Selasa, 29 Januari 2013

Ceramah Perdana Sempena Maulidur Rasul Oleh Habib Ali Zaenal Abidin

Asalamualaikum wbt

Semalam 28hb Januari 2013, Habib Ali Zaenal Abidin telah sudi datang ke Masjid Bandar Bukit Puchong untuk menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk " Rasulullah Pembawa Pendamaian" sebagaimana seperti yang saya maklumkan sebelum ini di dalam posting saya yang terdahulu.

Pada malam tersebut saya sempat mengambil video ceramah beliau dan insyallah sekiranya ada rezeki saya akan upload di dalam blog ini untuk perkongsian bersama.  Alhamdulillah ceramah beliau telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para jemaah, sehinggakan ruang solat utama masjid dipenuhi oleh para jemaah untuk mendengar ceramah beliau.

Bagi para pembaca yang ingin mengetahui perkembangan program-program yang di adakan oleh Masjid Bandar Bukit Puchong, anda bolehlah lawati fanpage masjid di http://www.facebook.com/MASJIDBBP/

Di sini saya sertakan beberapa keping gambar yang sempat di rakamkan pada malam tersebut untuk tatapan para pembaca yang saya kasihi sekelian ;











Kamis, 24 Januari 2013

Salam Maulidur Rasul


Asalamualaikum wbt.

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam.  Mudah-mudahan dibulan maulid ini., kita perbanyakkanlah berselawat ke atas Nabi Muhammad saw dan bersyukur kepada Allah swt kerana telah dipilih untuk menjadi umat Nabi Muhammad.  Saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan anda semua para pembaca sekelian supaya dapat kita sama-sama menghayati perjalanan hidup seorang manusia mulia yang bernama Muhammad serta mencontohi Baginda Nabi.  Sesungguhnya Nabi Muhammad itu suri teladan yang baik maka sama-samalah kita berusaha untuk mencontohi baginda.

Pada kali ini saya bawakan kepada anda biografi ringkas Nabi Muhammad saw untuk tatapan para pembaca yang saya kasihi sekelian.

Nabi Muhammad dilahirkan pada hari Isnin di tahun Gajah.  Nama penuh baginda adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murra bin Kaab bin Luay bin Ghaleb bin Fihr bin Malik bin Nadhir bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrika bin Ilyas bin Mudor bin Nizar bin Maad bin Adnan bin Ismail bin Ibrahim.  Nama baginda telah diberikan oleh datuk baginda iaitu Abdul Mutalib yang bermaksud “yang terpuji”

Bapa baginda Abdullah telah meninggal dunia semasa beliau masih lagi berada di dalam kandungan ibu baginda iaitu Aminah.  Tidak berapa lama kemudian ibu baginda pula telah meninggal dunia semasa berada di satu tempat bernama “Abwa”.  Setelah kematian ibu, baginda telah dipelihara pula oleh datuknya Abdul Mutalib dan setelah itu oleh bapa saudaranya Abu Talib pada usia baginda 8 tahun.

Sebelum baginda diangkat menjadi Rasul, baginda cukup terkenal di kalangan orang-orang Quraisy sebagai seorang yang jujur dah telah digelar dengan gelaran Al-Amin yang membawa maksud “yang dipercayai”.  Pada usia 25 tahun baginda telah berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid.

Semasa baginda berumur 40 tahun, baginda telah memencilkan diri di Gua Hira dan telah didatangi oleh malaikat Jibrail dengan membawa wahyu yang pertama dan dengan peristiwa ini maka baginda telah di angkat oleh Allah swt menjadi rasul dan bermulalah kerja dakwah baginda.

Baginda telah ditentang oleh Arab Quraisy dan setelah 13 tahun berdakwah di Mekah Allah swt telah memerintahkan baginda dan umat Islam untuk berhijrah ke Madinah.  Peristiwa Hijrah ini telah memberi laluan kepada penubuhan Negara Islam yang pertama dan Islam telah berkembang selepas itu.

Tidak lama selepas peristiwa Hijrah telah berlaku peperangan yang pertama di antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy dan peperangan ini telah dimenangi oleh umat Islam dan diikuti dengan beberapa siri peperangan dan akhirnya pada tahun ke lapan hijrah umat Islam telah berjaya membuka kota Mekah dan selepas itu agama Islam telah berkembang dengan lebih pesat lagi dan kisah ini telah membuka mata negara-negara asing akan kemunculan kuasa baru. 

Nabi Muhammad saw wafat pada  tanggal 12 Rabiul Awal tahun ke sebelas hijrah pada usia 63 tahun.

Wallahualam

Warkah Nizam

Minggu, 20 Januari 2013

Ceramah Maulidur Rasul - Masjid Bandar Bukit Puchong


Asalamualaikum wbt.

Masjid Bandar Bukit Puchong akan menganjurkan Ceramah Perdana yang bertajuk " Rasulullah Pembawa Pendamaian" pada 28hb Januari 2013 selepas solat Maghrib. Semua muslimin & muslimat di jemput hadir dan mohon dihebahkan kepada yang lain.

Tajuk ini memang kena pada masanya dan dikupas pula oleh Habib Ali iaitu seorang penceramah yang tidak asing lagi kepada kita jadi jangan lepaskan peluang ini jemput hadir beramai-ramai.

Jom kita ngaji...

Warkah Nizam