Tampilkan postingan dengan label Catatan Peribadi. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Catatan Peribadi. Tampilkan semua postingan

Minggu, 04 Agustus 2013

Selamat Menyambut Eidul Fitri



Asalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana dengan izin-Nya maka kita telah dapat menjalani ibadah puasa pada tahun ini dan mudah-mudahan kita juga akan dipertemukan lagi dengan ramadhan yang akan datang, insyaAllah. Mudah-mudahan puasa kita pada kali ini merupakan puasa kita yang terbaik dan segala amalan kita di terima Allah.

Tidak berapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya Fitrah sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kita kepada Allah di dalam melawan hawa nafsu kita.  Semoga tarbiah Ramadhan pada kali ini dapat mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dan lebih baik berbanding dahulu.  Amatlah rugi sekiranya selepas Ramadhan ini kita kembali kepada sifat-sifat buruk kita seperti mana sebelum Ramadhan dan lebih malang lagi jika Ramadhan ini tidak membawa apa-apa pengertian bahkan sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain. 

Sempena dengan hari raya yang bakal menjelang tiba, marilah kita ambil kesempatan untuk maaf bermaafan di antara satu sama lain, ziarahlah ibubapa, saudara mara serta rakan taulan. Bawa bersama anak-anak kita dan perkenalkan kepada saudara mara kita dan jangan kita biarkan anak-anak kita leka dengan gadjet seperti smart phone, tablet dan lain-lain sehingga tidak mempedulikan orang lain, sebagai ibubapa kita perlu pastikan cuti hari raya ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengeratkan lagi silaturahim sesama keluarga.

Marilah kita sama-sama berazam untuk meneruskan puasa 6 hari di dalam bulan Syawal sebagai tanda kencintaan kita kepada ibadah puasa ini.

Dengan ini saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah kepada para pembaca yang saya kasihi sekelian tidak kira dimana jua anda berada. Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk menguatkan lagi persaudaraan sesama Islam tanpa mengira bangsa dan negara. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin daripada kami sekeluarga sekiranya terdapat salah dan silap saya di dalam mengendalikan blog ini.

Sekian,

Warkah Nizam

Jumat, 05 Juli 2013

Marhaban Ya Ramadhan



Asalamualaikum wbt

Agak lama juga saya tidak kemaskini info di blog saya disebabkan oleh kesibukan tugas serta kelemahan saya sendiri. Apa pun harapan saya agar semua pembaca yang saya kasihi berada di dalam keadaan sihat wal afiat semuanya di samping keluarga tersayang.

Beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan, insyallah.  Apabila direnung kembali sebenarnya bulan Ramadhan ini adalah salah satu anugerah Allah yang cukup besar kepada hamba-hambaNya, tidak semua orang berpeluang untuk berada di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini, lihatlah di sekeliling kita mungkin ada di kalangan adik beradik, saudara mara, jiran tetangga serta sahabat handai kita yang telah meninggal dunia ( mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa-dosa mereka serta di tempatkan bersama-sama hamba-hambaNya yang beriman dan yang beramal soleh, amin).  Oleh yang demikian jika kita diberi peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan pada kali ini maka pergunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya kerana mungkin kita juga tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengannya selepas ini.

Hidupkanlah Ramadhan kita dengan amalan-amalan sunat seperti berzikir, berselawat, membaca Al-Quran, bersedekah, solat Terawih dan lain-lain lagi.  Pada masa yang sama perbanyakkanlah berdoa kepada Allah memohon keampunanNya dan apa-apa yang kita hajatkan.  Mudah-mudahan kita juga akan dipertemukan dengan malam lailatul qadar, amin.

Di dalam kita sibuk beribadah di dalam bulan Ramadhan ini janganlah kita lupa kepada saudara-saudara kita yang sedang berpuasa di bumi yang sedang bergolak seperti di Palestine, Syria, Myanmar, Mesir dan lain-lain lagi.  Bagaimanakan keadaan mereka? makanan apakah yang mereka makan semasa berbuka? sedangkan sesetengah kita di sini berbuka dengan makanan yang mewah-mewah dan adakalanya sehingga membazir.  Janganlah kita lupa bahawa salah satu hikmah berpuasa ialah melawan hawa nafsu kita marilah kita didik nafsu kita di bulan Ramadhan ini.

Akhir kalam saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada seluruh umat Islam tak kira dimana jua anda berada terutamanya kepada para pembaca setia blog ini, walaupun sudah agak lama saya tidak kemaskini laman blog ini, anda masih juga setia mengikuti sebarang perkembangan jika ada, sekali lagi saya mohon maaf di atas kelemahan saya. 

Sekian...

Warkah Nizam




Kamis, 24 Januari 2013

Salam Maulidur Rasul


Asalamualaikum wbt.

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam.  Mudah-mudahan dibulan maulid ini., kita perbanyakkanlah berselawat ke atas Nabi Muhammad saw dan bersyukur kepada Allah swt kerana telah dipilih untuk menjadi umat Nabi Muhammad.  Saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan anda semua para pembaca sekelian supaya dapat kita sama-sama menghayati perjalanan hidup seorang manusia mulia yang bernama Muhammad serta mencontohi Baginda Nabi.  Sesungguhnya Nabi Muhammad itu suri teladan yang baik maka sama-samalah kita berusaha untuk mencontohi baginda.

Pada kali ini saya bawakan kepada anda biografi ringkas Nabi Muhammad saw untuk tatapan para pembaca yang saya kasihi sekelian.

Nabi Muhammad dilahirkan pada hari Isnin di tahun Gajah.  Nama penuh baginda adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murra bin Kaab bin Luay bin Ghaleb bin Fihr bin Malik bin Nadhir bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrika bin Ilyas bin Mudor bin Nizar bin Maad bin Adnan bin Ismail bin Ibrahim.  Nama baginda telah diberikan oleh datuk baginda iaitu Abdul Mutalib yang bermaksud “yang terpuji”

Bapa baginda Abdullah telah meninggal dunia semasa beliau masih lagi berada di dalam kandungan ibu baginda iaitu Aminah.  Tidak berapa lama kemudian ibu baginda pula telah meninggal dunia semasa berada di satu tempat bernama “Abwa”.  Setelah kematian ibu, baginda telah dipelihara pula oleh datuknya Abdul Mutalib dan setelah itu oleh bapa saudaranya Abu Talib pada usia baginda 8 tahun.

Sebelum baginda diangkat menjadi Rasul, baginda cukup terkenal di kalangan orang-orang Quraisy sebagai seorang yang jujur dah telah digelar dengan gelaran Al-Amin yang membawa maksud “yang dipercayai”.  Pada usia 25 tahun baginda telah berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid.

Semasa baginda berumur 40 tahun, baginda telah memencilkan diri di Gua Hira dan telah didatangi oleh malaikat Jibrail dengan membawa wahyu yang pertama dan dengan peristiwa ini maka baginda telah di angkat oleh Allah swt menjadi rasul dan bermulalah kerja dakwah baginda.

Baginda telah ditentang oleh Arab Quraisy dan setelah 13 tahun berdakwah di Mekah Allah swt telah memerintahkan baginda dan umat Islam untuk berhijrah ke Madinah.  Peristiwa Hijrah ini telah memberi laluan kepada penubuhan Negara Islam yang pertama dan Islam telah berkembang selepas itu.

Tidak lama selepas peristiwa Hijrah telah berlaku peperangan yang pertama di antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy dan peperangan ini telah dimenangi oleh umat Islam dan diikuti dengan beberapa siri peperangan dan akhirnya pada tahun ke lapan hijrah umat Islam telah berjaya membuka kota Mekah dan selepas itu agama Islam telah berkembang dengan lebih pesat lagi dan kisah ini telah membuka mata negara-negara asing akan kemunculan kuasa baru. 

Nabi Muhammad saw wafat pada  tanggal 12 Rabiul Awal tahun ke sebelas hijrah pada usia 63 tahun.

Wallahualam

Warkah Nizam

Jumat, 16 November 2012

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1434 H



Asalamualaikum wbt

Selamat menyambut Maal Hijrah 1434 Hijriah, saya ucapkan kepada sidang pembaca yang saya kasihi sekelian.  Mudah-mudahan dengan kedatangan tahun baru ini, kita akan sentiasa berazam untuk menjadi hamba Allah yang lebih beriman dan bertaqwa.
 
Untuk makluman kepada pembaca sekelian, tahun hijriah telah diperkenalkan pada zaman Khulafa Ar-Rashideen iaitu di zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab.  Pada peringkat awal perbincangan bagi menetapkan tarikh tahun hijriah ini memang terdapat banyak cadangan daripada para sahabat seperti tarikh kelahiran Nabi s.a.w, Ramadhan dan lain-lain sehinggalah para sahabat bersetuju untuk menggunakan peristiwa penghijrahan Nabi s.a.w pada tahun 622 masihi dari Mekah ke Madinah sejauh lebih kurang 500km sebagai tarikh bagi tahun hijriah.  Begitulah serba sedikit sejarah asas mengenai kalendar umat Islam.
 
Di Malaysia sambutan Maal Hijrah di adakan pada setiap tahun dengan pelbagai tema dan juga diberikan anugerah kepada tokoh-tokoh yang telah banyak menabur jasa didalam pelbagai bidang, pun begitu masih ramai juga umat Islam yang tidak tahu apa itu Maal Hijrah bahkan hanya sekadar bergembira kerana hari tersebut merupakan hari cuti umum di negara kita.  Malah tidak memberi apa-apa makna kepada sesetengah mereka. 
 
Ingin saya mengajak para pembaca sekelian untuk mengimbau sejarah silam di waktu Nabi s.a.w bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq berhijrah, dimana pada permulaan perjalanan mereka, Baginda Nabi saw dan Abu Bakar telah dikejar oleh kafir Quraisy bagi menghalang mereka daripada pergi ke Madinah sehingga Nabi Muhammad saw dan Saidina Abu Bakar terpaksa bersembunyi di dalam Gua Thur selama 3 hari dan di sepanjang mereka berada disitu telah berlaku banyak peristiwa yang boleh dijadikan teladan dan iktibar kepada mereka yang mahu berfikir.

Antara peristiwa yang berlaku semasa Nabi dan Saidina Abu Bakar di dalam Gua Thur ialah Allah swt telah memelihara mereka berdua dimana para pemuda Quraisy lalu di hadapan pintu gua tersebut tetapi Allah telah memalingkan wajah dan hati mereka daripada memasuki gua tersebut, sehinggakan Nabi dan Abu Bakar boleh melihat kaki-kaki mereka dan seandainya mereka menjengah ke dalam gua sudah pasti mereka akan ternampak Nabi dan Abu Bakar.

Kisah bagaimana Abu Bakar yang menggunakan kakinya sendiri  untuk menutup lubang ular bisa juga menunjukkan betapa kasihnya para sahabat kepada Rasulullah saw.  Dimana ketika itu Rasulullah sedang tidur di atas riba Abu Bakar, tetapi oleh kerana terlalu kasihkan kepada Nabi yang terlalu keletihan dan tidak mahu menggangu lena Nabi.  Saidina Abu Bakar rela menggunakan kakinya sendiri untuk menghalang ular berbisa tersebut daripada keluar daripada lubangnya dan akhirnya tapak kaki Saidina Abu Bakar telah dipatuk oleh ular tersebut.  Namun Saidina Abu Bakar tetap menahan kesakitan patukkan ular tersebut di samping menahan kesakitan kesan bisa ular yang tidak terperi sehingga air mata beliau mengalir lalu jatuh di atas wajah mulia Rasulullah dan menyebabkan Rasulullah terjaga dan bertanyakan apa yang telah berlaku, lalu Rasulullah telah melihat luka patukkan ular pada kaki Saidina Abu Bakar dan meludahnya, dan dengan izin Allah luka tersebut sembuh.

