Tampilkan postingan dengan label Hadis 40 - Imam Nawawi. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Hadis 40 - Imam Nawawi. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 26 Juni 2010

Syarah Hadis 40, Imam Nawawi - Penutup

Asalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya, maka dapat kita selesaikan tajuk Syarah Hadis 40 - Imam Nawawi. Walaubagaimanapun ingin saya ingin berpesan bahawa apa yang saya catatkan di sini hanyalah matan hadis dan kepentingan hadis sahaja buat tatapan para pembaca. Sebenarnya masih banyak lagi ilmu yang terkandung di dalam kitab tersebut yang tidak dapat saya catatkan disini kerana terlalu banyak dan perlu merujuk kepada guru-guru hadis untuk menghuraikan sesetengah perkara dari hadis-hadis tersebut.

Apapun saya berharap agar blog ini akan dapat membantu para pembaca sekalian, apabila ingin mencari hadis sebagaimana yang terkandung di dalam kitab Syarah Hadis 40 Imam Nawawi samada untuk dibuat rujukan atau bagi tujuan hafalan.

Mudah-mudahan dengan sedikit ilmu yang di sampaikan di sini akan menyemarakkan lagi semangat kita di dalam menuntut ilmu dan di dalam mencari keredhaan Allah. Mudah-mudahan dengan yang demikian kita akan sentiasa berada di bawah pimpinan Allah sw.t di dalam meniti arus kehidupan yang mencabar. Saya juga berdoa agar dengan apa yang telah di sampaikan di sini akan dapat memberikan kita manfaat serta dapat di amalkan dan disampaikan kepada saudara-saudara kita yang lain, Insyallah. Amin.

Akhir kata dari saya, sekiranya ada salah dan silap dari saya, saya mohon maaf dan mohon dimaklumkan kepada saya agar dapat diperbetulkan jika terdapat kesalahan ataupun kesilapan.

Sekian, wasalam.

Selasa, 22 Juni 2010

Hadis 42 – Keluasan Keampunan Allah S.W.T

Hadis 42 – Keluasan Keampunan Allah S.W.T

Daripada Anas r.a, katanya : “ Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Allah s.w.t telah berfirman : “ Wahai anak Adam ! Sesungguhnya selagimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai anak Adam ! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu. Wahai anak Adam ! Jika kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian kamu menemui-Ku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyekutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.”

[ Hadis riwayat Tirmizi ]


Kepentingan Hadis

Hendaklah kita sentiasa memohon keampunan di atas segala dosa-dosa yang kita lakukan samada secara sedar ataupun tidak, kita tidak boleh lepas lari daripada melakukan dosa dan kesilapan. Rasulullah sendiri sentiasa beristighfar kepada Allah setiap hari dan ketika, sedangkan baginda telah dijanjikan syurga oleh Allah. Maka sepatutnya kita yang belum tahu dimana kesudahan kita menggunakan kesempatan yang tersisa ini untuk lebih lagi memohon keampunan Allah sebelum ajal datang menjemput.

Janganlah kita bersangka buruk bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa kita dan kerana itu, kita terus hidup dalam keadaan berdosa kerana itu adalah bisikan syaitan yang ingin menjadikan kita sebagai temannya dineraka kelak . Wallahualam.

Minggu, 13 Juni 2010

Hadis 41 - Mengikuti Syariat Allah; Tiang Keimanan

Hadis 41 – Mengikuti Syariat Allah; Tiang Keimanan

Daripada Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin al-Aas r.a daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda ; “Tidak beriman seseorang daripada kalangan kamu sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.”

Hadis ini adalah hadis hasan sahih.


Kepentingan Hadis

Setiap muslim wajib menjadikan al-Kitab dan as-Sunnah sebagai neraca kepada semua tindak tanduknya serta berusaha supaya sesuai dengan kehendak kedua-duanya.

Sesiapa yang hatinya membenarkan syariat Allah dan diikrar dengan lisan, tetapi perbuatannya bertentangan dengan syariat tersebut, maka dia termasuk dikalangan orang-orang yang fasik. Sesiapa yang amalannya selari dengan syariat tetapi iktikad dan pemikirannya menyanggahi syariat, maka dia tergolong dikalangan orang-orang yang munafiq. Manakala mereka yang selalu berubah-ubah pendiriannya berdasarkan kepada keadaan, maka mereka adalah orang-orang zindiq yang keluar dari agama.

Diantara tuntutan iman ialah membela dan mempertahankan sunnah Rasulullah s.a.w serta syariat yang dibawanya.

Rabu, 09 Juni 2010

Hadis 40 – Dunia Adalah Jambatan Akhirat

Daripada Ibnu Umar r.a beliau berkata : “Rasulullah s.a.w memegang dua bahuku sambil bersabda :”Jadilah kamu didunia ini seolah-olah kamu adalah orang asing atau sebagai orang yang melalui jalan.”

Ibnu Umar telah berkata : “Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu menunggu diwaktu pagi. Dan jika kamu berada diwaktu pagi, janganlah kamu menunggu diwaktu petang. Manfaatkanlah kesihatanmu sebelum sakitmu dan hidupmu sebelum datangnya kematianmu.”

[ Hadis Riwayat Bukhari ]


Kepentingan Hadis

Hadis yang mulia ini adalah hadis yang bernilai tinggi, banyak faedahnya, mengumpul banyak kebaikan dan memberikan berbagai pengajaran. Ia merupakan hadis yang dijadikan dalil supaya memendekkan cita-cita di dunia yang fana ini. Bagi seorang mukmin, dia tidak sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai watan dan tempat tinggalnya yang tetap serta merasa tenang terhadapnya. Bahkan dia hendaklah merasakan bahawa dirinya tidak lebih daripada seorang pengembara yang singgah di suatu tempat untuk mengambil bekalan dan menyiapkan kenderaan untuk meneruskan perjalanan demi menghadapi hari yang dijanjikan ; dihari yang tidak memberi guna harta dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah s.w.t dengan hati yang sejahtera.

Rabu, 02 Juni 2010

Hadis 39 - Penghapusan Dosa Dalam Islam

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku kerana aku jika mereka tersalah, terlupa dan dipaksa”

[ Hadis Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi Dan Lain-lain ]


Kepentingan Hadis

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata di dalam kitab Syarah Hadis Empat Puluh : “ Hadis ini mengandungi beberapa faedah dan perkara yang penting, jika dikumpulkan, ia membentuk satu karangan yang tidak dapat dimuatkan didalam kitab ini.”

Ibnu Hajar al-Haitami berkata : “ Hadis ini mempunyai manfaat yang umum, kerana ketiga-tiga perkara yang disebutkan didalam hadis ini diperbincangkan di dalam seluruh bab fekah. Hadis ini juga mempunyai kedudukan yang besar sehingga dapat dikatakan bahawa ia adalah setengah daripada syariat. Ini kerana perbuatan manusia – termasuk juga perkataan – terdiri daripada unsur kesengajaan dan pilihan yang dinamakan sebagai ’sengaja’ atau bukan daripada unsur tersebut yang disebut sebagai tersalah, terlupa atau dipaksa.

Secara jelasnya, hadis ini menunjukkan bahawa bahagian yang terakhir (iaitu perbuatan yang dilakukan secara tersalah, terlupa atau dipaksa) adalah dimaafkan dan bahagian pertama (perbuatan yang dilakukan dengan sengaja) akan dipertanggungjawabkan. Jadi, hadis ini dianggap sebagai separuh daripada syariat jika dipandang dari sudut mantuqnya dan jika dipandang dari sudut mantuq dan mahfumnya sekaligus, hadis ini dianggap sebagai seluruh syariat.

Senin, 31 Mei 2010

Hadis 38 - Jalan Untuk Bertaqarrub Dan Mendapat Kecintaan Allah

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata : “Rasulullah s.a.w bersabda :” Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman :”Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku isytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seorang hamba itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia mengambil sesuatu tindakan dengannya dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon sesuatu daripada-Ku, Aku akan memberinya dan jika dia memohon perlindungan daripada-Ku, maka Aku akan melindunginya.”

[ Hadis Riwayat Al-Bukhari ]


Kepentingan Hadis

Sesungguhnya Allah s.w.t amat mencintai dan menjaga para wali-Nya. Allah s.w.t amat murka kepada orang-orang yang melakukan kejahatan terhadap mereka. Hadis yang mulia ini menerangkan siapakah sebenarnya wali-wali dan orang-orang yang dicintai Allah samada di dunia ataupun di akhirat. Oleh itu ada pendapat yang mengatakan hadis ini adalah hadis yang paling mulia yang menyebutkan tentang para wali.

Jumat, 28 Mei 2010

Hadis 37 - Keadilan, Kelebihan Dan Kekuasaan Allah S.W.T

Hadis 37 – Keadilan, Kelebihan Dan Kekuasaan Allah S.W.T

Daripada Ibnu Abbas r.a, daripada Rasulullah s.a.w. tentang apa yang diriwayatkan daripada Tuhannya, katanya ; “Sesungguhnya Allah s.w.t mencatat kebaikan dan keburukan kemudia Dia menjelaskan ; barangsiapa yang bercita-cita untuk melakukan kebaikan, lalu tidak jadi mengamalkannya, maka Allah menulis disisi-Nya sebagai satu kebaikan penuh. Jika dia bercita-cita untuk melakukan kebaikan), kemudian dia mengamalkannya, maka baginya sepuluh kebaikan penuh dan digandakan sehingga menjadi tujuh ratus kali ganda, bahkan sehingga tidak terhitung. Barangsiapa yang bercita-cita mahu melakukan keburukan, tetapi tidak jadi melakukannya, maka Allah akan menulisnya sebagai satu kebaikan penuh. Jika dia bercita-cita (untuk melakukan keburukan) dan dia melakukannya, maka Allah akan menulis baginya satu keburukan.”

[ Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ]


Kepentingan Hadis

Hadis Qudsi ini mengandungi berita gembira dan harapan besar terhadapkelebihan Allah s.w.t serta rahmat-Nya yang melimpah kepada segala sesuatu. Sesungguhnya hadis ini membangkitkan harapan yang cemerlang dalam setiap jiwa dan mendorongnya untuk beramal serta berusaha keras di bawah pengawasan, pengetahuan, kekuasaan, keadilan serta santunan Allah s.w.t.

Jumat, 21 Mei 2010

Hadis 36 - Himpunan Kebajikan

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w, baginda telah bersabda : “Barangsiapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah meringankan salah satu daripada kesusahannya di hari kiamat. Barangsiapa yang memudahkan (membantu dalam masalah hutang) orang yang mendapat kesusahan (berhutang), maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya. Barangsiapa yang menempoh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di satu rumah (masjid) dari rumah-rumah Allah, mereka membaca Al-Quran dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat akan meliputi mereka dan maklaikat mengelilingi mereka dan Allah memuji mereka di hadapan para maklaikat-Nya. Barangsiapa yang amal solehnya sedikit, maka nasabnya (keturunannya) tidak boleh mengangkat darjatnya.”

[Hadis riwayat Imam Muslim]


Kepentingan Hadis

Imam Nawawi di dalam syarah Sahih Muslim berkata : “Hadis ini adalah hadis yang agung, menghimpunkan berbagai ilmu, kaedah dan adab”

Kamis, 20 Mei 2010

Hadis 35 - Persaudaraan Islam Dan Hak Muslim

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda : “Jangan kamu dengki mendengki, jangan kamu meminta membeli dengan harga yang tinggi bukan dengan tujuan membelinya tetapi untuk menipu orang lain dan memudaratkan mereka, jangan kamu benci membenci, jangan kamu belakang membelakangi, janganlah sebahagian kamu menjual di atas jualan orang lain, dan jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain. Dia tidak menzalimi saudaranya, tidak membohonginya dan tidak menghinanya. Takwa itu disini (sambil menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga kali). Seseorang itu sudah dianggap berdosa jika dia menghina saudaranya seIslam. Tiap-tiap orang muslim itu di atas saudaranya adalah haram : darahnya, hartanya dan maruahnya.

[Hadis Riwayat Muslim]


Kepentingan Hadis

Rasulullah s.a.w tidak hanya memadai dengan menegaskan kepentingan ukhwwah Islamiah sebagai satu syiar semata-mata, bahkan Baginda melingkunginya dengan perintah dan larangan yang menjadikan ukhuwwah sebagai suatu reality yang dapat dihayati dikalangan individu masyarakat Islam. Hadis ini mengandungi hukum-hukum dan faedah-faedah yang besar untuk mencapai matlamat Islam yang murni dan menjaganya daripada segala kekurangan atau kecacatan supaya kalimah ukhuwwah itu tidak dijadikan sebagai slogan laungan manusia dan khayalan mereka sahaja, sedangan mereka tidak dapat menghayatinya dalam reality kehidupan. Oleh kerana itu Imam Nawawi berkata dalam kitabnya al-Azzkar tentang hadis ini; “Amat besar manfaatnya dan amat banyak faedahnya”.

Kata Ibnu Hajar al-Haitami : “Hadis ini mengandungi banyak faedah, ia menunjukkan kepada keagungan prinsip dan matlamat, bahkan jika diperhatikan maknanya dan difahami maksudnya, ia mengandungi segala hukum Islam yang difahami secara langsung dan tidak langsung. Juga mengandungi segala adab sama ada secara isyarat atau perlaksanaannya.”

Rabu, 19 Mei 2010

Hadis 34 - Menghapuskan Kemungkaran Suatu Kewajipan

Daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya ; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidah. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”

[Hadis Riwayat Muslim]


Kepentingan Hadis

Hadis ini mengajak kita melakukan yang maaruf dan mencegah perkara-perkara mungkar. Hendaklah kita benci kepada perkara-perkara yang mungkar walaupun dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. Jika di renungkan hadis ini sekiranya setiap anggota masyarakat mengamalkan hadis ini nescaya perkara-perkara mungkar tidak akan berleluasa, masalah yang melanda masyarakat kita pada masa kini ialah anggota masyarakat seolah-olah membiarkan perkara-perkara mungkar berlaku tanpa mengambil inisiatif untuk mencegah. Marilah kita sama-sama bertekad untuk mencegah perkara-perkara mungkar dengan cara yang berhikmah. Wallahualam.

Senin, 17 Mei 2010

Hadis 33 – Asas-Asas Kehakiman Dalam Islam

Daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Kalaulah manusia diberi (apa saja) dengan semata-mata dakwaan mereka, nescaya akan ada sebahagian manusia mendakwa mempunyai hak terhadap harta dan darah kaum yang lain. Oleh kerana itu orang yang mendakwa hendaklah mendatangkan saksi (baiyinah) dan orang yang mengingkari hendaklah bersumpah.”

[ Hadis Riwayat Baihaqi ]


Kepentingan Hadis

Imam Nawawi telah berkata :”Hadis ini adalah salah satu kaedah hukum syarak yang besar.” Sheikhul Islam Ibnu Daqiiq al-‘Lid pula berkata :”Hadis ini adalah salah satu daripada prinsip hukum dan tempat rujukan terbesar ketika berlakunya pertentangan dan perselisihan.”

Kamis, 13 Mei 2010

Hadis 32 – Islam Menolak Kemudaratan

Daripada Abu Sa’iid bin Sinaan al-Khudri r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak boleh melakukan dhoror (menyakiti orang yang tidak pernah menyakitinya) dan dhiror (menyakiti orang yang pernah menyakitinya dengan cara yang tidak sebenar).”

[Hadis riwayat Ibnu Majah dan ad-Daaruqutni]


Kepentingan Hadis

Kita telah merakamkan sebelum ini kata-kata Abu Daud yang menyebutkan bahawa hadis ini adalah di antara hadis-hadis yang berligar disekitarnya masalah-masalah fekah.

Selasa, 11 Mei 2010

Hadis 31 – Hakikat Zuhud Dan Kesannya

Daripada Abu al’Abbas Sahl Bin Saad as-Saa’idi r.a, beliau berkata : “Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata :”Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan apabila aku melakukannya, Allah s.w.t cinta kepada ku dan manusia juga cinta kepada ku.” Rasulullah s.a.w bersabda :”Zuhud lah terhadap dunia nescaya kamu akan dicintai oleh Allah s.w.t, dan zuhudlah terhadap apa yang dimiliki oleh manusia, nescaya kamu akan disukai oleh manusia.”

[Hadis Riwayat Ibnu Majah]


Kepentingan Hadis

Hadis di atas mengandungi dua wasiat nabi yang besar ;

Pertama ; Zuhud terhadap dunia merupakan sebab seseorang hamba mendapat kecintaan Allah.
Kedua : Zuhud terhadap apa yang dimiliki oleh manusia merupakan sebab mendapat kecintaan dan darjat di sisi mereka.

Sesungguhnya didalam Islam seseorang tidak akan mendapat kebahagian dunia dan akhirat kecuali setelah dia dicintai oleh Allah iaitu setelah dia mengutamakan kehidupan akhirat yang kekal abadi lebih daripada kehidupan dunia yang fana’. Dia juga hendaklah berusaha mendapatkan kecintaan daripada manusia iaitu dengan cara membebaskan dirinya daripada apa yang dimiliki oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan hidup didunia, sebaliknya memenuhi sisa-sisa hidupnya dengan amalan salih kerana itulah yang lebih baik dan kekal di akhirat kelak. Oleh sebab itu Ibnu Hajar al-Haitami telah berkata berkenaan hadis ini ; “Ia merupakan salah satu daripada empat hadis yang menjadi paksi Islam.”

Jumat, 07 Mei 2010

Hadis 30 – Hudud Dan Larangan Allah

Daripada Abu Tha’labah al-Khusyani Jurthuum Bin Nasyir r.a daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda :”Sesunggunya Allah Taala telah memfardhukan beberapa fardhu, maka janganlah kamu mencuaikannya. Dia telah menentukan hududnya (hukuman yang telah diturunkan), maka janganlah kamu melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa perkara , maka janganlah kamu mencerobohinya. Dan Dia diam daripada beberapa perkara (tidak menyebut hukumnya) sebagai rahmat kepada kamu bukan disebabkan Dia lupa, maka janganlah kamu sengaja mencari-cari dan bertanya tentangnya.

[Hadis Riwayat ad-Daaruqutni]


Kepentingan Hadis

Hadis ini adalah di antara jawaami’ al-kalim yang dikhususkan oleh Allah kepada Nabi-Nya s.a.w. Ianya ringkas tetapi padat.

Sebahagian ulama mengatakan ; “Di antara hadis-hadis yang banyak, tidak ada satu hadis pun seperti hadis ini yang menghimpunkan di antara usul dan furu’ agama. Ini disebabkan Nabi s.a.w telah membahagikan hukum-hukum Allah – di dalam hadis ini – kepada empat bahagian iaitu fardhu, haram, hudud (hukuman yang telah ditentukan) dan hukum yang sengaja di diamkan.

Ibnu as-Sam’aani berkata : “Sesiapa yang beramal dengannya, sesungguhnya dia mendapat ganjaran pahala dan terselamat daripada seksaan kerana sesiapa yang menunaikan semua perkara yang difardhukan, menjauhi yang diharamkan dan mengambil hudud (hukuman) Allah tanpa menambah atau mengurangkannya, serta tidak mencari-cari hukum yang didiamkan-Nya, maka dia telah menyempurnakan kemuliaan dan menunaikan hak-hak agama. Juga kerana semua perkara yang disyariatkan tidak terkeluar daripada bentuk-bentuk yang dinyatakan oleh hadis ini.”

Senin, 03 Mei 2010

Hadis 29 – Pintu-Pintu Kebaikan dan Laluan Petunjuk

Daripada Muaz bin Jabal katanya : “Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w ; “Ceritakan kepadaku suatu amalan yang akan memasukkan aku kedalam syurga dan menjauhkan ku daripada neraka.” Baginda s.a.w menjawab;”Sesungguhnya kamu telah bertanya sesuatu yang agung. Sesungguhnya ia adalah mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah s.w.t: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa dibulan Ramadhan dan menunaikan haji.”

Kemudian beliau berkata: “Mahukan kiranya aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan; Puasa itu seperti benteng (pemelihara), sedekah menghapuskan kesalahan sepertimana air memadamkan api dan sembahyang seorang lelaki ditengah malam, kemudian baginda membaca firman Allah s.w.t yang bermaksud ; “Mereka mereggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal salih); mereka sentiasa berdoa kepada tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang kami berikan kepada mereka. Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan.” (As-Sajadah:16-17)

Kemudian baginda bersabda lagi; “Mahukan kamu kiranya aku ceritakan kepada kamu tentang kepala segala urusan, tunggak dan kemuncaknya ?” Aku menjawab sudah tentu wahai Rasulullah!” Sabda baginda :”Kepala segala urusan adalah Islam, tunggaknya adalah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad.”

Kemudian baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu kiranya aku memberitahu kepadamu anak kunci kepada semua perkara tersebut ?” Aku menjawab : “Sudah tentu wahai Rasulullah !” Lalu baginda pun memegang lidahnya seraya bersabda : “Kamu mesti menjaga ini !” Aku bertanya: “Wahai Nabi Allah ! Adakah kita akan dibalas (dipersoalkan) dengan apa yang kita pertuturkan ?” Baginda menjawab ; “Celakalah kamu! Tidak ada yang menghumbankan manusia kedalam neraka di atas muka mereka – dalam riwayat yang lain disebut diatas hidung mereka – melainkan hasil tuaian lidah mereka ?”

[Hadis riwayat Tirmizi]


Kepentingan Hadis

Hadis ini menceritakan amalan-amalan salih yang boleh memasukkan seseorang kedalam syurga dan menjauhkan mereka daripada neraka. Ini adalah perkara yang amat agung kerana untuk memasukkan manusia ke dalam syurga dan menyelamatkan mereka daripada neraka, maka Allah s.w.t mengutuskan para rasul-Nya dan menurunkan kitab-kitab-Nya. Oleh kerana itu Nabi s.a.w telah bersabda kepada Muaz ; “Sesungguhnya kamu telah bertanya tentang satu perkara yang agung,” dan baginda s.a.w telah bersabda kepada seorang lelaki lain yang bertanyakan tentang perkara yang sama: “Sekalipun kamu meringkaskan pertanyaan, tetapi sebenarnya kamu telah bertanyakan sesuatu yang besar dan memerlukan jawapan yang panjang.”

Begitulah kasihnya dan sayangnya Nabi kepada umatnya dengan memberikan kepada kita panduan agung di dalam mencari kebahagian di dunia dan di akhirat. Tetapi berapa ramai pula daripada kalangan kita yang kasih dan sayang kepada Nabi, yang mempertahankan baginda apabila baginda dicemuh, yang bersungguh-sungguh cuba mengikuti sunnahnya. Saya menyeru kepada diri saya dan kepada tuan-tuan marilah kita sama-sama berusaha untuk mengenali Nabi kita dan mengasihinya serta berusaha mengamalkan apa yang telah disampaikan kepada kita. Baginda adalah suri teladan yang terbaik.

Kamis, 29 April 2010

Hadis 28 – Menghayati Sunnah dan Menjauhi Bidaah

Daripada Abu Najiih al-Irbaadh bin Saariah r.a, katanya ; “Rasulullah s.a.w telah member peringatan kepada kami dengan peringatan yang menakutkan hati dan mengalirkan air mata, lantas kami berkata : “Wahai Rasulullah ianya seolah-oleh peringatan perpisahan, maka berilah wasiat kepada kami.” Baginda bersabda: “Aku mewasiatkan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azzawajalla dan dengar serta patuh (taat) meskipun yang menjadi amir ke atas kamu adalah seorang hamba. Maka sesungguhnya barangsiapa yang hidup (berumur panjang) di antara kamu, pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu kamu wajib berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin al-Mahdiyyin. Gigitlah sunnahku dengan geraham-geraham kamu dan awaslah kamu dari perkara bidaah, sesungguhnya semua yang bidaah adalah sesat.

[Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi]


Kepentingan Hadis

Hadis ini mengandungi wasiat yang ditujukan oleh Rasulullah s.a.w kepada para sahabatnya dan kepada semua kaum muslimin selepasnya. Baginda telah menghimpunkan dalam wasiat tersebut taqwa kepada Allah Azzawajalla dan dengar serta patuh kepada pemerintah Islam. Dengan cara ini akan terlaksanalah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Baginda juga mewasiatkan dengan sesuatu yang dapat menjamin keselamatan umat dan memberikan petunjuk kepada mereka iaitu berpegang teguh dengan sunnah, bersungguh-sungguh mengikutinya dan menjauhi segala kesesatan dan bidaah.

Selasa, 27 April 2010

Hadis 27 – Kebajikan Dan Dosa

Daripada an-Nawwaas bin Sam’aan r.a, daripada Nabi s.a.w. baginda telah bersabda ; “Kebajikan itu ialah akhlak yang baik dan dosa itu ialah sesuatu yang diragu-ragukan oleh dirimu dan kamu benci manusia melihatnya.

[ Hadis riwayat Imam Muslim]


Kepentingan Hadis

Ibnu Hajar al-Haitami telah berkata :”Hadis ini adalah diantara jawami’ul kalim baginda s.a.w. (Kalimah yang ringkas tetapi mengandungi pengertian yang padat), Bahkan diantara jawami’ul kalim yang paling ringkas kerana ‘kebajikan’ adalah kalimah yang merangkumi kesemua perbuatan yang baik dan segala sifat yang makruf. Manakala dosa pula ialah kalimah yang mengandungi kesemua perbuatan yang jahat dan buruk samada yang besar ataupun yang kecil. Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w telah membandingkan di antara keduanya dan menjadikan kedua-duanya sebagai dua perkara yang bertentangan.

Jumat, 23 April 2010

Hadis 26 - Berbuat Baik Dan Berlaku Adil Terhadap Orang Lain

Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata : "Rasulullah s.a.w telah bersabda : " Setiap sendi manusia wajib bersedekah pada setiap hari ; kamu berlaku adil kepada dua orang yang berkelahi adalah sedekah, kamu menolong lelaki kepada tunggangannya iaitu dengan kamu menolongnya untuk dia menaiki tunggangannya atau kamu menolong mengangkatkan barang-barangnya ke atas tunggangannya adalah sedekah, setiap kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk sembahyang adalah sedekah dan kamu membuang sesuatu yang menyakiti di jalan juga adalah sedekah."

[Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim]

Kepentingan Hadis

Hadis ini menceritakan tentang nikmat Allah kepada manusia iaitu kesihatan tubuh badan dan kesempurnaan anggotanya. Manusia wajib bersyukur kepada Allah pada setiap hari di atas segala nikmat yang diberikan. Di antara cara bersyukur ialah melakukan kerja-kerja yang baik, menyebarkan al-ihsan, membantu orang yang memerlukan pertolongan, baik dalam pergaulan, memperbanyakkan kebajikan, menentang keburukan dan memberi semua kebaikan kepada setiap manusia bahkan kepada semua makhluk. Semua ini adalah sedekah yang manfaatnya dapat dirasai oleh orang lain. Manakala sedekah yang manfaatnya hanya dapat dinikmati oleh pelakunya sahaja ialah zikir, istighfar, berselawat, tadarus Al-Quran dan lain-lain.

Kamis, 22 April 2010

Hadis 25 - Kurniaan Dan Keluasan Rahmat Allah

"Daripada Abu Dzar radhiallahu'anhu, bahawa beberapa orang sahabat berkata kepada Rasulullah s.a.w. : " Wahai Rasulullah ! Orang-orang yang banyak hartanya telah pergi membawa pahala yang banyak, mereka bersembahyang seperti kami bersembahyang, berpuasa seperti kami berpuasa, (tetapi) mereka boleh bersedekah dengan lebihan harta mereka. " Rasulullah s.a.w bersabda : "Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu yang boleh kamu sedekahkan ? Sesungguhnya bagi kamu dengan setiap kali takbir (mengucapkan Allahu Akbar) adalah sedekah, setiap kali tahmid ( mengucapkan Alhamdulillah ) adalah sedekah, setiap kali tahlil (mengucapkan La ila ha illallah) adalah sedekah, amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah dan pada kemaluan kamu adalah sedekah (iaitu dengan menggauli isteri)." Para sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah! Apakah apabila salah seorang dari kami memuaskan nafsu syahawatnya, maka dia mendapat pahala (sedekah)? " Jawab Baginda s.a.w :" Apakah pendapat kamu seandainya dia memuaskan nafsu syahawatnya pada yang haram, adakah dia dikenakan dosa ? Begitulah sebaliknya kalau dia memuaskannya pada yang halal, maka dia mendapat pahala."

[ Hadis Riwayat Imam Muslim ]

Rabu, 07 April 2010

Hadis 24 - Haram Melakukan Kezaliman

Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman :

"Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim mezalimi di antara satu sama lain.

Wahai hamba-hamba-Ku! Setiap kamu adalah sesat melainkan sesiapa yang Aku berikan kepadanya petunjuk, maka mintalah petunjuk daripada-Ku nescaya akan-Ku berikan petunjuk kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku setiap kamu adalah lapar melainkan sesiapa yang Aku memberikan kepadanya makan, maka mintalah makanan daripada-Ku nescaya akan Ku berikan makanan kepadamu.

Wahai hamba-hamba-Ku ! Setiap kamu adalah bertelanjang kecuali sesiapa yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah pakaian daripada-Ku nescaya akan Ku berikan pakaian kepadamu. Wahai hamba-hamba-KU ! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan di waktu siang dan malam, dan aku mengampuni segala dosa, maka mintalah keampunan daripada-Ku, nescaya akan Ku berikan keampunan kepadamu.

Wahai hamba-hamba-Ku ! Sesungguhnya kamu tidak akan mampu untuk mendatangkan kemudaratan yang boleh menyakiti-Ku. Dan kamu tidak mampu mendatangkan faedah yang boleh memberikan manfaat kepada-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya, kalau semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling bertaqwa di kalangan kamu, kerajaan-Ku tidak akan bertambah sedikit pun di sebabkan perkara tersebut.

Wahai hamba-hamba-Ku ! kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling jahat daripada kamu, kerajaan-Ku tidak akan berkurangan sedikitpun disebabkan perkara tersebut.

Wahai hamba-hamba-Ku ! Kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, daripada kalangan manusia dan jin berada pada satu tempat, mereka meminta kepada-Ku, lalu Aku berikan kepada setiap orang akan permintaannya, maka perkara tersebut tidak akan mengurangkan apa yang ada pada-Ku melainkan sepertimana berkurangnya air lautan apabila dimasukkan sebatang jarum kemudian dikeluarkan daripadanya.

Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia adalah amalan-amalan kamu yang Aku hitungkan untukmu, kemudian Aku sempurnakan balasan kamu disebabkan amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan sesiapa mendapat selain daripada itu, maka janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri."

[ Hadis riwayat Imam Muslim ]


Kepentingan Hadis

Hadis Qudsi ini adalah hadis rabbani yang agung lagi diberkati. Ia mengandungi prinsip-prinsip utama mengenai dasar-dasar, cabang-cabang dan adab-adab Islam. Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya "Al-Azkaar" bahawa Abu Idris al-Khawalaani - yang meriwayatkan hadis ini daripada Abu Zar - ketika beliau membacakan hadis ini, beliau membongkok di atas lututnya kerana membesar dan memuliakannya. Perawi-perawi hadis ini terdiri daripada orang-orang Damsyik. Imam Ahmad bin Hambal berkata : " Tidak ada bagi penduduk Syam hadis yang lebih mulia daripada hadis ini"