Asalamualaikum wbt
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah swt kerana dengan izin-Nya maka dapat kita menjalani ibadah puasa pada kali ini dan mudah-mudahan ramadhan pada kali ini dapat mendidik jiwa kita dan keluarga kita supaya menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dengan melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang dan mudah-mudahan segala amal kita serta puasa kita diterima Allah swt. Amatlah malang sekiranya kita hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja maka sia-sialah sahaja puasa kita maka peluang yang masih ada beberapa hari sahaja lagi ini hendaklah kita manfaatkan sebaik-baiknya.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah dan Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca yang saya kasihi, tidak kira dimana jua anda berada. Mudah-mudahan kita semua kembali kepada keadaan suci dan bersih sesuai dengan fitrah kejadian kita. Kepada yang berada diperantauan sudah tentu perasaan rindu kepada kampung halaman dan sanak saudara itu akan datang tetapi janganlah kita biarkan sambutan hari kemenangan kita melawan hawa nafsu diselubungi suasana sedih maka bergembiralah wahai saudara-saudara ku di pagi Syawal nanti.
Walaubagaimanapun di samping kita bergembira menyambut Syawal ini janganlah kita lupakan kepada mereka-mereka yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim, fakir miskin, mereka-mereka yang kematian orang yang tersayang serta saudara-saudara kita yang berada di negara-negara yang sedang bergolak, mudah-mudahan Allah mencurahkan rahmat-Nya kepada mereka. Amin.
Fenomena biasa di Malaysia apabila setiap kali tibanya Syawal ialah budaya kunjung-mengunjungi serta majlis rumah terbuka. Ingin saya berpesan kepada ibubapa, supaya setiapkali anda ingin mengunjungi saudara-mara anda maka bawalah sekali anak-anak anda bertemu dengan saudara-mara mereka kerana merekalah yang akan menyambung warisan ziarah-menziarahi ini didalam menyambung silaturrahim kerana Allah swt dan di dalam keghairahan kita memenuhi jemputan rumah terbuka pula, janganlah sehingga membazir atau makan sehingga terlalu kenyang, jagalah adab-adab kita semasa berada di dalam majlis dan makanlah secara sederhana.
Kepada anda yang akan pulang kekampung halaman masing-masing berhati-hatilah semasa memandu, pastikan anda dan kenderaan anda berada di dalam keadaan baik dan saya doakan kita semua selamat sampai kedestinasi masing-masing dan sentiasa berada dibawah perlindungan Allah swt . Amin.
Akhir qalam, saya sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah dan Maaf Zahir dan Batin daripada saya dan keluarga kepada anda semua.
Sekian, wasalam.
Warkah Nizam
Tidak ada komentar:
Posting Komentar