Di samping itu terdapat beberapa orang lagi yang tahu mengenai tempat persinggahan Nabi ini antaranya ialah Abdullah Bin Abu Bakar As-Siddiq yang mendengar berita-berita yang di bincangkan oleh para pembesar Quraisy dan menyampaikan kepada Rasulullah serta ayahnya.  Asma' Binti Abu Bakar As-Siddiq atau dikenali dengan gelaran "Zatun Nitakaini" iaitu wanita yang mempunyai dua selendang dan gelaran ini berikan oleh Baginda Rasulullah semasa Asma' menghantar makanan kepada Baginda dan ayahnya, dimana dia telah menggunakan selendangnya untuk menutup kepala dan satu lagi untuk menyembunyikan makanan yang dibawanya kepada Rasulullah dan ayahnya.  Manakala Amir bin Fuhairah pula membawa kambing-kambing yang digembalanya ke kaki bukit Thur bagi menghilangkan jejak-jejak kaki yang ditinggalkan oleh Nabi dan juga Saidina Abu Bakar serta beberapa orang lagi yang mengetahui tempat persinggahan Nabi & Abu Bakar.

Malah kisah Hijrah Nabi saw bermula apabila lebih kurang 100 orang pemuda Quraisy dari semua suku kaum berkumpul bagi membunuh Nabi saw dan Allah swt telah menghancurkan rancangan mereka apabila kesemua mereka tertidur dan di kala itulah Nabi saw telah keluar dari rumahnya untuk berhijrah bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali telah tidur ditempat tidur Nabi saw.  Begitulah serba sedikit sirah mengenai hijrah Rasulullah saw bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar.

Apa yang penting Maal Hijrah bukan sekadar disambut dengan membaca doa akhir dan awal tahun semata-mata malah lebih dari itu lagi.  Saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan para pembaca sekelian untuk berhijrah menjadi orang yang lebih berilmu, yang mana untuk mendapatkan ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan juga wang ringgit.  Sama-samalah kita menghayati dan menyelami sirah Rasulullah saw pada peristiwa hijrah ini.  Mudah-mudahan ianya dapat menjadi bekal kepada kita dan ahli keluarga kita di dalam mengharungi hidup yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini.  Jasa Rasulullah saw dan para sahabat di dalam mengembangkan agama Islam ini terlalu besar maka marilah kita mengenali serta mencontohi akhlak serta amalan mereka.Wallahualam.

Seandainya ada salah dan silap saya mohon maaf. Selamat Menyambut 1434 H

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Sabtu, 03 November 2012

Selamat Kembali Jemaah Haji


Asalamualaikum wbt.

Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian.  Sebagai makluman kepada anda semua, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di KLIA semalam.  Alhamdulliah, syukur kerana anda telah dapat menjadi tetamu Allah dan mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur.
 
Kepulangan para jemaah haji semua sudah tentunya disambut gembira oleh kaum keluarga dan sahabat handai dengan penuh rasa kesyukuran.  Sekiranya kita mempunyai saudara atau kenalan yang baru pulang dari mengerjakan haji atau umrah, maka ziarahlah mereka jika anda berpeluang, dan bertanyakanlah khabar Kota Makkah dan Madinah disamping bertanyakan pengalaman mereka selama berada di tanah suci.  Sekurang-kurangnya ia dapat membantu meningkatkan lagi azam kita untuk sama-sama mengerjakan haji atau umrah.
 
Pastinya setiap orang mempunyai 1001 macam cerita dan pengalaman semasa mereka berada di sana, baik yang gembira, duka dan sebagainya, yang pastinya tidak dapat dilupakan oleh mereka yang telah melaluinya.  Walaubagaimanapun di sebalik kegembiraan untuk pulang ke tanahair, pastinya hati menjadi sayu dan sedih kerana terpaksa meninggalkan bumi Makkah dan Madinah dan tidak tahu samada kita berpeluang untuk menjejakkan lagi kaki kesana ataupun ini merupakan yang terakhir buat kita.  Pada saya inilah saat yang cukup sukar digambarkan kerana terpaksa berpisah dengan Baitullah dan makam Rasulullah saw.  Apa pun marilah kita sama-sama berazam dan berdoa untuk menjejakkan lagi kaki kita ke sana dan melaksanakan segala ibadah dengan lebih sempurna.
 
Apa pun kepada para jemaah haji yang telah pulang, marilah sama-sama kita menabur bakti kepada masyarakat dengan berdakwah iaitu mengajak manusia kepada kebaikan dan menjauhkan kemungkaran.  Terdapat banyak medium untuk kita semua berdakwah baik melalui Masjid/surau, NGO-NGO Islam, Internet seperti blog atau facebook dan banyak lagi yang boleh kita gunakan sebagai medium dakwah dan yang penting setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk berdakwah.
 
Wallahualam.
 
Warkah Nizam
 
 
 
 

Rabu, 24 Oktober 2012

Selamat Menyambut 'Eidul Adha 1433H


Asalamualaikum wbt.

Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian, semoga anda semuanya sihat sejahtera hendaknya.  Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut 'Eidul Adha 1433H kepada semua pembaca yang saya kasihi sekelian tidak kira dimana jua anda berada.

Seperti biasa kepada anda yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing, berhati-hatilah semasa memandu dan saya doakan anda semuanya selamat tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat. Amin.  Kepada yang berada di perantauan sudah tentu pengalaman menyambut Eidul Adha di negara orang akan menjadi kenangan buat diri anda dan sudah pasti rakan-rakan dan saudara se-Islam anda di sana akan menjadi pengubat rindu kerana berjauhan dengan kaum keluarga.  Apa pun, itulah namanya pengorbanan samada di dalam mencari ilmu atau mencari rezeki di negara orang.

Saya pula seperti tahun-tahun sebelum ini akan menyambut 'Eidul Adha di Puchong kerana terlibat di dalam Jawatankuasa Qurban di masjid tempat saya.  Sememangnya semakin hampir dengan hari raya maka kami akan menjadi semakin sibuk dengan segala macam persiapan termasuklah menunggu lembu yang ditempah.  Debaran makin dirasai terutamanya pada pagi hari ibadah qurban akan dilaksanakan kerana khuatir tidak cukup orang untuk menguruskan lembu dan juga cuaca yang tidak menentu sekarang ini.  Mudah-mudahan semuanya dapat berjalan dengan lancar nanti.

Hajat dihati ingin berkongsi cerita lagi tentang ibadah qurban dan juga 'Eidul Adha disini bersama anda semua tetapi terpaksa berhenti setakat ini dahulu sebab Lori Lembu dan nak sampai, jadi nak kena uruskan lembu-lembu tersebut.

Apapun Selamat Menyambut Eidul Adha dan Maaf Zahir dan Batin dari saya dan keluarga.

Sekian, wasalam.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Selasa, 16 Oktober 2012

Sekitar Ceramah Perdana Oleh Ustaz Mohamad Kazim Elias Di MBBP

Asalamualaikum wbt

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat saya rakamkan untuk tatapan para pembaca sekalian semasa ceramah perdana oleh Ustaz Mohamad Kazim Elias baru-baru ini di Masjid Bandar Bukit Puchong.












Senin, 01 Oktober 2012

Pertandingan Menembak - Kelab Menembak Kajang

Asalamualaikum wbt

Pada hari ahad semalam (30/09/2012) saya berpeluang menyertai pertandingan menembak anjuran Kelab Menembak Kajang bersama-sama dengan sahabat saya.  Surat jemputan diterima agak lewat iaitu lebih kurang 2 minggu sebelum pertandingan diadakan, walaubagaimanapun saya ingin mencuba sebab ini kali pertama saya menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak kelab.

Sebelum Ramadhan dulu saya pernah membawa isteri saya kesana dan menembak dengan menggunakan pistol .22mm dan semasa pertandingan pada kali ini pistol yang digunakan adalah dari jenis Glock .9mm dimana pelurunya adalah lebih besar dan kesan "recoil" juga lebih kuat.

Tetapi pada kali ini hasil tembakan saya adalah amat teruk dan saya sendiri tidak berpuas hati dengan hasil tembakan saya sebab saya tidak jumpa "aiming point" dan akibatnya tembakan saya tersasar dan yang lebih teruk ialah apabila seseorang penembak itu tidak tahu kemana tuju pelurunya dan akibatnya penembak tersebut tiada pedoman sasaran dan itulah yang berlaku kepada saya, dimana saya asyik melakukan perubahan kepada "aiming point" saya.  Apapun, ini tidaklah melemahkan semangat saya untuk mencuba lagi pada tahun hadapan insyallah , dan pada kali ini saya akan berlatih dengan menggunakan pistol dari jenis Glock pula bagi membiasakan diri saya dengan senjata tersebut semasa pertandingan nanti.

Bersama ini saya sertakan beberapa keping gambar yang sempat saya rakamkan semasa hari pertandingan ;

Pendaftaran Perserta


Target pada tapak 25 meter

Para perseta sedang beraksi

Pertandingan jatuh piring

Saya dan sahabat saya.

Sekian, wasalam.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com



Minggu, 16 September 2012

Selamat Berangkat Kepada Bakal-Bakal Haji


Asalamualaikum wbt

Masa begitu pantas berlalu, sedar tak sedar bakal-bakal haji kita akan mula berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji bermula esok.  Sememangnya saat inilah yang dinanti-nantikan oleh setiap orang Islam yang beriman untuk mengerjakan haji.  

Sememangnya untuk mengerjakan ibadah haji ini memerlukan keimanan, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi.  Ini adalah kerana ibadah haji merupakan kemuncak kepada pengabdian diri seorang hamba kepada Penciptanya.  Mereka yang terpilih untuk ke sana, baik untuk mengerjakan umrah atau haji merupakan para tetamu Allah yang terpilih. Insyallah.  Berapa ramai orang yang kita lihat secara zahirnya mampu untuk ke sana samada untuk mengerjakan umrah atau haji, tetapi hingga ke saat ini masih belum sampai lagi.  Justeru itu kepada yang telah sampai atau yang bakal ke sana, bersyukurlah kepada Allah dengan mengerjakan secara besungguh-sungguh ibadah semasa anda di sana.  Bukanlah pangkat haji atau hajjah yang penting, tetapi yang lebih penting ialah ibadah umrah atau haji kita diterima Allah swt. Berbahagialah kepada mereka yang dijemput Allah untuk menunaikan ibadah haji pada kali ini.

Kepada bakal-bakal haji, saya doakan anda semua selamat pergi dan kembali, dipermudahkan segala urusan, dikurniakan dengan kesihatan yang baik, sentiasa berada dibawah perlindungan Allah swt dan yang lebih penting mudah-mudahan anda semua akan dikurniakan dengan haji yang mabrur. Amin.

Lazimnya di Malaysia, setiap bakal haji akan mengadakan majlis bacaan Yaasin, doa selamat, solat hajat dan kenduri sebelum mereka berangkat menunaikan ibadah haji.  Oleh yang demikian, masjid ditempat saya (Masjid Bandar Bukit Puchong) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis tersebut bagi meraikan bakal-bakal haji dengan harapan dapat mengurangkan perbelanjaan para bakal haji untuk mengadakan kenduri kendara dan supaya tumpuan mereka kepada persiapan ke Tanah Suci tidak terganggu.  Mudah-mudahan ianya akan dapat diteruskan lagi dimasa-masa hadapan dan diperkembangkan pula kepada masjid-masjid dan surau-surau yang lain pula.

Berikut adalah sebahagian daripada gambar Majlis Meraikan Bakal Haji dan Jamuan Eidul Fitri Masjid Bandar Bukit Puchong baru-baru ini, dimana saya merupakan pengarah kepada program pada kali ini. ;

Majlis bacaan Yaasin, tahlil dan doa selamat


Saya sedang menyampaikan ucapan alu-aluan


Majlis penyampaian cenderahati kepada bakal-bakal haji

Antara bakal-bakal haji yang bergambar kenangan dengan Ketua Kampung & Nazir MBBP



Suasana di sekitar jamuan sebagai acara penutup

Sekian, 

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

p/s- dah dua hari saya diserang demam panas.



Senin, 30 Juli 2012

Hikmah Ibadah Puasa






Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai ibadah puasa yang kita sedang lalui sekarang ini tidak kira dimana sahaja kita berada. Sebagaimana seperti yang kita sedia maklum bahawa setiap ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah swt mempunyai pelbagai hikmah dan kelebihan kepada hamba-Nya sendiri. Sememangnya hikmah dan kelebihan itu ada di dalam setiap ibadat kita samada yang tersurat ataupun yang tersirat sebagaimana seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran atau pun hadis Nabi saw.

Pada kali ini kita akan melihat kelebihan ibadah puasa seperti yang telah disyariatkan dan bersesuaian pula dengan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui.  Terdapat pelbagai hikmah berpuasa dan di antara hikmah berpuasa ini adalah seperti berikut ;


1. Merapatkan diri kepada Allah swt
Puasa adalah satu ibadah yang memerlukan seseorang itu meninggalkan keinginan jiwa terhadap makanan dan minuman serta apa-apa yang dilarang semasa berpuasa semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah swt.  Keutamaan di dalam melaksanakan perintah Allah daripada kehendak jiwa atau nafsu seseorang hamba itu dapat menyuburkan perasaan tunduk serta merapatkan diri kepada Allah.  Inilah ‘ketaqwaan’ yang menjadi antara hasil ibadah puasa kepada diri seorang hamba. 
Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 ;

Maksudnya ;
“Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”


2. Membersihkan Jiwa
Orang yang selalu didalam kekenyangan seringkali kita dapati mereka itu leka dan lalai di dalam kehidupan seharian kerana kekenyangan yang berlebihan menjadikan manusia itu malas.  Malah mereka yang selalu menuruti nafsu makan akan menyebabkan sifat-sifat negatif yang ada menguasai diri mereka. Justeru ibadah puasa yang disyariatkan ini dapat membantu manusia di dalam mengawal nafsu mereka di samping membersihkan jiwa dan menyuburkan sifat-sifat positif yang ada dengan penentangan terhadap tuntutan nafsu. Di dalam satu hadis qudsi Allah berfirman ;

Maksudnya;
“Dia (hamba-Ku) meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi kerana-Ku”
Hadis riwayat Al-Bukhari.


3. Mendidik Sifat Berkasih Sayang
Seringkali orang yang kaya lupa kepada yang miskin atau orang yang senang lupa kepada orang yang susah.  Oleh itu dengan berpuasa dapat mendidik seorang muslim itu agar mengingati saudaranya yang hidup didalam keadaan serba kekurangan. Di mana dalam bulan Ramadhan semua umat Islam akan sama-sama berlapar tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Hasil daripada didikan berpuasa ini akan menimbulkan sifat berkasih sayang yang ada dalam diri seseorang manusia dan diteruskan pula dengan amalan bersedekah dan amal kebajikan yang lain.

Nabi bersabda di dalam satu hadis yang bermaksud ;
Perbandingan orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang, berbelas ihsan dan saling mengasihani seumpama satu badan, apabila sakit satu anggotanya maka seluruh badan akan berjaga malam dan demam.”
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim


4. Mendidik Jiwa Agar Sentiasa Bersyukur
Ibadah puasa dapat mendidik kita agar menghargai nikmat yang telah kita kecapi dimana apabila tiba bulan Ramadhan barulah kita merasai dengan sebenar-benarnya nikmat makan minum serta lain-lain nikmat yang kita tidak hiraukan sebelum ini sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 34 yang bermaksud ;
“Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu membilangnya.  Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat meningkari nikmat”


5. Mendidik Jiwa Untuk Menahan Nafsu
Rasulullah saw bersabda dalam satu hadis mengenai kelebihan dan kesan puasa pada diri seorang muslim yang bermaksud ;
“Sesiapa yang diantara kamu mampu berkahwin maka kahwinlah.  Sesungguhnya ia lebih menjaga pandangan dan lebih menyucikan kehormatan.  Sesiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah.  Sesungguhnya puasa itu sebagai penahan nafsu dirinya.”
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Akhir kalam daripada saya, selamat menjalani ibadah puasa kepada semua muslimin dan muslimat.  Mudah-mudahan madrasah ramadhan pada kali ini akan menjadikan kita hamba-hamba Allah yang lebih bertaqwa. Amin.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Kamis, 05 Juli 2012

Masjid Bandar Bukit Puchong


Asalamualaikum wbt.

Baru-baru ini saya ada membuat posting mengenai laman blog dan juga Fanpage Masjid Bandar Bukit Puchong sekiranya ada sesiapa yang ingin mengikuti perkembangan Masjid Bandar Bukit Puchong maka bolehlah rujuk kepada URL tersebut.

Ada yang bertanya, adakah saya mempunyai masalah dengan pihak masjid kerana membuat posting berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang Masjid Bandar Bukit Puchong adakan.  Jawapannya, tidak ada sama sekali malah pihak Masjid Bandar Bukit Puchong memberikan galakan dan sokongan lagi kepada saya di dalam menghebahkan aktiviti-aktiviti yang pihak masjid jalankan. 

Posting saya mengenai aktiviti MBBP tidaklah secara menyeluruh kerana saya hanya mengambil program-program yang tertentu sahaja untuk di masukkan kedalam Blog Warkah Nizam ini, sebenarnya ada banyak lagi program yang telah dan akan diadakan oleh pihak MBBP.  Cumanya jika saya membuat liputan penuh segala aktiviti MBBP takut-takut Warkah Nizam akan bertukar pula menjadi Blog Warkah Masjid Bandar Bukit Puchong..:-)

Lagipun masih ada lagi topik di dalam blog saya yang masih belum dihabiskan seperti topik Apa itu Hadis dan Agenda Yahudi Menakluk Dunia, mudah-mudahan dapat diselesaikan di dalam waktu yang terdekat ini.

Berbalik kepada isu di atas, saya berharap agar dengan penjelasan saya ini akan dapat menjawab persoalan yang telah di ajukan.

Sekian, harap maklum.

Jom ke Masjid

Warkah Nizam


Rabu, 04 Juli 2012

Kelab Menembak Kajang

Asalamualaikum wbt

Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya dan isteri ke lapang sasar Kelab Menembak Kajang pada hari ahad dua minggu yang lepas.  Sebenarnya sudah hampir 10 tahun juga saya tidak ke sana, cuma baru-baru ini terasa untuk menembak semula, manakala  bagi isteri saya pula, ini adalah pengalaman pertamanya menembak.

Apabila pertama kali menembak sudah tentu banyak perkara-perkara yang berkaitan dengan teknikal dan cara menembak yang betul perlu diketahui dan yang lebih penting aspek keselamatan mesti dititikberatkan.  Pada mulanya saya agak khuatir isteri saya takut untuk mencuba , tetapi apabila tiba di lapang sasar saya nampak beliau begitu bersemangat dan teruja untuk belajar dan menembak, maka saya pun sampaikan kepadanya ilmu yang saya ketahui tentang teknik menembak.  Pada hari tersebut saya telah menjadi jurulatih kepada isteri saya dan semasa didalam perjalanan pulang isteri saya sempat bertanya "Abang, bila nak datang menembak lagi?, nak ikut boleh ?" Hmmm....

Dahulunya saya memang cukup berminat dengan aktiviti-aktiviti lasak cuma bila usia semakin meningkat, maka kenalah saya memilih aktiviti yang sesuai dengan usia saya dan salah satunya ialah aktiviti menembak.

Berikut adalah gambar suasana di Lapang Sasar Kelab Menembak Kajang yang sempat di ambil ;



Suasana Lapang Sasar Kelab Menembak Kajang


Ini bukanlah acara mengupas bawang, tetapi acara memasukkan peluru pistol kedalam kelopak.



Isteri saya sedang "aiming" sasaran


Dalam masa sendiri, Siap Tembak !!! (jarak lebih kurang 10 meter)


Inilah hasil bidikan  "first timer", boleh digilap lagi.


Old Timer In Action .....hehehe

Ini pula hasil bidikan "old timer" yang dah sepuluh tahun tak pegang pistol.


Sekian sahaja untuk kali ini, insyallah jika ada rezeki saya akan ceritakan pula pengalaman saya menembak pada Hari Terbuka MTD pada hari ahad yang lepas di Kem Sungai Besi.

Wasalam.

Warkah Nizam



MASJID BANDAR BUKIT PUCHONG (MBBP)


Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, untuk makluman anda sekalian, masjid di tempat saya iaitu Masjid Bandar Bukit Puchong mempunyai laman Blog & Fanpage-nya sendiri.  Sekiranya anda ingin mengikuti perkembangan aktiviti masjid ataupun berhubung dengan pihak masjid, anda bolehlah melawat URL berikut :

Blog Masjid Bandar Bukit Puchong ; http://masjid-bbp.blogspot.com/

Fanpage Masjid Bandar Bukit Puchong : http://www.facebook.com/MASJIDBBP

Sekian, harap maklum.

Warkah Nizam

Selasa, 03 Juli 2012

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarrak 1433H



Asalamualaikum wbt.

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, samada kita sedar atau pun tidak, kita sekarang telah pun berada dipertengahan bulan Sya'ban 1433H dan ini bermakna tidak lama sahaja lagi kita akan masuk kedalam bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu Bulan Ramadhan Al-Mubarrak, insyallah.


Sebagaimana dalam satu hadis Nabi saw, pada awal ramadhan itu rahmat, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya dilepaskan daripada azab api neraka, tidakkah kita teringin mendapatkannya? Malah didalamnya terdapat pula satu malam yang lebih baik daripda seribu bulan itulah malam Lailatul Qadar dan mudah-mudahan kita semua akan dipertemukan dengannya. Maka atas alasan apakah lagi jika kita bersikap sambil lewa di dalam beribadah di dalam bulan Ramadhan. Apakah amalan kita sudah cukup dan sempurna?

Fenomena biasa yang kita dapat lihat pada mana-mana masjid atau surau di Malaysia ialah, Masjid dan surau akan penuh sesak pada malam pertama Ramadhan dan jemaah akan semakin berkurangan dari hari ke hari, kenapa ya?  Satu persoalan yang kita semua perlu tanya pada diri kita, yakinkah kita bahawa kita akan mendapat peluang bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang , jika kita mempunyai hasrat untuk beribadah pada Ramadhan yang akan datang, malah tiada sesiapa pun yang boleh memberi jaminan bahawa dia akan dapat dipertemukan dengan Ramadhan pada kali ini!!! Maka jika demikian, maka berusahalah untuk melipatgandakan amalan kita, itupun jika kita masih diberi kesempatan untuk berada didalam bulan Ramadhan pada kali ini.

Saya yakin kebanyakkan masjid dan surau akan mengadakan banyak aktiviti seperti tazkirah,qiamulail, tadarrus al-quran dan lain-lain lagi, maka saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan anda semua, sama-samalah kita mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktiviti yang akan diadakan oleh pihak masjid dan surau ditempat tinggal anda. Janganlah kita lepaskan Ramadhan ini begitu sahaja malah tanamkan azam agar Ramadhan kita pada kali ini adalah Ramadhan yang lebih baik berbanding dengan Ramadhan kita pada tahun yang lepas-lepas. Insyallah.

Yang tidak kurang penting ialah elakkanlah pembaziran, belilah makanan secara ala kadar dan jangan mengikut hawa nafsu dan yang terbaik elakkan makan secara berlebihan kerana itu akan menyebabkan kita akan berasa malas untuk beribadah, sekurang-kurangnya apabila berpuasa ini dengan dahaga dan lapar dapat juga kita ingat kepada fakir miskin yang sepanjang tahun hidup didalam keadaan serba kekurangan mudah-mudahan kita semua dapat bermuhasabah diri dan bersyukur diatas segala nikamat yang telah Allah kurniakan kepada kita. Alhamdulillah, aku bersyukur dengan segala nikmat Mu Ya Allah.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan kepada semua pembaca yang saya kasihi dan memohon maaf seandainya ada apa-apa salah dan silap dari saya.  Saya juga doakan agar kita semua dapat menjalani ibadah puasa dengan baik, dikurniakan kesihatan yang baik  dan semoga kita dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar. Amin.

Sejak akhir-akhir ini, saya amat jarang update blog , disebabkan jadual saya yang padat dan juga diatas kelemahan saya sendiri dan saya sekali lagi memohon maaf untuk itu.

Sekian, Wasalam

Warkah Nizam






Senin, 21 Mei 2012

Peluang Semak Arah Qiblat



Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian.  Ingin saya maklumkan di sini bahawa Fenomena Istiwa Matahari pada tahun ini akan berlaku pada 27hb Mei 2012 ( Ahad )  pada jam 5.16 minit petang dan juga pada 15hb Julai 2012 ( Ahad ) pada jam 5.28 minit petang.

Fenomena Istiwa Matahari ialah suatu keadaan dimana matahari berada tegak 90 darjah di atas Kaabah pada jam 12.00 tengahari waktu Mekah.  Di dalam setahun hanya dua kali sahaja fenomena ini berlaku sebagaimana seperti yang saya maklumkan tadi.

Fenomena ini juga adalah salah satu kaedah yang digunakan bagi menentukan arah Qiblat kita.  Adalah wajar bagi kita untuk mengambil peluang ini untuk menyemak arah qiblat, rumah, pejabat, surau dan lain-lain bagi memastikan arah qiblat kita betul.

Caranya mudah sahaja, ambil sebatang kayu yang lurus (pastikan 90 darjah tegak) dan letakkan diatas permukaan tanah yang rata dan tunggu sehingga waktu istiwa matahari berlaku, contoh yang terdekat adalah pada 27hb Mei 2012 adalah pada jam 5.16 minit petang.  Maka tandakan bayang yang terhasil daripada kayu tegak tadi pada jam 5.16 minit petang dan itu adalah arah qiblat kita.

Selamat mencuba....

Warkah Nizam

Selasa, 17 April 2012

Ulasan Forum Bila Diri Di Sayangi

Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, sebagaimana seperti yang telah diketahui, pada 11hb April 2012 yang lepas Masjid Bandar Bukit Puchong telah menganjurkan Forum dengan tajuk "Bila Diri Di Sayangi" di mana ahli panel forum terdiri daripada Sham Kamikaze dan Ustaz Zulkifli Ahmad manakala saya sebagai moderator forum pada malam tersebut.

Ingin saya kongsikan bersama dengan para pembaca sekalian pengalaman saya pada malam tersebut. Rasanya ramai yang telah tahu bagaimana Sham Kamikaze boleh berhijrah dengan melihat kisahnya di Youtube tetapi apa yang saya hendak kongsikan disini adalah apabila saya ajukan soalan tentang cabaran yang dihadapinya selepas berhijrah.  Katanya memanglah ramai yang menyokong perubahan pada diri beliau terutamanya kaum keluarga dan sahabat handai tetapi ada juga yang memandang sinis dan mengejek beliau dengan pelbagai tohmahan.

Para pembaca yang saya kasihi sekalian, daripada kisah ini, ingin saya berpesan kepada diri saya dan juga para pembaca sekalian, hendaklah kita meletakkan diri kita sebagai seorang pendakwah dan janganlah kita meletakkan diri kita sebagai seorang penghukum.  Mengapa bila ada orang yang ingin berubah daripada kehidupannya yang negatif kepada yang positif maka akan ada saja suara-suara sumbang seperti "tak lama la tu", "ada hidden agenda" dan lain-lain lagi.  Janganlah kita menghukum mereka, biar siapa pun mereka, berilah mereka peluang dan sokongan serta doa semoga mereka dan juga kita sentiasa berada di atas jalan yang diredhai Allah, kan elok begitu daripada kita berperangsangka buruk terhadap mereka. Bukanlah bermakna kita membiarkan sahaja apa yang mereka lakukan malah sekiranya terdapat kesalahan, berilah nasihat dengan cara yang berhikmah dan penuh kasih sayang mudah-mudahan dengan nasihat kita tadi dapat memberikannya peluang untuk memperbaiki kesalahan yang telah dibuat.

Begitu juga dengan ahli agama atau jemaah masjid janganlah kita memandang dengan renungan yang tajam kepada mereka-mereka yang baru nak berjinak-jinak dengan masjid ataupun di majlis-majlis ilmu, raikanlah mereka jadikanlah mereka sebagai sebahagian daripada kita sebagaimana hadis Nabi s.a.w "setiap orang Islam itu bersaudara" maka kasihilah mereka sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri. Insyallah suatu masa nanti masjid-masjid akan penuh dengan manusia apabila mereka seronok dengan suasana persaudaraan di dalam Islam. Wallahualam.

Saya sertakan beberapa keping gambar pada malam tersebut ihsan dari sahabat saya untuk para pembaca sekalian kerana pada malam tersebut saya bertugas sebagai moderator jadi tak dapatlah nak ambil gambar.


 Ramai juga jemaah yang hadir

 Dari Kiri Sham Kamikaze, Ustaz Zulkifli dan saya


Antara muslimat yang hadir


Sekian, 
Warkah Nizam


Minggu, 01 April 2012

Masalah Teknikal

Asalamualaikum wbt

Ingin saya maklumkan di sini kepada para pembaca sekalian, terdapat masalah apabila membuka blog saya, dimana apabila anda klik kepada blog Warkah Nizam ia akan terus ke youtube dan saya sendiri tidak pasti mengapa ia menjadi begitu. Mungkin juga semasa saya membuat perubahan pada wajah blog saya menyebabkan berlaku masalah tersebut.

Insyallah saya cuba untuk atasi masalah ini walaupun saya sendiri tidak pasti samada dapat selesaikannya atau pun tidak.

Sekian, harap maklum.

Warkah Nizam

Kamis, 29 Maret 2012

Perubahan Pada Blog Warkah Nizam

Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, untuk makluman saya sedang di dalam proses mengubah suai wajah Blog Warkah Nizam supaya nampak lebih menarik.  Oleh yang demikian kemungkinan wajah blog ini akan berubah dari masa kesemasa sehingga saya menjumpai bentuk atau wajah yang difikirkan sesuai.

Sebarang kesulitan amat dikesali.

Sekian, harap maklum.

Ahmad Nizam Hashim
Warkah Nizam

Senin, 27 Februari 2012

Hari Keluarga & Kempen Kesihatan Masjid Bandar Bukit Puchong

Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian.  Hari Keluarga & Kempen Kesihatan anjuran Masjid Bandar Bukit Puchong buat kali pertama baru sahaja tamat pada hari sabtu yang lepas dengan Forum Rawatan Jiwa menjadi majlis penutup.

Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan walaupun hujan sekejap-sekejap pada kedua-dua hari tersebut namun ia tidak menjejaskan perjalanan aturcara, semuanya berjalan lancar.

Untuk makluman pembaca, saya telah ditugaskan untuk menjadi jurugambar bagi merakamkan semua acara yang telah diadakan pada hari tersebut dan juga membantu MC yang bertugas. Insyallah di dalam posting yang akan datang saya akan memuatkan gambar-gambar yang saya rakamkan dan mungkin banyak gambar-gambar yang akan saya post di dalam blog ini kerana pihak Masjid juga akan menggunakan gambar-gambar ini untuk simpanan dan rujukan mereka. Kemungkinan saya akan membuat beberapa siri posting gambar mengikut acara bagi memudahkan pihak masjid memilih gambar-gambar yang mereka kehendaki. dan insyallah saya akan membuat posting artikel seperti biasa selepas itu.

Sedikit kisah yang ingin saya kongsikan bersama dengan para pembaca sewaktu saya bertugas menjadi MC dimana saya akan sulami majlis pada hari tersebut dengan bacaan himpunan hadis-hadis daripada kitab Riyadhus Solihin karangan Imam An-Nawawi dan juga petikan ayat-ayat Al-Quran untuk pengunjung dan tetamu yang hadir malah ada ketikanya semasa saya membacakan Hadis dan petikan ayat-ayat Al-Quran hati saya turut tersentuh dengan kisah yang berlaku di sebaliknya serta nasihat yang terkandung didalamnya dan ditengah-tengah kesibukkan majlis itu, ada juga pengunjung yang datang kepada saya dan berkata " Abang, bacalah lagi hadis-hadis tu, kami nak dengar dan kalau boleh buatlah tazkirah", tergaman saya sebentar, rupa-rupanya pengunjung yang hadir juga turut memberikan tumpuan dengan hadis-hadis dan petikan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan disebalik kesibukan mereka berjual beli.  Alhamdulillah, syukur kepada Allah mudah-mudahan kita semua dahagakan nasihat-nasihat agama dan mudah-mudahan majlis-majlis lain yang diadakan juga boleh mengguna pakai konsep ini bagi menggantikan muzik-muzik yang melalaikan yang selalu dikumandangkan dikebanyakan acara. Itulah sedikit pengalaman saya semasa menjadi MC Hari Keluarga & Kempen Kesihatan Masjid Bandar Bukit Puchong.

Insyallah selepas ini saya akan memuatkan pula gambar-gambar yang saya rakamkan untuk tatapan para pembaca sekelian.

Wasalam.

Ahmad Nizam Hashim
Warkah Nizam