Minggu, 04 Agustus 2013

Selamat Menyambut Eidul Fitri



Asalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana dengan izin-Nya maka kita telah dapat menjalani ibadah puasa pada tahun ini dan mudah-mudahan kita juga akan dipertemukan lagi dengan ramadhan yang akan datang, insyaAllah. Mudah-mudahan puasa kita pada kali ini merupakan puasa kita yang terbaik dan segala amalan kita di terima Allah.

Tidak berapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya Fitrah sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kita kepada Allah di dalam melawan hawa nafsu kita.  Semoga tarbiah Ramadhan pada kali ini dapat mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dan lebih baik berbanding dahulu.  Amatlah rugi sekiranya selepas Ramadhan ini kita kembali kepada sifat-sifat buruk kita seperti mana sebelum Ramadhan dan lebih malang lagi jika Ramadhan ini tidak membawa apa-apa pengertian bahkan sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain. 

Sempena dengan hari raya yang bakal menjelang tiba, marilah kita ambil kesempatan untuk maaf bermaafan di antara satu sama lain, ziarahlah ibubapa, saudara mara serta rakan taulan. Bawa bersama anak-anak kita dan perkenalkan kepada saudara mara kita dan jangan kita biarkan anak-anak kita leka dengan gadjet seperti smart phone, tablet dan lain-lain sehingga tidak mempedulikan orang lain, sebagai ibubapa kita perlu pastikan cuti hari raya ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengeratkan lagi silaturahim sesama keluarga.

Marilah kita sama-sama berazam untuk meneruskan puasa 6 hari di dalam bulan Syawal sebagai tanda kencintaan kita kepada ibadah puasa ini.

Dengan ini saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah kepada para pembaca yang saya kasihi sekelian tidak kira dimana jua anda berada. Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk menguatkan lagi persaudaraan sesama Islam tanpa mengira bangsa dan negara. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin daripada kami sekeluarga sekiranya terdapat salah dan silap saya di dalam mengendalikan blog ini.

Sekian,

Warkah Nizam

Tidak ada komentar:

Posting Komentar