Senin, 30 Juli 2012

Hikmah Ibadah Puasa






Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai ibadah puasa yang kita sedang lalui sekarang ini tidak kira dimana sahaja kita berada. Sebagaimana seperti yang kita sedia maklum bahawa setiap ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah swt mempunyai pelbagai hikmah dan kelebihan kepada hamba-Nya sendiri. Sememangnya hikmah dan kelebihan itu ada di dalam setiap ibadat kita samada yang tersurat ataupun yang tersirat sebagaimana seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran atau pun hadis Nabi saw.

Pada kali ini kita akan melihat kelebihan ibadah puasa seperti yang telah disyariatkan dan bersesuaian pula dengan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui.  Terdapat pelbagai hikmah berpuasa dan di antara hikmah berpuasa ini adalah seperti berikut ;


1. Merapatkan diri kepada Allah swt
Puasa adalah satu ibadah yang memerlukan seseorang itu meninggalkan keinginan jiwa terhadap makanan dan minuman serta apa-apa yang dilarang semasa berpuasa semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah swt.  Keutamaan di dalam melaksanakan perintah Allah daripada kehendak jiwa atau nafsu seseorang hamba itu dapat menyuburkan perasaan tunduk serta merapatkan diri kepada Allah.  Inilah ‘ketaqwaan’ yang menjadi antara hasil ibadah puasa kepada diri seorang hamba. 
Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 ;

Maksudnya ;
“Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”


2. Membersihkan Jiwa
Orang yang selalu didalam kekenyangan seringkali kita dapati mereka itu leka dan lalai di dalam kehidupan seharian kerana kekenyangan yang berlebihan menjadikan manusia itu malas.  Malah mereka yang selalu menuruti nafsu makan akan menyebabkan sifat-sifat negatif yang ada menguasai diri mereka. Justeru ibadah puasa yang disyariatkan ini dapat membantu manusia di dalam mengawal nafsu mereka di samping membersihkan jiwa dan menyuburkan sifat-sifat positif yang ada dengan penentangan terhadap tuntutan nafsu. Di dalam satu hadis qudsi Allah berfirman ;

Maksudnya;
“Dia (hamba-Ku) meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi kerana-Ku”
Hadis riwayat Al-Bukhari.


3. Mendidik Sifat Berkasih Sayang
Seringkali orang yang kaya lupa kepada yang miskin atau orang yang senang lupa kepada orang yang susah.  Oleh itu dengan berpuasa dapat mendidik seorang muslim itu agar mengingati saudaranya yang hidup didalam keadaan serba kekurangan. Di mana dalam bulan Ramadhan semua umat Islam akan sama-sama berlapar tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Hasil daripada didikan berpuasa ini akan menimbulkan sifat berkasih sayang yang ada dalam diri seseorang manusia dan diteruskan pula dengan amalan bersedekah dan amal kebajikan yang lain.

Nabi bersabda di dalam satu hadis yang bermaksud ;
Perbandingan orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang, berbelas ihsan dan saling mengasihani seumpama satu badan, apabila sakit satu anggotanya maka seluruh badan akan berjaga malam dan demam.”
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim


4. Mendidik Jiwa Agar Sentiasa Bersyukur
Ibadah puasa dapat mendidik kita agar menghargai nikmat yang telah kita kecapi dimana apabila tiba bulan Ramadhan barulah kita merasai dengan sebenar-benarnya nikmat makan minum serta lain-lain nikmat yang kita tidak hiraukan sebelum ini sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 34 yang bermaksud ;
“Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu membilangnya.  Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat meningkari nikmat”


5. Mendidik Jiwa Untuk Menahan Nafsu
Rasulullah saw bersabda dalam satu hadis mengenai kelebihan dan kesan puasa pada diri seorang muslim yang bermaksud ;
“Sesiapa yang diantara kamu mampu berkahwin maka kahwinlah.  Sesungguhnya ia lebih menjaga pandangan dan lebih menyucikan kehormatan.  Sesiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah.  Sesungguhnya puasa itu sebagai penahan nafsu dirinya.”
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Akhir kalam daripada saya, selamat menjalani ibadah puasa kepada semua muslimin dan muslimat.  Mudah-mudahan madrasah ramadhan pada kali ini akan menjadikan kita hamba-hamba Allah yang lebih bertaqwa. Amin.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar