Asalamualaikum wbt,
Kepada para pembaca yang saya kasihi sekalian, semoga anda semuanya sentiasa berada dibawah rahmat dan redha Allah swt.
Pada kali ini saya ingin berkongsikan sedikit ilmu mengenai ibadah haji dengan para pembaca sekalian. Mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua. Insyallah.
Makna Haji
dari sudut syarak adalah ;
“Mengunjungi
Baitullah di Makkah untuk melakukan beberapa amal ibadah pada bulan haji dengan
rukun dan syarat tertentu sebagai perlaksanaan rukun Islam yang kelima”
Terdapat
beberapa dalil daripada Al-Quran & Al-Hadis mengenai ibadah Haji ini dan
salah satunya ialah seperti berikut di mana Firman Allah
swt ;
“Dan serulah
kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada
Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, mereka datang dari
segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh dari seluruh dunia”
[Surah Al-Hajj
ayat 27]
Terdapat
beberapa hikmah mengenai ibadah haji ini dan di antaranya adalah seperti
berikut ;
1. Seperti
yang telah kita sedia maklum, ibadah haji yang dilaksanakan di Makkah pada
suatu tempoh waktu yang di hadkan di dalam Bulan Haji dapat menemukan umat
Islam dari pelbagai tempat, berlainan bangsa, warna kulit, budaya serta bahasa.
Perhimpunan
ini juga adalah untuk memenuhi undangan sebagai tetamu Allah dan menghidupkan
satu suasana persaudaraan sesama Islam berserta tekad dan keimanan yang
teguh kepada Allah swt.
2. Dengan
berpakaian serba putih dan berkain ihram menunjukkan persamaan di antara satu
sama lain tanpa mengira pangkat, kedudukan atau kekayaan apabila seseorang itu
datang menunaikan ibadah Haji.
3. Apabila
kita mengunjungi Baitullah atau rumah Allah ini, kita akan dapat menyaksikan
sendiri bagaimana kesan perjuangan para Rasul terutamanya Nabi Ibrahim a.s,
Nabi Ismail a.s dan juga Rasulullah saw di dalam menegakkan syariat Allah.
4. Di samping
itu umat Islam juga berpeluang untuk menghayati sendiri kesan-kesan tempat
bersejarah seperti Gua Thur, Gua Hira’, Bukit Uhud serta menziarahi makam Nabi
dan para Sahabat.
5. Berwukuf di Padang Arafah juga disifatkan oleh sesetengah
ulama sebagai satu lambang perhimpunan manusia pada hari akhirat nanti. Dimana semuanya menunggu pengadilan daripada
Allah swt di atas segala pekerjaan yang dilakukan semasa di dunia.
6. Ibadah
Haji ini juga akan dapat menyemai rasa keinsafan di kalangan umat Islam bahawa
mereka pasti akan kembali menemui Allah suatu hari nanti dengan tidak membawa
bersama-sama mereka harta, pangkat dan anak pinak kecuali amal soleh mereka.
Wallahualam.
Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar