Selasa, 06 Juli 2010

Perawi 27 - Samurah

Samurah, ialah; Samurah bin Jundub bin Hilal. Bapanya meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil dan beliau telah bersama ibunya di Madinah. Ada pendapat menyatakan Rasulullah s.a.w telah mengharuskan beliau menyertai peperangan Uhud dan telah menyertai banyak peperangan bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, dan telah meriwayatkan sebanyak 123 buah hadis. Beliau menetap di Basrah dan meninggal dunia di sana pada tahun 59 atau 58 Hijrah.

Senin, 05 Juli 2010

Bahasa Dalam Berdoa


BAHASA DALAM BERDOA


Sebagaimana seperti yang diterangkan sebelum ini, salah satu daripada syarat untuk doa dimakbulkan ialah dengan mengetahui erti dan maksud doa yang dipohon. Oleh yang demikian kita boleh menggunakan apa jua bahasa untuk berdoa. Namun sebaik-baik bahasa yang digunakan adalah bahasa Arab kerana ;

1. Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab maka adalah lebih baik jika dapat menggunakan bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran.

2. Doa-doa yang diajarkan oleh Nabi juga di dalam bahasa Arab.

3. Kandungan bahasa Al-Quran adalah sangat luas maksudnya dari segala bahasa yang ada di dunia.

Perawi 26 - Usamah

Usamah ialah; Usamah bin Zaid bin Harithah, merupakan wakil Rasulullah s.a.w. Ibunya bernama Ummu Aiman. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 128 buah hadis, merupakan orang yang terkenal dan meninggal dunia di Madinah pada tahun 54 Hijrah.

Jumat, 02 Juli 2010

Berita Utusan Malaysia

257,000 sijil kelahiran tanpa bapa

IPOH 1 Julai – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, negara sedang berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan dari tahun 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa.
Titah baginda, berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, ini bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari.
Tambahnya, perangkaan dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 70,430 anak luar nikah didaftarkan iaitu 30,978 beragama Islam, Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395).
Baginda bertitah, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

“Nyatalah masalah anak luar nikah makin meningkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tong sampah semakin menjadi-jadi.

“Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Persidangan Ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.

Kamis, 01 Juli 2010

Kisah Syaidina Umar Al Khattab


Kisah Umar Al-Khattab

Dalam satu peristiwa sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w pernah melihat Umar menangis dan kemudian tertawa tanpa sebab yang jelas. Akhirnya ada yang berani bertanya, “Wahai pemimpin orang Islam, kenapa kamu menangis kemudian tersenyum tanpa sebab yang dapat kami fahami.”

Umar menceritakan, “Dahulu aku dan orang-orang Quraisy sangat membenci anak perempuan. Ketika aku mendapat perkhabaran anak perempuan, daripada saat kelahirannya lagi kebencian ku sudah bermula. Aku pendam rasa benci itu, aku sabar sampailah umurnya enam tahun, aku sudah tidak tahan lagi, aku membawanya ke padang pasir dan aku gali lubang. Dia menyangka aku membawanya berkelah dan bermain-main, dia turut sama membantuku menggali lubang. Apabila lubang telah siap, aku menolak dia ke dalam lubang dan aku mula menimbusnya dengan pasir. Anakku masih belum tahu niat ku, masih ingat aku sedang bermain-main dengannya, dia tolong mengibaskan pasir-pasir daripada janggut dan pakaian ku, tetapi akhirnya aku menimbusnya hidup-hidup tanpa ada perasaan belas kasihan kepada anak ku sendiri. Inilah kehidupan kami sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w, kami memuliakan anak lelaki dan menghina anak perempuan bahkan kami membunuh mereka hidup-hidup. Maha Besar Allah, Maha Baik Allah yang telah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w yang meletakkan perempuan ditempat yang mulia. Marilah kita bersyukur di atas nikmat ini. Itulah rahsianya, apabila aku teringat kisah ini aku akan menangis.”

Umar berkata lagi,”Berkenaan mengapa aku tersenyum, pada suatu hari aku keluar dari Bandar Mekah. Apabila keluar dari Mekah, biasanya kami membawa batu, tetapi aku ada membawa kurma, aku membuat berhala dari kurma yang aku bawa dan aku sembah kurma itu. Apabila makanan aku habis, mulalah aku makan tuhan aku itu sedikit demi sedikit. Apabila aku teringat kisah ini aku ketawa sendirian.”

Doa Yang Di Makbulkan



Antara Syarat-Syarat Untuk Doa Dimakbulkan


1. Mengetahui Erti Dan Maksud Doa

Adalah penting untuk kita mengetahui erti dan maksud doa yang kita panjatkan kepada Allah s.w.t, kerana Allah swt telah berfirman di dalam Al-Quran pada surah Hud ayat 46;
“Maka janganlah kamu meminta kepada Ku, apa yang kamu tidak mengerti, sesungguhnya Aku memberi nasihat kepadamu, supaya kamu tidak termasuk kedalam golongan orang-orang yang bodoh”


2. Berdoa Dengan Bersungguh-sungguh

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Ankabut ayat 69 ;
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

3. Memenuhi Penyebab Untuk Makbulnya Doa Itu (berusaha)

Maksud syarat ini adalah untuk mengajak kita berusaha dengan bersungguh-sungguh setelah kita berdoa. Contohnya sekiranya kita berdoa untuk menjadi pandai maka kita perlu belajar dengan bersungguh-sungguh.


4. Berdoa Dengan Khusyuk Dan Yakin Bahawa Doa Akan di Makbulkan

Iaitu berdoa dengan penuh perasaan serta merendah diri kepada Allah s.w.t serta yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa kita.
Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-A’raaf, ayat 55 ;
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan dengan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”


5. Bertaqwa Kepada Allah

Merupakan syarat yang paling asas iaitu dengan melakukan apa yang Allah perintahkan dan meninggalkan apa yang Allah larang. Sebagaimana dengan firman Allah di dalam surah Al-Maidah; ayat 27

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putra Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan Qurban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa".


6. Menjauhkan Diri Dari Larangan Allah

Sama seperti syarat di atas, bagi memastikan doa kita dimakbulkan Allah kita bukan sahaja ditegah daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah malah turut menjauhinya.


7. Berdoa dengan Ikhlas

Berdoa semata-mata kerana Allah dengan tidak ada perantaraan lain.


8. Tidak Meminta Perkara Yang Mustahil, Buruk Dan Perkara Yang Berdosa, Memutuskan Silaturrahim Serta Tidak Minta Untuk Cepat Dikabulkan.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda yang bermaksud ; “Tetap akan dikabulkan doa seorang hamba selama mana ia tidak meminta sesuatu yang jahat atau mendatangkan dosa atau memutuskan silaturrahim, selama ia tidak meminta cepat terkabul. Lalu Rasulullah ditanya; “Apa maksud minta cepat terkabul itu ? Baginda menjawab; “Seperti orang berkata, aku sudah berdoa dan berdoa lagi, tetapi tidak juga terkabul, kemudia ia rasa menyesal dan tidak mahu berdoa lagi”.

Perawi 25 - Al Barra'

Al-Barra’ Bin Azib, ialah ; Al-Barra’ bin Azib bin Al-Harith Al-Khazraji Al-Ansari, Abu Umarah. Ibunya bernama Ummu Habibah binti Abi Habibah, dan telah memeluk Islam ketika masih kecil lagi. Beliau berperang bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w sebanyak 15 kali, dan telah meriwayatkan 305 buah hadis. Meninggal dunia di Kufah pada tahun 71 Hijrah.