Jumat, 06 Agustus 2010

Sahabat 5 - Talhah bin Ubaidillah

Sahabat 5 – Talhah bin Ubaidillah ( Yang Sedia Berkorban )

Talhah bin Ubaidillah dilahirkan 28 tahun sebelum Hijrah. Beliau memeluk Islam semasa umurnya 18 tahun. Beliau terkenal sebagai seorang saudagar yang kaya raya. Menurut Ibnu Khaldun dalam muqaddimah, diera Usman, kemasukan harian Talhah dari penjuru Iraq berjumlah lebih kurang 1,000 dinar emas setiap hari. Pada zaman nabi, beliau turut serta dalam Perang Uhud disamping peperangan yang lain selepas itu. Beliau tidak dapat menyertai Peperang Badar disebabkan pada masa itu beliau berada di Syam. Talhah mati dibunuh dalam perang Jamal pada tahun 36 hijrah sewaktu berusia 63 tahun.

Antara ciri-ciri unggul yang ada pada Talhah adalah sifat beraninya semasa berada didalam medan perjuangan. Sifat ini terserlah semasa Perang Uhud pada tahun ke 3 Hijrah. Semasa tentera kafir Quraisy melakukan serangan mengejut nabi telah tercedera dan pada ketika itu sahabat yang pertama berada disisi nabi bagi melindungi baginda adalah Talhah bin Ubaidillah. Beliau menjadikan badannya sebagai perisai semasa menghadapi serangan musuh yang dating bertubi-tubi bagi membunuh nabi. Akhirnya badannya dipenuhi lebih kurang 70 kesan luka, jari-jari tangannya juga putus. Justeru kerana keberaniannya itu nabi pernah bersabda “Siapa yang ingin melihat seorang syahid berjalan dimuka bumi maka lihatlah pada Talhah bin Ubaidillah”. Begitulah keperibadian seorang yang unggul kerana pengorbanan dan perjuangan menjadi keutamaan di dalam membela agama.

Perawi 41 - Mu'az

Mu’az, ialah ; Muaz bin Jabal bin Amru Al-Ansari Al-Khazraji Al-Madini, merupakan orang yang fakih dalam bidang agama serta orang salih, beliau memeluk Islam ketika berumur 18 tahun. Beliau ada bersama-sama dalam perjanjian Aqabah bersama-sama 70 orang dari golongan Ansar, beliau juga menyertai peperangan Badar, Uhud, Khandaq dan lain-lain. Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan beliau dengan Abdullah bin Mas’ud. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 157 buah Hadis. Meninggal dunia di Syria pada tahun 18 Hijrah akibat penyakit taun ketika berumur 33 tahun.

Rabu, 04 Agustus 2010

Ilmuan Islam - Biografi Ringkas Hassan Al-Banna

HASSAN AL-BANNA

Hassan Al-Banna dilahirkan pada oktober 1906 di perkampungan al-Mahmudiya yang terletak di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Bapanya bernama Sheikh Ahmad ibn Abd al-Rahman al-Banna. Bapanya adalah seorang ulama, guru, imam dan penulis beberapa buah kitab hadis dan feqah perundangan Islam. Bapa beliau seorang yang terpelajar dan lulusan Universiti al-Azhar Mesir.

Bagi menyara kehidupan keluarga, bapanya bekerja sebagai tukang pembaik jam di tempat tinggalnya. Di dalam kalangan penduduk kampung, bapanya dihormati kerana dia seorang yang bersopan santun, merendah diri, pemurah dan berperibadi tinggi. Bapanya juga mengajar ilmu-ilmu agama kepada penduduk setempat yang berminat. Kehidupan mereka sekeluarga hanya sederhana.

Hassan al-Banna adalah anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Beliau sering mengikut bapanya membuat perbincangan mengenai hal-hal agama. Keadaan ini menyebabkan Hassan al-Banna terikut-ikut dan mewarisi pemikiran dan perwatakan bapanya itu.

Sejak dari bangku sekolah lagi bakat kepimpinan beliau telah terserlah dan beliau telah dilantik menjadi pemimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolahnya. Hasil didikan bapanya, beliau telah berjaya menghafaz Quran dan seterusnya memasuki Pusat Latihan Perguruan dan menjadi pelajar cemerlang serta sering mendapat tempat pertama di dalam peperiksaan.

Kepintarannya itu menyebabkan Hassan al-Banna telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke Darul Ulum di Kaherah pada umur 17 tahun. Pada masa itu, keadaan politik di Kaherah sedang bergolak. Fahaman secular yang disebarkan oleh Kamal Atartuk menentang aliran Islam di sana. Pada masa itu fahaman sekular berleluasa di sana bertujuan bagi melemahkan pengaruh Islam.

Keadaan ini telah menarik minat Hassan al-Banna terlibat dengan pertubuhan Jamaiatul Makram al-Akhlaq. Pertubuhan ini giat mengadakan ceramah-ceramah Islam bagi menghapuskan fahaman sekular yang mula menyusup masuk ke dalam pemikiran umat Islam pada waktu itu.

Semasa beliau berumur 23 tahun, beliau bekerja sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di Bandar Ismailiyah selama 19 tahun. Pada tahun 1946, beliau meletakkan jawatan sebagai guru dan mula bergiat sepenuh masa dalam dakwah bersama-sama dengan rakan-rakannya di dalam Ikhwanul Muslimin.


Ikhwanul Muslimin berkembang dengan 3 peringkat iaitu peringkat pertama dengan ceramah dan juga kerja-kerja kebajikan. Peringkat kedua ialah dengan pembentukan keperibadian Islam sejati di kalangan ahli dan yang ketiga ialah melaksanakan cita-cita perjuangan mereka.

Selepas perang dunia kedua pertubuhan Ikhwanul Muslimin telah bertanding di dalam pilihanraya Mesir dan mempunyai ahli seramai setengah juta orang. Kerja kebajikan yang dilaksanakan oleh Hassan al-Banna telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada kerajaan British pada masa itu, tetapi pengaruh masyarakat dan pengiktirafan daripada kerajaan British kepada Ikhwanul Muslimin telah merungsingkan Kerajaan Mesir pada masa itu.

Pada tahun 1948, Noqrashi Pasha telah membuat tuduhan bahawa pertubuhan Ikhwanul Muslimin bercita-cita ingin menjatuhkan kerajaan Mesir pada waktu itu. Peristiwa itu telah menyebabkan semua cawangan Ikhwanul Muslimin telah ditutup, ahli-ahlinya ramai yang telah di tangkap, diseksa dan ada yang dibunuh. Kemuncak kepada peristiwa ini ialah pembunuhan perdana menteri Mesir di mana pertubuhan Ikhwanul Muslimin telah dituduh sebagai dalang kepada pembunuhan ini.

Pada 12hb Februari 1949, iaitu disekitar jam 5.00 petang, kerajaan Mesir telah menjemput Hassan al-Banna bertujuan bagi berbincang perihal krisis yang mereka hadapi. Hassan al-Banna telah di jemput ke pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin. Hassan al-Banna datang bersama-sama dengan iparnya iaitu Abdul Karim Mansur.

Jemputan itu sebenarnya adalah taktik kotor yang digunakan oleh pihak kerajaan Mesir. Menteri Zaki Ali Basya yang sepatutnya hadir berbincang dengan Hassan al-Banna tidak muncul-muncul. Semasa beliau dan iparnya mahu pulang dengan menaiki teksi, mereka telah ditembak oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali. Akhirnya Hassan al-Banna telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.50 malam selepas mengalami pendarahan yang teruk pada usia 43 tahun. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Perawi 40 - Zaid

ZAID, ialah ; Zaid bin Khalid Al-Juhani, beliau tinggal di Madinah, telah menyaksikan perjanjian Hudaibiyah dan perjumpaan Juhainah ketika Pembukaan Mekah. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 81 buah hadis. Meninggal dunia di Madinah, ada pendapat menyatakan di Kufah dan Mesir pada tahun 68 Hijrah ketika berumur 80 tahun.

Selasa, 03 Agustus 2010

Sahabat 4 - Ali bin Abu Talib

Sahabat 4 – Ali bin Abu Talib (Yang Berani)

Ali bin Abu Talib dilahirkan di Mekah pada tahun 598 Masihi, lebih kurang 10 tahun sebelum Nabi diangkat menjadi rasul. Bapa Ali iaitu Abu Talib, adalah bapa saudara Nabi. Semasa Nabi menjadi anak yatim, baginda telah dibela oleh datuknya dan selepas datuknya meninggal dunia Nabi dibela oleh Abu Talib. Justeru, Ali dan nabi merupakan sepupu. Semasa nabi dilantik menjadi rasul, Ali merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam. Semasa peristiwa hijrah berlaku, Ali mengambil risiko tidur di katil nabi lantas berjaya mencegah satu percubaan membunuh nabi. Pada masa itu Ali yang berumur 23 tahun diarahkan nabi supaya tidur ditempat tidur baginda bagi memperdaya musuh. Nabi bersabda “Wahai Ali, pada malam ini tidurlah di atas katil aku dan gunakanlah selimut ini” Ali melaksanakan perintah nabi tanpa sebarang soalan atau keluh kesah walaupun nyawanya sendiri terancam. Selepas berlakunya perang Badar, beliau mengahwini Fatimah Az-Zahra, puteri nabi.

Ali merupakan Khalifah Islam ke-empat selepas Usman bin Affan dan jangkamasa pemerintahannya adalah selama empat tahun tujuh bulan. Beliau mati dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam, seorang khawarij pada usia 63 tahun pada tanggal 21 Ramadhan tahun 40 Hijrah.

Antara sifat unggul yang ada pada Ali adalah dari sudut keberaniannya. Semasa perang tanding didalam Peperangan Badar. Pihak Quraisy mengetengahkan 3 orang pahlawan mereka iaitu Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah dan Walid bin Utbah. Pihak Islam pula mengetengahkan Ubaidah bin Haris, Hamzah dan Ali, pada ketika itu Ali berumur 25 tahun dan berjaya menewaskan musuhnya.

Manakala di dalam Peperangan Khandak pada tahun ke 5 Hijrah, umat Islam berjaya membina sebuah parit besar yang memisahkan tentera-tentera Islam dan tentera kafir pada masa itu. Namun terdapat juga tentera kafir yang berjaya menembusi parit besar itu dan salah seorang daripada mereka adalah pahlawan Arab Quraisy yang sangat digeruni bernama Amru bin Abdul Wud. Semasa menghampiri tentera Islam beliau bertempik mencabar perang tanding dengannya. Ali lantas bangun beberapa kali bagi menyahut cabaran tetapi setiap kali dia bangun beliau dilarang oleh nabi memandangkan lawannya itu bukan calang-calang orang. Akhirnya nabi mengizinkan juga Ali berlawan dengan Amru dengan menggunakan pedang Zulfaqar. Semasa perang tanding Ali telah berjaya membunuh lawannya itu. Sewajarnya keberanian Ali menjadi contoh kepada kita semua.

Senin, 02 Agustus 2010

Masalah Internet

Asalamualaikum wbt

Mohon maaf sebab tidak dapat update blog saya dalam 1 - 2 hari ini sebab kawasan saya mengalami masalah sambungan internet. Insyallah saya akan update lagi bila masalah ini selesai.

Sekian, harap maklum

Perawi 39 - Sa'ad

Sa’ad, ialah; Saad bin Abi Waqas, merupakan salah seorang dari sepuluh orang yang dijanjikan syurga. Beliau merupakan orang awal memeluk Islam ketika berumur 17 tahun dan juga merupakan golongan yang awal berhijrah ke Madinah. Beliau banyak menyertai peperangan bersama Rasulullah s.a.w seperti perang Badar, Uhud, Khandaq dan lain-lain lagi, beliau elah meriwayatkan 270 buah hadis. Beliau telah meninggal dunia di Aqiq – nama tempat yang hampir dengan Madinah pada tahun 55 Hijrah, dibawa ke Madinah, disembahayangkan dan disemadikan di Perkuburan Baqi’.