Jumat, 06 Juli 2012

KALAU SUATU HARI AWAK MENANGIS.....


Asalamualaikum wbt

Mudah-mudahan anda semua berada di dalam keadaan sihat dan gembira hendaknya di samping keluarga dan insan yang tersayang.  Pada kali ini saya ingin berkongsi satu kisah yang berlaku suatu ketika dahulu.  Mudah-mudahan kisah ini dapat memberikan pengajaran kepada kita semua.

Kisah ini adalah mengenai seorang lelaki tua yang bekerja sebagai penenun kain.  Setiap hari, lelaki tua ini akan menenun kain dan apabila siap akan dihantarnya kain yang telah ditenun tersebut kepada pemborong-pemborong kain yang berada di kota.  Itulah pekerjaan lelaki tua ini, dan dia melakukkan pekerjaan menenun kain itu dengan cukup berhati-hati kerana pekerjaan itulah sahaja yang dia tahu dan merupakan punca pendapatan kepadanya.  Justeru itulah, beliau amat teliti di dalam menghasilkan tenunannya agar terjamin kualiti dan harga hasil tenunannya.

Kita sedia maklum bahawa para peniaga atau pemborong kain sudah tentulah merupakan mereka yang ahli di dalam bidang mereka, dimana dengan melihat, memegang serta merasai kelembutan tenunan sahaja mereka sudah pasti tahu harga yang patut diletakkan kepada sesuatu tenunan yang ditawarkan.

Maka pada suatu hari, lelaki tua ini bercita-cita untuk mendapatkan pendapatan yang lebih melalui hasil tenunannya.  Maka dia pun berfikir bagaimanakah caranya untuk menghasilkan tenunan yang lebih bermutu agar mendapat pendapatan yang lebih.  Maka dia pun berjalanlah ke serata kota untuk melihat kain-kain tenunan hasil orang lain yang lebih baik serta bertanya kepada sahabat-sahabatnya yang sama-sama terlibat didalam menenun kain mengenai cara manakah untuk menghasilkan tenunan yang lebih bermutu.  Setelah puas dia melihat dan bertanya orang dan yakin dia mampu untuk menghasilkan tenunan yang lebih baik maka dia pun pulang semula kerumahnya dengan penuh bersemangat.

Maka keesokkan harinya maka bermulalah usaha lelaki tua ini di dalam menghasilkan tenunan yang diidam-idamkannya dan dia melakukannya pada kali ini dengan lebih berhati-hati serta menumpukan sepenuh perhatiannya kepada usaha tersebut.  Jika ada yang salah semasa menenun walaupun sedikit maka lelaki tua ini akan membuka dan mengulang semula tenunannya itu walaupun pekerjaan itu rumit, tetapi demi bagi medapatkan pendapatan yang lebih dia sanggup melakukannya tidak sepertimana sebelumnya.

Akhirnya siaplah tenunan lelaki tua ini dan dia dengan perasaan gembira membelek-belek dan mengusap-usap hasil tenunannya sambil membayangkan pendapatan yang bakal diperolehinya kelak.  Dengan hati yang gembira dia pun membawa hasil tenunannya ke kota untuk di jual, setelah tiba di gedung kain yang menjadi kebiasaannya menjual kain, dia pun menghulurkan kain hasil tenunannya dengan perasaan gembira kepada seorang pemuda bagi dinilai harga kain tersebut.  Setelah puas pemuda tersebut membelek-belek kain hasil tenunannya maka terus sahaja pemuda tersebut meletakkan harga dan harga yang diletakkan oleh pemuda tersebut amat memeranjatkan lelaki tua ini kerana ianya adalah jauh lebih murah daripada harga kain yang selalu dijualnya.

Tiba-tiba lelaki tua ini terus menangis dengan bersungguh-sungguh seperti anak kecil sehingga menyebabkan pemuda tadi menjadi serba salah dan terus menawarkan harga yang tinggi sedikit kepada lelaki tua ini dengan harapan akan dapat meredakan tangisan lelaki tua itu, malah perbuatannya itu telah menambahkan lagi tangisan lelaki tua ini.  Setelah beberapa ketika maka redalah tanggisannya dan lelaki tua ini pun bersuara "Sebenarnya aku bukan menangis kerana harga yang kamu letakkan itu rendah, tetapi aku membayangkan bagaimana dengan amalan aku yang selama ini aku lakukan dan bagaimana pula jika dihadapan Allah nanti, Allah menilai sebaliknya segala amalan-amalanku, sebagaimana aku meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada kain hasil tenunanku kepada mu, itulah sebab mengapa aku menangis"

Lelaki tua yang di maksudkan di atas adalah seorang wali Allah.

Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita, adakah amalan yang kita lakukan selama ini sudah cukup sempurna ? Adakah amalan yang kita lakukan selama ini diterima Allah ? Justeru saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan kepada para pembaca yang saya kasihi sekalian, agar sama-samalah kita meningkatkan lagi mutu ibadah kita dengan jalan menuntut ilmu dan janganlah kita bersikap sambil lewa di dalam melaksanakan segala ibadah kita.  Mudah-mudahan kisah yang dipaparkan di atas dapat memberikan pengajaran kepada kita semua.  Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan lelaki tua di dalam kisah di atas.  Wallahualam

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com






Tidak ada komentar:

Posting Komentar