Kamis, 30 September 2010

21 Syawal 1431 H

Asalamualaikum wbt

Sedar tak sedar kita kini sudah berada di penghujung Syawal ( 21 Syawal 1431 H ). Kepada yang masih belum sempat menghabiskan puasa sunat di bulan Syawal, ini adalah masa yang terbaik untuk menyempurnakannya dan jika di tolak dengan hari sabtu dan ahad (open house dan kenduri ) yang akan datang hanya tinggal 7 hari saja lagi sebelum Syawal berakhir.

Di ketika umat Islam di negara kita masih lagi sibuk dengan acara kunjung mengunjung di antara satu sama lain, para bakal haji kita, pada masa kini sedang sibuk membuat persiapan terakhir sebelum berlepas pergi ke Tanah Suci, Mekah bagi menunaikan Ibadah Haji. Saya doakan kepada para jemaah Haji agar mendapat Haji yang mabrur serta di sihatkan tubuh badan dan dipermudahkan segala urusan semasa di sana. Mudah-mudahan satu hari nanti Allah menjemput kita pula untuk ke sana. Amin.

Tidak lupa juga pada waktu ini, boleh dikatakan kebanyakkan ahli jawatankuasa masjid di negara kita sedang sibuk bermesyuarat untuk membincangkan perjalanan Ibadah Qurban di masjid masing-masing. Cuma sedikit yang perlu ditegur kerana kebanyakkan anggota masyarakat kita beranggapan bahawa apabila hendak mengambil bahagian atau menjadi peserta di dalam ibadah Qurban, tanggungjawabnya hanya menyediakan duit sahaja dan melepaskan tugas-tugas yang lain kepada pihak masjid, anggapan ini adalah kurang cantik dan adalah lebih afdhal jika peserta qurban itu sendiri yang turut serta di dalam menyembelih, melapah dan lain-lain tugas. Saya terfikir sejenak, apalah agaknya yang bakal terjadi jika semua orang mempunyai anggapan sedemikian ? Bukankah cantik masyarakat kita jika para peserta qurban tanpa mengira pangkat atau kedudukan sama-sama menyinsing lengan baju untuk sama-sama membantu. Setidak-tidaknya ia akan dapat merapatkan lagi tali persaudaraan sesama kita, yang tak kenal menjadi kenal dan yang jauh menjadi dekat serta banyak lagi kebaikkan yang akan kita perolehi daripada ibadah qurban ini. Yang penting kita bukan sahaja mengorbankan binatang korban semata-mata tetapi pada masa yang sama kita juga perlu berkorban untuk meghilangkan sifat-sifat yang tidak baik yang berada di dalam diri kita. Insyallah sekiranya di izikan-Nya akan kita bincangkan mengenai bab ibadah korban. Wallahualam.

Rabu, 29 September 2010

Halaqah 28 Feb 10

Untuk renungan kita bersama.....

Perawi Hadis - Penutup

Asalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya maka topik biografi ringkas para perawi hadis daripada kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah ini dapat kita selesaikan. Para pembaca yang saya kasihi sekalian, sebenarnya bukanlah tujuan utama saya hanya untuk menghabiskan mana-mana topik yang saya kemukakan disini tetapi lebih kepada usaha untuk menarik minat kita semua bagi mendalami sesuatu bidang ilmu itu, mudah-mudahan dengan yang demikian Allah akan membuka jalan untuk kita kepada pintu-pintu ilmu-Nya.

Insyallah, sama-samalah kita berusaha dan mencari jalan untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya. Asas kepada Islam adalah ilmu dan ayat pertama yang diturunkan juga berkaitan dengan ilmu, maka sewajarnyalah kita menjadikan diri kita dan keluarga kita sebagai orang yang berilmu serta berakhlak mulia. Sebagaimana seperti hadis Nabi s.a.w berkaitan dengan perkara ini dimana Baginda bersabda sesiapa yang berkehendakkan kepada dunia, dia mestilah mempunyai ilmu, sesiapa yang berkehendakkan kepada akhirat juga, dia mestilah mempunyai ilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kepada kedua-duanya juga, dia mestilah mempunyai ilmu. Jadi persoalannya disini, kategori orang yang bagaimanakah yang kita inginkan ?
Akhir qalam, segala yang baik itu datang dari Allah dan sekiranya ada salah dan silap, saya mohon maaf. Semoga usaha yang tidak seberapa ini akan mendapat ganjaran di sisi Allah.
Sekian, wasalam.

Selasa, 28 September 2010

Perawi 57 - Salamah Bin Al-Akwa

Salamah Bin Al-Akwa, ialah; Salamah bin Amru bin Al-Akwa dan nama Al-Akwa ialah Sinan bin Abdullah Al-Aslami, menyertai Perjanjian Ridwan di Hudaibiyyah. Beliau seorang yang gagah berani, berakhlak mulia dan terpuji, menyertai peperangan bersama Rasulullah s.a.w sebanyak 7 kali dan meriwayatkan sebanyak 77 buah hadis. Beliau menetap di Madinah dan kemudian di Al-Rabazah hinggalah saat kematiannya beliau kembali ke Madinah. Meninggal dunia di sana pada tahun 74 Hijrah ketika berusia 80 tahun.

Senin, 27 September 2010

Majlis Sambutan Eidul Fitri

Lagi gambar Majlis Sambutan Eidul Fitri, Masjid Bandar Bukit Puchong

Juruacara pada Majlis tersebut


Bersalam-salaman dan bermaaf-maafan dengan para tetamu


Pengumuman, pemilik kenderaan nombor pendaftaran WXX #### sila alihkan kenderaan anda














Majlis Sambutan Eidul Fitri

Berikut adalah gambar-gambar suasana Majlis Sambutan Eidul Fitri, Masjid Bandar Bukit Puchong.






Lawatan ke dalam masjid untuk "non-Muslim" juga di adakan dan dikendalikan oleh para pegawai yang bertauliah serta mendapat sambutan baik















Kepenatan

Asalamualaikum wbt

Semalam masjid di tempat saya menganjurkan majlis sambutan aidil fitri untuk semua anak-anak qariah, walaupun hujan lebat petang semalam tetapi kehadiran amatlah menggalakkan termasuk juga daripada kalangan mereka yang bukan beragama Islam juga turut datang.

Insyallah saya akan uploadkan gambar-gambar di sekitar majlis sambutan Aidil Fitri bila ada kelapangan nanti, saya masih lagi kepenatan seharian di masjid dan berhujan semalam.

Perawi 56 - Sahlun Bin Saad

Sahlun Bin Saad, ialah ; Sahlun bin Saad bin Malik Al-Sa’adiy Al-Khazraji Al-Ansari Al-Madani, nama asal beliau ialah Hiznan kemudian Rasulullah s.a.w telah menukar namanya kepada Sahlan. Ketika Rasulullah s.a.w wafat beliau berumur 15 tahun dan meriwayatkan sebanyak 188 buah hadis. Meninggal dunia di Madinah pada tahun 88 Hijrah dan ada pendapat menyatakan pada tahun 91 Hijrah.

Sabtu, 25 September 2010

Ceramah Ustaz Mohd Kazim Elias- Lelaki Dayus

Satu lagi ceramah daripada Ustaz Mohd Kazim Elias mengenai hubungan suami isteri

6 Golongan yang Jangan Dijadikan Isteri

Ceramah Ustaz Kazim Elias

Sama-samalah kita renung-renungkan.

wudhu'

Asalamualaikum wbt

Para pembaca yang saya kasihi sekalian. Di antara syarat sah solat ialah berwuduk oleh yang demikian wuduk yang sempurna atau sah, merupakan salah satu daripada syarat sah solat.

Bagaimana pula solat kita sekiranya wuduk yang kita ambil itu tidak sah ? maka jawabnya solat kita juga tidak sah. Walaupun perkara ini nampak remeh tetapi sebenarnya tidak, bahkan ianya memberikan kesan yang cukup besar kepada ibadah kita terutamanya berhubung dengan solat. Alangkah ruginya kita, jika selama ini kita mengerjakan solat dengan wuduk yang tidak sah. Untuk itu pada kali ini saya paparkan video mengenai wuduk, semoga dengan yang demikian kita dapat menyemak semula, adakah selama ini wuduk yang kita ambil itu adalah sebagaimana seperti yang dikehendaki syarak.

2. Pengertian Hadis

Pengertian Hadis

Menurut makna asalnya, hadis itu adalah berita atau khabar dan ada juga yang memberikan makna yang baru. Tetapi menurut istilah ahli ilmu hadis, yang dinamakan hadis itu terbahagi kepada tiga perkara iaitu ;

1. Ucapan atau sabda Nabi s.a.w
2. Perbuatan Nabi s.a.w
3. Taqrir Nabi s.a.w

Jumat, 24 September 2010

Perawi 55 - Syaddad Bin Aus

Syaddad Bin Aus, ialah; Syaddad bin Aus bin Thabit bin Al-Munzir Al-Najaari Al-Madani Al-Anssari, telah meriwayatkan sebanyak 50 buah hadis dan beliau merupakan orang yang banyak beribadat, berilmu, berakhlak mulia dan sangat takut kepada Allah. Beliau menetap di Baitul Maqdis dan meninggal dunia di sana pada tahun 58 Hijrah, ada pendapat mengatakan tahun 41 Hijrah dan 64 hijrah ketika berusia 75 tahun.

Kamis, 23 September 2010

1. Takrif Musthalahul Hadis

1. Takrif Musthalahul Hadis

Perkataan Musthalahul Hadis itu terdiri daripada dua buah perkataan iaitu Musthalahul dan al-Hadis.

Mustahlah diambil dari kata “istilah”, jadi musthalah itu bererti hal-hal yang diistilahkan. Oleh kerana ianya dirangkaikan dengan perkataan al-Hadis, maka ertinya ialah hal-hal yang diistilahkan di dalam persoalan-persoalan yang berhubungan dengan hadis.

Ilmu Musthalah-Hadis ini telah diciptakan oleh para alim ulama yang ahli mengenai ilmu hadis. Ianya bertujuan bagi memudahkan di dalam pemberian rumusan mengenai apakah sesuatu hadis itu temasuk di dalam kategori hadis shahih, hasan, dhaif, mursal, mauquf dan lain-lain.

Menurut Imam Nawawi semua hadis yang terdapat didalam kitab Riyadhus Shalihin ini ialah hadis shahih dan hadis hasan namun beliau juga turut membentangkan maksud dari istilah hadis-hadis yang lain, yang jumlahnya melebihi 50 jenis hadis, seperti apa itu hadis dhaif, mauquf, maudhu’ dan lain-lain lagi. Tujuannya ialah agar apabila menerima sesuatu hadis yang diucapkan oleh seseorang yang mungkin kita katakan hadis shahih atau hasan tetapi belum tentu demikan taraf hadis tersebut. Jadi kita tidak terus menerimanya bulat-bulat tanpa pengetahuan sama sekali di dalam hal itu.

Rabu, 22 September 2010

Perawi 54 - Abdullah

Abdullah, ialah ; Abdullah bin Mas’ud bin Ghafil bin Habib, Ibunya Ummu ‘Abdun binti ‘Abdun Waddu, telah memeluk Islam dan berhijrah. Abdullah telah lama memeluk Islam, iaitu ketika pengislaman Sa’id bin Zaid dan beliau merupakan orang yang pertama membaca Al-Quran dengan nyaring, beliau telah meriwayatkan sebanyak 848 buah hadis dan meninggal dunia di Madinah pada tahun 32 Hijrah ketika berumur 60 tahun.

Selasa, 21 September 2010

myMetro | Teguk arak sambut raya

Metro Online


Teguk arak sambut raya
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor 2010/09/21

KUALA LUMPUR: Hampir 100 remaja punk dan skinhead menyertai gig atau ‘Pesta Mabuk Raya’ anjuran mereka di Desa Pandan di sini, Sabtu lalu, kononnya bagi melepaskan ketagihan selepas sebulan berpuasa.


Peserta gig itu yang kebanyakannya remaja Melayu tanpa segan silu meneguk arak di khalayak ramai sambil melayan lagu didendangkan kumpulan ‘underground’ yang bermula seawal jam 4 petang hingga 11 malam.Apabila semakin ramai yang mabuk, pada kira-kira jam 9 malam berlaku pergaduhan termasuk ada yang membaling botol arak. Menurut sumber, kekecohan itu menyebabkan segelintir penonton lari keluar dari bangunan berkenaan kerana bimbang terkena balingan botol.“Pergaduhan itu berlaku hampir 30 minit sebelum dileraikan penganjur, namun tiada kecederaan serius dilaporkan,” katanya.Sumber itu berkata, gig terbabit dianjurkan sempena menyambut Aidilfitri dan terbuka kepada kumpulan punk dan skinhead saja.


“Selain jemputan melalui pengedaran poster, penganjur juga menjemput mereka melalui laman sembang di Internet,” katanya.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai perhimpunan haram itu dan menghantar sekumpulan anggota ke tempat kejadian pada kira-kira jam 11 malam.


“Dalam pemeriksaan itu, 10 peserta berusia 18 hingga 25 tahun yang disyaki berada dalam pengaruh dadah dibawa ke balai polis untuk pemeriksaan.“Namun, hanya seorang disahkan positif dadah jenis methamphetamin dan akan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.





Ulasan ;


Inilah di antara peristiwa-peristiwa sedih yang berlaku didalam masyarakat kita sekarang ini, apakah mereka-mereka ini memahami erti sebenar eidul fitri sebagai salah satu perayaan terbesar kepada umat Islam. Alangkah ruginya apabila selama sebulan di bulan Ramadhan, kita mendidik nafsu kita tiba-tiba apabila tiba dibulan Syawal kita kembali semula kepada tabiat buruk, jadi dimanakah maknanya meraikan kemenanagan menewaskan hawa nafsu.

Seperkara lagi yang saya cukup terkilan ialah mereka ini sanggup mencemar kemuliaan Aidil Fitri dengan menganjurkan gig sempena dengan "Aidil Fitri". Seolah-olah perkataan Aidil Fitri itu sama sahaja dengan perayaan-perayaan yang lain.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah menjaga hidayah yang tidak ternilai ini di dalam dada-dada kita serta seluruh umat Islam dan mudah-mudahan Allah memberikan hidayah kepada mereka-mereka ini. Amin.

Topik Baru - APA ITU HADIS

Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, mudah-mudahan anda semua berada di dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa dirahmati Allah hendak-Nya.

Sebenarnya saya tercari-cari juga mengenai tajuk apa yang sesuai untuk diketengahkan kepada para pembaca sekalian. Memandangkan kita selalu mendengar hadis yang disampaikan oleh para ulama atau ustaz di dalam majlis-majlis ilmu maka saya merasakan adalah lebih baik sekiranya kita dapat mengetahui serba sedikit mengenai asas di dalam perkara ini dan bukanlah niat saya untuk memandang rendah ilmu yang dimiliki oleh anda sekalian tetapi sekadar untuk mengulangkaji bab hadis supaya apabila kita membincangkan mengenai sesuatu hadis mudah-mudahan kita akan dapat melihat hadis tersebut dari perspektif yang lebih luas.

Bagi topik pada kali ini, saya akan menggunakan kitab Riyadhus Shalihin (Taman Orang-orang Salih) oleh Imam Nawawi sebagai rujukan di dalam membicarakan mengenai asas di dalam ilmu hadis.

Walaubagaimana pun saya amat berharap agar dengan apa yang akan dibincangkan didalam bab ini akan dapat menarik minat kita semua untuk mendalami ilmu hadis dan nasihat saya agar pada masa yang sama kita juga perlu berguru dengan ulama atau ustaz yang ahli di dalam bab hadis. Saya juga ingin memohon maaf seandainya ada salah dan silap di dalam membincangkan bab ini atau kesilapan “typing error”.

Sebarang komen atau cadangan, bolehlah dihantar ke alamat e-mail saya di nizamblog@gmail.com , insyallah saya akan cuba menjawab setiap e-mail yang dihantar. Adalah menjadi harapan saya agar dengan apa yang akan saya paparkan didalam bab ini akan memberi manfaat kepada kita semua dan mudah-mudahan usaha yang tidak seberapa ini akan dikira oleh Allah sebagai amal kebajikan saya. Wallahualam.

Senin, 20 September 2010

Perawi 53 - Uqbah bin Amir


Uqbah bin Amir, ialah; Uqbah bin Amir bin Abas bin Amru Al-Juhani, Abu Hammad. Beliau telah meriwayatkan 55 buah hadis dan mempunyai suara yang merdu ketika membaca Al-Quran. Beliau tinggal di Damsyik dan Mesir serta bersama-sama dalam pembukaan negara Syria. Beliau menjadi utusan kepada Saidina Umar ketika pembukaan Damsyik, sampai di Madinah selama 7 hari perjalanan dan kembali ke Syria selama 2 ½ hari kerana doa beliau di makam Rasulullah s.a.w agar dipercepatkan perjalanannya. Beliau menunggal dunia di Mesir pada tahun 58 Hijrah.

Minggu, 19 September 2010

Ilmuan Islam - SA'ID HAWWA


SA’ID HAWWA

Said Hawwa atau nama penuh beliau, Sa’id Muhammad Daib Hawwa adalah seorang ulama dan salah seorang tokoh pergerakkan Ikhwanul Muslimin. Beliau dilahirkan di kota Hamah, Syria pada tahun 1935 di dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Ibunya telah meninggal dunia pada ketika usianya baru dua tahun. Beliau dibesarkan oleh ayahnya iaitu seorang aktivis yang menentang penjajahan Perancis.

Beliau melibatkan diri dengan Ikhwanul Muslimin sejak tahun 1952 ketika beliau masih di sekolah menengah. Pada tahun 1963, beliau berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dari Universiti Syria.

Beliau telah merantau ke serata dunia bagi menyebarkan dakwah sehingga ke Iraq, Jordan, Mesir dan Arab Saudi. Malah beliau juga pernah menjejakkan kaki ke Jerman dan Amerika. Beliau turut berpidato semasa Revolusi Hamah pada tahun 1964 dan turut berperanan menganjurkan demonstrasi bagi membantah undang-undang Syria pada tahun 1973.

Beliau kembali ke Syria pada tahun 1973 , dimana ketika beliau sedang mengajar beliau telah ditangkap oleh pemerintah dan dipenjarakan selama lima tahun hingga tahun 1978. Semasa di dalam penjara, beliau sempat menulis tafsir Quran yang dinamakan Al-Asas fi At-Tafsir sebanyak sebelas jilid. Said Hawwa telah menghasilkan banyak buku berkaitan gerakan Islam. Tulisan beliau menjadi rujukan kaum Muslimin di seluruh dunia. Antara karya agung beliau ialah Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan dan Tarbiyatun ar-Ruhiyah.

Said Hawwa bergiat secara aktif di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin, baik diperingkat nasional mahupun antarabangsa. Beliau lebih dikenali kerana sumbangan beliau di dalam bidang pendidikan. Selaku seorang pendidik yang tersohor, kuliah-kuliah beliau sering mendapat sambutan yang hangat.

Said Hawwa disegani oleh para ulama yang sezaman dengannya kerana kezuhudan dan kewarakkan beliau. Ustaz Zuhair asy-Syawisy dalam tulisannya mengenai Said Hawwa melalui harian al-Liwa’ menggambarkan beliau sebagai seorang yang hidup serba sederhana. Menurut Zuhair, walaupun status beliau sebagai seorang yang dihormati masyarakat, rumah Said Hawwa tidak berperabot dan pakaian beliau diperbuat daripada kain kasar.

Sikap toleransi dan zuhud beliau juga ditonjolkan pada penerbit-penerbit buku beliau. Walaupun buku-buku beliau diulang cetak tanpa meminta izinnya, beliau tidak pernah mempersoalkan berkenaan bayaran.

Said Hawwa telah diserang penyakit angin ahmar pada tahun 1987 sehingga menyebabkan sebahagian daripada badannya lumpuh. Di samping itu juga beliau telah diuji dengan penyakit-penyakit lain sehingga terpaksa mengasingkan diri daripada orang ramai. Pada disember 1988, beliau telah dimasukkan ke hospital dan pada tanggal 9 Mac 1989, Sa’id Hawwa telah kembali menghadap Allah di Hospital Islam Amman, Jordan. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Sabtu, 18 September 2010

Abang Masih di ICU


Asalamualaikum wbt

Raya Eidul Fitri bagi saya dan keluarga pada tahun ini agak kurang meriah berbanding tahun-tahun yang lepas kerana seorang ahli keluarga saya masih lagi berada di dalam hospital. Ketiadaan abang saya yang ke-dua untuk sama-sama beraya cukup terasa, kerana beliau cukup akrab dengan anak-anak saudaranya terutamanya anak-anak saya dan kakak saya.

Pernah di hari raya beberapa tahun yang lepas semasa saya sekeluarga pulang berhari raya dikampung, saya dan isteri panik apabila mendapati anak-anak saya tiada dirumah , puas kami mencari di dalam dan luar rumah bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain namun tidak juga berjumpa rupa-rupanya mereka mengikut abang saya berhari raya di rumah saudara mara kakak ipar saya, itu pun nasib baik abang saya yang telefon bagi memberitahu keadaan sebenar, begitulah akrabnya anak-anak saya dengan abang saya dan begitulah juga anak-anaknya dengan keluarga saya.

Semasa beliau dimasukkan ke hospital baru-baru ini, anak-anak saya mendesak untuk turut serta menziarahi abang saya tetapi oleh kerana saya balik secara "emergency" maka saya tidak dapat membawa mereka bersama hingga anak-anak saya merajuk dengan saya , hinggalah minggu yang berikutnya semasa cuti merdeka barulah saya bawa mereka pulang untuk menziarahi bapa saudara mereka.

Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan kesabaran kepada abang saya dan mudah-mudahan beliau akan segera sembuh. Amin.

Jumat, 17 September 2010

Perawi 52 - Abi Juhaifah

Abi Juhaifah, ialah Wahab bin Abdullah dan dikatakan juga wahab bin Wahab Al-Suwai Al-Kufi, beliau meriwayatkan sebanyak 45 buah hadis. Saidina Ali bin Abi Talib amat memuliakan Abi Juhaifah dengan memanggilnya “Wahab yang melakukan kebaikan” dan “Wahabullah” kerana beliau terlalu percaya kepadanya. Abi Juhaifah juga merupakan orang yang menubuhkan baitulmal di Kufah. Ketika Rasulullah s.a.w wafat beliau masih kanak-kanak lagi dan beliau meninggal dunia pada tahun 72 Hijrah.

Rabu, 15 September 2010

Perawi 51 - Al-Barra'

Al-Barra’, ialah Al-Barra bin Azib bin Al-Harith Al-Khazraji Al-Ansari, Abu ‘Imarah, ibunya Ummu Habibah binti Abi Habibah, memeluk Islam ketika masih kecil dan bersama-sama Rasulullah s.a.w menyertai peperangan sebanyak 15 kali. Beliau meriwayatkan sebanyak 305 buah hadis dan meninggal dunia di Kufah pada tahun 71 Hijrah.

Selasa, 14 September 2010

Aktiviti Malam Raya




Selepas solat Isyak saya telah membawa keluarga ke i-city yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam. Ini adalah kali pertama saya ke situ dan mengambil peluang sempena cuti Hari Raya untuk mengunjungi taman LED ini kerana difahamkan terdapat ramai pengunjung yang menggunjungi taman ini hampir setiap malam dan sememangnya saya sejak dari dahulu lagi tidak tahan dengan suasana tempat orang yang ramai dan bersesak-sesak, namun pada malam tersebut mereka yang datang melawat agak kurang jumlahnya, mungkin disebabkan ramai yang pulang bercuti di kampung masing-masing, jadi saya ambil kesempatan itu untuk ke sana.


Yang paling excited sekali ialah anak saya yang kecil sekali, gelihati pun ada melihat keletahnya yang cuba memanjat pokok LED sebab nak petik buah. Apa pun dengan aktiviti tersebut dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan kami tidak dapat pulang berhari raya di kampung.

Minggu, 12 September 2010

Majlis Meraikan Sahabat & Petugas Masjid




Asalamualaikum wbt


Memandangkan pada tahun ini saya tidak dapat pulang berhari raya di kampung, maka saya telah menganjurkan satu majlis kecil untuk meraikan para sahabat dan para petugas masjid di rumah saya sebaik sahaja selepas menunaikan solat sunat Ei'dul Fitri. Saya telah menjemput beberapa sahabat dan para petugas masjid untuk sama-sama bersarapan pagi di rumah saya bagi meraikan mereka dan sebagai tanda menghargai usaha mereka mengimarahkan masjid di sepanjang Ramadhan baru-baru ini.


Tanpa mereka mungkin perjalanan Ramadhan di masjid di qariah saya tidak seperti yang diharapkan. Semoga jasa mereka akan mendapat ganjaran di sisi Allah. Insyallah.

Penutup - 10 Sahabat Yang Di Jamin Syurga

Asalamualaikum wbt

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t, kerana dengan izin-Nya maka di hari baik dan bulan yang baik ini, dapat kita habiskan topik 10 sahabat yang dijamin syurga. Mudah-mudahan amal yang sedikit ini akan mendapat ganjaran disisi Allah, Insyallah.

Adalah menjadi harapan saya agar dengan ilmu yang sedikit ini akan menjadikan kita lebih mengenali para sahabat seperti yang disebutkan dan mudah-mudahan kita berazam untuk mengikuti jejak langkah mereka. Mereka para sahabat mendapat didikan terus daripada Rasulullah s.a.w dan bagaimana mereka sanggup mempertahankan nabi walaupun nyawa mereka sendiri menjadi taruhan dan bagaimana didikan dari nabi s.a.w menjadikan mereka umat yang terbaik.

Akhir kata, segala yang baik itu dari Allah s.w.t dan jika ada salah dan silap saya mohon maaf. Insyallah kita akan berjumpa lagi di topik-topik yang lain.

Sekian, wasallam.

Ahmad Nizam Hashim

Selasa, 07 September 2010

Sahabat 10 – Abu Ubaidah bin al-Jarrah ( Aminul Ummah )

Sahabat 10 – Abu Ubaidah bin al-Jarrah ( Aminul Ummah )

Abu Ubaidah dilahirkan 30 tahun sebelum kenabian. Beliau memeluk Islam selang sehari selepas Abu Bakar. Di Madinah beliau dipersaudarakan dengan saudara Ansar yang bernama Muaz bin Jabal.

Abu Ubaidah sempat mengikuti kesemua peperangan bersama Nabi Muhammad. Semasa perang Badar, beliau cuba menggelak daripada bertembung dengan bapanya yang kafir, namun pertembungan tersebut tidak dapat dielakkan dan beliau terpaksa membunuh bapanya. Berhubung dengan peristiwa ini Allah berfirman;”Engkau tidak mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulnya walaupun orang itu adalah ayah kandung, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang Allah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya.” Surah Mujadalah ayat 22.

Abu Ubaidah bin Jarrah meninggal dunia di kota Amwas pada tahun ke-18 hijrah pada usia 58 tahun.

Abu Ubaidah digelar Nabi sebagai Aminul Ummah yang menjadi kepercayaan dikalangan umat. Sebagaimana sabda Nabi;”Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan dan orang kepercayaan di kalangan umat ini adalah Abu ubaidah bin al-Jarrah.”[Hadis riwayat Muslim]

Pada suatu masa sekumpulan penganut kristian dari Najran datang kepada Nabi Muhammad meminta bantuan lalu mereka berkata;”Wahai Abul Qasim, utuslah kepada kami seseorang yang dapat dipercayai (bagi menyelesaikan masalah).” Nabi Muhammad menjawab;”Aku akan utus kepada kalian seorang yang dapat dipercayai, benar-benar dapat dipercayai, benar-benar dapat dipercayai.” Sahabat-sahabat lain segera saling mengharapkan tanggungjawab itu dimana akhirnya Nabi Muhammad menyerahkan tugas tersebut kepada Abu Ubaidah bin Jarrah. [ Hadis riwayat Muslim ]

Sifat unggul yang terdapat pada Abu Ubaidah adalah seorang yang dapat dipercayai, jujur dan merupakan antara orang-orang yang mampu menyelesaikan masalah orang lain termasuk dari kalangan yang bukan Islam.

Senin, 06 September 2010

Salam Hari Raya Ei'dul Fitri



Asalamualaikum wbt

Saya dengan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Ei'dul Fitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca yang mengikuti Blog ini.

Kepada yang ingin pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing, sila pastikan rumah yang anda tinggalkan berkunci dan pastikan juga kenderaan yang akan digunakan untuk pulang berhari raya di kampung berada di dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan, yang penting anda juga mesti mempunyai rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan yang jauh.

Saya doakan agar anda semua selamat pulang dan selamat kembali semula ke destinasi masing-masing dan saya sekali lagi mengucapkan ;


SELAMAT HARI RAYA

EI'DUL FITRI

DAN

MAAF ZAHIR BATIN


Ikhlas Dari ;
Ahmad Nizam Hashim

Perawi 50 - Maimunah

Maimunah, ialah Maimunah binti Al-Harith bin Al-Hazan Al-Hilaliyyah, berkahwin dengan Rasulullah s.a.w pada tahun ke-6 Hijrah. Ada pendapat menyatakan namanya Barrah, dan Maimunah adalah nama yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 46 buah hadis dan beliau meninggal dunia di Sarif, tempat yang hampir dengan Mekah serta dimakamkan di sana pada tahun 51 Hijrah.

Kamis, 02 September 2010

Sahabat 9 - Said bin Zaid ( Yang Tetap Pendirian )

Said bin Zaid di lahirkan di Mekah pada tahun 22 sebelum Hijrah. Beliau lebih dikenali sebagai Abu A’war dan berkahwin dengan adik Umar al-Khattab iaitu Fatimah Khattab. Sahabat Said bin Zaid merupakan faktor yang menyebabkan Umar al-Khattab memeluk Islam. Pada hari tersebut Umar al-Khattab sedang bersiap sedia bagi membunuh Nabi Muhammad, semasa didalam perjalanan beliau telah bertemu dengan Nu’aim bin Abdullah iaitu salah seorang teman baiknya yang beliau tidak ketahui telahpun memeluk Islam. Beliau pun memberitahu Nu’aim bahawa beliau dalam perjalanan ke rumah Nabi Muhammad bagi membunuhnya, Nu’aim menjawab;”Kamu perlu berhati-hati kerana sekiranya kamu menyakiti Muhammad , kamu terpaksa menghadapi keluarga Bani Hasyim. Apakah kamu hendak mengurus halo rang lain dan melupakan keluargamu sendiri ? Iparmu, Said bin Zaid dan adikmu Fatimah memeluk Islam.”

Umar al-Khattab terus menuju kerumah adiknya dan semasa itu Said dan Fatimah sedang membaca Quran yang ditulis di atas daun-daun kurma. Umar terus mencekik leher Zaid bagi membunuhnya, Fatimah yang cuba menghalang Umar telah ditampar sehingga cedera, Fatimah terus berkata;”Ya, kami menjadi muslim. Bunuhlah kami sekiranya kamu suka tetapi kami tidak akan mengganti keimanan kami.” Umar yang tergamam dengan kata-kata adiknya meminta bagi melihat lembaran Quran yang dibaca, Fatimah berkata;”Tidak, badanmu kotor, mandilah terlebih dahulu”. Selesai mandi, Umar membaca ayat Quran yang ada pada lembaran tersebut (Surah Tho Ha, Ayat 1-5).

Beliau terpegun dengan keindahan ayat Quran dan terus menuju kerumah Arqam bin Abi Arqam untuk bertemu nabi dan seterusnya memeluk Islam. Begitulah ciri-ciri unggul yang ada pada Said dimana semasa nyawanya terancam imannya tidak goyang malah terus kukuh dan kental. Said bin Zaid meninggal di Aqiq pada tahun 51 Hijrah dan pada masa itu beliau berusia 70 tahun dan dimakamkan di Madinah.

Rabu, 01 September 2010

Perawi 49 - Abi Tha'labah

Abi Tha’labah, ialah Jurhum, ada pendapat mengatakan Jursum, ada pendapat lagi menyatakan Jurhum atau Jursum, beliau lebih masyhur dengan gelarannya dan telah diutuskan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengislamkan kaumnya. Beliau meninggal dunia ketika dalam keadaan sujud di tengah malam, ada pendapat lain pula menyatakan beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Khalifah Mu’awiyyah dan pendapat lain menyatakan beliau meninggal dunia pada tahun 75 Hijrah.