Jumat, 23 April 2010

Hadis 26 - Berbuat Baik Dan Berlaku Adil Terhadap Orang Lain

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata : "Rasulullah s.a.w telah bersabda : " Setiap sendi manusia wajib bersedekah pada setiap hari ; kamu berlaku adil kepada dua orang yang berkelahi adalah sedekah, kamu menolong lelaki kepada tunggangannya iaitu dengan kamu menolongnya untuk dia menaiki tunggangannya atau kamu menolong mengangkatkan barang-barangnya ke atas tunggangannya adalah sedekah, setiap kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk sembahyang adalah sedekah dan kamu membuang sesuatu yang menyakiti di jalan juga adalah sedekah."

[Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim]

Kepentingan Hadis

Hadis ini menceritakan tentang nikmat Allah kepada manusia iaitu kesihatan tubuh badan dan kesempurnaan anggotanya. Manusia wajib bersyukur kepada Allah pada setiap hari di atas segala nikmat yang diberikan. Di antara cara bersyukur ialah melakukan kerja-kerja yang baik, menyebarkan al-ihsan, membantu orang yang memerlukan pertolongan, baik dalam pergaulan, memperbanyakkan kebajikan, menentang keburukan dan memberi semua kebaikan kepada setiap manusia bahkan kepada semua makhluk. Semua ini adalah sedekah yang manfaatnya dapat dirasai oleh orang lain. Manakala sedekah yang manfaatnya hanya dapat dinikmati oleh pelakunya sahaja ialah zikir, istighfar, berselawat, tadarus Al-Quran dan lain-lain.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar