Jumat, 29 Januari 2010

Hadis 18 - Takwa Dan Berakhlak Mulia

Daripada Abu Dzar Jundub Bin Junaadah dan Abu Abdur Rahman Muaz Bin Jabal r.a daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda : "Bertakwalah kepada Allah dimana sahaja kamu berada. Susulilah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik"

Kepentingan Hadis

Hadis ini memberi pengajaran bahawa di antara kesempurnaan iman dan sifat orang-orang yang bertakwa ialah akhlak yang mulia dan baik ketika berbicara dan bergaul dengan manusia. Dan diantara kesempurnaan takwa ialah dengan membenci melakukan maksiat dan menjauhi ahli maksiat apabila mereka tidak mematuhi perkara makruf yang dianjurkan kepada mereka dan tidak berhenti daripada melakukan kemungkaran.

Senin, 18 Januari 2010

Hadis 17 - Keluasan Ihsan

Daripada Abu Ya'la Syaddaad Bin Aus r.a, daripada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda :" Sesungguhnya Allah s.w.t mewajibkan ihsan terhadap segala sesuatu. Jika kamu membunuh, laksanakanlah dengan cara yang baik, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik dan hendaklah seseorang daripada kamu menajamkan pisaunya serta hendaklah dia merehatkan sembelihannya."
Kepentingan Hadis
Hadis ini merupakan salah satu daripada prinsip penting Agama Islam. Ia mengandungi perintah supaya seluruh ajaran Islam dilaksanakan dengan penuh teliti, kerana ihsan lahir ketika melakukan sesuatu perbuatan dan perlaksanaannya yang selari dengan tuntutan syarak. Perbuatan pula mempunyai kaitan sama ada dengan kehidupan manusia dan polisinya terhadap keluarga, saudara-mara serta orang lain, atau mempunyai kaitan dengan tempat rujukannya iaitu iman yang merupakan amalan hati dan Islam yang merupakan amalan anggota. Barangsiapa yang melakukan ihsan dalam kehidupan dan tempat rujukannya, maka dia mendapat keuntungan yang besar dan termasuk ke dalam golongan yang mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat, Insyallah.

Minggu, 17 Januari 2010

Hadis 16 - Jangan Marah, Bagimu Syurga

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w : "Berilah wasiat kepadaku, " Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : "Jangan marah". Lelaki tersebut mengulangi pertanyaannya berkali-kali, sabda Rasulullah s.a.w : "Jangan marah."
Kepentingan Hadis
Al-Jardaani telah berkata ; "Hadis ini mempunyai pengertian yang besar. Ia merupakan kata-kata Rasulullah s.a.w yang ringkas tetapi mengandungi pengertian yang padat kerana ia menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat."
Sebagai seorang Islam, kita mesti berusaha untuk memiliki sifat-sifat mulia seperti tawaduk, malu, bersopan-santun, hormat-menghormati dll. Hadis ini merupakan wasiat Rasulullah s.a.w kepada seorang sahabat yang ingin menempuh jalan ke syurga firdaus dan mencari keredhaan Allah. Beliau telah meminta Rasulullah s.a.w memberi wasiat yang ringkas supaya beliau dapat menghafal dan memahami wasiat tersebut dan Rasulullah s.a.w telah bersabda seperti di atas.
Kita perlu sentiasa ingat bahawa dengan sifat marah tidak akan dapat menyelesaikan masalah malah ia akan mengundang kepada masalah baru. Oleh itu kita perlu sentiasa bersifat sabar dan berhikmah didalam memberi pandangan atau didalam memberi teguran supaya dengan yang demikian akan dapat menjaga hubungan silaturrahim sesama Islam ataupun dengan bukan Islam.
Wallahualam.

Kamis, 14 Januari 2010

Hadis 15 - Perkataan Yang Baik, Menjaga Hak Tetamu Dan Tentangga

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah berkata yang baik atau diam, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah memuliakan jiran tetangga dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah memuliakan tetamunya"
Kepentingan Hadis
Imam Ibnu Hajar rahimahullah berkata, Hadis ini mencakupi perkara yang menggabungkan di antara kemuliaan akhlak fi'liyyah (perbuatan) dan akhlak qauliyyah (perkataan).
Marilah kita sama-sama renungkan Hadis Nabi ini, sungguhpun ianya pendek tetapi mempunyai kesan yang cukup besar kepada perpaduan ummah. Akhlak Nabi adalah akhlak yang semestinya menjadi contoh kepada kita semua. Mudah-mudahan kita semua dapat beramal dengan hadis ini dan menyampaikan kepada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai kita. Insyallah.

Jumat, 04 Desember 2009

Hadis 14 - Kehormatan Darah Seorang Muslim

Daripada Ibnu Mas'ud r.a. berkata : " Rasulullah s.a.w telah bersabda: " Tidak halal darah seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah ( Tiada tuhan melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah ) kecuali disebabkan salah satu daripada tiga perkara ; Janda yang berzina, jiwa dengan jiwa dan orang yang meninggalkan agamanya yang memisahkan dirinya daripada jamaah."
Kepentingan Hadis
Hadis Nabi yang mulia ini merupakan penerang kepada Agama Islam yang agung. Ia juga merupakan satu daripada prinsip perundangan yang digunakan untuk memelihara kehidupan seorang muslim selagi mana muslim tersebut seorang yang sejahtera, selamat dan tidak memiliki kecatatan yang mengancam keamanan masyarakat dan keselamatan individu.
Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah telah menyebut berkenaan kepentingan hadis ini, katanya ; " Hadis ini adalah di antara prinsip yang amat penting lantaran kaitannya dengan suatu yang paling berharga iaitu darah (nyawa). Hadis ini juga adalah penjelasan kepada halal dan haram yang berhubung dengan darah (nyawa). Pada asalnya darah adalah terpelihara. Begitu juga pada logiknya kerana akal telah di sifatsemulajadi oleh Allah untuk kasihkan kepada berkekalannya manusia yang dicipta oleh Allah dalam sebaik bentuk ..."

Rabu, 02 Desember 2009

Hadis 13 - Persaudaraan Iman Dan Islam

Daripada Abu Hamzah Anas Bin Malik r.a. pembantu Rasulullah s.a.w. katanya ; Berkata Rasulullah s.a.w. : " Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri ".
Kepentingan Hadis
Imam Nawawi r.a berkata di dalam kitab Syarah Muslimnya bahawa Imam Abu Muhammad Abdullah Bin Abu Zaid, Imam mazhab Maliki di Maghribi pada zamannya telah berkata : " Himpunan peradaban-peradaban baik adalah terpancar daripada empat Hadis iaitu ;
1. Sabda Rasulullah s.a.w.
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam sahaja".
2. Sabdanya lagi di dalam hadis yang lain ,
" Di antara (tanda) sempurna Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkenan dengan dirinya"
3. Sabda Rasulullah s.a.w. yang lain,
"Janganlah kamu marah"
4. Dan sabdanya yang lain
" Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya sesuatu yang dia kasih untuk dirinya sendiri"

Selasa, 01 Desember 2009

Baru Free

Asalamualikum wbt.

Kepada semua yang mengikuti blog ini, saya memohon maaf sebab sudah agak lama tidak ada artikel baru yang saya terbitkan di dalam blog ini. Ini adalah kerana daripada Ramadhan hinggalah ke Aidil Adha yang baru berlalu ini, saya sangatlah sibuk dan tidak mempunyai masa untuk update blog ini. Insyallah selepas ini saya akan cuba untuk update blog seperti biasa.

Sekian, harap maklum.