Minggu, 19 September 2010

Ilmuan Islam - SA'ID HAWWA


SA’ID HAWWA

Said Hawwa atau nama penuh beliau, Sa’id Muhammad Daib Hawwa adalah seorang ulama dan salah seorang tokoh pergerakkan Ikhwanul Muslimin. Beliau dilahirkan di kota Hamah, Syria pada tahun 1935 di dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Ibunya telah meninggal dunia pada ketika usianya baru dua tahun. Beliau dibesarkan oleh ayahnya iaitu seorang aktivis yang menentang penjajahan Perancis.

Beliau melibatkan diri dengan Ikhwanul Muslimin sejak tahun 1952 ketika beliau masih di sekolah menengah. Pada tahun 1963, beliau berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dari Universiti Syria.

Beliau telah merantau ke serata dunia bagi menyebarkan dakwah sehingga ke Iraq, Jordan, Mesir dan Arab Saudi. Malah beliau juga pernah menjejakkan kaki ke Jerman dan Amerika. Beliau turut berpidato semasa Revolusi Hamah pada tahun 1964 dan turut berperanan menganjurkan demonstrasi bagi membantah undang-undang Syria pada tahun 1973.

Beliau kembali ke Syria pada tahun 1973 , dimana ketika beliau sedang mengajar beliau telah ditangkap oleh pemerintah dan dipenjarakan selama lima tahun hingga tahun 1978. Semasa di dalam penjara, beliau sempat menulis tafsir Quran yang dinamakan Al-Asas fi At-Tafsir sebanyak sebelas jilid. Said Hawwa telah menghasilkan banyak buku berkaitan gerakan Islam. Tulisan beliau menjadi rujukan kaum Muslimin di seluruh dunia. Antara karya agung beliau ialah Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan dan Tarbiyatun ar-Ruhiyah.

Said Hawwa bergiat secara aktif di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin, baik diperingkat nasional mahupun antarabangsa. Beliau lebih dikenali kerana sumbangan beliau di dalam bidang pendidikan. Selaku seorang pendidik yang tersohor, kuliah-kuliah beliau sering mendapat sambutan yang hangat.

Said Hawwa disegani oleh para ulama yang sezaman dengannya kerana kezuhudan dan kewarakkan beliau. Ustaz Zuhair asy-Syawisy dalam tulisannya mengenai Said Hawwa melalui harian al-Liwa’ menggambarkan beliau sebagai seorang yang hidup serba sederhana. Menurut Zuhair, walaupun status beliau sebagai seorang yang dihormati masyarakat, rumah Said Hawwa tidak berperabot dan pakaian beliau diperbuat daripada kain kasar.

Sikap toleransi dan zuhud beliau juga ditonjolkan pada penerbit-penerbit buku beliau. Walaupun buku-buku beliau diulang cetak tanpa meminta izinnya, beliau tidak pernah mempersoalkan berkenaan bayaran.

Said Hawwa telah diserang penyakit angin ahmar pada tahun 1987 sehingga menyebabkan sebahagian daripada badannya lumpuh. Di samping itu juga beliau telah diuji dengan penyakit-penyakit lain sehingga terpaksa mengasingkan diri daripada orang ramai. Pada disember 1988, beliau telah dimasukkan ke hospital dan pada tanggal 9 Mac 1989, Sa’id Hawwa telah kembali menghadap Allah di Hospital Islam Amman, Jordan. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar