Minggu, 12 September 2010

Majlis Meraikan Sahabat & Petugas Masjid




Asalamualaikum wbt


Memandangkan pada tahun ini saya tidak dapat pulang berhari raya di kampung, maka saya telah menganjurkan satu majlis kecil untuk meraikan para sahabat dan para petugas masjid di rumah saya sebaik sahaja selepas menunaikan solat sunat Ei'dul Fitri. Saya telah menjemput beberapa sahabat dan para petugas masjid untuk sama-sama bersarapan pagi di rumah saya bagi meraikan mereka dan sebagai tanda menghargai usaha mereka mengimarahkan masjid di sepanjang Ramadhan baru-baru ini.


Tanpa mereka mungkin perjalanan Ramadhan di masjid di qariah saya tidak seperti yang diharapkan. Semoga jasa mereka akan mendapat ganjaran di sisi Allah. Insyallah.

Penutup - 10 Sahabat Yang Di Jamin Syurga

Asalamualaikum wbt

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t, kerana dengan izin-Nya maka di hari baik dan bulan yang baik ini, dapat kita habiskan topik 10 sahabat yang dijamin syurga. Mudah-mudahan amal yang sedikit ini akan mendapat ganjaran disisi Allah, Insyallah.

Adalah menjadi harapan saya agar dengan ilmu yang sedikit ini akan menjadikan kita lebih mengenali para sahabat seperti yang disebutkan dan mudah-mudahan kita berazam untuk mengikuti jejak langkah mereka. Mereka para sahabat mendapat didikan terus daripada Rasulullah s.a.w dan bagaimana mereka sanggup mempertahankan nabi walaupun nyawa mereka sendiri menjadi taruhan dan bagaimana didikan dari nabi s.a.w menjadikan mereka umat yang terbaik.

Akhir kata, segala yang baik itu dari Allah s.w.t dan jika ada salah dan silap saya mohon maaf. Insyallah kita akan berjumpa lagi di topik-topik yang lain.

Sekian, wasallam.

Ahmad Nizam Hashim

Selasa, 07 September 2010

Sahabat 10 – Abu Ubaidah bin al-Jarrah ( Aminul Ummah )

Sahabat 10 – Abu Ubaidah bin al-Jarrah ( Aminul Ummah )

Abu Ubaidah dilahirkan 30 tahun sebelum kenabian. Beliau memeluk Islam selang sehari selepas Abu Bakar. Di Madinah beliau dipersaudarakan dengan saudara Ansar yang bernama Muaz bin Jabal.

Abu Ubaidah sempat mengikuti kesemua peperangan bersama Nabi Muhammad. Semasa perang Badar, beliau cuba menggelak daripada bertembung dengan bapanya yang kafir, namun pertembungan tersebut tidak dapat dielakkan dan beliau terpaksa membunuh bapanya. Berhubung dengan peristiwa ini Allah berfirman;”Engkau tidak mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulnya walaupun orang itu adalah ayah kandung, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang Allah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya.” Surah Mujadalah ayat 22.

Abu Ubaidah bin Jarrah meninggal dunia di kota Amwas pada tahun ke-18 hijrah pada usia 58 tahun.

Abu Ubaidah digelar Nabi sebagai Aminul Ummah yang menjadi kepercayaan dikalangan umat. Sebagaimana sabda Nabi;”Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan dan orang kepercayaan di kalangan umat ini adalah Abu ubaidah bin al-Jarrah.”[Hadis riwayat Muslim]

Pada suatu masa sekumpulan penganut kristian dari Najran datang kepada Nabi Muhammad meminta bantuan lalu mereka berkata;”Wahai Abul Qasim, utuslah kepada kami seseorang yang dapat dipercayai (bagi menyelesaikan masalah).” Nabi Muhammad menjawab;”Aku akan utus kepada kalian seorang yang dapat dipercayai, benar-benar dapat dipercayai, benar-benar dapat dipercayai.” Sahabat-sahabat lain segera saling mengharapkan tanggungjawab itu dimana akhirnya Nabi Muhammad menyerahkan tugas tersebut kepada Abu Ubaidah bin Jarrah. [ Hadis riwayat Muslim ]

Sifat unggul yang terdapat pada Abu Ubaidah adalah seorang yang dapat dipercayai, jujur dan merupakan antara orang-orang yang mampu menyelesaikan masalah orang lain termasuk dari kalangan yang bukan Islam.

Senin, 06 September 2010

Salam Hari Raya Ei'dul Fitri



Asalamualaikum wbt

Saya dengan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Ei'dul Fitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca yang mengikuti Blog ini.

Kepada yang ingin pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing, sila pastikan rumah yang anda tinggalkan berkunci dan pastikan juga kenderaan yang akan digunakan untuk pulang berhari raya di kampung berada di dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan, yang penting anda juga mesti mempunyai rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan yang jauh.

Saya doakan agar anda semua selamat pulang dan selamat kembali semula ke destinasi masing-masing dan saya sekali lagi mengucapkan ;


SELAMAT HARI RAYA

EI'DUL FITRI

DAN

MAAF ZAHIR BATIN


Ikhlas Dari ;
Ahmad Nizam Hashim

Perawi 50 - Maimunah

Maimunah, ialah Maimunah binti Al-Harith bin Al-Hazan Al-Hilaliyyah, berkahwin dengan Rasulullah s.a.w pada tahun ke-6 Hijrah. Ada pendapat menyatakan namanya Barrah, dan Maimunah adalah nama yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 46 buah hadis dan beliau meninggal dunia di Sarif, tempat yang hampir dengan Mekah serta dimakamkan di sana pada tahun 51 Hijrah.

Kamis, 02 September 2010

Sahabat 9 - Said bin Zaid ( Yang Tetap Pendirian )

Said bin Zaid di lahirkan di Mekah pada tahun 22 sebelum Hijrah. Beliau lebih dikenali sebagai Abu A’war dan berkahwin dengan adik Umar al-Khattab iaitu Fatimah Khattab. Sahabat Said bin Zaid merupakan faktor yang menyebabkan Umar al-Khattab memeluk Islam. Pada hari tersebut Umar al-Khattab sedang bersiap sedia bagi membunuh Nabi Muhammad, semasa didalam perjalanan beliau telah bertemu dengan Nu’aim bin Abdullah iaitu salah seorang teman baiknya yang beliau tidak ketahui telahpun memeluk Islam. Beliau pun memberitahu Nu’aim bahawa beliau dalam perjalanan ke rumah Nabi Muhammad bagi membunuhnya, Nu’aim menjawab;”Kamu perlu berhati-hati kerana sekiranya kamu menyakiti Muhammad , kamu terpaksa menghadapi keluarga Bani Hasyim. Apakah kamu hendak mengurus halo rang lain dan melupakan keluargamu sendiri ? Iparmu, Said bin Zaid dan adikmu Fatimah memeluk Islam.”

Umar al-Khattab terus menuju kerumah adiknya dan semasa itu Said dan Fatimah sedang membaca Quran yang ditulis di atas daun-daun kurma. Umar terus mencekik leher Zaid bagi membunuhnya, Fatimah yang cuba menghalang Umar telah ditampar sehingga cedera, Fatimah terus berkata;”Ya, kami menjadi muslim. Bunuhlah kami sekiranya kamu suka tetapi kami tidak akan mengganti keimanan kami.” Umar yang tergamam dengan kata-kata adiknya meminta bagi melihat lembaran Quran yang dibaca, Fatimah berkata;”Tidak, badanmu kotor, mandilah terlebih dahulu”. Selesai mandi, Umar membaca ayat Quran yang ada pada lembaran tersebut (Surah Tho Ha, Ayat 1-5).

Beliau terpegun dengan keindahan ayat Quran dan terus menuju kerumah Arqam bin Abi Arqam untuk bertemu nabi dan seterusnya memeluk Islam. Begitulah ciri-ciri unggul yang ada pada Said dimana semasa nyawanya terancam imannya tidak goyang malah terus kukuh dan kental. Said bin Zaid meninggal di Aqiq pada tahun 51 Hijrah dan pada masa itu beliau berusia 70 tahun dan dimakamkan di Madinah.

Rabu, 01 September 2010

Perawi 49 - Abi Tha'labah

Abi Tha’labah, ialah Jurhum, ada pendapat mengatakan Jursum, ada pendapat lagi menyatakan Jurhum atau Jursum, beliau lebih masyhur dengan gelarannya dan telah diutuskan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengislamkan kaumnya. Beliau meninggal dunia ketika dalam keadaan sujud di tengah malam, ada pendapat lain pula menyatakan beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Khalifah Mu’awiyyah dan pendapat lain menyatakan beliau meninggal dunia pada tahun 75 Hijrah.