Senin, 21 Mei 2012

Peluang Semak Arah Qiblat



Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian.  Ingin saya maklumkan di sini bahawa Fenomena Istiwa Matahari pada tahun ini akan berlaku pada 27hb Mei 2012 ( Ahad )  pada jam 5.16 minit petang dan juga pada 15hb Julai 2012 ( Ahad ) pada jam 5.28 minit petang.

Fenomena Istiwa Matahari ialah suatu keadaan dimana matahari berada tegak 90 darjah di atas Kaabah pada jam 12.00 tengahari waktu Mekah.  Di dalam setahun hanya dua kali sahaja fenomena ini berlaku sebagaimana seperti yang saya maklumkan tadi.

Fenomena ini juga adalah salah satu kaedah yang digunakan bagi menentukan arah Qiblat kita.  Adalah wajar bagi kita untuk mengambil peluang ini untuk menyemak arah qiblat, rumah, pejabat, surau dan lain-lain bagi memastikan arah qiblat kita betul.

Caranya mudah sahaja, ambil sebatang kayu yang lurus (pastikan 90 darjah tegak) dan letakkan diatas permukaan tanah yang rata dan tunggu sehingga waktu istiwa matahari berlaku, contoh yang terdekat adalah pada 27hb Mei 2012 adalah pada jam 5.16 minit petang.  Maka tandakan bayang yang terhasil daripada kayu tegak tadi pada jam 5.16 minit petang dan itu adalah arah qiblat kita.

Selamat mencuba....

Warkah Nizam

Rabu, 09 Mei 2012

Forum MBBP : BERMADU KASIH



Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Masjid Bandar Bukit Puchong (MBBP) akan mengadakan Forum yang bertajuk Bermadu Kasih seperti berikut ;

Panel Penceramah ; 1. Ustaz Ahmad Dasuki
                               2. Dr. Robiah K Hamzah

Tarikh                   ; 19hb Mei 2012
Hari                      ; Sabtu
Masa                    ; Selepas Solat Maghrib
Tempat                 ; Masjid Bandar Bukit Puchong

Kedua-dua ahli panel jemputan ini merupakan tokoh-tokoh yang tidak asing lagi bagi kita dan dengan tajuk yang begitu sensasi ini akan menjadi lebih menarik apabila dikupas oleh kedua-dua tokoh ini, insyallah.

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir ke forum ini dan mohon disebarkan.

Sekian, Wasalam.

Warkah Nizam

Selasa, 08 Mei 2012

Program Lepak Remaja MBBP

Asalamualaikum wbt

Sebagaimana seperti yang telah saya maklumkan di dalam posting saya yang terdahulu, pihak Masjid Bandar Bukit Puchong telah mengadakan suatu program kepada para remaja di dalam qariah Masjid Bandar Bukit Puchong dan ini merupakan program pertama yang di adakan oleh pihak Masjid kepada para remaja pada tahun ini.

Program ini lebih kepada sessi ramah mesra di antara para remaja dengan jawatankuasa Masjid di mana para remaja yang hadir telah mendaftar untuk menjadi rakan masjid.  Disamping itu, jawatankuasa Masjid juga mendengar pendapat mengenai aktiviti-aktiviti yang diminati oleh para remaja dan insyallah akan bermesyuarat bagi memilih salah satu aktiviti yang telah disenaraikan sendiri oleh para remaja untuk dilaksanakan,

Sessi motivasi ringkas secara santai juga turut diadakan bertujuan supaya para remaja ini menjadi seorang insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Bersama-sama ini saya sertakan beberapa keping gambar yang sempat saya rakamkan pada hari tersebut.








Sekian,

Warkah Nizam

Jumat, 20 April 2012

Lepak Remaja - Program Masjid Bandar Bukit Puchong




Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian.  Saya ingin memaklumkan bahawa Masjid Bandar Bukit Puchong akan menganjurkan program Lepak Remaja seperti di butiran dibawah ;

Nama Program  : Lepak Remaja
Tempat              : Masjid Bandar Bukit Puchong
Tarikh               : 29hb April 2012
Hari                   : Ahad
Masa                 : 10.00 pagi - 12.00 Tgh
Peserta              : Remaja Lelaki & Perempuan berumur 9 - 17 tahun

Salah satu daripada objektif program ini adalah untuk mendekatkan remaja dengan Masjid.  Kepada anda yang berkelapangan jemput hadir ke program ini dan mohon di hebahkan. Terima kasih.

Jom ke Masjid

Warkah Nizam


Selasa, 17 April 2012

Ulasan Forum Bila Diri Di Sayangi

Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, sebagaimana seperti yang telah diketahui, pada 11hb April 2012 yang lepas Masjid Bandar Bukit Puchong telah menganjurkan Forum dengan tajuk "Bila Diri Di Sayangi" di mana ahli panel forum terdiri daripada Sham Kamikaze dan Ustaz Zulkifli Ahmad manakala saya sebagai moderator forum pada malam tersebut.

Ingin saya kongsikan bersama dengan para pembaca sekalian pengalaman saya pada malam tersebut. Rasanya ramai yang telah tahu bagaimana Sham Kamikaze boleh berhijrah dengan melihat kisahnya di Youtube tetapi apa yang saya hendak kongsikan disini adalah apabila saya ajukan soalan tentang cabaran yang dihadapinya selepas berhijrah.  Katanya memanglah ramai yang menyokong perubahan pada diri beliau terutamanya kaum keluarga dan sahabat handai tetapi ada juga yang memandang sinis dan mengejek beliau dengan pelbagai tohmahan.

Para pembaca yang saya kasihi sekalian, daripada kisah ini, ingin saya berpesan kepada diri saya dan juga para pembaca sekalian, hendaklah kita meletakkan diri kita sebagai seorang pendakwah dan janganlah kita meletakkan diri kita sebagai seorang penghukum.  Mengapa bila ada orang yang ingin berubah daripada kehidupannya yang negatif kepada yang positif maka akan ada saja suara-suara sumbang seperti "tak lama la tu", "ada hidden agenda" dan lain-lain lagi.  Janganlah kita menghukum mereka, biar siapa pun mereka, berilah mereka peluang dan sokongan serta doa semoga mereka dan juga kita sentiasa berada di atas jalan yang diredhai Allah, kan elok begitu daripada kita berperangsangka buruk terhadap mereka. Bukanlah bermakna kita membiarkan sahaja apa yang mereka lakukan malah sekiranya terdapat kesalahan, berilah nasihat dengan cara yang berhikmah dan penuh kasih sayang mudah-mudahan dengan nasihat kita tadi dapat memberikannya peluang untuk memperbaiki kesalahan yang telah dibuat.

Begitu juga dengan ahli agama atau jemaah masjid janganlah kita memandang dengan renungan yang tajam kepada mereka-mereka yang baru nak berjinak-jinak dengan masjid ataupun di majlis-majlis ilmu, raikanlah mereka jadikanlah mereka sebagai sebahagian daripada kita sebagaimana hadis Nabi s.a.w "setiap orang Islam itu bersaudara" maka kasihilah mereka sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri. Insyallah suatu masa nanti masjid-masjid akan penuh dengan manusia apabila mereka seronok dengan suasana persaudaraan di dalam Islam. Wallahualam.

Saya sertakan beberapa keping gambar pada malam tersebut ihsan dari sahabat saya untuk para pembaca sekalian kerana pada malam tersebut saya bertugas sebagai moderator jadi tak dapatlah nak ambil gambar.


 Ramai juga jemaah yang hadir

 Dari Kiri Sham Kamikaze, Ustaz Zulkifli dan saya


Antara muslimat yang hadir


Sekian, 
Warkah Nizam


Kamis, 12 April 2012

Amaran Tsunami

Panik gempa Aceh
Oleh Norfatimah Ahmad, Wan Faizal Ismayatim, Nur Fazlina Abd Rahim, Zanariah Abd Mutalib dan Nor Fariza Ramlan
bhnews@bharian.com.my
2012/04/12

Gempa bumi di Aceh, semalam, menyebabkan penduduk di beberapa negara merasai gegaran lari menyelamatkan diri

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan kejadian gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara, pada jam 4.38 petang semalam.

Kira-kira dua jam kemudian, penduduk turut dikejutkan dengan gempa susulan pada jam 6.43 petang yang berukuran 8.5 pada skala Richter.
Kedua-dua kejadian itu menyebabkan penduduk merasai gegaran berterusan hampir satu minit, dan gegaran lebih kuat dialami penduduk di Perlis, Langkawi, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Malah, penghuni bangunan tinggi dan hotel di sepanjang pantai peranginan di Batu Feringgi dan Pulau Langkawi diarah keluar dan berlindung di kawasan tanah tinggi berikutan kebimbangan berlaku tsunami.

Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang dipindahkan ke wad pesakit luar, manakala di Hospital Selayang, Selangor yang turut merasai gegaran diminta supaya tidak panik dan ada yang mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar dari bangunan hospital berkenaan.

Majlis Keselamatan Negara Kedah mengarahkan semua penduduk di pesisir pantai Kedah terutama Langkawi dan Kuala Muda bersiap sedia untuk meninggalkan kediaman masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan), Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata setakat jam 10 malam tadi, nasihat supaya rakyat menjauhi kawasan pantai ditamatkan.
“Situasi yang semakin reda terutama di sekitar Indonesia membolehkan kita menarik balik nasihat itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebaik tsunami berlaku petang semalam, jabatan itu mengeluarkan nasihat berkenaan yang wajar dipatuhi bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Che Gayah berkata, hasil pemantauan yang dijalankan, ombak setinggi 0.3 meter dikesan berlaku di Sabang, Aceh iaitu susulan kejadian gempa bumi pertama dan menurun kepada hanya 0.06 meter selepas gempa susulan.

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi berukuran 9.1 skala Richter di kawasan sama mengakibatkan tsunami mengorbankan 170,000 penduduk Aceh, selain 60,000 penduduk di India, Sri Lanka, Thailand dan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Hassan Abd Rahman, berkata hanya dua hospital iaitu Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan merasai gegaran akibat gempa bumi, petang semalam.

“Pihak Hospital Selayang menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa jika berlaku kebocoran gas, manakala di Hospital Tengku Ampuan Afzan pula, sebahagian pesakit dipindahkan ke wad pesakit luar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, berkata pihaknya menerima 83 panggilan di seluruh negara berhubung gegaran dialami.

Katanya, Pulau Pinang mencatatkan paling tinggi iaitu 35 panggilan diikuti masing-masing Kuala Lumpur dan Kedah iaitu 12 panggilan. Jentera bomba turut ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

“Kebanyakan panggilan diterima daripada mereka yang tinggal di bangunan tinggi. Semua anggota dan jentera bomba di seluruh negara kini diletakkan dalam berjaga-jaga,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan ke semua bangunan yang merasai gegaran sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, bermula jam 4.47 petang di Wangsa Maju.