Jumat, 04 Desember 2009

Hadis 14 - Kehormatan Darah Seorang Muslim

Daripada Ibnu Mas'ud r.a. berkata : " Rasulullah s.a.w telah bersabda: " Tidak halal darah seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah ( Tiada tuhan melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah ) kecuali disebabkan salah satu daripada tiga perkara ; Janda yang berzina, jiwa dengan jiwa dan orang yang meninggalkan agamanya yang memisahkan dirinya daripada jamaah."
Kepentingan Hadis
Hadis Nabi yang mulia ini merupakan penerang kepada Agama Islam yang agung. Ia juga merupakan satu daripada prinsip perundangan yang digunakan untuk memelihara kehidupan seorang muslim selagi mana muslim tersebut seorang yang sejahtera, selamat dan tidak memiliki kecatatan yang mengancam keamanan masyarakat dan keselamatan individu.
Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah telah menyebut berkenaan kepentingan hadis ini, katanya ; " Hadis ini adalah di antara prinsip yang amat penting lantaran kaitannya dengan suatu yang paling berharga iaitu darah (nyawa). Hadis ini juga adalah penjelasan kepada halal dan haram yang berhubung dengan darah (nyawa). Pada asalnya darah adalah terpelihara. Begitu juga pada logiknya kerana akal telah di sifatsemulajadi oleh Allah untuk kasihkan kepada berkekalannya manusia yang dicipta oleh Allah dalam sebaik bentuk ..."

Rabu, 02 Desember 2009

Hadis 13 - Persaudaraan Iman Dan Islam

Daripada Abu Hamzah Anas Bin Malik r.a. pembantu Rasulullah s.a.w. katanya ; Berkata Rasulullah s.a.w. : " Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri ".
Kepentingan Hadis
Imam Nawawi r.a berkata di dalam kitab Syarah Muslimnya bahawa Imam Abu Muhammad Abdullah Bin Abu Zaid, Imam mazhab Maliki di Maghribi pada zamannya telah berkata : " Himpunan peradaban-peradaban baik adalah terpancar daripada empat Hadis iaitu ;
1. Sabda Rasulullah s.a.w.
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam sahaja".
2. Sabdanya lagi di dalam hadis yang lain ,
" Di antara (tanda) sempurna Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkenan dengan dirinya"
3. Sabda Rasulullah s.a.w. yang lain,
"Janganlah kamu marah"
4. Dan sabdanya yang lain
" Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya sesuatu yang dia kasih untuk dirinya sendiri"

Selasa, 01 Desember 2009

Baru Free

Asalamualikum wbt.

Kepada semua yang mengikuti blog ini, saya memohon maaf sebab sudah agak lama tidak ada artikel baru yang saya terbitkan di dalam blog ini. Ini adalah kerana daripada Ramadhan hinggalah ke Aidil Adha yang baru berlalu ini, saya sangatlah sibuk dan tidak mempunyai masa untuk update blog ini. Insyallah selepas ini saya akan cuba untuk update blog seperti biasa.

Sekian, harap maklum.

Senin, 09 November 2009

Hadis 12 - Melakukan Kerja Yang Berfaedah

Daripada Abu Hurairah r.a katanya : "Rasulullah s.a.w telah bersabda :"Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya."
Kepentingan Hadis
Hadis ini juga merupakan salah satu hadis yang pendek tetapi mempunyai makna yang cukup besar.
Menurut Ibnu Rajab al-Hambali " Hadis ini merupakan salah satu daripada prinsip-prinsip akhlak yang besar"

Jumat, 30 Oktober 2009

Hadis 11 - Mengambil Yang Di Yakini Dan Meninggalkan Syubahat

Daripada Abu Muhammad al-Hasan Ali bin Abu Tolib, cucu Rasulullah s.a.w dan penawar hati baginda. Beliau berkata : "Aku menghafal daripada Rasulullah s.a.w : " Tinggalkan apa yang meragukan mu kepada apa yang tidak meragukan mu."
Kepentingan Hadis
Ini adalah salah satu lagi hadis yang pendek lagi padat daripada baginda Rasulullah s.a.w dan juga merupakan di antara hikmat-hikmat nabawiyyah yang tinggi. Dengan beberapa kalimah sahaja baginda telah meletakkan satu kaedah yang besar buat pedoman umatnya di dalam meninggalkan perkara-perkara syubahat.

Kamis, 29 Oktober 2009

Hadis 10 - Baik Dan Halal Syarat Penerimaan

Daripada Abu Hurairah r.a katanya : " Rasulullah s.a.w bersabda : " Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima kecuali yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan muslimin dengan apa yang Dia perintahkan kepada para Rasul. Firman Allah s.w.t : " Wahai para Rasul makanlah dari (makanan) yang baik-baik dan beramalah dengan amalan salih." ( Al-Mukminun:51). Allah s.w.t juga telah berfirman : " Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami kurniakan kepada kamu" ( Al-Baqarah : 172). Kemudian baginda menyebut tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai dan berdebu rambutnya, menadahkan tangannya ke langit sambil berdoa: " Wahai Tuhan ku ! Wahai Tuhan ku !" sedangkan makanan, minuman dan pakaiannya adalah haram dan dia diberi makan dengan benda-benda yang haram, maka bagaimanakah dikabulkan permintaannya...."
Kepentingan Hadis
Hadis ini menerangkan syarat-syarat doa itu dimakbulkan Allah s.w.t di samping menjadi asas di dalam melakukan perkara-perkara yang halal dan menjauhkan perkara-perkara yang haram. Hadis ini juga mementingkan aspek kualiti di dalam segala amalan kita supaya kita lebih teliti didalam melakukan segala suruhanNya dan bukannya mengambil sikap sambil lewa di dalam beribadat.

Rabu, 28 Oktober 2009

Hadis 9 - Mudah Dan Tidak Menyusahkan

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman Bin Sokhr r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : " Sesuatu yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka hendaklah kamu lakukannya sekadar kemampuan. Sesungguhnya telah binasalah kaum sebelum kamu lantaran banyak bertanya dan mereka menyalahi para nabi"
Kepentingan Hadis
Menurut Imam Nawawi "Ini adalah antara asas Islam yang penting dan di antara jawami' al kalim yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w. Hadis ini mempunyai hukum-hukum yang tidak terhitung banyaknya.