Sahabat 8 – Sa’ad bin Abi Waqas ( Pendakwah Berprinsip )
Saad bin Abi Waqas adalah Saad Bin Malik bin Uhaib bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Beliau dilahirkan 23 tahun sebelum Hijrah dan merupakan bapa saudara nabi dari sebelah ibu. Saad termasuk dalam kumpulan yang pertama memeluk Islam dan semasa itu berumur 17 tahun. Beliau turut serta dalam perang Badar dan seluruh peperangan yang lain bersama Nabi Muhammad dan merupakan orang yang pertama memanah pada jalan Allah. Berhubung dengan ini nabi bersabda “Panah wahai Saad, ayah dan ibuku sebagai tebusan”[Hadis riwayat Tirmizi]
Saad juga merupakan seorang panglima perang yang bijaksana, beliau pernah dipilih oleh Umar al-Khattab bagi memimpin pasukan tentera Islam menghadapi tentera Parsi di Qadasiyah pada tahun ke 15 Hijrah. Perang ini dimenangi oleh umat Islam dan menjadi penentu didalam kejatuhan empayar Parsi dan kemudian beliau memimpin tentera Islam menawan ibu kota Parsi iaitu Ctesiphon.
Saad juga merupakan sahabat yang menyebarkan Islam di China bermula di Guangzho. Beliau meninggal dunia di Aqiq pada 55 Hijrah semasa berusia lebih kurang 80 tahun.
Antara sifat-sifat unggul yang ada pada Saad ialah berpegang teguh kepada prinsip ajaran Islam. Peristiwa yang dikaitkan dengan sifat unggul ini ialah sikapnya kepada ibunya yang memaksanya keluar dari Islam. Saad adalah anak kepada Hamnah binti Abu Sufyan. Beliau amat patuh dan taat kepada ibunya. Apabila ibunya mengetahui Saad memeluk Islam, ibunya sangat marah dan bersumpah tidak akan berbicara dengan Saad dan tidak akan menjamah sebarang makanan dan minuman. Ibunya berkata;”Wahai anakku, sekiranya kamu tidak meninggalkan agama baru yang kamu anuti itu, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati. Apabila aku mati penduduk Mekah akan mencela kamu sebagai pembunuh ibunya sendiri.” Saad berkata kepada ibunya;”Wahai ibuku, sekiranya ibu mempunyai 100 nyawa dan nyawa-nyawa itu keluar satu persatu dari tubuh ibu, aku tetap tidak akan meninggalkan agamaku. Apabila ibu berasa lapar, makanlah dan sekiranya ibu tidak mahu makan, tak usahlah makan.” Akhirnya ibunya mengalah dan menjamah semula makanan dan minuman.
Berhubung dengan peristiwa ini Allah s.w.t telah berfirman “Dan jika kedua ibubapa kamu memaksa kamu supaya mempersekutukan Aku dengan sesuatu tanpa pengetahuanmu, maka janganlah kamu menurutinya namun gauli mereka dengan baik di dunia. Ikutlah jalan orang-orang yang kembali kepada-Ku, hanya kepada Akulah tempat kembali dan Aku khabarkan kepadamu apa yang kamu lakukan.” (Surah Luqman ayat 15)
Begitulah ciri-ciri unggul yang terdapat pada Saad bin Abi Waqas yang berpegang teguh kepada prinsip serta tidak goyah apabila diancam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar