Minggu, 04 Agustus 2013

Selamat Menyambut Eidul Fitri



Asalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana dengan izin-Nya maka kita telah dapat menjalani ibadah puasa pada tahun ini dan mudah-mudahan kita juga akan dipertemukan lagi dengan ramadhan yang akan datang, insyaAllah. Mudah-mudahan puasa kita pada kali ini merupakan puasa kita yang terbaik dan segala amalan kita di terima Allah.

Tidak berapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya Fitrah sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kita kepada Allah di dalam melawan hawa nafsu kita.  Semoga tarbiah Ramadhan pada kali ini dapat mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dan lebih baik berbanding dahulu.  Amatlah rugi sekiranya selepas Ramadhan ini kita kembali kepada sifat-sifat buruk kita seperti mana sebelum Ramadhan dan lebih malang lagi jika Ramadhan ini tidak membawa apa-apa pengertian bahkan sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain. 

Sempena dengan hari raya yang bakal menjelang tiba, marilah kita ambil kesempatan untuk maaf bermaafan di antara satu sama lain, ziarahlah ibubapa, saudara mara serta rakan taulan. Bawa bersama anak-anak kita dan perkenalkan kepada saudara mara kita dan jangan kita biarkan anak-anak kita leka dengan gadjet seperti smart phone, tablet dan lain-lain sehingga tidak mempedulikan orang lain, sebagai ibubapa kita perlu pastikan cuti hari raya ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengeratkan lagi silaturahim sesama keluarga.

Marilah kita sama-sama berazam untuk meneruskan puasa 6 hari di dalam bulan Syawal sebagai tanda kencintaan kita kepada ibadah puasa ini.

Dengan ini saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah kepada para pembaca yang saya kasihi sekelian tidak kira dimana jua anda berada. Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk menguatkan lagi persaudaraan sesama Islam tanpa mengira bangsa dan negara. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin daripada kami sekeluarga sekiranya terdapat salah dan silap saya di dalam mengendalikan blog ini.

Sekian,

Warkah Nizam

Jumat, 05 Juli 2013

Marhaban Ya Ramadhan



Asalamualaikum wbt

Agak lama juga saya tidak kemaskini info di blog saya disebabkan oleh kesibukan tugas serta kelemahan saya sendiri. Apa pun harapan saya agar semua pembaca yang saya kasihi berada di dalam keadaan sihat wal afiat semuanya di samping keluarga tersayang.

Beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan, insyallah.  Apabila direnung kembali sebenarnya bulan Ramadhan ini adalah salah satu anugerah Allah yang cukup besar kepada hamba-hambaNya, tidak semua orang berpeluang untuk berada di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini, lihatlah di sekeliling kita mungkin ada di kalangan adik beradik, saudara mara, jiran tetangga serta sahabat handai kita yang telah meninggal dunia ( mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa-dosa mereka serta di tempatkan bersama-sama hamba-hambaNya yang beriman dan yang beramal soleh, amin).  Oleh yang demikian jika kita diberi peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan pada kali ini maka pergunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya kerana mungkin kita juga tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengannya selepas ini.

Hidupkanlah Ramadhan kita dengan amalan-amalan sunat seperti berzikir, berselawat, membaca Al-Quran, bersedekah, solat Terawih dan lain-lain lagi.  Pada masa yang sama perbanyakkanlah berdoa kepada Allah memohon keampunanNya dan apa-apa yang kita hajatkan.  Mudah-mudahan kita juga akan dipertemukan dengan malam lailatul qadar, amin.

Di dalam kita sibuk beribadah di dalam bulan Ramadhan ini janganlah kita lupa kepada saudara-saudara kita yang sedang berpuasa di bumi yang sedang bergolak seperti di Palestine, Syria, Myanmar, Mesir dan lain-lain lagi.  Bagaimanakan keadaan mereka? makanan apakah yang mereka makan semasa berbuka? sedangkan sesetengah kita di sini berbuka dengan makanan yang mewah-mewah dan adakalanya sehingga membazir.  Janganlah kita lupa bahawa salah satu hikmah berpuasa ialah melawan hawa nafsu kita marilah kita didik nafsu kita di bulan Ramadhan ini.

Akhir kalam saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada seluruh umat Islam tak kira dimana jua anda berada terutamanya kepada para pembaca setia blog ini, walaupun sudah agak lama saya tidak kemaskini laman blog ini, anda masih juga setia mengikuti sebarang perkembangan jika ada, sekali lagi saya mohon maaf di atas kelemahan saya. 

Sekian...

Warkah Nizam




Sabtu, 22 Juni 2013

Program Muslimat Masjid Bandar Bukit Puchong



Asalamualaikum wbt

Masjid Bandar Bukit Puchong akan mengadakan program berikut pada 23hb Jun 2013.  Semua muslimin dan muslimat di jemput hadir.  Cuma program Muslimah Seanggun Bidadari dikhaskan untuk muslimat sahaja.  Mohon dihebahkan.

Terima kasih.