Jumat, 23 April 2010

Hadis 26 - Berbuat Baik Dan Berlaku Adil Terhadap Orang Lain

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata : "Rasulullah s.a.w telah bersabda : " Setiap sendi manusia wajib bersedekah pada setiap hari ; kamu berlaku adil kepada dua orang yang berkelahi adalah sedekah, kamu menolong lelaki kepada tunggangannya iaitu dengan kamu menolongnya untuk dia menaiki tunggangannya atau kamu menolong mengangkatkan barang-barangnya ke atas tunggangannya adalah sedekah, setiap kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk sembahyang adalah sedekah dan kamu membuang sesuatu yang menyakiti di jalan juga adalah sedekah."

[Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim]

Kepentingan Hadis

Hadis ini menceritakan tentang nikmat Allah kepada manusia iaitu kesihatan tubuh badan dan kesempurnaan anggotanya. Manusia wajib bersyukur kepada Allah pada setiap hari di atas segala nikmat yang diberikan. Di antara cara bersyukur ialah melakukan kerja-kerja yang baik, menyebarkan al-ihsan, membantu orang yang memerlukan pertolongan, baik dalam pergaulan, memperbanyakkan kebajikan, menentang keburukan dan memberi semua kebaikan kepada setiap manusia bahkan kepada semua makhluk. Semua ini adalah sedekah yang manfaatnya dapat dirasai oleh orang lain. Manakala sedekah yang manfaatnya hanya dapat dinikmati oleh pelakunya sahaja ialah zikir, istighfar, berselawat, tadarus Al-Quran dan lain-lain.

Kamis, 22 April 2010

Hadis 25 - Kurniaan Dan Keluasan Rahmat Allah

"Daripada Abu Dzar radhiallahu'anhu, bahawa beberapa orang sahabat berkata kepada Rasulullah s.a.w. : " Wahai Rasulullah ! Orang-orang yang banyak hartanya telah pergi membawa pahala yang banyak, mereka bersembahyang seperti kami bersembahyang, berpuasa seperti kami berpuasa, (tetapi) mereka boleh bersedekah dengan lebihan harta mereka. " Rasulullah s.a.w bersabda : "Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu yang boleh kamu sedekahkan ? Sesungguhnya bagi kamu dengan setiap kali takbir (mengucapkan Allahu Akbar) adalah sedekah, setiap kali tahmid ( mengucapkan Alhamdulillah ) adalah sedekah, setiap kali tahlil (mengucapkan La ila ha illallah) adalah sedekah, amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah dan pada kemaluan kamu adalah sedekah (iaitu dengan menggauli isteri)." Para sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah! Apakah apabila salah seorang dari kami memuaskan nafsu syahawatnya, maka dia mendapat pahala (sedekah)? " Jawab Baginda s.a.w :" Apakah pendapat kamu seandainya dia memuaskan nafsu syahawatnya pada yang haram, adakah dia dikenakan dosa ? Begitulah sebaliknya kalau dia memuaskannya pada yang halal, maka dia mendapat pahala."

[ Hadis Riwayat Imam Muslim ]

Rabu, 07 April 2010

Hadis 24 - Haram Melakukan Kezaliman

Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman :

"Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim mezalimi di antara satu sama lain.

Wahai hamba-hamba-Ku! Setiap kamu adalah sesat melainkan sesiapa yang Aku berikan kepadanya petunjuk, maka mintalah petunjuk daripada-Ku nescaya akan-Ku berikan petunjuk kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku setiap kamu adalah lapar melainkan sesiapa yang Aku memberikan kepadanya makan, maka mintalah makanan daripada-Ku nescaya akan Ku berikan makanan kepadamu.

Wahai hamba-hamba-Ku ! Setiap kamu adalah bertelanjang kecuali sesiapa yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah pakaian daripada-Ku nescaya akan Ku berikan pakaian kepadamu. Wahai hamba-hamba-KU ! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan di waktu siang dan malam, dan aku mengampuni segala dosa, maka mintalah keampunan daripada-Ku, nescaya akan Ku berikan keampunan kepadamu.

Wahai hamba-hamba-Ku ! Sesungguhnya kamu tidak akan mampu untuk mendatangkan kemudaratan yang boleh menyakiti-Ku. Dan kamu tidak mampu mendatangkan faedah yang boleh memberikan manfaat kepada-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya, kalau semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling bertaqwa di kalangan kamu, kerajaan-Ku tidak akan bertambah sedikit pun di sebabkan perkara tersebut.

Wahai hamba-hamba-Ku ! kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling jahat daripada kamu, kerajaan-Ku tidak akan berkurangan sedikitpun disebabkan perkara tersebut.

Wahai hamba-hamba-Ku ! Kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, daripada kalangan manusia dan jin berada pada satu tempat, mereka meminta kepada-Ku, lalu Aku berikan kepada setiap orang akan permintaannya, maka perkara tersebut tidak akan mengurangkan apa yang ada pada-Ku melainkan sepertimana berkurangnya air lautan apabila dimasukkan sebatang jarum kemudian dikeluarkan daripadanya.

Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia adalah amalan-amalan kamu yang Aku hitungkan untukmu, kemudian Aku sempurnakan balasan kamu disebabkan amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan sesiapa mendapat selain daripada itu, maka janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri."

[ Hadis riwayat Imam Muslim ]


Kepentingan Hadis

Hadis Qudsi ini adalah hadis rabbani yang agung lagi diberkati. Ia mengandungi prinsip-prinsip utama mengenai dasar-dasar, cabang-cabang dan adab-adab Islam. Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya "Al-Azkaar" bahawa Abu Idris al-Khawalaani - yang meriwayatkan hadis ini daripada Abu Zar - ketika beliau membacakan hadis ini, beliau membongkok di atas lututnya kerana membesar dan memuliakannya. Perawi-perawi hadis ini terdiri daripada orang-orang Damsyik. Imam Ahmad bin Hambal berkata : " Tidak ada bagi penduduk Syam hadis yang lebih mulia daripada hadis ini"

Senin, 05 April 2010

Hadis 23 - Setiap Kebaikan Adalah Sedekah

Daripada Abu Malik al-Harith bin 'Asim al-Asy'ari radhiallahu'anhu, katanya : "Rasulullah s.a.w bersabda : "Bersuci separuh daripada iman. Al-hamdulillah memenuhi mizan (timbangan). Subhanallah dan al-hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan di antara langit dan bumi. Sembahyang adalah nur (cahaya). Sedekah adalah keterangan (bukti). Sabar memberikan cahaya. Al-quran boleh menjadikan hujah bagimu atau keatasmu. Setiap manusia berusaha, maka dia menjual dirinya (samada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsunya dengan dia melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), maka ada yang membebaskannya (daripada kehinaan di dunia dan azab di akhirat) dan ada yang membinasakannya (dengan melakukan maksiat)

[ Hadis riwayat Muslim ]


Kepentingan Hadis

Hadis ini menekankan mengenai kepentingan bersuci, zikir, menjaga solat,sedekah, sabar,membaca Al-Quran serta berusaha di dalam mencari keredhaan Allah. Mudah-mudahan hadis ini dapat kita jadikannya amalan di dalam menempuh kehidupan di dunia dan di akhirat.

Minggu, 04 April 2010

Hadis 22 - Jalan Ke Syurga

Daripada Abu Abdullah Jabir Bin Abdullah al-Ansoori, bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w : "Apa pandangan kamu jika sekiranya aku mengerjakan sembahyang yang difardhukan, berpuasa dibulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan aku tidak menambah walaupun sedikit. Adakah aku dapat memasuki syurga ? " Rasulullah s.a.w menjawab : "Ya"

( diriwayatkan oleh Imam Muslim)


Kepentingan Hadis

Al-Jurdani berkata di dalam bukunya " Hadis ini mempunyai kedudukan yang amat tinggi. Putaran Islam berlegar di atas paksinya kerana semua pengertian Islam terkumpul di dalamnya. Ini disebabkan semua tindakan dan tingkah laku manusia adalah lahir daripada hati atau anggota tubuh badannya.

Tindakan dan tingkah laku yang lahir daripada kedua-duanya pula jika diizinkan oleh syarak, maka ia adalah halal, atau yang ditegah maka ia adalah haram. Sebab itulah apabila seseorang menghalalkan apa yang halal dan mengharamkan apa yang haram, maka dia sesungguhnya telah menyempurnakan seluruh tanggungjawabnya terhadap agama dan akan memasuki syurga dengan penuh aman.

Kamis, 01 April 2010

Munajat Ku (Di dalam Menghadapi Ujian)


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

Segala puji-pujian bagi Allah tuhan sekelian alam, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga baginda.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim
Engkaulah pencipta segala apa yang ada dilangit dan di bumi
Engkaulah yang Maha Besar
Engkaulah yang Maha Penyayang
Engkaulah yang Maha Pengasih
Segala-galanya milik Mu Ya Allah, Tuhan semesta alam

Ya Allah Ya tuhan ku,
Pada hari ini Ya Allah, hamba mu yang hina ini menadah tangan memohon kepada Mu Ya Allah,
Pada hari ini Ya Allah, hamba mu yang hina ini menundukkah wajah dan hati ku mengharapkan belas dari Mu, Ya Allah
Pada hari ini Ya Allah, hamba mu yang hina ini mengharapkan pertolongan Mu Ya Allah
Pada hari ini Ya Allah, hamba mu yang hina ini mengharapkan keampunan dari Mu Ya Allah

Ya Rahman, Ya Rahim,
Aku bersyukur kepada Mu Ya Allah, di atas kesempatan yang Engkau telah berikan untuk aku hidup di atas mukabumi Mu, Ya Allah
Aku bersyukur kepada Mu Ya Allah, di atas anugerah yang telah Engkau berikan kepada ku.
Aku bersyukur kepada Mu Ya Allah, di atas hidayah yang telah Engkau kurniakan kepada ku.
Aku bersyukur kepada Mu Ya Allah, di atas nikmat Islam yang telah Engkau berikan kepada ku
Aku bersyukur kepada Mu Ya Allah, di atas kesempatan untuk aku mengenali dan menyayangi hamba-hamba mu Ya Allah, walau pun untuk seketika.
Aku bersyukur kepada Mu Ya Allah, di atas segala-galanya yang tak terhitung banyaknya nikmat yang telah engkau berikan Ya Allah

Ya Allah, Ya Rahim
Aku memohon kepada Mu , agar Engkau pimpinlah aku ke jalan yang Engkau redhai
Aku memohon kepada Mu , agar Engkau kurniakanlah kepada ku kesabaran di dalam menghadapi ujian Mu yang berat ini Ya Allah
Aku memohon kepada Mu , agar Engkau kurniakanlah kepada ku kekuatan di dalam menghadapi ujian Mu yang tak tertanggung ini Ya Allah
Aku memohon kepada Mu , agar Engkau berikanlah kebaikan kepada diriku dan kepada insan-insan yang aku sayangi dan yang aku kasihi Ya Allah.
Aku memohon kepada Mu, agar Engkau tunjukkanlah jalan keluar daripada masalah yang membebankan diriku ini
Sesungguhnya Ya Allah, aku hanyalah hamba mu yang lemah dan tiada daya ku melainkan dengan pertolongan Mu, Ya Allah
Ya Allah janganlah Engkau uji aku dengan sesuatu yang tak mampu aku tanggung Ya Allah

Ya Allah, Ya Halim
Aku merayu kepada Mu, agar Engkau ampunilah segala kesalahan ku
Aku merayu kepada Mu , agar Engkau dapat curahkan belas kasih Mu kepada ku
Aku merayu kepada Mu , agar Engkau dapat hilangkan rasa duka cita ku ini Ya Allah
Aku merayu kepada Mu , agar Engkau dapat tenangkan jiwa ku yang kacau ini Ya Allah
Aku merayu kepada Mu, agar Engkau dapat teguhkan iman ku
Aku merayu kepada Mu, agar Engkau dapat turunkan pertolongan Mu kepada ku di dalam menghadapi ujian Mu ini.
Aku merayu kepada Mu, agar Engkau dapat tenangkan fikiran ku
Aku merayu kepada Mu, agar janganlah Engkau tambahkan lagi derita hamba Mu ini Ya Allah,
Aku tak mampu untuk menghadapinya lagi Ya Allah

Ya Allah, Ya Rahim
Aku sedar Ya Allah, tiada daya dan upayaku melainkan dengan pertolongan daripada Mu, Ya Allah.
Aku sedar Ya Allah, sesudah apa yang telah berlaku kepada ku, kemana lagi yang harus aku bawa diriku selain daripada mendekatkan diriku kepada Mu Ya Allah. Izinkanlah aku untuk mendekatkan diriku kepada Mu Ya Allah
Aku mohon kepada Mu Ya Allah, janganlah Engkau biarkan aku keseorangan di dalam menghadapi dugaan Mu ini Ya Allah ,tanpa pertolongan dari Mu Ya Allah
Aku sedar Ya Allah, ilmu Mu meliputi segala-galanya malah merentasi batas masa, mudah-mudahan Engkau dapat memberikan kepadaku pengganti yang lebih baik, Ya Allah.
Aku sedar Ya Allah, sungguhpun perit dan pedih untuk ditanggung namun Engkau yang Maha Mengetahui segala sesuatu hinggakan setiap butir pasir di dasar lautan tidak terlepas daripada pengetahuan Mu Ya Allah sedangkan aku hamba Mu yang hina ini yang telah banyak melakukan kesalahan dan dosa kepada Mu Ya Allah
Sesungguhnya aku hanyalah hamba Mu yang lemah

Aku redha dengan ujian Mu ini Ya Allah
Aku pasrah dengan dugaan Mu ini Ya Allah
Sungguhpun perit hendak ku tanggung
Dengarkanlah rintihan hati hamba Mu ini kerana Engkau Maha Mendengar

Ampunilah segala dosa-dosaku Ya Allah
Ampunilah segala keterlanjuranku Ya Rahman
Ampunilah segala kesalahanku Ya Rahim

Pimpinlah aku untuk menuju kepada Mu Ya Allah
Bimbingilah aku untuk aku mengenali dan mencintai Mu Ya Allah
Hilangkanlah rasa dukacita ku ini dan gantikanlah dengan kebahagian yang berkekalan di dunia dan di akhirat.

La ila Ha illa anta subha naka i'ni kuntu minadz dzolimin (3 x)

Amin, Ya Rabbul Alamin

Hadis 21 - Istiqomah Dan Iman

Daripada Abu 'Amr, menurut satu pendapat Abu "Amrah, Sufyan Bin Abdullah Al-Thaqafi r.a. berkata : " Aku berkata : " Wahai Rasulullah ! Katakanlah satu perkataan kepadaku tentang Islam yang aku tidak perlu menanyakannya kepada orang lain. " Sabda Rasulullah s.a.w : "Ucapkanlah 'aku beriman dengan Allah' kemudian beristiqomahlah kamu"

Hadis Riwayat Muslim

Kepentingan Hadis

Hadis ini adalah salah satu ungkapan yang ringkas tetapi mempunyai makna yang mendalam yang menjadi keistimewaan Rasulullah s.a.w. Sekalipun susun katanya singkat tetapi ia mengumpulkan pokok-pokok Islam kepada si penanya di dalam dua perkara; iman dan istiqomah.

Sudah sedia maklum bahawa Islam adalah tauhid (mengesakan Allah) dan taat patuh kepada-Nya. Tauhid terhasil dengan ucapan aku beriman dengan Allah dan taat pula terhasil dengan istiqomah kerana istiqomah ialah melaksanakannya semua perintah dan menjauhi segala larangan. Termasuk di dalamnya, pekerjaan hati dan tubuh badan yang berupa iman, Islam dan Ihsan.