Tampilkan postingan dengan label Perawi Hadis - Kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Perawi Hadis - Kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah. Tampilkan semua postingan

Rabu, 29 September 2010

Perawi Hadis - Penutup

Asalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya maka topik biografi ringkas para perawi hadis daripada kitab Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah ini dapat kita selesaikan. Para pembaca yang saya kasihi sekalian, sebenarnya bukanlah tujuan utama saya hanya untuk menghabiskan mana-mana topik yang saya kemukakan disini tetapi lebih kepada usaha untuk menarik minat kita semua bagi mendalami sesuatu bidang ilmu itu, mudah-mudahan dengan yang demikian Allah akan membuka jalan untuk kita kepada pintu-pintu ilmu-Nya.

Insyallah, sama-samalah kita berusaha dan mencari jalan untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya. Asas kepada Islam adalah ilmu dan ayat pertama yang diturunkan juga berkaitan dengan ilmu, maka sewajarnyalah kita menjadikan diri kita dan keluarga kita sebagai orang yang berilmu serta berakhlak mulia. Sebagaimana seperti hadis Nabi s.a.w berkaitan dengan perkara ini dimana Baginda bersabda sesiapa yang berkehendakkan kepada dunia, dia mestilah mempunyai ilmu, sesiapa yang berkehendakkan kepada akhirat juga, dia mestilah mempunyai ilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kepada kedua-duanya juga, dia mestilah mempunyai ilmu. Jadi persoalannya disini, kategori orang yang bagaimanakah yang kita inginkan ?
Akhir qalam, segala yang baik itu datang dari Allah dan sekiranya ada salah dan silap, saya mohon maaf. Semoga usaha yang tidak seberapa ini akan mendapat ganjaran di sisi Allah.
Sekian, wasalam.

Selasa, 28 September 2010

Perawi 57 - Salamah Bin Al-Akwa

Salamah Bin Al-Akwa, ialah; Salamah bin Amru bin Al-Akwa dan nama Al-Akwa ialah Sinan bin Abdullah Al-Aslami, menyertai Perjanjian Ridwan di Hudaibiyyah. Beliau seorang yang gagah berani, berakhlak mulia dan terpuji, menyertai peperangan bersama Rasulullah s.a.w sebanyak 7 kali dan meriwayatkan sebanyak 77 buah hadis. Beliau menetap di Madinah dan kemudian di Al-Rabazah hinggalah saat kematiannya beliau kembali ke Madinah. Meninggal dunia di sana pada tahun 74 Hijrah ketika berusia 80 tahun.

Senin, 27 September 2010

Perawi 56 - Sahlun Bin Saad

Sahlun Bin Saad, ialah ; Sahlun bin Saad bin Malik Al-Sa’adiy Al-Khazraji Al-Ansari Al-Madani, nama asal beliau ialah Hiznan kemudian Rasulullah s.a.w telah menukar namanya kepada Sahlan. Ketika Rasulullah s.a.w wafat beliau berumur 15 tahun dan meriwayatkan sebanyak 188 buah hadis. Meninggal dunia di Madinah pada tahun 88 Hijrah dan ada pendapat menyatakan pada tahun 91 Hijrah.

Jumat, 24 September 2010

Perawi 55 - Syaddad Bin Aus

Syaddad Bin Aus, ialah; Syaddad bin Aus bin Thabit bin Al-Munzir Al-Najaari Al-Madani Al-Anssari, telah meriwayatkan sebanyak 50 buah hadis dan beliau merupakan orang yang banyak beribadat, berilmu, berakhlak mulia dan sangat takut kepada Allah. Beliau menetap di Baitul Maqdis dan meninggal dunia di sana pada tahun 58 Hijrah, ada pendapat mengatakan tahun 41 Hijrah dan 64 hijrah ketika berusia 75 tahun.

Rabu, 22 September 2010

Perawi 54 - Abdullah

Abdullah, ialah ; Abdullah bin Mas’ud bin Ghafil bin Habib, Ibunya Ummu ‘Abdun binti ‘Abdun Waddu, telah memeluk Islam dan berhijrah. Abdullah telah lama memeluk Islam, iaitu ketika pengislaman Sa’id bin Zaid dan beliau merupakan orang yang pertama membaca Al-Quran dengan nyaring, beliau telah meriwayatkan sebanyak 848 buah hadis dan meninggal dunia di Madinah pada tahun 32 Hijrah ketika berumur 60 tahun.

Senin, 20 September 2010

Perawi 53 - Uqbah bin Amir


Uqbah bin Amir, ialah; Uqbah bin Amir bin Abas bin Amru Al-Juhani, Abu Hammad. Beliau telah meriwayatkan 55 buah hadis dan mempunyai suara yang merdu ketika membaca Al-Quran. Beliau tinggal di Damsyik dan Mesir serta bersama-sama dalam pembukaan negara Syria. Beliau menjadi utusan kepada Saidina Umar ketika pembukaan Damsyik, sampai di Madinah selama 7 hari perjalanan dan kembali ke Syria selama 2 ½ hari kerana doa beliau di makam Rasulullah s.a.w agar dipercepatkan perjalanannya. Beliau menunggal dunia di Mesir pada tahun 58 Hijrah.

Jumat, 17 September 2010

Perawi 52 - Abi Juhaifah

Abi Juhaifah, ialah Wahab bin Abdullah dan dikatakan juga wahab bin Wahab Al-Suwai Al-Kufi, beliau meriwayatkan sebanyak 45 buah hadis. Saidina Ali bin Abi Talib amat memuliakan Abi Juhaifah dengan memanggilnya “Wahab yang melakukan kebaikan” dan “Wahabullah” kerana beliau terlalu percaya kepadanya. Abi Juhaifah juga merupakan orang yang menubuhkan baitulmal di Kufah. Ketika Rasulullah s.a.w wafat beliau masih kanak-kanak lagi dan beliau meninggal dunia pada tahun 72 Hijrah.

Rabu, 15 September 2010

Perawi 51 - Al-Barra'

Al-Barra’, ialah Al-Barra bin Azib bin Al-Harith Al-Khazraji Al-Ansari, Abu ‘Imarah, ibunya Ummu Habibah binti Abi Habibah, memeluk Islam ketika masih kecil dan bersama-sama Rasulullah s.a.w menyertai peperangan sebanyak 15 kali. Beliau meriwayatkan sebanyak 305 buah hadis dan meninggal dunia di Kufah pada tahun 71 Hijrah.

Senin, 06 September 2010

Perawi 50 - Maimunah

Maimunah, ialah Maimunah binti Al-Harith bin Al-Hazan Al-Hilaliyyah, berkahwin dengan Rasulullah s.a.w pada tahun ke-6 Hijrah. Ada pendapat menyatakan namanya Barrah, dan Maimunah adalah nama yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 46 buah hadis dan beliau meninggal dunia di Sarif, tempat yang hampir dengan Mekah serta dimakamkan di sana pada tahun 51 Hijrah.

Rabu, 01 September 2010

Perawi 49 - Abi Tha'labah

Abi Tha’labah, ialah Jurhum, ada pendapat mengatakan Jursum, ada pendapat lagi menyatakan Jurhum atau Jursum, beliau lebih masyhur dengan gelarannya dan telah diutuskan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengislamkan kaumnya. Beliau meninggal dunia ketika dalam keadaan sujud di tengah malam, ada pendapat lain pula menyatakan beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Khalifah Mu’awiyyah dan pendapat lain menyatakan beliau meninggal dunia pada tahun 75 Hijrah.

Rabu, 25 Agustus 2010

Perawi 48 - Amir Bin Saad

Amir Bin Saad, ialah Amir bin Saad bin Abi Waqas Al-Quraisyi, Al-Zuhri Al-Madani dari kalangan tabi’in. Beliau menjadi sebutan di kalangan orang-orang tertentu seperti bapanya, Saidina Uthman bin Affan, Ibnu Umar, Usamah, Abu Said, Abu Hurairah, Saidatina Aisyah dan lain-lain. Anaknya iaitu Daud dan Said bin Al-Musyyib telah meriwayatkan hadis dari beliau dan mereka amat mempercayainya. Beliau meninggal dunia di Madinah pada tahun 103 Hijrah.

Jumat, 20 Agustus 2010

Perawi 47 - Al-Aswad Bin Yazid

Al-Aswad Bin Yazid, ialah Al-Aswad bin Yazid bin Qis bin Abdullah An-Nakha’1 Al-Kufi dari kalangan tabi’in, merupakan orang yang soleh dan berpengetahuan agama yang mendalam dan bersama Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab. Beliau meninggal pada tahun 75 Hijrah.

Senin, 16 Agustus 2010

Perawi 46 - Abbas

Abbas, adalah anak ‘Abdul Mutalib, iaitu bapa saudara Rasulullah s.a.w.

Perawi 45 - Jundub Bin Abdullah

Jundub Bin Abdullah, ialah, Jundub bin Abdullah bin Sufyan Al-Bajali, tinggal di Kufah dan Basrah. Dia telah berkata ; “Sesungguhnya kami adalah pemuda yang berpihak kepada Rasulullah s.a.w, kami telah mempelajari keimanan sebelum mempelajari Al-Quran, kemudian setelah kami mempelajari Al-Quran, maka bertambahlah keimanan kami.” Beliau telah meninggal dunia ketika berumur 76 tahun.

Sabtu, 14 Agustus 2010

Perawi 44 - Abdullah B Mughaffal

Abdullah bin Mughaffal, ialah ; Abdullah bin Mughaffal bin Abdu Ghanam, dikatakan juga Ibnu Abdu Nahim Al-Mazni Al-Madani Al-Basri. Beliau merupakan ahli anggota perjanjian Ridwan, beliau tinggal di Madinah dan kemudian berpindah ke Basrah, beliau juga merupakan antara 10 orang yang diutuskan Saidina Umar bin Al-Khattab ke Basrah untuk mengajar penduduk di sana. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 43 buah hadis dan telah meninggal dunia di Basrah pada tahun 60 Hijrah, ada pendapat menyatakan 59 Hijrah.

Selasa, 10 Agustus 2010

Perawi 43 - Imran Bin Hasin

Imran Bin Hasin, ialah; Imran bin Hasin bin Abid Al-Khuza’I dan memeluk Islam pada tahun ke 7 Hijrah, beliau telah meriwayatkan sebanyak 180 buah hadis dan meninggal dunia di Basrah pada tahun 52 Hijrah.

Minggu, 08 Agustus 2010

Perawi 42 - Abdullah Bin Abi Aufa

Abdullah bin Abi Aufa, ialah ; Abdullah bin Alqamah (Abi Aufa) bin Khalid Al-Aslami. Beliau telah menyertai perjanjian Ridwan, Khaibar dan lain-lain bersama-sama Rasulullah s.a.w. Beliau tidak tinggal di Madinah melainka setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 95 Hadis. Selepas itu beliau berpindah ke Kufah dan meninggal dunia di sana pada tahun 86 Hijrah.

Jumat, 06 Agustus 2010

Perawi 41 - Mu'az

Mu’az, ialah ; Muaz bin Jabal bin Amru Al-Ansari Al-Khazraji Al-Madini, merupakan orang yang fakih dalam bidang agama serta orang salih, beliau memeluk Islam ketika berumur 18 tahun. Beliau ada bersama-sama dalam perjanjian Aqabah bersama-sama 70 orang dari golongan Ansar, beliau juga menyertai peperangan Badar, Uhud, Khandaq dan lain-lain. Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan beliau dengan Abdullah bin Mas’ud. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 157 buah Hadis. Meninggal dunia di Syria pada tahun 18 Hijrah akibat penyakit taun ketika berumur 33 tahun.

Rabu, 04 Agustus 2010

Perawi 40 - Zaid

ZAID, ialah ; Zaid bin Khalid Al-Juhani, beliau tinggal di Madinah, telah menyaksikan perjanjian Hudaibiyah dan perjumpaan Juhainah ketika Pembukaan Mekah. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 81 buah hadis. Meninggal dunia di Madinah, ada pendapat menyatakan di Kufah dan Mesir pada tahun 68 Hijrah ketika berumur 80 tahun.

Senin, 02 Agustus 2010

Perawi 39 - Sa'ad

Sa’ad, ialah; Saad bin Abi Waqas, merupakan salah seorang dari sepuluh orang yang dijanjikan syurga. Beliau merupakan orang awal memeluk Islam ketika berumur 17 tahun dan juga merupakan golongan yang awal berhijrah ke Madinah. Beliau banyak menyertai peperangan bersama Rasulullah s.a.w seperti perang Badar, Uhud, Khandaq dan lain-lain lagi, beliau elah meriwayatkan 270 buah hadis. Beliau telah meninggal dunia di Aqiq – nama tempat yang hampir dengan Madinah pada tahun 55 Hijrah, dibawa ke Madinah, disembahayangkan dan disemadikan di Perkuburan Baqi’.