Jumat, 31 Agustus 2012

Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal



Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, bertemu kita lagi di halaman ini setelah hampir seminggu kita semua bercuti sempena dengan Hari Raya Fitrah dan pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai puasa sunat enam hari di dalam Bulan Syawal.


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran di panjatkan kepada Allah swt, kerana dengan izin-Nya, maka kita telah berjaya menunaikan kewajipan berpuasa di dalam bulan Ramadhan dan mudah-mudahan kita di pertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang, Amin

Sebagaimana seperti yang telah kita sedia maklum, sekarang ini kita telah pun berada di dalam bulan Syawal dan seperti biasa budaya masyarakat kita apabila setiap kali tibanya Syawal ialah budaya ziarah-menziarahi saudara mara, sahabat handai atau menghadiri majlis rumah terbuka sambil bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Mudah-mudahan budaya ini dapat diteruskan di dalam bulan-bulan yang lain dan begitu juga dengan budaya bermaaf-maafan bukan dikhususkan hanya di dalam bulan Syawal sahaja.

Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini dan yang masih berbaki hampir setengah bulan sahaja lagi marilah kita sama-sama mengambil peluang untuk menunaikan ibadah puasa sunat di dalam bulan Syawal. Sebagaimana di dalam beberapa hadis Nabi saw yang bermaksud ;

“Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun.”
 (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam satu hadis yang lain, Baginda Nabi saw turut bersabda yang bermaksud ;

"Barangsiapa berpuasa enam hari selepas hari raya Aidilfitri maka adalah dia mencukupi setahun. Barangsiapa mengerjakan satu kebajikan maka baginya sepuluh kali ganda." 

(Riwayat Ibn Majah, al-Baihaqi, Ahmad dan lain-lain)

Bersandarkan kepada hadis-hadis di atas, sekiranya kita  mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari  di dalam bulan Syawal maka telah diibaratkan oleh Rasulullah saw bagaikan kita berpuasa sepanjang tahun. Ini kerana sebulan puasa di dalam bulan Ramadan itu menyamai dengan berpuasa sepuluh bulan atau 300 hari  dan puasa enam di dalam bulan Syawal pula menyamai dengan dua bulan atau 60 hari . Jika dicampurkan kesemuanya sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun kita berpuasa.  Begitulah pemurahnya Allah kepada para hamba-hamba-Nya.

Sebagaimana yang telah kita ketahui antara hikmah berpuasa di dalam bulan Ramadhan, puasa sunat enam hari didalam bulan Syawal juga turut mempunyai hikmah tersebut di samping daripada sudut kesihatan dimana setelah sebulan berpuasa dan apabila tiba Hari raya tiba-tiba perut kita terpaksa mencernakan pelbagai makanan yang kita makan oleh itu dengan puasa sunat ini dapat memberi kelegaan semula kepada perut kita.

Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah kefardhuan, manakala puasa di dalam bulan Syawal pula adalah sunat.  Justeru itu dengan berpuasa sunat ini dapat membantu kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah kerana kita melakukan ibadah ini bukan semata-mata kerana kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai hamba kepada Allah yang ingin mencari jalan mendekatkan diri kepada-Nya. Wallahualam.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Jumat, 17 Agustus 2012

Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah 1433H/2012M


Asalamualaikum wbt

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah swt kerana dengan izin-Nya maka dapat kita menjalani ibadah puasa pada kali ini dan mudah-mudahan ramadhan pada kali ini dapat mendidik jiwa kita dan keluarga kita supaya menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa dengan melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang dan mudah-mudahan segala amal kita serta puasa kita diterima Allah swt. Amatlah malang sekiranya kita hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja maka sia-sialah sahaja puasa kita maka peluang yang masih ada beberapa hari sahaja lagi ini hendaklah kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah dan Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca yang saya kasihi, tidak kira dimana jua anda berada.  Mudah-mudahan kita semua kembali kepada keadaan suci dan bersih sesuai dengan fitrah kejadian kita.  Kepada yang berada diperantauan sudah tentu perasaan rindu kepada kampung halaman dan sanak saudara itu akan datang tetapi janganlah kita biarkan sambutan hari kemenangan kita melawan hawa nafsu diselubungi suasana sedih maka bergembiralah wahai saudara-saudara ku di pagi Syawal nanti.

Walaubagaimanapun di samping kita bergembira menyambut Syawal ini janganlah kita lupakan kepada mereka-mereka yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim, fakir miskin, mereka-mereka yang kematian orang yang tersayang  serta saudara-saudara kita yang berada di negara-negara yang sedang bergolak, mudah-mudahan Allah mencurahkan rahmat-Nya kepada mereka. Amin.

Fenomena biasa di Malaysia apabila setiap kali tibanya Syawal ialah budaya kunjung-mengunjungi serta majlis rumah terbuka.  Ingin saya berpesan kepada ibubapa, supaya setiapkali anda ingin mengunjungi saudara-mara anda maka bawalah sekali anak-anak anda bertemu dengan saudara-mara mereka kerana merekalah yang akan menyambung warisan ziarah-menziarahi ini didalam menyambung silaturrahim kerana Allah swt dan  di dalam keghairahan kita memenuhi jemputan rumah terbuka pula, janganlah sehingga membazir atau makan sehingga terlalu kenyang, jagalah adab-adab kita semasa berada di dalam majlis dan makanlah secara sederhana.

Kepada anda yang akan pulang kekampung halaman masing-masing berhati-hatilah semasa memandu, pastikan anda dan kenderaan anda berada di dalam keadaan baik dan saya doakan kita semua selamat sampai kedestinasi masing-masing dan sentiasa berada dibawah perlindungan Allah swt . Amin.

Akhir qalam, saya sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Fitrah dan Maaf Zahir dan Batin daripada saya dan keluarga kepada anda semua.

Sekian, wasalam.

Warkah Nizam



Senin, 30 Juli 2012

Hikmah Ibadah Puasa






Asalamualaikum wbt

Sidang pembaca yang saya kasihi sekalian, pada kali ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai ibadah puasa yang kita sedang lalui sekarang ini tidak kira dimana sahaja kita berada. Sebagaimana seperti yang kita sedia maklum bahawa setiap ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah swt mempunyai pelbagai hikmah dan kelebihan kepada hamba-Nya sendiri. Sememangnya hikmah dan kelebihan itu ada di dalam setiap ibadat kita samada yang tersurat ataupun yang tersirat sebagaimana seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran atau pun hadis Nabi saw.

Pada kali ini kita akan melihat kelebihan ibadah puasa seperti yang telah disyariatkan dan bersesuaian pula dengan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui.  Terdapat pelbagai hikmah berpuasa dan di antara hikmah berpuasa ini adalah seperti berikut ;


1. Merapatkan diri kepada Allah swt
Puasa adalah satu ibadah yang memerlukan seseorang itu meninggalkan keinginan jiwa terhadap makanan dan minuman serta apa-apa yang dilarang semasa berpuasa semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah swt.  Keutamaan di dalam melaksanakan perintah Allah daripada kehendak jiwa atau nafsu seseorang hamba itu dapat menyuburkan perasaan tunduk serta merapatkan diri kepada Allah.  Inilah ‘ketaqwaan’ yang menjadi antara hasil ibadah puasa kepada diri seorang hamba. 
Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 ;

Maksudnya ;
“Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”


2. Membersihkan Jiwa
Orang yang selalu didalam kekenyangan seringkali kita dapati mereka itu leka dan lalai di dalam kehidupan seharian kerana kekenyangan yang berlebihan menjadikan manusia itu malas.  Malah mereka yang selalu menuruti nafsu makan akan menyebabkan sifat-sifat negatif yang ada menguasai diri mereka. Justeru ibadah puasa yang disyariatkan ini dapat membantu manusia di dalam mengawal nafsu mereka di samping membersihkan jiwa dan menyuburkan sifat-sifat positif yang ada dengan penentangan terhadap tuntutan nafsu. Di dalam satu hadis qudsi Allah berfirman ;

Maksudnya;
“Dia (hamba-Ku) meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya demi kerana-Ku”
Hadis riwayat Al-Bukhari.


3. Mendidik Sifat Berkasih Sayang
Seringkali orang yang kaya lupa kepada yang miskin atau orang yang senang lupa kepada orang yang susah.  Oleh itu dengan berpuasa dapat mendidik seorang muslim itu agar mengingati saudaranya yang hidup didalam keadaan serba kekurangan. Di mana dalam bulan Ramadhan semua umat Islam akan sama-sama berlapar tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Hasil daripada didikan berpuasa ini akan menimbulkan sifat berkasih sayang yang ada dalam diri seseorang manusia dan diteruskan pula dengan amalan bersedekah dan amal kebajikan yang lain.

Nabi bersabda di dalam satu hadis yang bermaksud ;
Perbandingan orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang, berbelas ihsan dan saling mengasihani seumpama satu badan, apabila sakit satu anggotanya maka seluruh badan akan berjaga malam dan demam.”
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim


4. Mendidik Jiwa Agar Sentiasa Bersyukur
Ibadah puasa dapat mendidik kita agar menghargai nikmat yang telah kita kecapi dimana apabila tiba bulan Ramadhan barulah kita merasai dengan sebenar-benarnya nikmat makan minum serta lain-lain nikmat yang kita tidak hiraukan sebelum ini sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 34 yang bermaksud ;
“Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu membilangnya.  Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat meningkari nikmat”


5. Mendidik Jiwa Untuk Menahan Nafsu
Rasulullah saw bersabda dalam satu hadis mengenai kelebihan dan kesan puasa pada diri seorang muslim yang bermaksud ;
“Sesiapa yang diantara kamu mampu berkahwin maka kahwinlah.  Sesungguhnya ia lebih menjaga pandangan dan lebih menyucikan kehormatan.  Sesiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah.  Sesungguhnya puasa itu sebagai penahan nafsu dirinya.”
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Akhir kalam daripada saya, selamat menjalani ibadah puasa kepada semua muslimin dan muslimat.  Mudah-mudahan madrasah ramadhan pada kali ini akan menjadikan kita hamba-hamba Allah yang lebih bertaqwa. Amin.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Rabu, 11 Juli 2012

Ceramah Marhaban Ya Ramadhan ; MBBP



Asalamualaikum wbt

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Masjid Bandar Bukit Puchong akan mengadakan ceramah seperti di butiran di bawah ;

Penceramah Jemputan : Ustaz Abdul Fatah Yusuf ( Unit Kajian Syariah JAWI)
Tarikh : 14hb Julai 2012 ( Sabtu)
Masa : 8.00 malam
Tempat : Masjid Bandar Bukit Puchong

Pengarah Program ; Imam Huzaifah

Muslimin dan muslimat yang berkelapangan dijemput hadir dan mohon dihebahkan.

Jom ke Masjid

Warkah Nizam




Jumat, 06 Juli 2012

KALAU SUATU HARI AWAK MENANGIS.....


Asalamualaikum wbt

Mudah-mudahan anda semua berada di dalam keadaan sihat dan gembira hendaknya di samping keluarga dan insan yang tersayang.  Pada kali ini saya ingin berkongsi satu kisah yang berlaku suatu ketika dahulu.  Mudah-mudahan kisah ini dapat memberikan pengajaran kepada kita semua.

Kisah ini adalah mengenai seorang lelaki tua yang bekerja sebagai penenun kain.  Setiap hari, lelaki tua ini akan menenun kain dan apabila siap akan dihantarnya kain yang telah ditenun tersebut kepada pemborong-pemborong kain yang berada di kota.  Itulah pekerjaan lelaki tua ini, dan dia melakukkan pekerjaan menenun kain itu dengan cukup berhati-hati kerana pekerjaan itulah sahaja yang dia tahu dan merupakan punca pendapatan kepadanya.  Justeru itulah, beliau amat teliti di dalam menghasilkan tenunannya agar terjamin kualiti dan harga hasil tenunannya.

Kita sedia maklum bahawa para peniaga atau pemborong kain sudah tentulah merupakan mereka yang ahli di dalam bidang mereka, dimana dengan melihat, memegang serta merasai kelembutan tenunan sahaja mereka sudah pasti tahu harga yang patut diletakkan kepada sesuatu tenunan yang ditawarkan.

Maka pada suatu hari, lelaki tua ini bercita-cita untuk mendapatkan pendapatan yang lebih melalui hasil tenunannya.  Maka dia pun berfikir bagaimanakah caranya untuk menghasilkan tenunan yang lebih bermutu agar mendapat pendapatan yang lebih.  Maka dia pun berjalanlah ke serata kota untuk melihat kain-kain tenunan hasil orang lain yang lebih baik serta bertanya kepada sahabat-sahabatnya yang sama-sama terlibat didalam menenun kain mengenai cara manakah untuk menghasilkan tenunan yang lebih bermutu.  Setelah puas dia melihat dan bertanya orang dan yakin dia mampu untuk menghasilkan tenunan yang lebih baik maka dia pun pulang semula kerumahnya dengan penuh bersemangat.

Maka keesokkan harinya maka bermulalah usaha lelaki tua ini di dalam menghasilkan tenunan yang diidam-idamkannya dan dia melakukannya pada kali ini dengan lebih berhati-hati serta menumpukan sepenuh perhatiannya kepada usaha tersebut.  Jika ada yang salah semasa menenun walaupun sedikit maka lelaki tua ini akan membuka dan mengulang semula tenunannya itu walaupun pekerjaan itu rumit, tetapi demi bagi medapatkan pendapatan yang lebih dia sanggup melakukannya tidak sepertimana sebelumnya.

Akhirnya siaplah tenunan lelaki tua ini dan dia dengan perasaan gembira membelek-belek dan mengusap-usap hasil tenunannya sambil membayangkan pendapatan yang bakal diperolehinya kelak.  Dengan hati yang gembira dia pun membawa hasil tenunannya ke kota untuk di jual, setelah tiba di gedung kain yang menjadi kebiasaannya menjual kain, dia pun menghulurkan kain hasil tenunannya dengan perasaan gembira kepada seorang pemuda bagi dinilai harga kain tersebut.  Setelah puas pemuda tersebut membelek-belek kain hasil tenunannya maka terus sahaja pemuda tersebut meletakkan harga dan harga yang diletakkan oleh pemuda tersebut amat memeranjatkan lelaki tua ini kerana ianya adalah jauh lebih murah daripada harga kain yang selalu dijualnya.

Tiba-tiba lelaki tua ini terus menangis dengan bersungguh-sungguh seperti anak kecil sehingga menyebabkan pemuda tadi menjadi serba salah dan terus menawarkan harga yang tinggi sedikit kepada lelaki tua ini dengan harapan akan dapat meredakan tangisan lelaki tua itu, malah perbuatannya itu telah menambahkan lagi tangisan lelaki tua ini.  Setelah beberapa ketika maka redalah tanggisannya dan lelaki tua ini pun bersuara "Sebenarnya aku bukan menangis kerana harga yang kamu letakkan itu rendah, tetapi aku membayangkan bagaimana dengan amalan aku yang selama ini aku lakukan dan bagaimana pula jika dihadapan Allah nanti, Allah menilai sebaliknya segala amalan-amalanku, sebagaimana aku meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada kain hasil tenunanku kepada mu, itulah sebab mengapa aku menangis"

Lelaki tua yang di maksudkan di atas adalah seorang wali Allah.

Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita, adakah amalan yang kita lakukan selama ini sudah cukup sempurna ? Adakah amalan yang kita lakukan selama ini diterima Allah ? Justeru saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan kepada para pembaca yang saya kasihi sekalian, agar sama-samalah kita meningkatkan lagi mutu ibadah kita dengan jalan menuntut ilmu dan janganlah kita bersikap sambil lewa di dalam melaksanakan segala ibadah kita.  Mudah-mudahan kisah yang dipaparkan di atas dapat memberikan pengajaran kepada kita semua.  Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan lelaki tua di dalam kisah di atas.  Wallahualam

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com






Kamis, 05 Juli 2012

Masjid Bandar Bukit Puchong


Asalamualaikum wbt.

Baru-baru ini saya ada membuat posting mengenai laman blog dan juga Fanpage Masjid Bandar Bukit Puchong sekiranya ada sesiapa yang ingin mengikuti perkembangan Masjid Bandar Bukit Puchong maka bolehlah rujuk kepada URL tersebut.

Ada yang bertanya, adakah saya mempunyai masalah dengan pihak masjid kerana membuat posting berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang Masjid Bandar Bukit Puchong adakan.  Jawapannya, tidak ada sama sekali malah pihak Masjid Bandar Bukit Puchong memberikan galakan dan sokongan lagi kepada saya di dalam menghebahkan aktiviti-aktiviti yang pihak masjid jalankan. 

Posting saya mengenai aktiviti MBBP tidaklah secara menyeluruh kerana saya hanya mengambil program-program yang tertentu sahaja untuk di masukkan kedalam Blog Warkah Nizam ini, sebenarnya ada banyak lagi program yang telah dan akan diadakan oleh pihak MBBP.  Cumanya jika saya membuat liputan penuh segala aktiviti MBBP takut-takut Warkah Nizam akan bertukar pula menjadi Blog Warkah Masjid Bandar Bukit Puchong..:-)

Lagipun masih ada lagi topik di dalam blog saya yang masih belum dihabiskan seperti topik Apa itu Hadis dan Agenda Yahudi Menakluk Dunia, mudah-mudahan dapat diselesaikan di dalam waktu yang terdekat ini.

Berbalik kepada isu di atas, saya berharap agar dengan penjelasan saya ini akan dapat menjawab persoalan yang telah di ajukan.

Sekian, harap maklum.

Jom ke Masjid

Warkah Nizam


Rabu, 04 Juli 2012

Kelab Menembak Kajang

Asalamualaikum wbt

Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya dan isteri ke lapang sasar Kelab Menembak Kajang pada hari ahad dua minggu yang lepas.  Sebenarnya sudah hampir 10 tahun juga saya tidak ke sana, cuma baru-baru ini terasa untuk menembak semula, manakala  bagi isteri saya pula, ini adalah pengalaman pertamanya menembak.

Apabila pertama kali menembak sudah tentu banyak perkara-perkara yang berkaitan dengan teknikal dan cara menembak yang betul perlu diketahui dan yang lebih penting aspek keselamatan mesti dititikberatkan.  Pada mulanya saya agak khuatir isteri saya takut untuk mencuba , tetapi apabila tiba di lapang sasar saya nampak beliau begitu bersemangat dan teruja untuk belajar dan menembak, maka saya pun sampaikan kepadanya ilmu yang saya ketahui tentang teknik menembak.  Pada hari tersebut saya telah menjadi jurulatih kepada isteri saya dan semasa didalam perjalanan pulang isteri saya sempat bertanya "Abang, bila nak datang menembak lagi?, nak ikut boleh ?" Hmmm....

Dahulunya saya memang cukup berminat dengan aktiviti-aktiviti lasak cuma bila usia semakin meningkat, maka kenalah saya memilih aktiviti yang sesuai dengan usia saya dan salah satunya ialah aktiviti menembak.

Berikut adalah gambar suasana di Lapang Sasar Kelab Menembak Kajang yang sempat di ambil ;



Suasana Lapang Sasar Kelab Menembak Kajang


Ini bukanlah acara mengupas bawang, tetapi acara memasukkan peluru pistol kedalam kelopak.



Isteri saya sedang "aiming" sasaran


Dalam masa sendiri, Siap Tembak !!! (jarak lebih kurang 10 meter)


Inilah hasil bidikan  "first timer", boleh digilap lagi.


Old Timer In Action .....hehehe

Ini pula hasil bidikan "old timer" yang dah sepuluh tahun tak pegang pistol.


Sekian sahaja untuk kali ini, insyallah jika ada rezeki saya akan ceritakan pula pengalaman saya menembak pada Hari Terbuka MTD pada hari ahad yang lepas di Kem Sungai Besi.

Wasalam.

Warkah Nizam