Rabu, 30 Juni 2010

Perawi 24 - Ummu Salamah

Ummu Salamah ialah; Sayyidatina Hindun binti Suhai bin Mughirah bin Al-Qurasyiyyah Al-Makhzumiyyah. Ummu Salamah Radiyallahu’anha adalah salah seorang isteri Rasulullah s.a.w yang telah dikahwini baginda pada tahun ke-4 Hijrah. Ummu Salamah Radiyallahu’anha merupakan seorang yang pintar dan berakhlak mulia. Dilahirkan pada tahunke 28 sebelum Hijrah dan meninggal dunia di Madinah pada tahun 62 Hijrah.

Cara Berdoa

Cara-Cara Berdoa


Mengangkat dua tangan paras bahu


Memulakan dengan ucapan tahmid (memuji Allah)

Selawat ke atas Rasulullah s.a.w
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Segala puji bagi Allah tuhan akam semesta, selawat dan salam kepada semulia-mulia Nabi dan Rasul, begitu juga kepada keluarga dan sahabatnya sekalian”
Mengakhiri dengan selawat dan tahmid.

Menyapu muka dengan dua tapak tangan setelah selesai berdoa.

Selasa, 29 Juni 2010

Kepentingan Berdoa






Kelebihan Berdoa


1. Mententeramkan jiwa dan penenang hati. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Ar-Ra’du, ayat 28 ; “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati boleh menjadi tenteram (tenang).”


2. Sebagai pembuka pintu rahmat. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami yang bermaksud ; “Doa itu adalah anak kunci pintu rahmat”

3. Doa amat disukai Allah, maka sesiapa yang selalu berdoa ia akan dikasihi Allah.

4. Sebagai pelindung daripada godaan syaitan dan menambah kekuatan iman.

5. Doa merupakan penghubung antara ibubapa dan anak-anak. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi bermaksud ; “Terdapat tiga doa yang pasti dikabulkan Allah, dan pasti tidak ada syak padanya. Doa orang yang teraniaya, doa orang yang sedang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya”.

6. Doa sebagai penawar untuk berbagai-bagai jenis penyakit, sebagaimana Firman Allah s.w.t di dalam surah Yunus ayat 57; “Wahai Manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu pengajaran daripada tuhan kamu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada.”

Perawi 23 - Uqbah Bin Al-Harith

Uqbah Bin Al-Harith ialah; Uqbah bin Al-Harith bin Amir Al-Quraisyi Al-Makki. Beliau telah memeluk Islam pada hari pembukaan kota Mekah. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan 3 buah hadis daripada beliau. Beliau telah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Abdullah bin Al-Zubair.

Biografi Ringkas Imam An-Nawawi

Biografi Ringkas Imam An-Nawawi

Nama sebenar beliau adalah Al-Imam Abu Zakariya Yahya bin Syaraf An-Nawawi. Dilahirkan di Nawa, sebuah desa dari wilayah Damaskus (Syam atau Palestin) pada tahun 618 Hijrah. Pada usia 18 tahun beliau terus menuntut ilmu serta memiliki kecerdasan akal fikiran yang mantap.

Beliau mempelajari ilmu fekah dalam mazhab Imam Syafie dan inilah yang merupakan sebab utama bahawa beliau itu menjadi imam dari semua imam dalam mazhab tersebut bahkan orang-orang yang muncul setelah beliau mensepakati menerima huraian beliau dalam bab fekah. Malah jasa beliau di dalam bidang hadis juga besar kerana usaha beliau didalam menentukan samada sesuatu hadis itu hadis sahih atau hasan.

Beliau juga telah menyusun beberapa kitab fekah seperti Syarah Muhadzab, Arraudhah dan Alminhaj. Manakala dalam bidang hadis pula seperti Syarah Muslim, Al-Adzkar Annwawiyah serta syarah sebahagian dari Shahih Imam Al-Bukhari. Beliau amat terkenal dengan sifat zuhud yang ada pada diri beliau dengan menempuh jalan sebagaimana yang telah dilalui oleh para salaf soleh. Beliau juga tidak pernah berkahwin semasa hidupnya.

Beliau telah meninggal dunia pada tahun 667 Hijrah di Nawa iaitu tempat kelahiran beliau pada usia 48 tahun.

Semoga Allah memberikan kerahmatan yang seluas-luasnya kepada beliau di atas segala jasa-jasa yang telah dicurahkan ke atas jalan Allah. Terlalu banyak manfaat yang kita perolehi dari ilmu pengetahuan yang telah beliau curahkan dan sebagai menghargai jasa beliau marilah kita sama-sama berusaha untuk mempelajari kitab-kitab karangan beliau, mudah-mudahan dengan yang demikian dapat membantu kita di dalam memahami apa itu Islam. Insyallah.

Senin, 28 Juni 2010

Kepentingan Berdoa - Topik Baru


PENGENALAN DOA

Asalamualaikum wbt

Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya maka dapat kita bertemu lagi untuk kita sama-sama berkongsi ilmu demi mencari keredhaan-Nya.

Topik yang akan dibincangkan pada kali ini ialah mengenai doa. Kebanyakan daripada kita memang selalu berdoa tetapi tahukah kita mengenai adab-adab dan rahsia doa itu sendiri. Apakah adab-adab berdoa, masa mustajab doa serta tempat-tempat mustajab doa, insyallah akan kita bincangkan dalam topik ini.

Buku yang digunakan bagi menghuraikan hakikat doa pada kali ini ialah buku Bisikan Nurani : Himpunan Doa yang disusun oleh Muhammad Lokman Hakim yang disemak oleh Ustaz Khairudin Bin Ramli dan buku 101 Doa Para Nabi Dan Rasul Dalam Al-Quran oleh Ustaz Zahazan Mohamed.

Sesungguhnya dalam keadaan dunia yang serba mencabar serta penuh dengan dugaan pada masa kini, sewajarnya kita menjadikan doa sebagai perisai serta pelindung daripada segala gangguan syaitan begitu juga jika kita berhajat kepada sesuatu. Doa merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada manusia maka sepatutnya kita menggunakan anugerah yang tidak ternilai ini sebaik-baiknya. Tidak kira walau apa pun keadaan kita samada dalam keadaan gembira atau duka, senang atau susah, sihat atau sakit, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. sebelum ajal menjemput.

Di dalam Surah Al-Baqarah ayat 186; Allah s.w.t berfirman ;
“Dan apabila hamba-hamba-Ku itu bertanya kepada engkau dari hal Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku perkenankan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepada-Ku”

Manakala di dalam Surah Al-Mukminun ayat 60; Allah s.w.t berfirman ;
“Serulah Aku, supaya Aku perkenankan seruan itu.”

Sehubungan dengan itu hendaklah kita menjadikan doa itu sebagai amalan kita pada setiap masa dan ketika dan janganlah kita berputus asa untuk berdoa kepada Allah s.w.t. Insyallah.

Perawi 22 - Abdullah Bin Umar

Abdullah Bin Umar ialah; Abdullah bin Umar bin Al-Khattab Al-Adawi. Di lahirkan di Mekah pada tahun ke 10 sebelum Hijrah. Beliau hidup dalam keadaan beragama Islam dan telah berhijrah ke Madinah bersama bapanya. Beliau telah member pengajaran kepada manusia selama 60 tahun dan telah dicalonkan untuk menjadi khalifah setelah berlaku pembunuhan terhadap Sayyidina Uthman tetapi beliau menolak jawatan tersebut. Telah meriwayatkan sebanyak 2,630 buah Hadis. Meninggal di Mekah pada tahun 73 Hijrah dan merupakan orang yang terakhir dikalangan sahabat yang meninggal dunia di Mekah.