Minggu, 04 Agustus 2013

Selamat Menyambut Eidul Fitri



Asalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana dengan izin-Nya maka kita telah dapat menjalani ibadah puasa pada tahun ini dan mudah-mudahan kita juga akan dipertemukan lagi dengan ramadhan yang akan datang, insyaAllah. Mudah-mudahan puasa kita pada kali ini merupakan puasa kita yang terbaik dan segala amalan kita di terima Allah.

Tidak berapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Raya Fitrah sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kita kepada Allah di dalam melawan hawa nafsu kita.  Semoga tarbiah Ramadhan pada kali ini dapat mengubah kita menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dan lebih baik berbanding dahulu.  Amatlah rugi sekiranya selepas Ramadhan ini kita kembali kepada sifat-sifat buruk kita seperti mana sebelum Ramadhan dan lebih malang lagi jika Ramadhan ini tidak membawa apa-apa pengertian bahkan sama sahaja seperti bulan-bulan yang lain. 

Sempena dengan hari raya yang bakal menjelang tiba, marilah kita ambil kesempatan untuk maaf bermaafan di antara satu sama lain, ziarahlah ibubapa, saudara mara serta rakan taulan. Bawa bersama anak-anak kita dan perkenalkan kepada saudara mara kita dan jangan kita biarkan anak-anak kita leka dengan gadjet seperti smart phone, tablet dan lain-lain sehingga tidak mempedulikan orang lain, sebagai ibubapa kita perlu pastikan cuti hari raya ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengeratkan lagi silaturahim sesama keluarga.

Marilah kita sama-sama berazam untuk meneruskan puasa 6 hari di dalam bulan Syawal sebagai tanda kencintaan kita kepada ibadah puasa ini.

Dengan ini saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah kepada para pembaca yang saya kasihi sekelian tidak kira dimana jua anda berada. Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk menguatkan lagi persaudaraan sesama Islam tanpa mengira bangsa dan negara. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin daripada kami sekeluarga sekiranya terdapat salah dan silap saya di dalam mengendalikan blog ini.

Sekian,

Warkah Nizam

Jumat, 05 Juli 2013

Marhaban Ya Ramadhan



Asalamualaikum wbt

Agak lama juga saya tidak kemaskini info di blog saya disebabkan oleh kesibukan tugas serta kelemahan saya sendiri. Apa pun harapan saya agar semua pembaca yang saya kasihi berada di dalam keadaan sihat wal afiat semuanya di samping keluarga tersayang.

Beberapa hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan, insyallah.  Apabila direnung kembali sebenarnya bulan Ramadhan ini adalah salah satu anugerah Allah yang cukup besar kepada hamba-hambaNya, tidak semua orang berpeluang untuk berada di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini, lihatlah di sekeliling kita mungkin ada di kalangan adik beradik, saudara mara, jiran tetangga serta sahabat handai kita yang telah meninggal dunia ( mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa-dosa mereka serta di tempatkan bersama-sama hamba-hambaNya yang beriman dan yang beramal soleh, amin).  Oleh yang demikian jika kita diberi peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan pada kali ini maka pergunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya kerana mungkin kita juga tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengannya selepas ini.

Hidupkanlah Ramadhan kita dengan amalan-amalan sunat seperti berzikir, berselawat, membaca Al-Quran, bersedekah, solat Terawih dan lain-lain lagi.  Pada masa yang sama perbanyakkanlah berdoa kepada Allah memohon keampunanNya dan apa-apa yang kita hajatkan.  Mudah-mudahan kita juga akan dipertemukan dengan malam lailatul qadar, amin.

Di dalam kita sibuk beribadah di dalam bulan Ramadhan ini janganlah kita lupa kepada saudara-saudara kita yang sedang berpuasa di bumi yang sedang bergolak seperti di Palestine, Syria, Myanmar, Mesir dan lain-lain lagi.  Bagaimanakan keadaan mereka? makanan apakah yang mereka makan semasa berbuka? sedangkan sesetengah kita di sini berbuka dengan makanan yang mewah-mewah dan adakalanya sehingga membazir.  Janganlah kita lupa bahawa salah satu hikmah berpuasa ialah melawan hawa nafsu kita marilah kita didik nafsu kita di bulan Ramadhan ini.

Akhir kalam saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada seluruh umat Islam tak kira dimana jua anda berada terutamanya kepada para pembaca setia blog ini, walaupun sudah agak lama saya tidak kemaskini laman blog ini, anda masih juga setia mengikuti sebarang perkembangan jika ada, sekali lagi saya mohon maaf di atas kelemahan saya. 

Sekian...

Warkah Nizam




Sabtu, 22 Juni 2013

Program Muslimat Masjid Bandar Bukit Puchong



Asalamualaikum wbt

Masjid Bandar Bukit Puchong akan mengadakan program berikut pada 23hb Jun 2013.  Semua muslimin dan muslimat di jemput hadir.  Cuma program Muslimah Seanggun Bidadari dikhaskan untuk muslimat sahaja.  Mohon dihebahkan.

Terima kasih.










Kamis, 04 April 2013

MBBP - Kuliah Maghrib Oleh Ustaz Yo Kemaman


Asalamualaikum wbt

Masjid Bandar Bukit Puchong akan mengadakan kuliah Maghrib khas pada 08hb April 2013 dimana penceramah jemputan kita pada kali ini adalah Ustaz Yo daripada Kemaman.  Muslimin & Muslimat di jemput hadir .  Mohon di hebahkan.

Warkah Nizam

Rabu, 13 Maret 2013

Iklan - Alat Pemadam Api Untuk Rumah Anda

Setiap rumah perlu memiliki sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api ini sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang musibah samada kepada kita atau pun kepada jiran-jiran kita.  Ianya mudah, ringan dan praktikal untuk kegunaan di rumah. Anak-anak anda juga boleh mengendalikannya. Bracket untuk menggantung alat ini turut disertakan sekali.

Rabu, 06 Maret 2013

Jumat, 15 Februari 2013

Leftenan Adnan Saidi - Al-Fatihah



Asalamualaikum wbt.
 
Pada kali ini saya ingin berkongsi kisah yang sempat saya baca daripada FB Isu Politik Semasa mengenai pengorbanan Allahyarham Leftenan Adnan Saidi.  Semoga beliau ditempatkan bersama-sama dengan para syuhada Allah. Amin Ya Rabb...Al-Fatihah.
 
 
Hari ini genaplah 77 tahun pemergian Wira Negara, Leftenan Adnan Saidi... Allahyarham berhempas pulas berjuang mempertahankan tanah air dari dijajah Jepun hingga ke titisan darah terakhir...

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk granet dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur d...
alam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.di dalam keadaan kacau bilau pertempuran, tubuh Korporal Yaakob(satu-satunya yang selamat) jatuh di atas timbunan mayat rakan-rakan seperjuangannya yang telah mati ditembak tentera Jepun.
 
Beberapa detik sebelum itu dia dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Leftenan Adnan dari Rejimen Askar Melayu berserta beberapa orang anak-anak buahnya yang lain akhirnya berjaya ditawan Jepun. Leftenan Adnan berusia 27 tahun ketika kejadian ini berlaku...Sejak pagi semalam lagi tentera Jepun telah menumpukan serangan bedilan bom, mortar berat dan bedilan meriam ke kawasan Pasir Panjang kerana mereka tahu, inilah kawasan terakhir yang perlu mereka tawan sebelum Singapura jatuh ke tangan mereka. Pihak British mempertahankan kawasan secara habis-habisan kerana kawasan tanah tinggi ini menghadap ke arah utara Singapura serta merupakan jalan ke arah Alexandra di mana letaknya depot senjata serta hospital tentera, serta kepentingan lain milik British.
 
Divisyen Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun di bawah pemerintahan Leftenan Jeneral Renya Mutaguchi telah diperintahkan untuk menghadapi 'C' Coy. 'C' Coy merupakan sebuah pasukan yang membentuk Batalion Pertama dan Kedua Kedua Rejimen Askar Melayu Rejimen British 2nd Loyals dan Briged 44th Indian. 'C' Coy berserta Leftenan Adnan Saidi telah ditempatkan untuk mempertahankan Perkampungan Pasir Panjang. Mereka telah memberi tentangan yang hebat kepada Tentera Jepun sehingga tentera Jepun dari Divisyen Chrysanthemum yang terkenal kerana kehebatan serta kehandalan mereka berperang terpaksa berundur.

Pada tengah malam semalam, Leftenan Adnan telah diperintahkan oleh Kepten H.R. Rix untuk berpindah ke sebuah tapak pertahanan baru. Mereka telah bertahan di sebuah kilang memproses candu kepunyaan pemerintah British di kaki sebuah bukit di Pasir Panjang.
 
Seramai 42 orang anggota Batalion pertama dan Kedua Rejimen Askar Melayu bertahan di situ tanpa air, makanan serta bekalan senjata tambahan. Di dalam keadaan terdesak, Leftenan Adnan telah memerintah anak buahnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Dia tahu, jumlah tentera Jepun yang akan datang menyerang terlalu banyak jumlahnya dibandingkan dengan jumlah tentera di bawah pimpinannya.

Pada tengah hari 14 Februari, pihak tentera Jepun akhirnya menyerang Rejimen Askar Melayu yang sedang bertahan di Bukit Chandu. Sekumpulan anggota tentera Jepun yang menyamar sebagai anggota tentera Punjabi datang mendekati mereka. Sebelum sempat mereka dapat mendekati kawasan yang dipertahankan oleh 'C' Coy,
 
Leftenan Adnan yang telah ditugaskan untuk mempertahankan bahagian utara kawasan tanah tinggi ini sudah dapat menghidu helah yang telah dilakukan oleh tentera Jepun. Tentera Punjabi itu dilihatnya sedang mara bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga. Leftenan Adnan yakin, apa yang dilihatnya itu adalah satu helah yang dilakukan oleh tentera Jepun, kerana pasukan tentera di bawah pimpinan British tidak mungkin akan melakukan kesilapan yang besar seperti yang dilihatnya pada ketika itu. Terus dia mengarahkan agar tembakan dilepaskan bertubi-tubi ke arah tentera Jepun yang sedang menyamar ini.

Seramai 20 anggota tentera Jepun telah mati serta cedera di dalam serangan ini. Perkara ini telah membuatkan tentera Jepun mengamuk, lantas membalas dengan serangan tembakan bertubi-tubi ke atas Rejimen Askar Melayu.

Rejimen Askar Melayu telah berjuang dengan berani sehingga titisan darah yang terakhir walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan tentera Jepun dengan menggunakan jumlah peluru yang terhad. Maka begitulah hendaknya semangat "Ta'at dan Setia" yang begitu kental di dalam jiwa mereka.

Tubuh Korporal Yaakob kaku tatkala dia berpura-pura mati di atas tubuh seorang rakannya yang telah mati ditembak pada bahagian lehernya. Korporal Yaakob dapat mencium bau hanyir darah yang masih mengalir hangat dari bahagian leher kawannya itu. Begitu meloyakan sehinggakan dia merasa seperti mahu muntah di situ juga. Sebelum Korporal Yaakob rebah di dalam kekalutan pertempuran tadi, dia dapat melihat Kapten Rix terbunuh bersama 12 orang tentera Melayu yang lain yang telah berjuang bermati-matian dengannya.
 
Kini, dari posisinya Korporal Yaakob dapat melihat keadaan Leftenan Adnan yang cedera parah diheret dan disepak terajang oleh tentera Jepun yang sedang marah menggila pada ketika itu. Mereka betul-betul ingin membalas dendam ke atas kematian rakan-rakan mereka yang telah mati ditembak oleh Leftenan Adnan serta anak-anak buahnya yang lain. Enam orang anggota tentera Melayu yang berjaya ditawan terus diikat, lantas ditikam dengan bayonet oleh tentera Jepun sehingga mati. Suara anggota tentera Melayu yang telah mengerang kesakitan di dalam saat-saat akhir hidup mereka terus berdengung di dalam kepala Korporal Yaakob. Dia tidak dapat melakukan apa-apa kecuali terus berpura-pura mati.

Tubuh Leftenan Adnan yang lemah itu kemudian diserkup dengan guni. Kakinya di gantung ke sebuah pokok ceri berdekatan dengan sebuah rumah banglo di Pepys Road. Kemudian, tanpa sebarang pertimbangan, tentera Jepun telah menikam tubuh Leftenan Adnan berkali-kali sehinggalah tubuhnya berhenti bergerak. Kaku. Titisan darah yang pekat mula membasahi kain guni yang menutupi tubuh Leftenan Adnan. Seorang pegawai tentera Jepun mengeluarkan balutan kain guni pada tubuh Leftenan Adnan. Dia mengambil pisaunya lalu leher Leftenan Adnan dikelar. Darahnya menitik dengan deras ke tanah.Pegawai tersebut lalu memerintahkan anak-anak buahnya supaya memberi amaran kepada penduduk-penduduk tempatan supaya jangan menyentuh mayat Leftenan Adnan juga mayat-mayat askar Melayu yang lain untuk dikebumikan. Jika tidak padah jadinya nanti!

Peristiwa Pertempuran di Bukit Chandu merupakan pertempuran terakhir sebelum Singapura akhirnya jatuh ke tangan Jepun. Pada 15 Februari 1942, Leftenan-Jeneral A.E Percival dari Pakatan Tentera British akhirnya menyerah kalah kepada Leftenan-Jeneral Yamashita Tomoyuki dari Tentera Imperial Jepun di bangunan Kilang Ford di Bukit Timah. Penyerahan Singapura kepada Jepun ini menandakan tamatlah ikatan Malaya dan khususnya Singapura kepada Kerajaan Britih yang telah memerintahnya selama lebih seabad lamanya sebelum ini.

Pada hari yang sama, bendera Union Jack diturunkan lantas bendera Matahari Terbit atau Hinomoru dikibarkan di sebatang tiang bendera berdekatan dengan bangunan Cathay, bangunan yang tertinggi di Singapura pada waktu itu.
 Ketika Jepun mengambil alih Singapura, tahun 1942 telah ditukar menjadi tahun 2602 mengikut kalendar yang digunakan oleh Jepun. Jam-jam pula diubah agar mengikut masa yang sama di Tokyo.

Sejak dari hari itu, Singapura dinamakan mereka 'Shonan-to', Malaya pula 'Malai' atau 'Maraiee' dan Pulau Pinang pula 'Tojoto'. Maka kini bermulalah penjajahan Jepun ke atas bumi Malaya dan Singapura!

*Keberanian sera kepahlawanan Leftenan diakui sendiri oleh Empayar British dan juga Empayar Jepun, sehinggakan General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya menyatakan “jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun”

AL-FATIHAH...
 

Selasa, 29 Januari 2013

Ceramah Perdana Sempena Maulidur Rasul Oleh Habib Ali Zaenal Abidin

Asalamualaikum wbt

Semalam 28hb Januari 2013, Habib Ali Zaenal Abidin telah sudi datang ke Masjid Bandar Bukit Puchong untuk menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk " Rasulullah Pembawa Pendamaian" sebagaimana seperti yang saya maklumkan sebelum ini di dalam posting saya yang terdahulu.

Pada malam tersebut saya sempat mengambil video ceramah beliau dan insyallah sekiranya ada rezeki saya akan upload di dalam blog ini untuk perkongsian bersama.  Alhamdulillah ceramah beliau telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para jemaah, sehinggakan ruang solat utama masjid dipenuhi oleh para jemaah untuk mendengar ceramah beliau.

Bagi para pembaca yang ingin mengetahui perkembangan program-program yang di adakan oleh Masjid Bandar Bukit Puchong, anda bolehlah lawati fanpage masjid di http://www.facebook.com/MASJIDBBP/

Di sini saya sertakan beberapa keping gambar yang sempat di rakamkan pada malam tersebut untuk tatapan para pembaca yang saya kasihi sekelian ;











Kamis, 24 Januari 2013

Salam Maulidur Rasul


Asalamualaikum wbt.

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam.  Mudah-mudahan dibulan maulid ini., kita perbanyakkanlah berselawat ke atas Nabi Muhammad saw dan bersyukur kepada Allah swt kerana telah dipilih untuk menjadi umat Nabi Muhammad.  Saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan anda semua para pembaca sekelian supaya dapat kita sama-sama menghayati perjalanan hidup seorang manusia mulia yang bernama Muhammad serta mencontohi Baginda Nabi.  Sesungguhnya Nabi Muhammad itu suri teladan yang baik maka sama-samalah kita berusaha untuk mencontohi baginda.

Pada kali ini saya bawakan kepada anda biografi ringkas Nabi Muhammad saw untuk tatapan para pembaca yang saya kasihi sekelian.

Nabi Muhammad dilahirkan pada hari Isnin di tahun Gajah.  Nama penuh baginda adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murra bin Kaab bin Luay bin Ghaleb bin Fihr bin Malik bin Nadhir bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrika bin Ilyas bin Mudor bin Nizar bin Maad bin Adnan bin Ismail bin Ibrahim.  Nama baginda telah diberikan oleh datuk baginda iaitu Abdul Mutalib yang bermaksud “yang terpuji”

Bapa baginda Abdullah telah meninggal dunia semasa beliau masih lagi berada di dalam kandungan ibu baginda iaitu Aminah.  Tidak berapa lama kemudian ibu baginda pula telah meninggal dunia semasa berada di satu tempat bernama “Abwa”.  Setelah kematian ibu, baginda telah dipelihara pula oleh datuknya Abdul Mutalib dan setelah itu oleh bapa saudaranya Abu Talib pada usia baginda 8 tahun.

Sebelum baginda diangkat menjadi Rasul, baginda cukup terkenal di kalangan orang-orang Quraisy sebagai seorang yang jujur dah telah digelar dengan gelaran Al-Amin yang membawa maksud “yang dipercayai”.  Pada usia 25 tahun baginda telah berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid.

Semasa baginda berumur 40 tahun, baginda telah memencilkan diri di Gua Hira dan telah didatangi oleh malaikat Jibrail dengan membawa wahyu yang pertama dan dengan peristiwa ini maka baginda telah di angkat oleh Allah swt menjadi rasul dan bermulalah kerja dakwah baginda.

Baginda telah ditentang oleh Arab Quraisy dan setelah 13 tahun berdakwah di Mekah Allah swt telah memerintahkan baginda dan umat Islam untuk berhijrah ke Madinah.  Peristiwa Hijrah ini telah memberi laluan kepada penubuhan Negara Islam yang pertama dan Islam telah berkembang selepas itu.

Tidak lama selepas peristiwa Hijrah telah berlaku peperangan yang pertama di antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy dan peperangan ini telah dimenangi oleh umat Islam dan diikuti dengan beberapa siri peperangan dan akhirnya pada tahun ke lapan hijrah umat Islam telah berjaya membuka kota Mekah dan selepas itu agama Islam telah berkembang dengan lebih pesat lagi dan kisah ini telah membuka mata negara-negara asing akan kemunculan kuasa baru. 

