Senin, 23 Mei 2011

Ilmuan Islam - MALIK BIN NABI

MALIK BIN NABI

Malik Bin Nabi dilahirkan di kota Tabissah, Costantine, Timur Algeria pada tahun 1905. Kedua ibubapanya berbangsa Arab, beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat kepada agama Islam.

Beliau menerima pendidikan awal di sebuah sekolah tradisional atau madrasah di Perancis. Ketika beliau berusia 7 tahun, keluarganya telah diusir oleh penjajah ke Tripoli barat. Beliau menghabiskan zaman persekolahan menengahnya dengan membaca dan dalam masa yang sama belajar Bahasa Arab dari seorang guru yang bernama Abdul Majid.

Semasa masih bersekolah, beliau terpaksa berniaga kerana mahu menampung kekurangan keluarga. Ketika itulah beliau merasai kezaliman penjajah ke atas bangsanya.

Malik berjaya memperolehi biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah El-Djelis, Costantine selama 2 tahun. Kemudian beliau memperolehi ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dari sebuah politeknik di Paris. Beliau meneruskan kecemerlangan di dalam bidang akademik apabila berjaya memperolehi ijazah sarjana di dalam bidang yang sama.

Kegiatan Malik di dalam menyebar kesedaran politik telah dikesan oleh pihak penjajah Perancis, akibatnya bapanya yang bekerja dengan kerajaan dipecat dan keluarganya ditekan oleh penjajah. Malah beliau sendiri terpaksa menganggur kerana tidak mendapat pekerjaan akibat ditekan oleh penjajah. Akhirnya beliau berjaya mendapat pekerjaan sebagai wartawan di Harian ‘La Monde’. Hasil penulisan beliau banyak menyentuh mengenai masyarakat Algeria, dunia Arab dan Islam. Dunia penulisan menjadi dunia Malik. Selain menulis di dalam akhbar dan majalah, beliau turut menulis buku. Antara buku beliau yang terkenal adalah al-Zahirah al-Qur’aniyah yang telah berjaya membawa seorang sarjana Perancis memeluk Islam iaitu Dr. Ali Sulaiman Banua.

Kemudian pada tahun 1956, beliau telah berhijrah ke Kaherah,Mesir. Di sana beliau telah menerbitkan makalah bertajuk Al-Najdah al-Sya’b al-Jaza’iriy Yubad. Dengan bantuan seorang rakan bernama Abdul Sabur Syahid, buku-buku tulisan Malik diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Bermula daripada sinilah nama beliau dikenali ramai di negara-negara Arab. Bahkan beliau pernah diberi penghormatan menjadi Pengerusi Muktamar Islam di Kaherah.

Pada tahun 1963, Malik telah pulang ke negara asalnya (Algeria) semasa pemerintahan Huwairiy Bomedin dan dengan reputasinya, beliau telah dilantik ke jawatan Ketua Pengarah Pelajaran Peringkat Tinggi Algeria dan juga menjadi rektor Universiti Algeria.

Beliau dianggap oleh sesetengah pihak antara pemikir Muslim yang tersohor selepas perang dunia kedua, malah menandingi reputasi Muhammad Iqbal. Hasil tulisan beliau banyak menyentuh mengenai keadaan sosial umat Islam. Malik berpendapat kejatuhan kerajaan Al-Muwaheed di utara Afrika pada 1269 telah mengakibatkan tamadun Islam ketandusan idea. Keadaan umat Islam pada hari ini menyedihkan bukan kerana kegagalan Islam tetapi umat Islam dan kerajaan Islam yang meninggalkan ajaran Islam.

Beliau telah menunaikan haji pada tahun 1972 dan tidak sampai setahun kemudian beliau telah meninggal dunia pada usia 68 tahun.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar