Rabu, 02 Juni 2010

Hadis 39 - Penghapusan Dosa Dalam Islam

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku kerana aku jika mereka tersalah, terlupa dan dipaksa”

[ Hadis Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi Dan Lain-lain ]


Kepentingan Hadis

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata di dalam kitab Syarah Hadis Empat Puluh : “ Hadis ini mengandungi beberapa faedah dan perkara yang penting, jika dikumpulkan, ia membentuk satu karangan yang tidak dapat dimuatkan didalam kitab ini.”

Ibnu Hajar al-Haitami berkata : “ Hadis ini mempunyai manfaat yang umum, kerana ketiga-tiga perkara yang disebutkan didalam hadis ini diperbincangkan di dalam seluruh bab fekah. Hadis ini juga mempunyai kedudukan yang besar sehingga dapat dikatakan bahawa ia adalah setengah daripada syariat. Ini kerana perbuatan manusia – termasuk juga perkataan – terdiri daripada unsur kesengajaan dan pilihan yang dinamakan sebagai ’sengaja’ atau bukan daripada unsur tersebut yang disebut sebagai tersalah, terlupa atau dipaksa.

Secara jelasnya, hadis ini menunjukkan bahawa bahagian yang terakhir (iaitu perbuatan yang dilakukan secara tersalah, terlupa atau dipaksa) adalah dimaafkan dan bahagian pertama (perbuatan yang dilakukan dengan sengaja) akan dipertanggungjawabkan. Jadi, hadis ini dianggap sebagai separuh daripada syariat jika dipandang dari sudut mantuqnya dan jika dipandang dari sudut mantuq dan mahfumnya sekaligus, hadis ini dianggap sebagai seluruh syariat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar