Minggu, 31 Oktober 2010

PANGGILAN HAJI


Asalamualaikum wbt

Alhamdulillah segala puji-pujian hanya bagi Allah, tuhan penguasa seluruh alam ini. Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w dan keluarga baginda serta seluruh sahabat dan para pengikut sahabat dari dulu hinggalah kini.

Para pembaca yang saya kasihi sekalian, disini saya ingin memaklumkan bahawa pada 08.11.2010 (isnin) insyallah, saya akan berangkat ke tanah suci Mekah untuk menjadi tetamu Allah dan menunaikan fardhu haji. Sehubungan dengan itu, saya ingin memohon kemaafan daripada para pembaca sekalian seandainya terdapat salah dan silap dari saya atau ada yang telah mengguris hati samada dengan sengaja ataupun tidak, jadi sekali lagi saya mohon kemafaan daripada semua.

Saya juga berharap agar para pembaca dapat mendoakan agar saya selamat pergi dan kembali, dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kepada saya dan keluarga serta harta benda yang ditinggalkan dan yang penting doakan agar saya mendapat haji yang mabrur.

Sebagai makluman, saya akan pulang kekampung untuk bertemu dengan ibu serta mertua saya dan sanak saudara pada hari selasa ini dan dijangka akan pulang semula ke KL pada hari sabtu hadapan. Justeru itu saya sekali lagi memohon kemaafan daripada semua, kerana artikel ini mungkin yang terakhir yang dapat saya keluarkan dan insyallah kita akan sambung semula selepas saya pulang dari tanah suci kelak.

Jadual penerbangan saya ialah dengan KT97 (08.11.2010), check-in pada jam 9.30 pm di Komplek Tabung Haji, Kelana Jaya (kena datang 2 jam lebih awal) dan dijangka akan pulang ke Malaysia pada 19hb Disember 2010 pada jam 11.50pm di KLIA.

Akhir kalam dari saya, ingin saya berwasiat kepada semua agar takutlah kepada Allah, dengan mengerjakan apa yang di suruh dan meninggalkan apa yang dilarang dan tuntutlah ilmu kerana ilmu itu asas kepada Islam.

Sekian, hingga jumpa lagi, insyallah

Ahmad Nizam Hashim

Sabtu, 30 Oktober 2010

8.0 Sahabat, Tabi’i, Rawi dan Mukharrij


8.4 Mukharrij atau Mudawwin

Mukharrij atau Mudawwin adalah pencatat atau pengumpul hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim dan sebagainya. Mudawwin itu pun termasuk di dalam golongan rawi sebab ikut meriwayatkan hadis.


Kitab yang merupakan kumpulan catatan hadis yang dibukukan oleh seseorang Mudawwin itu belum tentu hadis sahih atau hasan, tetapi bercampur dengan hadis daif dan adakalanya hadis yang maudhu’ iaitu hadis yang dibuat-buat sendiri oleh tangan manusia yang kotor dan berjiwa jahat. Oleh sebab itu kita perlu berhati-hati di dalam menerima sesuatu hadis dan janganlah menerima bulat-bulat malah perlu diselidiki dan jika tidak dapat diselidiki maka tanyalah kepada para ulama yang ahli di dalam bidang hadis.

Kitab hadis yang terbaik isinya, sebab hanya memuatkan hadis-hadis sahih sahaja hanyalah ada dua iaitu Shahih Bukhari dan Shahih Muslim. Selain dari keduanya itu belum dapat dijamin kebenarannya secara keseluruhan , sebab selain daripada dua kitab ini pasti ada hadis daif atau yang lemah, adakala sedikit dan adakala banyak.

Pekerjaan seorang Mudawwin atau Mukharrij hadis itu dinamakan tadwiin atau takhriij. Oleh itu apabila dikatakan mentadwiin atau mentakhriij itu ertinya ialah mencatat serta mengumpul dan mengeluarkan berbagai hadis.

Jumat, 29 Oktober 2010

8.0 Sahabat, Tabi’i, Rawi dan Mukharrij

8.3 Rawi

Rawi dan jika dijamakkan berbunyi Ruwat, ialah orang yang meriwayatkan Hadis dan Rawi itu boleh terdiri dari golongan Shahabi ataupun Tabi’i. Jadi seperti contoh sebelum ini, katakanlah si A adalah shahabi sedangkan G atau I sudah tentu Tabi’i, sebab tidak pernah bertemu dengan Nabi s.a.w.

Kamis, 28 Oktober 2010

8.0 Sahabat, Tabi’i, Rawi dan Mukharrij

8.2 Tabi’i

Tabi’i ialah orang Islam, lelaki atau perempuan, tuan atau muda yang pernah bertemu dengan sahabat atau shahabi sekalipun di dalam waktu yang singkat dan ketika matinya dia masih memeluk Islam.

Senin, 25 Oktober 2010

8.0 Sahabat, Tabi’i, Rawi dan Mukharrij

8.1 Sahabat

Sahabat atau Shahabi ialah orang Islam samada lelaki atau perempuan yang pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w sekalipun dalam waktu yang singkat, baik di saat dia masih kecil ataupun sudah dewasa atau tua dan sewaktu dia meninggal dunia dia masih di dalam Islam. Jadi walaupun seseorang itu pernah bertemu dengan Rasulullah di dalam jangka waktu yang lama tetapi dia bukan seorang Islam atau di waktu dia meninggal dunia dia tidak memeluk Islam, meskipun dia merupatkan kerabat Nabi s.a.w sendiri, maka dia bukanlah tergolong di kalangan para sahabat seperti Abu Jahal, Abu Lahab, juga Abu Talib yang menjaga Nabi s.a.w semenjak dari kecil.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Ilmuan Islam - Ismail Al-Faruqi

ISMAIL AL-FARUQI

Ismail Raji al-Faruqi lahir pada januari 1921 di Jaffa, Palestin. Ayah beliau iaitu Abdul Huda al-Faruqi seorang kadi yang alim. Ismail telah mendapatkan pendidikan awal daripada ayahnya dirumah dan pendidikan Islam di masjid berdekatan. Pada tahun 1936, beliau belajar di French Dominican College Des Freres, Palestin.

Pada tahun 1938 beliau telah berpindah ke Beriut, Lebanon. Beliau telah memperolehi ijazah sarjana muda di Universiti Amerika Beriut pada tahun 1941. Selepas bergelar graduan, beliau bekerja sebagai pendaftar di bawah pemerintahan British di Jerusalem pada tahun1942 dan pada tahun 1945 beliau telah dilantik menjadi Gabenor di Galilee pada usia 24 tahun.

Semasa penaklukan yahudi di Palestin pada tahun 1948, beliau telah berhijrah ke Lebanon dan kemudiannya ke Amerika Syarikat kerana kecewa dengan perpecahan umat Islam yang berlaku di Palestin. Semasa di Amerika Syarikat, beliau telah menyambung pengajiannya di Universiti Indiana, Bloomington dengan mengambil ijazah sarjana dalam bidang falsafah pada tahun 1949. Selepas itu beliau diterima pula menyambung pelajaran ke Universiti Harvard dan memperolehi ijazah sarjana kedua beliau pada tahun 1951.

Berbekalkan pendapatan beliau sebagai pengalih bahasa di American Council of Learned Societies, beliau telah membuka perniagaan sebagai kontraktor bangunan. Namun beliau akhirnya kembali semula ke dunia akademik. Beliau menggunakan tesis sarjana beliau di Universiti Harvard bagi memperoleh ijazah doktor falsafah di Universiti Indiana pada tahun 1952 dalam bidang falsafah barat.

Pada tahun 1954, Ismail dan isterinya telah berpindah ke Mesir bagi mendalami pengajian Islam di Universiti al-Azhar, Mesir di mana beliau memperoleh ijazah doktor falsafah keduanya pada tahun 1958. Dengan pengetahuan di dalam bidang Islam dan barat, beliau telah ditawarkan jawatan sebagai penyelidik di Institut Pemikiran Islam, Universiti McGill, Montreal pada tahun 1958.

Beliau juga pernah mengajar di Institut Penyelidikan Islam, Karachi, Pakistan dari tahun 1961 hingga ke tahun 1963 dan selepas itu di Institut Pengajian Tinggi Arab, Universiti Mesir. Beliau juga telah telah dikurniakan gelaran Profesor Madya pada tahun 1964 di Universiti Syracuse. Beliau juga pernah bekerja secara kontrak di Universiti Chicago sebagai profesor pelawat dan mengajar di dalam bidang sejarah agama.

Ismail al-Faruqi mengabdikan dirinya kepada dunia akademik sebagai Profesor di Universiti Temple di mana beliau telah mengasaskan program pengajian Islam di sana pada tahun 1968 sehingga beliau meninggal dunia. Beliau amat terkenal sebagai seorang ahli falsafah dalam bidang perbandingan agama.

Sepanjang penglibatannya di dalam dunia akademik, Ismail al-Faruqi telah menulis lebih daripada 100 artikel di dalam jurnal dan majalah di samping 25 buah buku. Antara buku beliau yang mahsyur ialah Christian Ethics : A Historical and Systematic Analysis of its Dominant Ideas dan Trialogue of The Abrahamic Faiths. Beliau juga turut menjadi ahli sidang redaksi kepada tujuh jurnal terkemuka dunia.

Dalam pada itu, beliau juga telah menubuhkan Islamic Studies Group of the American Academy of Religion yang dipengerusikannya selama 10 tahun. Beliau juga adalah naib presiden kolokium keamanan antara agama dan presiden kolej Islam Amerika, di Chicago. Beliau turut memimpin Pertubuhan Mahasiswa Muslim dan Pertubuhan Ilmuan Sosial Muslim serta Islamic Assembly of North America.

Pada tahun 1970-an, Ismail al-Faruqi telah menjadi jurubicara Muslim yang utama didalam dialog antara agama. Beliau telah bergiat secara aktif di dalam mengetengahkan prinsip serta dasar Islam secara Ilmiah dalam perbincangan dan perdebatan antara agama.

Beliau adalah antara yang paling awal mengusulkan idea Islamisasi Ilmu Pengetahuan dan salah seorang pengasas kepada International Institute of Islamic Thought yang bertujuan bagi mengislamisasi disiplin ilmu kontemporari melalui seminar dan penerbitan. Beliau juga adalah perintis dalam pengembangan pengajian Islam di Amerika. Usaha beliau banyak tertumpu kepada menggabung jalin pandangan dunia Islam dengan kaedah sanitifik terutamanya bidang sains sosial dan kemanusiaan. Pemikiran beliau banyak dipengaruhi oleh pemikiran Muhammad Abduh dan Muhammad Iqbal.

Ismail al-Faruqi meninggal dunia akibat serangan seseorang di rumahnya di Pennsylvania pada 24hb Mei 1986. Beliau dan isteri meninggal dunia akibat tikaman penyerang tersebut dan menurut laporan beliau adalah mangsa kepada kes pecah rumah. Namun sesetengah pihak menganggap, ia adalah satu pembunuhan yang dirancang. Semoga Allah merahmati beliau dan isterinya.

Jumat, 22 Oktober 2010

Aurat Wanita

Asalamualaikum wbt.

Para pembaca yang saya kasihi sekalian, saya ingin berkongsi sedikit cerita semasa saya sedang upload ceramah Ustaz Kazim Elias mengenai aurat wanita baru-baru ini, saya telah ternampak satu tajuk di dalam Youtube iaitu "Reaksi Artis Melayu Seksi Tentang Aurat", di dalamnya ialah satu program TV mengenai wawancara dengan artis melayu mengenai aurat yang dibuat 9 bulan yang lepas (jika merujuk kepada tarikh video tersebut di uploadkan ke dalam Youtube).

Di dalam video klip tersebut menunjukkan beberapa orang artis telah diwawancara mengenai pandangan mereka tentang aurat dan saya berpendapat setelah kita mendengar ceramah daripada Ustaz Kazim Elias mengenai bab aurat ini rasanya elok juga kita mendengar apa pula kata artis-artis yang menjadi ikutan sebahagian muda mudi kita pada masa kini.

Bukanlah niat saya bertujuan untuk mengaibkan sesiapa, tetapi saya rasa para pembaca sendiri tentu akan dapat menilai pandangan sebahagian daripada anggota masyarakat kita pada masa kini mengenai hukum-hukum di dalam agama Islam. Mudah-mudahan Allah menjaga hidayah yang berada di dalam dada-dada kita dan semoga kita sentiasa berada di atas jalan yang diredhai-Nya dan semoga Allah memberikan hidayah-Nya kepada mereka. Amin.