Tampilkan postingan dengan label Asas Fardhu Ain. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Asas Fardhu Ain. Tampilkan semua postingan

Selasa, 30 Oktober 2012

Ibadah Qurban & Hikmahnya

Asalamualaikum wbt
Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian.  Pada kali ini saya akan berkongsi sedikit ilmu mengenai ibadah qurban. Mudah-mudahan ianya dapat menambahkan ilmu yang ada pada diri kita.


QURBAN

Qurban bermaksud hampir. Dari segi istilah syarak pula, qurban adalah menyembelih binatang qurban pada Hari Raya Eidul Adha atau pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 & 13 Zulhijjah dengan tujuan beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah swt.

Dalil yang menerangkan mengenai ibadah qurban ini ialah dari surah Al-Kausar ayat 2 iaitu ;

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah”


Sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

“Nabi saw telah berqurban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk.  Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dan Baginda telah menyebut nama Allah, bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibasy tersebut”

Hadis Riwayat Al-Bukhari (5245)


Hukum mengerjakan ibadah qurban bagi Mazhab Syafie adalah sunat muakkad iaitu sesuatu yang sangat dituntut ke atas umat Islam yang berkemampuan tetapi jatuh hukum tersebut kepada wajib apabila seseorang itu bernazar.

Tuntutan sunat muakkad adalah bagi orang yang cukup syarat-syaratnya seperti Islam, sempurna akal dan baligh.  Orang yang berqurban dianjurkan menyembelih binatang itu sendiri atau sekurang-kurangnya melihat pada waktu penyembelihan dilakukan.

Binatang yang disyariatkan untuk Ibadah Qurban mestilah mempunyai ciri-ciri seperti tidak cacat, tidak sakit, tidak buta, tidak berkurap dan tidak kurus manakala jenis binatang yang sah untuk diqurbankan adalah seperti berikut ;

1. Kambing biri-biri yang berusia satu tahun keatas.
2. Kambing biasa yang berusia dua tahun dan ke atas.
3. Unta yang berusia lima tahun keatas.
4. Lembu atau kerbau yang berusia dua tahun dan ke atas.

Antara syarat-syarat orang yang ingin melakukan qurban adalah Islam, baligh dan berakal serta berkemampuan untuk mengerjakan nya.

Manakala antara hikmah Ibadah Qurban ini adalah seperti berikut ;

1. Menghidupkan sambil menghayati erti pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail as.
2. Sebagai tanda pengabdian diri serta tunduk patuh kepada segala perintah Allah swt.
3. Menambahkan lagi rasa kasih sayang dan ikatan persaudaraan sesama umat Islam apabila menyedekahkan daging qurban tersebut kepada insan yang memerlukan seperti fakir miskin dan lain-lain.
4.  Menanam semangat saling membantu dan berkerjasama sesama Islam .

Wallahualam.

Bersama-sama dengan ini saya sertakan gambar suasana ibadah qurban di Masjid Bandar Bukit Puchong pada 27hb Oktober 2012 yang lalu. Sebanyak 11 ekor lembu telah disembelih pada hari tersebut dan 1 ekor telah dijadikan kenduri di masjid.  Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.  Semoga ibadah qurban yang dilaksanakan di terima Allah. Amin. 





Pengumuman kepada peserta dan para sukarelawan untuk bersedia 

Bacaan Doa sebelum ibadah qurban dijalankan.


Peserta mewakilkan kepada penyembelih sebelum penyembelihan dijalankan

Baru nak melapah dah kena panggil la pulak.....

Kerja-kerja melapah binatang qurban

Para petugas sedang sibuk memotong dan menimbang daging lembu

Antara daging lembu yang dikumpulkan pada hari tersebut.

Pengagihan daging kepada fakir miskin

Mengagihkan daging kepada para petugas dan pengunjung

Muslimat sibuk menyediakan kenduri 1 ekor lembu di masjid.

Semangat gotong royong

Masjid Chef in action


Sekian, wasalam.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Minggu, 23 September 2012

Hikmah-Hikmah Mengerjakan Ibadah Haji


Asalamualaikum wbt,

Kepada para pembaca yang saya kasihi sekalian, semoga anda semuanya sentiasa berada dibawah rahmat dan redha Allah swt.

Pada kali ini saya ingin berkongsikan sedikit ilmu mengenai ibadah haji dengan para pembaca sekalian.  Mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua. Insyallah.


Makna Haji dari sudut syarak adalah ;

“Mengunjungi Baitullah di Makkah untuk melakukan beberapa amal ibadah pada bulan haji dengan rukun dan syarat tertentu sebagai perlaksanaan rukun Islam yang kelima”


Terdapat beberapa dalil daripada Al-Quran & Al-Hadis mengenai ibadah Haji ini dan salah satunya ialah seperti berikut di mana Firman Allah swt ;

“Dan serulah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, mereka datang dari segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh dari seluruh dunia”

[Surah Al-Hajj ayat 27]


Terdapat beberapa hikmah mengenai ibadah haji ini dan di antaranya adalah seperti berikut ;

1. Seperti yang telah kita sedia maklum, ibadah haji yang dilaksanakan di Makkah pada suatu tempoh waktu yang di hadkan di dalam Bulan Haji dapat menemukan umat Islam dari pelbagai tempat, berlainan bangsa, warna kulit, budaya serta bahasa.

Perhimpunan ini juga adalah untuk memenuhi undangan sebagai tetamu Allah dan menghidupkan satu suasana persaudaraan sesama Islam berserta tekad dan keimanan yang teguh  kepada Allah swt.


2. Dengan berpakaian serba putih dan berkain ihram menunjukkan persamaan di antara satu sama lain tanpa mengira pangkat, kedudukan atau kekayaan apabila seseorang itu datang menunaikan ibadah Haji.


3. Apabila kita mengunjungi Baitullah atau rumah Allah ini, kita akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana kesan perjuangan para Rasul terutamanya Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan juga Rasulullah saw di dalam menegakkan syariat Allah.


4. Di samping itu umat Islam juga berpeluang untuk menghayati sendiri kesan-kesan tempat bersejarah seperti Gua Thur, Gua Hira’, Bukit Uhud serta menziarahi makam Nabi dan para Sahabat.


5. Berwukuf di Padang Arafah juga disifatkan oleh sesetengah ulama sebagai satu lambang perhimpunan manusia pada hari akhirat nanti.  Dimana semuanya menunggu pengadilan daripada Allah swt di atas segala pekerjaan yang dilakukan semasa di dunia.


6. Ibadah Haji ini juga akan dapat menyemai rasa keinsafan di kalangan umat Islam bahawa mereka pasti akan kembali menemui Allah suatu hari nanti dengan tidak membawa bersama-sama mereka harta, pangkat dan anak pinak kecuali amal soleh mereka.

Wallahualam. 


Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Jumat, 31 Agustus 2012

Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal



Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, bertemu kita lagi di halaman ini setelah hampir seminggu kita semua bercuti sempena dengan Hari Raya Fitrah dan pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai puasa sunat enam hari di dalam Bulan Syawal.


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran di panjatkan kepada Allah swt, kerana dengan izin-Nya, maka kita telah berjaya menunaikan kewajipan berpuasa di dalam bulan Ramadhan dan mudah-mudahan kita di pertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang, Amin

Sebagaimana seperti yang telah kita sedia maklum, sekarang ini kita telah pun berada di dalam bulan Syawal dan seperti biasa budaya masyarakat kita apabila setiap kali tibanya Syawal ialah budaya ziarah-menziarahi saudara mara, sahabat handai atau menghadiri majlis rumah terbuka sambil bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Mudah-mudahan budaya ini dapat diteruskan di dalam bulan-bulan yang lain dan begitu juga dengan budaya bermaaf-maafan bukan dikhususkan hanya di dalam bulan Syawal sahaja.

Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini dan yang masih berbaki hampir setengah bulan sahaja lagi marilah kita sama-sama mengambil peluang untuk menunaikan ibadah puasa sunat di dalam bulan Syawal. Sebagaimana di dalam beberapa hadis Nabi saw yang bermaksud ;

“Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun.”
 (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam satu hadis yang lain, Baginda Nabi saw turut bersabda yang bermaksud ;

"Barangsiapa berpuasa enam hari selepas hari raya Aidilfitri maka adalah dia mencukupi setahun. Barangsiapa mengerjakan satu kebajikan maka baginya sepuluh kali ganda." 

(Riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi, Ahmad dan lain-lain)

Bersandarkan kepada hadis-hadis di atas, sekiranya kita  mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari  di dalam bulan Syawal maka telah diibaratkan oleh Rasulullah saw bagaikan kita berpuasa sepanjang tahun. Ini kerana sebulan puasa di dalam bulan Ramadan itu menyamai dengan berpuasa sepuluh bulan atau 300 hari  dan puasa enam di dalam bulan Syawal pula menyamai dengan dua bulan atau 60 hari . Jika dicampurkan kesemuanya sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun kita berpuasa.  Begitulah pemurahnya Allah kepada para hamba-hamba-Nya.

Sebagaimana yang telah kita ketahui antara hikmah berpuasa di dalam bulan Ramadhan, puasa sunat enam hari didalam bulan Syawal juga turut mempunyai hikmah tersebut di samping daripada sudut kesihatan dimana setelah sebulan berpuasa dan apabila tiba Hari raya tiba-tiba perut kita terpaksa mencernakan pelbagai makanan yang kita makan oleh itu dengan puasa sunat ini dapat memberi kelegaan semula kepada perut kita.

Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah kefardhuan, manakala puasa di dalam bulan Syawal pula adalah sunat.  Justeru itu dengan berpuasa sunat ini dapat membantu kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah kerana kita melakukan ibadah ini bukan semata-mata kerana kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai hamba kepada Allah yang ingin mencari jalan mendekatkan diri kepada-Nya. Wallahualam.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com