Sahabat 10 – Abu Ubaidah bin al-Jarrah ( Aminul Ummah )
Abu Ubaidah dilahirkan 30 tahun sebelum kenabian. Beliau memeluk Islam selang sehari selepas Abu Bakar. Di Madinah beliau dipersaudarakan dengan saudara Ansar yang bernama Muaz bin Jabal.
Abu Ubaidah sempat mengikuti kesemua peperangan bersama Nabi Muhammad. Semasa perang Badar, beliau cuba menggelak daripada bertembung dengan bapanya yang kafir, namun pertembungan tersebut tidak dapat dielakkan dan beliau terpaksa membunuh bapanya. Berhubung dengan peristiwa ini Allah berfirman;”Engkau tidak mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulnya walaupun orang itu adalah ayah kandung, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang Allah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya.” Surah Mujadalah ayat 22.
Abu Ubaidah bin Jarrah meninggal dunia di kota Amwas pada tahun ke-18 hijrah pada usia 58 tahun.
Abu Ubaidah digelar Nabi sebagai Aminul Ummah yang menjadi kepercayaan dikalangan umat. Sebagaimana sabda Nabi;”Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan dan orang kepercayaan di kalangan umat ini adalah Abu ubaidah bin al-Jarrah.”[Hadis riwayat Muslim]
Pada suatu masa sekumpulan penganut kristian dari Najran datang kepada Nabi Muhammad meminta bantuan lalu mereka berkata;”Wahai Abul Qasim, utuslah kepada kami seseorang yang dapat dipercayai (bagi menyelesaikan masalah).” Nabi Muhammad menjawab;”Aku akan utus kepada kalian seorang yang dapat dipercayai, benar-benar dapat dipercayai, benar-benar dapat dipercayai.” Sahabat-sahabat lain segera saling mengharapkan tanggungjawab itu dimana akhirnya Nabi Muhammad menyerahkan tugas tersebut kepada Abu Ubaidah bin Jarrah. [ Hadis riwayat Muslim ]
Sifat unggul yang terdapat pada Abu Ubaidah adalah seorang yang dapat dipercayai, jujur dan merupakan antara orang-orang yang mampu menyelesaikan masalah orang lain termasuk dari kalangan yang bukan Islam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar