Minggu, 11 September 2011

Selamat Menyambut Hari Raya Eid'ul Fitri



Asalamualaikum wbt


Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eid'ul Fitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua tak kira dimana jua anda berada.


Mudah-mudahan tarbiah Ramadhan yang lalu dapat menjadikan kita insan yang lebih beriman dan bertaqwa. Ingin saya mengingatkan diri saya dan para pembaca sekalian agar ruh ramadhan ini terus kekal di dalam jiwa kita sehingga kita bertemu pula dengan Ramadhan yang akan datang. Insyallah.


Kepada mereka yang meneruskan dengan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal ini saya ucapkan selamat berpuasa dan mudah-mudahan ibadah kita diterima Allah.


Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapakan Selamat Menyambut Hari Raya Eid'ul Fitri kepada semua dan Maaf Zahir dan Batin sekiranya ada salah dan silap, terkurang atau terkasar atau yang mengguris perasaan anda di sepanjang saya mengendalikan blog Warkah Nizam ini.


Sekian, wasalam


Ahmad Nizam Hashim

Warkah Nizam


Kamis, 28 Juli 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarrak





Asalamualaikum wbt.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran di panjatkan ke hadrat Allah swt, kerana dengan izin-Nya maka kita semua bakal berada di dalam bulan Ramadhan yang akan menjelang tiba tidak lama saja lagi. Sesungguhnya untuk berada di dalam bulan Ramadhan merupakan satu nikmat yang amat besar yang dikurniakan Allah kepada para hamba-Nya. Maka saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan para pembaca sekalian supaya menjadikan Ramadhan kita pada kali ini lebih berkualiti berbanding dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas dan sama-samalah kita berdoa agar dapat dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar iaitu satu malam dimana Allah janjikan, ianya lebih baik daripada seribu bulan. Rugilah kita sekiranya Ramadhan pada kali ini dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa kita memperbanyakkan amalan-amalan sunat dengan membaca Al-Quran, memohon keampunan dari Allah dan banyak lagi.

Nasihat saya, cubalah elakkan daripada membazir, janganlah kita membeli makanan untuk berbuka dengan terlalu banyak sehingga tidak habis dimakan dan akhirnya ke tong sampah juga perginya, kerana salah satu daripada hikmah berpuasa adalah untuk merasai bagaimana kehidupan orang-orang fakir miskin, maka jika sedemikianlah sifat kita bagaimana kita hendak merasai kesusahan orang lain di samping bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Sesungguhnya pada awal ramadhan itu rahmat, dipertengahannya keampunan dan diakhirnya dilepaskan dari api neraka, maka tidak mahukah kita mengambil anugerah Allah ini dengan sebaik-baiknya dan alangkah ruginya jika kita melepaskannya berlalu begitu sahaja. Mudah-mudahan apabila kita keluar daripada Ramadhan kelak, kita akan menjadi manusia yang lebih beriman dan bertaqwa dari sebelumnya. Amin.

Saya juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarrak kepada semua pembaca tidak kira dimana saja anda berada, bagi yang berada diperantauan samada diatas urusan kerja atau melanjutkan pelajaran mudah-mudahan anda dapat menyesuaikan diri anda dengan masakan tempatan serta cuaca yang berbeza dengan negara kita.

Akhir kalam, saya memohon ribuan ampun dan maaf seandainya ada salah dan silap dari saya atau terkasar bahasa. Mudah-mudahan kita semua dapat menjalani ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain dengan baik di sepanjang Ramadhan ini disamping dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar. Amin.

Sekian, Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarrak.

Ahmad Nizam Hashim
Warkah Nizam

Nota ; Sekiranya ada rezeki, insyallah saya akan kongsikan beberapa hadis shahih serta ayat-ayat Quran yang berkaitan dengan Ramadhan untuk tatapan para pembaca sekalian.









Rabu, 27 Juli 2011

Ilmuan Islam - Mustafa As-Siba'ie



ILMUAN ISLAM – MUSTAFA AS-SIBA’IE

Mustafa as-Siba’ie dilahirkan pada tahun 1915 di bandar Hims, Syria. Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga ulama. Ayahnya, Sheikh Husni as-Siba’ie adalah khatib di Masjid Hims dan salah seorang pejuang yang menentang penjajahan Perancis di Syria.

Mustafa mendapat pendidikan awal di Sekolah Masudiyyah dan merupakan seorang pelajar yang pintar disekolahnya. Beliau juga telah berjaya menghafaz al-Quran pada usia yang muda.

Ketika beliau berusia 16 tahun, beliau telah menunjukkan kesungguhan di dalam menentang penjajahan Perancis dan telah ditangkap kerana menyebarkan risalah-risalah anti penjajahan. Pada usia 18 tahun beliau telah menyampaikan khutbah semasa ketiadaan ayahnya dan isi khutbahnya ialah mengajak rakyat berjihad menentang penjajah dan sekali lagi beliau telah ditangkap.

Pada tahun 1933, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di dalam fekah dan kemudiannya di dalam bidang usuluddin. Semasa di al-Azhar beliau telah berkenalan dengan Imam Hassan al-Banna dan gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir. Beliau dan rakan-rakan sekuliah juga pernah ditngkap dan dipenjarakan selama 3 bulan oleh penjajah Inggeris di Mesir kerana terlibat dengan tunjuk perasaan menentang penjajahan pada 1941.

Seterusnya beliau telah dipindahkan ke Palestin dan dipenjarakan selama 4 bulan lagi sebelum dibebaskan dan beliau telah dilarang untuk memasuki Mesir oleh pihak Inggeris. Pada tahun 1949, beliau telah menyerahkan tesis kedoktoran beliau bertajuk Kedudukan Sunnah dalam Syariah. Ijazah kedoktoran beliau adalah dalam bidang Syariah Islamiah dan pada tahun 1950, beliau telah menjadi pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Syria.

Sekitar tahun 1950-an beliau telah terlibat di dalam penggubalan undang-undang Syria yang lebih Islamik. Antara sumbangan beliau yang lain adalah membantu memasukkan pelajaran Pendidikan Islam dalam Kurikulum sekolah dan mewujudkan jurusan Syariah di Universiti Syria(Damascus).

Kemudian pada tahun 1942, beliau telah menubuhkan cawangan Ikhwanul Muslimin di Syria dan selepas lebih kurang 1 tahun, hampir 100,000 orang telah menyertai gerakan itu. Beliau juga telah turut serta mengangkat senjata menentang penjajahan Perancis di Syria pada tahun 1945 dan pada tahun 1948, pergerakkan Ikhwanul Muslimin Syria membantu di dalam perang melawan Zionis Yahudi di Palestin.

Semasa perang meletus di Terusan Suez pada tahun 1952, beliau bersama-sama dengan gerakan Ikhwan Syria telah menyatakan hasrat mahu membantu menentang Inggeris. Namun, beliau dan rakan-rakan ikhwan yang lain telah dipenjarakan dan seterusnya dibuang negeri ke Lubnan. Di Lubnan beliau telah menyemarakkan semangat jihat dikalangan pemuda di sana sehingga tertubuhnya Al-Jannah Al-Islamiyyah pada tahun 1964.

Sekembalinya daripada peperangan di Palestin, beliau telah meneruskan jihad menegakkan Islam dalam bentuk penulisan. Banyak karya dan buku yang diterbitkan telah diterjemahkan kedalam pelbagai bahasa. Antara kata-kata hikmah beliau yang terkenal adalah “Istiqamah adalah suatu jalan yang awalnya penuh dengan kemuliaan, pertengahannya dipenuhi keselamatan dan hujungnya adalah syurga”.

Mustafa telah meninggal dunia pada bulan oktober 1964 di Hims selepas menderita sakit lumpuh disebelah kiri badannya selama 8 tahun. Diberitakan sehari sebelum beliau meninggal dunia, beliau sempat menulis tiga tulisan iaitu Al-Ulama Al-Auliya Al-Muhajidun dan Al-Ulama Asy-Syuhada.

Semoga Allah merahmati beliau. Al-Fatihah.



Tekanan Kepada Arab Saudi

Berita Harian Online


14 senator AS bantah larangan terhadap pemandu wanita di Arab Saudi

2011/07/27

WASHINGTON: Seramai 14 senator wanita Amerika Syarikat (AS) memaksa pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz untuk menarik balik larangan terhadap pemandu wanita di negara itu dalam sepucuk surat yang dihantar kepada pemerintah itu, hari ini.

"Kami percaya ini adalah masa untuk menghapuskan selamanya larangan ke atas pemandu wanita , tambahan peranan Arab Saudi dipilih sebagai ahli baru dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Wanita iaitu badan khusus untuk mencapai kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta merperkasakan wanita di seluruh dunia," menurut kandungan surat itu. Badan itu diketuai oleh Senator Demokratik, Barbara Boxer dan Mary Landrieu. - AFP


Ulasan;

Saya sebenarnya tertanya-tanya juga, kenapa US sibuk untuk menghapuskan larangan pemandu wanita di Arab Saudi, di atas nama kesaksamaan antara lelaki dan wanita? Bagi saya, terpulang kepada pemerintah negara terbabit di dalam menguatkuasakan undang-undang masing-masing. Lagi pun di dalam Islam sudah di gariskan hak-hak sebagai seorang lelaki dan juga hak-hak sebagai wanita. Semuanya sudah dijaga dengan baik, apakah mereka baru hendak membuat panduan bagi hak sesuatu jantina. Nampak jelas mereka ini telah ketinggalan lebih dari 1,400 tahun dari orang Islam di dalam banyak sudut.

Tetapi tidak kurang juga orang Islam yang menyokong dengan meniru ideologi mereka ini, kerana apa terjadinya perkara ini ?

Tetapi bagi pandangan saya, ianya lebih kepada gerakan yahudi dan nasrani di dalam menghancurkan umat Islam di dunia ini. Nasihat saya kepada diri saya, keluarga dan para pembaca sekalian, jadikanlah diri kita sebagai seorang Islam yang beribadah ikhlas kerana Allah dan bukannya di atas niat yang lain di samping mengambil usaha untuk mendalami serta mengenali Islam dengan lebih dekat. Bukanlah maksud saya anda tidak mengenali Islam, tetapi perdalamkan lagi kefahaman kita mengenai agama kita sehingga kita akan berasa bersyukur kerana Allah memilih kita sebagai seorang Islam.

Mudah-mudahan kita semua berada di atas jalan kebenaran serta jalan yang diredhaiNya.Amin.