Jumat, 16 November 2012

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1434 H



Asalamualaikum wbt

Selamat menyambut Maal Hijrah 1434 Hijriah, saya ucapkan kepada sidang pembaca yang saya kasihi sekelian.  Mudah-mudahan dengan kedatangan tahun baru ini, kita akan sentiasa berazam untuk menjadi hamba Allah yang lebih beriman dan bertaqwa.
 
Untuk makluman kepada pembaca sekelian, tahun hijriah telah diperkenalkan pada zaman Khulafa Ar-Rashideen iaitu di zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab.  Pada peringkat awal perbincangan bagi menetapkan tarikh tahun hijriah ini memang terdapat banyak cadangan daripada para sahabat seperti tarikh kelahiran Nabi s.a.w, Ramadhan dan lain-lain sehinggalah para sahabat bersetuju untuk menggunakan peristiwa penghijrahan Nabi s.a.w pada tahun 622 masihi dari Mekah ke Madinah sejauh lebih kurang 500km sebagai tarikh bagi tahun hijriah.  Begitulah serba sedikit sejarah asas mengenai kalendar umat Islam.
 
Di Malaysia sambutan Maal Hijrah di adakan pada setiap tahun dengan pelbagai tema dan juga diberikan anugerah kepada tokoh-tokoh yang telah banyak menabur jasa didalam pelbagai bidang, pun begitu masih ramai juga umat Islam yang tidak tahu apa itu Maal Hijrah bahkan hanya sekadar bergembira kerana hari tersebut merupakan hari cuti umum di negara kita.  Malah tidak memberi apa-apa makna kepada sesetengah mereka. 
 
Ingin saya mengajak para pembaca sekelian untuk mengimbau sejarah silam di waktu Nabi s.a.w bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq berhijrah, dimana pada permulaan perjalanan mereka, Baginda Nabi saw dan Abu Bakar telah dikejar oleh kafir Quraisy bagi menghalang mereka daripada pergi ke Madinah sehingga Nabi Muhammad saw dan Saidina Abu Bakar terpaksa bersembunyi di dalam Gua Thur selama 3 hari dan di sepanjang mereka berada disitu telah berlaku banyak peristiwa yang boleh dijadikan teladan dan iktibar kepada mereka yang mahu berfikir.

Antara peristiwa yang berlaku semasa Nabi dan Saidina Abu Bakar di dalam Gua Thur ialah Allah swt telah memelihara mereka berdua dimana para pemuda Quraisy lalu di hadapan pintu gua tersebut tetapi Allah telah memalingkan wajah dan hati mereka daripada memasuki gua tersebut, sehinggakan Nabi dan Abu Bakar boleh melihat kaki-kaki mereka dan seandainya mereka menjengah ke dalam gua sudah pasti mereka akan ternampak Nabi dan Abu Bakar.

Kisah bagaimana Abu Bakar yang menggunakan kakinya sendiri  untuk menutup lubang ular bisa juga menunjukkan betapa kasihnya para sahabat kepada Rasulullah saw.  Dimana ketika itu Rasulullah sedang tidur di atas riba Abu Bakar, tetapi oleh kerana terlalu kasihkan kepada Nabi yang terlalu keletihan dan tidak mahu menggangu lena Nabi.  Saidina Abu Bakar rela menggunakan kakinya sendiri untuk menghalang ular berbisa tersebut daripada keluar daripada lubangnya dan akhirnya tapak kaki Saidina Abu Bakar telah dipatuk oleh ular tersebut.  Namun Saidina Abu Bakar tetap menahan kesakitan patukkan ular tersebut di samping menahan kesakitan kesan bisa ular yang tidak terperi sehingga air mata beliau mengalir lalu jatuh di atas wajah mulia Rasulullah dan menyebabkan Rasulullah terjaga dan bertanyakan apa yang telah berlaku, lalu Rasulullah telah melihat luka patukkan ular pada kaki Saidina Abu Bakar dan meludahnya, dan dengan izin Allah luka tersebut sembuh.

Di samping itu terdapat beberapa orang lagi yang tahu mengenai tempat persinggahan Nabi ini antaranya ialah Abdullah Bin Abu Bakar As-Siddiq yang mendengar berita-berita yang di bincangkan oleh para pembesar Quraisy dan menyampaikan kepada Rasulullah serta ayahnya.  Asma' Binti Abu Bakar As-Siddiq atau dikenali dengan gelaran "Zatun Nitakaini" iaitu wanita yang mempunyai dua selendang dan gelaran ini berikan oleh Baginda Rasulullah semasa Asma' menghantar makanan kepada Baginda dan ayahnya, dimana dia telah menggunakan selendangnya untuk menutup kepala dan satu lagi untuk menyembunyikan makanan yang dibawanya kepada Rasulullah dan ayahnya.  Manakala Amir bin Fuhairah pula membawa kambing-kambing yang digembalanya ke kaki bukit Thur bagi menghilangkan jejak-jejak kaki yang ditinggalkan oleh Nabi dan juga Saidina Abu Bakar serta beberapa orang lagi yang mengetahui tempat persinggahan Nabi & Abu Bakar.

Malah kisah Hijrah Nabi saw bermula apabila lebih kurang 100 orang pemuda Quraisy dari semua suku kaum berkumpul bagi membunuh Nabi saw dan Allah swt telah menghancurkan rancangan mereka apabila kesemua mereka tertidur dan di kala itulah Nabi saw telah keluar dari rumahnya untuk berhijrah bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali telah tidur ditempat tidur Nabi saw.  Begitulah serba sedikit sirah mengenai hijrah Rasulullah saw bersama-sama dengan Saidina Abu Bakar.

Apa yang penting Maal Hijrah bukan sekadar disambut dengan membaca doa akhir dan awal tahun semata-mata malah lebih dari itu lagi.  Saya menyeru kepada diri saya, keluarga dan para pembaca sekelian untuk berhijrah menjadi orang yang lebih berilmu, yang mana untuk mendapatkan ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan juga wang ringgit.  Sama-samalah kita menghayati dan menyelami sirah Rasulullah saw pada peristiwa hijrah ini.  Mudah-mudahan ianya dapat menjadi bekal kepada kita dan ahli keluarga kita di dalam mengharungi hidup yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini.  Jasa Rasulullah saw dan para sahabat di dalam mengembangkan agama Islam ini terlalu besar maka marilah kita mengenali serta mencontohi akhlak serta amalan mereka.Wallahualam.

Seandainya ada salah dan silap saya mohon maaf. Selamat Menyambut 1434 H

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Selasa, 06 November 2012

Sabtu, 03 November 2012

Selamat Kembali Jemaah Haji


Asalamualaikum wbt.

Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian.  Sebagai makluman kepada anda semua, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di KLIA semalam.  Alhamdulliah, syukur kerana anda telah dapat menjadi tetamu Allah dan mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur.
 
Kepulangan para jemaah haji semua sudah tentunya disambut gembira oleh kaum keluarga dan sahabat handai dengan penuh rasa kesyukuran.  Sekiranya kita mempunyai saudara atau kenalan yang baru pulang dari mengerjakan haji atau umrah, maka ziarahlah mereka jika anda berpeluang, dan bertanyakanlah khabar Kota Makkah dan Madinah disamping bertanyakan pengalaman mereka selama berada di tanah suci.  Sekurang-kurangnya ia dapat membantu meningkatkan lagi azam kita untuk sama-sama mengerjakan haji atau umrah.
 
Pastinya setiap orang mempunyai 1001 macam cerita dan pengalaman semasa mereka berada di sana, baik yang gembira, duka dan sebagainya, yang pastinya tidak dapat dilupakan oleh mereka yang telah melaluinya.  Walaubagaimanapun di sebalik kegembiraan untuk pulang ke tanahair, pastinya hati menjadi sayu dan sedih kerana terpaksa meninggalkan bumi Makkah dan Madinah dan tidak tahu samada kita berpeluang untuk menjejakkan lagi kaki kesana ataupun ini merupakan yang terakhir buat kita.  Pada saya inilah saat yang cukup sukar digambarkan kerana terpaksa berpisah dengan Baitullah dan makam Rasulullah saw.  Apa pun marilah kita sama-sama berazam dan berdoa untuk menjejakkan lagi kaki kita ke sana dan melaksanakan segala ibadah dengan lebih sempurna.
 
Apa pun kepada para jemaah haji yang telah pulang, marilah sama-sama kita menabur bakti kepada masyarakat dengan berdakwah iaitu mengajak manusia kepada kebaikan dan menjauhkan kemungkaran.  Terdapat banyak medium untuk kita semua berdakwah baik melalui Masjid/surau, NGO-NGO Islam, Internet seperti blog atau facebook dan banyak lagi yang boleh kita gunakan sebagai medium dakwah dan yang penting setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk berdakwah.
 
Wallahualam.
 
Warkah Nizam
 
 
 
 

Selasa, 30 Oktober 2012

Ibadah Qurban & Hikmahnya

Asalamualaikum wbt
Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian.  Pada kali ini saya akan berkongsi sedikit ilmu mengenai ibadah qurban. Mudah-mudahan ianya dapat menambahkan ilmu yang ada pada diri kita.


QURBAN

Qurban bermaksud hampir. Dari segi istilah syarak pula, qurban adalah menyembelih binatang qurban pada Hari Raya Eidul Adha atau pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 & 13 Zulhijjah dengan tujuan beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah swt.

Dalil yang menerangkan mengenai ibadah qurban ini ialah dari surah Al-Kausar ayat 2 iaitu ;

“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah”


Sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

“Nabi saw telah berqurban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk.  Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dan Baginda telah menyebut nama Allah, bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibasy tersebut”

Hadis Riwayat Al-Bukhari (5245)


Hukum mengerjakan ibadah qurban bagi Mazhab Syafie adalah sunat muakkad iaitu sesuatu yang sangat dituntut ke atas umat Islam yang berkemampuan tetapi jatuh hukum tersebut kepada wajib apabila seseorang itu bernazar.

Tuntutan sunat muakkad adalah bagi orang yang cukup syarat-syaratnya seperti Islam, sempurna akal dan baligh.  Orang yang berqurban dianjurkan menyembelih binatang itu sendiri atau sekurang-kurangnya melihat pada waktu penyembelihan dilakukan.

Binatang yang disyariatkan untuk Ibadah Qurban mestilah mempunyai ciri-ciri seperti tidak cacat, tidak sakit, tidak buta, tidak berkurap dan tidak kurus manakala jenis binatang yang sah untuk diqurbankan adalah seperti berikut ;

1. Kambing biri-biri yang berusia satu tahun keatas.
2. Kambing biasa yang berusia dua tahun dan ke atas.
3. Unta yang berusia lima tahun keatas.
4. Lembu atau kerbau yang berusia dua tahun dan ke atas.

Antara syarat-syarat orang yang ingin melakukan qurban adalah Islam, baligh dan berakal serta berkemampuan untuk mengerjakan nya.

Manakala antara hikmah Ibadah Qurban ini adalah seperti berikut ;

1. Menghidupkan sambil menghayati erti pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail as.
2. Sebagai tanda pengabdian diri serta tunduk patuh kepada segala perintah Allah swt.
3. Menambahkan lagi rasa kasih sayang dan ikatan persaudaraan sesama umat Islam apabila menyedekahkan daging qurban tersebut kepada insan yang memerlukan seperti fakir miskin dan lain-lain.
4.  Menanam semangat saling membantu dan berkerjasama sesama Islam .

Wallahualam.

Bersama-sama dengan ini saya sertakan gambar suasana ibadah qurban di Masjid Bandar Bukit Puchong pada 27hb Oktober 2012 yang lalu. Sebanyak 11 ekor lembu telah disembelih pada hari tersebut dan 1 ekor telah dijadikan kenduri di masjid.  Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.  Semoga ibadah qurban yang dilaksanakan di terima Allah. Amin. 





Pengumuman kepada peserta dan para sukarelawan untuk bersedia 

Bacaan Doa sebelum ibadah qurban dijalankan.


Peserta mewakilkan kepada penyembelih sebelum penyembelihan dijalankan

Baru nak melapah dah kena panggil la pulak.....

Kerja-kerja melapah binatang qurban

Para petugas sedang sibuk memotong dan menimbang daging lembu

Antara daging lembu yang dikumpulkan pada hari tersebut.

Pengagihan daging kepada fakir miskin

Mengagihkan daging kepada para petugas dan pengunjung

Muslimat sibuk menyediakan kenduri 1 ekor lembu di masjid.

Semangat gotong royong

Masjid Chef in action


Sekian, wasalam.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Rabu, 24 Oktober 2012

Selamat Menyambut 'Eidul Adha 1433H


Asalamualaikum wbt.

Sidang pembaca yang saya kasihi sekelian, semoga anda semuanya sihat sejahtera hendaknya.  Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut 'Eidul Adha 1433H kepada semua pembaca yang saya kasihi sekelian tidak kira dimana jua anda berada.

Seperti biasa kepada anda yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing, berhati-hatilah semasa memandu dan saya doakan anda semuanya selamat tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat. Amin.  Kepada yang berada di perantauan sudah tentu pengalaman menyambut Eidul Adha di negara orang akan menjadi kenangan buat diri anda dan sudah pasti rakan-rakan dan saudara se-Islam anda di sana akan menjadi pengubat rindu kerana berjauhan dengan kaum keluarga.  Apa pun, itulah namanya pengorbanan samada di dalam mencari ilmu atau mencari rezeki di negara orang.

Saya pula seperti tahun-tahun sebelum ini akan menyambut 'Eidul Adha di Puchong kerana terlibat di dalam Jawatankuasa Qurban di masjid tempat saya.  Sememangnya semakin hampir dengan hari raya maka kami akan menjadi semakin sibuk dengan segala macam persiapan termasuklah menunggu lembu yang ditempah.  Debaran makin dirasai terutamanya pada pagi hari ibadah qurban akan dilaksanakan kerana khuatir tidak cukup orang untuk menguruskan lembu dan juga cuaca yang tidak menentu sekarang ini.  Mudah-mudahan semuanya dapat berjalan dengan lancar nanti.

Hajat dihati ingin berkongsi cerita lagi tentang ibadah qurban dan juga 'Eidul Adha disini bersama anda semua tetapi terpaksa berhenti setakat ini dahulu sebab Lori Lembu dan nak sampai, jadi nak kena uruskan lembu-lembu tersebut.

Apapun Selamat Menyambut Eidul Adha dan Maaf Zahir dan Batin dari saya dan keluarga.

Sekian, wasalam.

Warkah Nizam
nizamblog@gmail.com

Selasa, 16 Oktober 2012

Sekitar Ceramah Perdana Oleh Ustaz Mohamad Kazim Elias Di MBBP

Asalamualaikum wbt

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat saya rakamkan untuk tatapan para pembaca sekalian semasa ceramah perdana oleh Ustaz Mohamad Kazim Elias baru-baru ini di Masjid Bandar Bukit Puchong.