Nabi Muhammad saw wafat pada  tanggal 12 Rabiul Awal tahun ke sebelas hijrah pada usia 63 tahun.

Wallahualam

Warkah Nizam

Minggu, 20 Januari 2013

Ceramah Maulidur Rasul - Masjid Bandar Bukit Puchong


Asalamualaikum wbt.

Masjid Bandar Bukit Puchong akan menganjurkan Ceramah Perdana yang bertajuk " Rasulullah Pembawa Pendamaian" pada 28hb Januari 2013 selepas solat Maghrib. Semua muslimin & muslimat di jemput hadir dan mohon dihebahkan kepada yang lain.

Tajuk ini memang kena pada masanya dan dikupas pula oleh Habib Ali iaitu seorang penceramah yang tidak asing lagi kepada kita jadi jangan lepaskan peluang ini jemput hadir beramai-ramai.

Jom kita ngaji...

Warkah Nizam

Sabtu, 15 Desember 2012

Apa Yang Berlaku Di Syria Sebenarnya ...


Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian, pada kali ini saya ingin berkongsikan kisah penderitaan rakyat Syria dengan para pembaca sekelian.  Tidak ramai yang tahu apa yang sebenarnya yang berlaku di bumi Syria, malah ada yang mengatakan ianya adalah kerja musuh-musuh Islam yang ingin menjatuhkan negara Islam. Mungkin betul dan mungkin tidak.  Sebenarnya Syria diperintah oleh golongan Syiah yang membenci Ahli Sunnah Wal Jammah (ASWJ).  Selama ini rakyat Syria hidup dalam keadaan yang amat berhati-hati terutamanya mengenai hak mereka sebagai rakyat dan mereka juga telah ditindas sudah begitu lama tetapi seolah-olah dunia tidak mengetahui akan perkara ini.  Baru-baru ini kita telah menerima kunjungan Syeikh Dr Khalid Hassan Al Hindawi yang menceritakan keadaan sebenar mengenai apa yang berlaku di Syria dan saya muatkan petikan tersebut di dalam blog Warkah Nizam ini untuk pengetahuan kita bersama.

 
Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi merupakan pembantu khas kepada Dr Yusuf al-Qardhawi dan beliau telah diamanahkan oleh Ketua Ikatan Ulama Islam Antarabangsa untuk memberitahu berita dan hal sebenar yang sedang berlaku di Syria.

 
Menurut beliau, revolusi rakyat Syria bermula di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain seperti di Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di Syria yang menentang pemerintahan kejam Basyar Al-Assad.

 
Dr Khalid melihat kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya. Mereka mencuri harta-harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.
Beliau turut menceritakan latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti oleh anaknya, Basyar Al-Assad yang kini memerintah selama 11 tahun.

 
Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator. Syeikh Khalid menceritakan tentang konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari, mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan penganut Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) tetapi kisah ini seperti di beritakan kepada penduduk dunia.
Komposisi rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah Alawiyah, 10% beragama Kristian dan 84% Muslim ASWJ walaubagaimanapun pemegang tampuk pemerintahan adalah daripada golongan Syiah Alawiyah. Iran telah mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Hafez yang merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya menyebut sifat-sifat Syiah yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.

 
“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membela darah pemuda, pemudi dan huffaz. Kita kena sokong revolusi di Syria, kena tunjukkan keberanian kita menentang rejim zalim ini.
“Mereka membenci ASWJ, dan Hizbullah di Lubnan juga menyokong mereka. Jadi kita perlu menyokong saudara kita di Syria. Sekiranya Hizbullah berani menyokong Basyar ini, kenapa kita tidak berani menyokong golongan yang mempelopori revolusi ini?” tegasnya.

 
Fakta kekejaman rejim Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera, sementara 19 doktor serta 40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam tahanan.

 
Dalam tempoh lapan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam, rakyat menghadapi senjata berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid dirobohkankan, wanita dibawa ke tempat yang tidak diketahui, malah ada wanita yang diperkosa di hadapan suami mereka sambil diikat.

 
Menurut Syeikh Khalid lagi, seorang remaja perempuan di Homs, bernama Zainab Al-Husni, 23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau melawan. Akhirnya beliau dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya. Ratusan kanak-kanak turut dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.

 
Beliau menegaskan, ”Apakah kita perlu berdiam diri? Bagaimana kita harus bersabar di atas taghut yang kejam ini!“

 
Rejim Basyar juga telah memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan memberitahu dunia bahawa rakyat masih menyokong mereka. Kakitangan yang tidak menyokong kerajaan akan hilang pekerjaan mereka.

 
Revolusi ini masih berlanjutan hingga ke saat ini di sebabkan Regim Basyar ini menerima bantuan daripada negara luar seperti Iran, Lubnan, Rusia, China dan lain-lain yang memusuhi Islam.

 
Saya menyeru kepada semua umat Islam, marilah kita semua bersatu di atas nama Islam untuk membantu saudara mara kita yang ditindas di negara mereka sendiri tak kira dimana sahaja mereka berada seperti di Palestin, Syria, Afghanistan, Myanmmar dan lain-lain tanpa mengira fahaman politik, warna kulit atau bangsa.

 
Wallahualam.
 
 

Jumat, 16 November 2012

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1434 H



Asalamualaikum wbt

Selamat menyambut Maal Hijrah 1434 Hijriah, saya ucapkan kepada sidang pembaca yang saya kasihi sekelian.  Mudah-mudahan dengan kedatangan tahun baru ini, kita akan sentiasa berazam untuk menjadi hamba Allah yang lebih beriman dan bertaqwa.
 
Untuk makluman kepada pembaca sekelian, tahun hijriah telah diperkenalkan pada zaman Khulafa Ar-Rashideen iaitu di zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab.  Pada peringkat awal perbincangan bagi menetapkan tarikh tahun hijriah ini memang terdapat banyak cadangan daripada para sahabat seperti tarikh kelahiran Nabi s.a.w, Ramadhan dan lain-lain sehinggalah para sahabat bersetuju untuk menggunakan peristiwa penghijrahan Nabi s.a.w pada tahun 622 masihi dari Mekah ke Madinah sejauh lebih kurang 500km sebagai tarikh bagi tahun hijriah.  Begitulah serba sedikit sejarah asas mengenai kalendar umat Islam.
 
Di Malaysia sambutan Maal Hijrah di adakan pada setiap tahun dengan pelbagai tema dan juga diberikan anugerah kepada tokoh-tokoh yang telah banyak menabur jasa didalam pelbagai bidang, pun begitu masih ramai juga umat Islam yang tidak tahu apa itu Maal Hijrah bahkan hanya sekadar bergembira kerana hari tersebut merupakan hari cuti umum di negara kita.  Malah tidak memberi apa-apa makna kepada sesetengah mereka. 
 
Ingin saya mengajak para pembaca sekelian untuk mengimbau sejarah silam di waktu Nabi s.a.w bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq berhijrah, dimana pada permulaan perjalanan mereka, Baginda Nabi saw dan Abu Bakar telah dikejar oleh kafir Quraisy bagi menghalang mereka daripada pergi ke Madinah sehingga Nabi Muhammad saw dan Saidina Abu Bakar terpaksa bersembunyi di dalam Gua Thur selama 3 hari dan di sepanjang mereka berada disitu telah berlaku banyak peristiwa yang boleh dijadikan teladan dan iktibar kepada mereka yang mahu berfikir.

Antara peristiwa yang berlaku semasa Nabi dan Saidina Abu Bakar di dalam Gua Thur ialah Allah swt telah memelihara mereka berdua dimana para pemuda Quraisy lalu di hadapan pintu gua tersebut tetapi Allah telah memalingkan wajah dan hati mereka daripada memasuki gua tersebut, sehinggakan Nabi dan Abu Bakar boleh melihat kaki-kaki mereka dan seandainya mereka menjengah ke dalam gua sudah pasti mereka akan ternampak Nabi dan Abu Bakar.

Kisah bagaimana Abu Bakar yang menggunakan kakinya sendiri  untuk menutup lubang ular bisa juga menunjukkan betapa kasihnya para sahabat kepada Rasulullah saw.  Dimana ketika itu Rasulullah sedang tidur di atas riba Abu Bakar, tetapi oleh kerana terlalu kasihkan kepada Nabi yang terlalu keletihan dan tidak mahu menggangu lena Nabi.  Saidina Abu Bakar rela menggunakan kakinya sendiri untuk menghalang ular berbisa tersebut daripada keluar daripada lubangnya dan akhirnya tapak kaki Saidina Abu Bakar telah dipatuk oleh ular tersebut.  Namun Saidina Abu Bakar tetap menahan kesakitan patukkan ular tersebut di samping menahan kesakitan kesan bisa ular yang tidak terperi sehingga air mata beliau mengalir lalu jatuh di atas wajah mulia Rasulullah dan menyebabkan Rasulullah terjaga dan bertanyakan apa yang telah berlaku, lalu Rasulullah telah melihat luka patukkan ular pada kaki Saidina Abu Bakar dan meludahnya, dan dengan izin Allah luka tersebut sembuh.

Di samping itu terdapat beberapa orang lagi yang tahu mengenai tempat persinggahan Nabi ini antaranya ialah Abdullah Bin Abu Bakar As-Siddiq yang mendengar berita-berita yang di bincangkan oleh para pembesar Quraisy dan menyampaikan kepada Rasulullah serta ayahnya.  Asma' Binti Abu Bakar As-Siddiq atau dikenali dengan gelaran "Zatun Nitakaini" iaitu wanita yang mempunyai dua selendang dan gelaran ini berikan oleh Baginda Rasulullah semasa Asma' menghantar makanan kepada Baginda dan ayahnya, dimana dia telah menggunakan selendangnya untuk menutup kepala dan satu lagi untuk menyembunyikan makanan yang dibawanya kepada Rasulullah dan ayahnya.  Manakala Amir bin Fuhairah pula membawa kambing-kambing yang digembalanya ke kaki bukit Thur bagi menghilangkan jejak-jejak kaki yang ditinggalkan oleh Nabi dan juga Saidina Abu Bakar serta beberapa orang lagi yang mengetahui tempat persinggahan Nabi & Abu Bakar.

Malah kisah Hijrah Nabi saw bermula apabila lebih kurang 100 orang pemuda Quraisy dari semua suku kaum berkumpul bagi membunuh Nabi saw dan Allah swt telah menghancurkan rancangan mereka apabila kesemua mereka tertidur dan di kala itulah Nabi saw telah keluar dari rumahnya untuk berhijrah bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali telah tidur ditempat tidur Nabi saw.  Begitulah serba sedikit sirah mengenai hijrah Rasulullah saw bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar.

Apa yang penting Maal Hijrah bukan sekadar disambut dengan membaca doa akhir dan awal tahun semata-mata malah lebih dari itu lagi.  Saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan para pembaca sekelian untuk berhijrah menjadi orang yang lebih berilmu, yang mana untuk mendapatkan ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan juga wang ringgit.  Sama-samalah kita menghayati dan menyelami sirah Rasulullah saw pada peristiwa hijrah ini.  Mudah-mudahan ianya dapat menjadi bekal kepada kita dan ahli keluarga kita di dalam mengharungi hidup yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini.  Jasa Rasulullah saw dan para sahabat di dalam mengembangkan agama Islam ini terlalu besar maka marilah kita mengenali serta mencontohi akhlak serta amalan mereka.Wallahualam.

Seandainya ada salah dan silap saya mohon maaf. Selamat Menyambut 1434 H

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Selasa, 06 November 2012