang akan datang menyerang terlalu banyak jumlahnya dibandingkan dengan jumlah tentera di bawah pimpinannya.

Pada tengah hari 14 Februari, pihak tentera Jepun akhirnya menyerang Rejimen Askar Melayu yang sedang bertahan di Bukit Chandu. Sekumpulan anggota tentera Jepun yang menyamar sebagai anggota tentera Punjabi datang mendekati mereka. Sebelum sempat mereka dapat mendekati kawasan yang dipertahankan oleh 'C' Coy,
 
Leftenan Adnan yang telah ditugaskan untuk mempertahankan bahagian utara kawasan tanah tinggi ini sudah dapat menghidu helah yang telah dilakukan oleh tentera Jepun. Tentera Punjabi itu dilihatnya sedang mara bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga. Leftenan Adnan yakin, apa yang dilihatnya itu adalah satu helah yang dilakukan oleh tentera Jepun, kerana pasukan tentera di bawah pimpinan British tidak mungkin akan melakukan kesilapan yang besar seperti yang dilihatnya pada ketika itu. Terus dia mengarahkan agar tembakan dilepaskan bertubi-tubi ke arah tentera Jepun yang sedang menyamar ini.

Seramai 20 anggota tentera Jepun telah mati serta cedera di dalam serangan ini. Perkara ini telah membuatkan tentera Jepun mengamuk, lantas membalas dengan serangan tembakan bertubi-tubi ke atas Rejimen Askar Melayu.

Rejimen Askar Melayu telah berjuang dengan berani sehingga titisan darah yang terakhir walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan tentera Jepun dengan menggunakan jumlah peluru yang terhad. Maka begitulah hendaknya semangat "Ta'at dan Setia" yang begitu kental di dalam jiwa mereka.

Tubuh Korporal Yaakob kaku tatkala dia berpura-pura mati di atas tubuh seorang rakannya yang telah mati ditembak pada bahagian lehernya. Korporal Yaakob dapat mencium bau hanyir darah yang masih mengalir hangat dari bahagian leher kawannya itu. Begitu meloyakan sehinggakan dia merasa seperti mahu muntah di situ juga. Sebelum Korporal Yaakob rebah di dalam kekalutan pertempuran tadi, dia dapat melihat Kapten Rix terbunuh bersama 12 orang tentera Melayu yang lain yang telah berjuang bermati-matian dengannya.
 
Kini, dari posisinya Korporal Yaakob dapat melihat keadaan Leftenan Adnan yang cedera parah diheret dan disepak terajang oleh tentera Jepun yang sedang marah menggila pada ketika itu. Mereka betul-betul ingin membalas dendam ke atas kematian rakan-rakan mereka yang telah mati ditembak oleh Leftenan Adnan serta anak-anak buahnya yang lain. Enam orang anggota tentera Melayu yang berjaya ditawan terus diikat, lantas ditikam dengan bayonet oleh tentera Jepun sehingga mati. Suara anggota tentera Melayu yang telah mengerang kesakitan di dalam saat-saat akhir hidup mereka terus berdengung di dalam kepala Korporal Yaakob. Dia tidak dapat melakukan apa-apa kecuali terus berpura-pura mati.

Tubuh Leftenan Adnan yang lemah itu kemudian diserkup dengan guni. Kakinya di gantung ke sebuah pokok ceri berdekatan dengan sebuah rumah banglo di Pepys Road. Kemudian, tanpa sebarang pertimbangan, tentera Jepun telah menikam tubuh Leftenan Adnan berkali-kali sehinggalah tubuhnya berhenti bergerak. Kaku. Titisan darah yang pekat mula membasahi kain guni yang menutupi tubuh Leftenan Adnan. Seorang pegawai tentera Jepun mengeluarkan balutan kain guni pada tubuh Leftenan Adnan. Dia mengambil pisaunya lalu leher Leftenan Adnan dikelar. Darahnya menitik dengan deras ke tanah.Pegawai tersebut lalu memerintahkan anak-anak buahnya supaya memberi amaran kepada penduduk-penduduk tempatan supaya jangan menyentuh mayat Leftenan Adnan juga mayat-mayat askar Melayu yang lain untuk dikebumikan. Jika tidak padah jadinya nanti!

Peristiwa Pertempuran di Bukit Chandu merupakan pertempuran terakhir sebelum Singapura akhirnya jatuh ke tangan Jepun. Pada 15 Februari 1942, Leftenan-Jeneral A.E Percival dari Pakatan Tentera British akhirnya menyerah kalah kepada Leftenan-Jeneral Yamashita Tomoyuki dari Tentera Imperial Jepun di bangunan Kilang Ford di Bukit Timah. Penyerahan Singapura kepada Jepun ini menandakan tamatlah ikatan Malaya dan khususnya Singapura kepada Kerajaan Britih yang telah memerintahnya selama lebih seabad lamanya sebelum ini.

Pada hari yang sama, bendera Union Jack diturunkan lantas bendera Matahari Terbit atau Hinomoru dikibarkan di sebatang tiang bendera berdekatan dengan bangunan Cathay, bangunan yang tertinggi di Singapura pada waktu itu.
 Ketika Jepun mengambil alih Singapura, tahun 1942 telah ditukar menjadi tahun 2602 mengikut kalendar yang digunakan oleh Jepun. Jam-jam pula diubah agar mengikut masa yang sama di Tokyo.

Sejak dari hari itu, Singapura dinamakan mereka 'Shonan-to', Malaya pula 'Malai' atau 'Maraiee' dan Pulau Pinang pula 'Tojoto'. Maka kini bermulalah penjajahan Jepun ke atas bumi Malaya dan Singapura!

*Keberanian sera kepahlawanan Leftenan diakui sendiri oleh Empayar British dan juga Empayar Jepun, sehinggakan General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya menyatakan “jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun”

AL-FATIHAH...
 

Selasa, 29 Januari 2013

Ceramah Perdana Sempena Maulidur Rasul Oleh Habib Ali Zaenal Abidin

Asalamualaikum wbt

Semalam 28hb Januari 2013, Habib Ali Zaenal Abidin telah sudi datang ke Masjid Bandar Bukit Puchong untuk menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk " Rasulullah Pembawa Pendamaian" sebagaimana seperti yang saya maklumkan sebelum ini di dalam posting saya yang terdahulu.

Pada malam tersebut saya sempat mengambil video ceramah beliau dan insyallah sekiranya ada rezeki saya akan upload di dalam blog ini untuk perkongsian bersama.  Alhamdulillah ceramah beliau telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para jemaah, sehinggakan ruang solat utama masjid dipenuhi oleh para jemaah untuk mendengar ceramah beliau.

Bagi para pembaca yang ingin mengetahui perkembangan program-program yang di adakan oleh Masjid Bandar Bukit Puchong, anda bolehlah lawati fanpage masjid di http://www.facebook.com/MASJIDBBP/

Di sini saya sertakan beberapa keping gambar yang sempat di rakamkan pada malam tersebut untuk tatapan para pembaca yang saya kasihi sekelian ;











Kamis, 24 Januari 2013

Salam Maulidur Rasul


Asalamualaikum wbt.

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam.  Mudah-mudahan dibulan maulid ini., kita perbanyakkanlah berselawat ke atas Nabi Muhammad saw dan bersyukur kepada Allah swt kerana telah dipilih untuk menjadi umat Nabi Muhammad.  Saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan anda semua para pembaca sekelian supaya dapat kita sama-sama menghayati perjalanan hidup seorang manusia mulia yang bernama Muhammad serta mencontohi Baginda Nabi.  Sesungguhnya Nabi Muhammad itu suri teladan yang baik maka sama-samalah kita berusaha untuk mencontohi baginda.

Pada kali ini saya bawakan kepada anda biografi ringkas Nabi Muhammad saw untuk tatapan para pembaca yang saya kasihi sekelian.

Nabi Muhammad dilahirkan pada hari Isnin di tahun Gajah.  Nama penuh baginda adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murra bin Kaab bin Luay bin Ghaleb bin Fihr bin Malik bin Nadhir bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrika bin Ilyas bin Mudor bin Nizar bin Maad bin Adnan bin Ismail bin Ibrahim.  Nama baginda telah diberikan oleh datuk baginda iaitu Abdul Mutalib yang bermaksud “yang terpuji”

Bapa baginda Abdullah telah meninggal dunia semasa beliau masih lagi berada di dalam kandungan ibu baginda iaitu Aminah.  Tidak berapa lama kemudian ibu baginda pula telah meninggal dunia semasa berada di satu tempat bernama “Abwa”.  Setelah kematian ibu, baginda telah dipelihara pula oleh datuknya Abdul Mutalib dan setelah itu oleh bapa saudaranya Abu Talib pada usia baginda 8 tahun.

Sebelum baginda diangkat menjadi Rasul, baginda cukup terkenal di kalangan orang-orang Quraisy sebagai seorang yang jujur dah telah digelar dengan gelaran Al-Amin yang membawa maksud “yang dipercayai”.  Pada usia 25 tahun baginda telah berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid.

Semasa baginda berumur 40 tahun, baginda telah memencilkan diri di Gua Hira dan telah didatangi oleh malaikat Jibrail dengan membawa wahyu yang pertama dan dengan peristiwa ini maka baginda telah di angkat oleh Allah swt menjadi rasul dan bermulalah kerja dakwah baginda.

Baginda telah ditentang oleh Arab Quraisy dan setelah 13 tahun berdakwah di Mekah Allah swt telah memerintahkan baginda dan umat Islam untuk berhijrah ke Madinah.  Peristiwa Hijrah ini telah memberi laluan kepada penubuhan Negara Islam yang pertama dan Islam telah berkembang selepas itu.

Tidak lama selepas peristiwa Hijrah telah berlaku peperangan yang pertama di antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy dan peperangan ini telah dimenangi oleh umat Islam dan diikuti dengan beberapa siri peperangan dan akhirnya pada tahun ke lapan hijrah umat Islam telah berjaya membuka kota Mekah dan selepas itu agama Islam telah berkembang dengan lebih pesat lagi dan kisah ini telah membuka mata negara-negara asing akan kemunculan kuasa baru. 

Nabi Muhammad saw wafat pada  tanggal 12 Rabiul Awal tahun ke sebelas hijrah pada usia 63 tahun.

Wallahualam

Warkah Nizam

Minggu, 20 Januari 2013

Ceramah Maulidur Rasul - Masjid Bandar Bukit Puchong


Asalamualaikum wbt.

Masjid Bandar Bukit Puchong akan menganjurkan Ceramah Perdana yang bertajuk " Rasulullah Pembawa Pendamaian" pada 28hb Januari 2013 selepas solat Maghrib. Semua muslimin & muslimat di jemput hadir dan mohon dihebahkan kepada yang lain.

Tajuk ini memang kena pada masanya dan dikupas pula oleh Habib Ali iaitu seorang penceramah yang tidak asing lagi kepada kita jadi jangan lepaskan peluang ini jemput hadir beramai-ramai.

Jom kita ngaji...

Warkah Nizam