Kamis, 01 April 2010

Hadis 21 - Istiqomah Dan Iman

Daripada Abu 'Amr, menurut satu pendapat Abu "Amrah, Sufyan Bin Abdullah Al-Thaqafi r.a. berkata : " Aku berkata : " Wahai Rasulullah ! Katakanlah satu perkataan kepadaku tentang Islam yang aku tidak perlu menanyakannya kepada orang lain. " Sabda Rasulullah s.a.w : "Ucapkanlah 'aku beriman dengan Allah' kemudian beristiqomahlah kamu"

Hadis Riwayat Muslim

Kepentingan Hadis

Hadis ini adalah salah satu ungkapan yang ringkas tetapi mempunyai makna yang mendalam yang menjadi keistimewaan Rasulullah s.a.w. Sekalipun susun katanya singkat tetapi ia mengumpulkan pokok-pokok Islam kepada si penanya di dalam dua perkara; iman dan istiqomah.

Sudah sedia maklum bahawa Islam adalah tauhid (mengesakan Allah) dan taat patuh kepada-Nya. Tauhid terhasil dengan ucapan aku beriman dengan Allah dan taat pula terhasil dengan istiqomah kerana istiqomah ialah melaksanakannya semua perintah dan menjauhi segala larangan. Termasuk di dalamnya, pekerjaan hati dan tubuh badan yang berupa iman, Islam dan Ihsan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar