Panik gempa Aceh
Oleh Norfatimah Ahmad, Wan Faizal Ismayatim, Nur Fazlina Abd Rahim, Zanariah Abd Mutalib dan Nor Fariza Ramlan
bhnews@bharian.com.my
2012/04/12
KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan kejadian gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara, pada jam 4.38 petang semalam.
Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dipindahkan ke wad pesakit luar, manakala di Hospital Selayang, Selangor yang turut merasai gegaran diminta supaya tidak panik dan ada yang mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar dari bangunan hospital berkenaan.
Majlis Keselamatan Negara Kedah mengarahkan semua penduduk di pesisir pantai Kedah terutama Langkawi dan Kuala Muda bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman masing-masing.
Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan), Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata setakat jam 10 malam tadi, nasihat supaya rakyat menjauhi kawasan pantai ditamatkan.
“Situasi yang semakin reda terutama di sekitar Indonesia membolehkan kita menarik balik nasihat itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sebaik tsunami berlaku petang semalam, jabatan itu mengeluarkan nasihat berkenaan yang wajar dipatuhi bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Che Gayah berkata, hasil pemantauan yang dijalankan, ombak setinggi 0.3 meter dikesan berlaku di Sabang, Aceh iaitu susulan kejadian gempa bumi pertama dan menurun kepada hanya 0.06 meter selepas gempa susulan.
Pada 26 Disember 2004, gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di kawasan sama mengakibatkan tsunami mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Hassan Abd Rahman, berkata hanya dua hospital iaitu Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan merasai gegaran akibat gempa bumi, petang semalam.
“Pihak Hospital Selayang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa jika berlaku kebocoran gas, manakala di Hospital Tengku Ampuan Afzan pula, sebahagian pesakit dipindahkan ke wad pesakit luar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, berkata pihaknya menerima 83 panggilan di seluruh negara berhubung gegaran dialami.
Katanya, Pulau Pinang mencatatkan paling tinggi iaitu 35 panggilan diikuti masing-masing Kuala Lumpur dan Kedah iaitu 12 panggilan. Jentera bomba turut ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.
“Kebanyakan panggilan diterima daripada mereka yang tinggal di bangunan tinggi. Semua anggota dan jentera bomba di seluruh negara kini diletakkan dalam berjaga-jaga,” katanya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke semua bangunan yang merasai gegaran sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, bermula jam 4.47 petang di Wangsa Maju.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar