Kamis, 03 Juni 2010

Topik Baru

Asalamualaikum wbt

Insyallah topik Hadis 40 oleh Imam Nawawi sudah hampir sampai kepenghujungnya. Insyallah dalam bulan Jun ini saya akan bawakan hadis yang lain pula untuk kita sama-sama berkongsi ilmu.

Sementara itu saya rasa segmen munajat perlu kepada perkara-perkara asas didalam bermunajat seperti adab-adab bermunajat dan lain-lain. Sungguhpun nampak asas tetapi ia cukup penting kerana jika dilihat dimana-mana majlis/ kenduri kadangkala orang mengaminkan doa secara sambil lewa malah ada juga yang bercakap-cakap jadi bagaimana Allah hendak memperkenankan doa kita. Jadi kepada yang sudah mempunyai pengetahuan didalam adab-adab berdoa mungkin boleh mengambil segmen ini sebagai ulangkaji, mana tahu mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang atau terlupa jadi mudah-mudahan segmen ini akan dapat mengingatkan kita semula.Insyallah.

Musim cuti sekolah juga bakal tiba, jadi kepada para blogger yang akan pulang bercuti ke kampung atau kemana-mana tempat pelancongan di dalam negara kita, saya doakan agar semuanya selamat pergi dan selamat kembali. Kepada yang berkenderaan pastikan kenderaan anda berada didalam keadaan baik dan selamat serta pastikan juga anda bersedia dan mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan yang jauh. Tips dari saya, jangan tentukan jam berapa anda perlu sampai ke destinasi , kerana ia akan menyebabkan anda stress dan memandu dalam keadaan tergesa-gesa apatah lagi jika dipertengahan jalan pulak ada "traffic jammed". Insyallah jika kita tidak tetapkan jam berapa yang kita perlu tiba ke destinasi kita tidak akan berasa stress semasa memandu.

Kepada yang akan melangsungkan perkahwinan di dalam musim cuti sekolah ini Selamat Pengantin Baru dan akhir kata selamat bercuti kepada semua.









Perawi 16 - Jabir

Jabir, Ialah; Jabir bin Abdullah, Ibnu Amru bin Haram Al-Khazraji Al-Ansari Al-Sulami. Telah meriwayatkan dari Nabi s.a.w sebanyak 1,540 buah Hadis. Dilahirkan pada tahun yang ke-16 sebelum Hijrah, dan meninggal dunia di Madinah pada tahun 78 Hijrah ketika berumur 94 tahun.

Rabu, 02 Juni 2010

Accident Pula Hari Ni....




Pagi tadi lebih kurang jam 7.30 am saya telah kemalangan dengan sebuah kereta Proton Waja. Kejadian berlaku di lorong "by pass" persimpangan lampu isyarat. Baru semalam bercerita mengenai kisah saya yang hampir-hampir kemalangan rupa-rupanya hari ini memang betul-betul terjadi. Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Proton Waja (wanita) yang saya sangka telah bergerak kehadapan rupa-rupanya memberhentikan keretanya dan saya yang asyik memandang ke arah kanan terperanjat apabila kereta tersebut masih berada dihadapan, brek terus ditekan rapat tetapi oleh kerana jarak yang terlalu rapat, brek kereta gagal menghentikan kereta saya dan pada masa tersebut hand brake pun dah tak sempat nak capai sebab terlalu pantas, apalagi terus sahaja saya langgar bucu kanan kereta tersebut selepas usaha untuk cuba mengelak tidak berjaya sebab ada penunggang motosikal disebelah kanan saya.


Bila saya dan pemandu kereta tersebut turun untuk melihat kesan kemalangan dan berbincang baru saya tahu yang dia pun dah dua hari MC dan masih demam, rupanya ini kes orang demam langgar orang demam. Apa-apa pun Alhamdulillah sebab dia dan saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Tengahari tadi kereta dia dah siap dibaiki tetapi tidak di cat sebab suaminya memang bercadang nak mengecat keretanya cumanya kereta saya dijangka siap pada petang esok.


Jadi moral daripada cerita saya, jangan pandu kereta jika anda demam, duduk rumah baca buku dan makan ubat. Rasanya macam dah ok rupa-rupanya tak ok lagi......dugaan.


Hadis 39 - Penghapusan Dosa Dalam Islam

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku kerana aku jika mereka tersalah, terlupa dan dipaksa”

[ Hadis Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi Dan Lain-lain ]


Kepentingan Hadis

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata di dalam kitab Syarah Hadis Empat Puluh : “ Hadis ini mengandungi beberapa faedah dan perkara yang penting, jika dikumpulkan, ia membentuk satu karangan yang tidak dapat dimuatkan didalam kitab ini.”

Ibnu Hajar al-Haitami berkata : “ Hadis ini mempunyai manfaat yang umum, kerana ketiga-tiga perkara yang disebutkan didalam hadis ini diperbincangkan di dalam seluruh bab fekah. Hadis ini juga mempunyai kedudukan yang besar sehingga dapat dikatakan bahawa ia adalah setengah daripada syariat. Ini kerana perbuatan manusia – termasuk juga perkataan – terdiri daripada unsur kesengajaan dan pilihan yang dinamakan sebagai ’sengaja’ atau bukan daripada unsur tersebut yang disebut sebagai tersalah, terlupa atau dipaksa.

Secara jelasnya, hadis ini menunjukkan bahawa bahagian yang terakhir (iaitu perbuatan yang dilakukan secara tersalah, terlupa atau dipaksa) adalah dimaafkan dan bahagian pertama (perbuatan yang dilakukan dengan sengaja) akan dipertanggungjawabkan. Jadi, hadis ini dianggap sebagai separuh daripada syariat jika dipandang dari sudut mantuqnya dan jika dipandang dari sudut mantuq dan mahfumnya sekaligus, hadis ini dianggap sebagai seluruh syariat.

Perawi 15 - Abi Qatadah

Abi Qatadah, ialah; Al-Harith (Al-Numan/’Amru) bin Rubi’I Al-Ansari Al-Khazraji Al-Sulami, masyhur dengan gelaran Abu Qatadah. Beliau bersama Rasulullah s.a.w menyaksikan peristiwa Uhud. ‘Abdul Malik bin Marwan telah menghantar wakil kepadanya untuk mengetahui pendirian Rasulullah s.a.w dan telah meninggal dunia di Madinah pada tahun 54 Hijrah.

Selasa, 01 Juni 2010

MC lagi hari ni....

Asalamualaikum wbt

Pagi tadi saya terasa sedikit segar, selepas solat subuh saya pun bersiap untuk ke tempat kerja. Alhamdulillah saya selamat sampai ke tempat kerja dan seperti biasa setiap pagi kami ada morning briefing (sambil berdiri) selama lebih kurang setengah jam bagi menentukan kerja-kerja yang perlu disiapkan pada hari ini. Baru 10 minit berdiri tiba-tiba saya rasa macam nak "black out", apa lagi terus saja saya cari tempat untuk bersandar, rakan-rakan sekerja yang lain dah suruh saya pergi berehat di office tapi saya teruskan juga hingga ke akhir briefing dengan bersandar, Alhamdulillah selesai juga.

Masuk ke office saya pakai mask sebab takut berjangkit pula pada rakan-rakan sekerja yang lain, maklumlah sekarang ni kalau bersin ditengah-tengah khalayak ramai masing-masing akan tutup hidung, takut juga orang sekarang pada bersin.

Tapi tak lama juga saya kat office dalam jam 10.00 pagi sakit kepala saya datang lagi macamana saya nak buat kerja apatah lagi kalau nak bawa kereta nak pegi jumpa customer. So saya pun ambil keputusan pergi ke klinik dan dapatlah mc, doktor kata rehatlah dulu dan makan ubat. Saya pun maklumkan pada pejabat yang saya mc lagi hari ni dan terus pulang kerumah. Semasa dalam perjalanan pulang baru saya terperasan yang bila kita demam, tindakbalas kita agak lambat sebagai contoh bila kereta depan brek lebih kurang 1 saat selepas tu baru saya tekan brek, hampir-hampir juga nak accident masa balik tadi. Selepas daripada kejadian tersebut saya dah tak berani lagi nak ikut rapat-rapat dengan kereta di hadapan.

Sampai di rumah terus makan ubat dan Alhamdulillah disepanjang saya terbaring demam selama dua hari dan juga hari ini, sempat juga saya habiskan buku bertajuk Menjadi Usahawan Sehebat Muhammad Bin Abdullah yang baru saya beli, insyallah jika ada rezeki kita akan kupas isi buku tersebut.

Cuma disepanjang saya sakit pada kali ini saya banyak berfikir tentang kebesaran Allah pada diri saya. Bagaimana saya yang sebelum ini boleh kesana kemari tiba-tiba terlantar tidak mampu berbuat apa-apa, bagaimana saya yang sebelum ini boleh merasa makanan tapi hingga kehari ini masih tidak mampu merasa sebarang makanan. Barulah saya dapat merasa betapa nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada saya terlalu banyak, hanya sedikit saja yang diambil, mungkin Allah hendak menegur saya supaya selalu bersyukur dengan apa yang ada, teringat saya kepada Surah Ar-Rahman "Nikmat Tuhan manakah lagi yang engkau hendak dustakan" Subhanallah, saya tak mampu untuk berkata-kata lagi.

Berita Terkini - Israel bunuh aktivis misi Gaza


Berita Harian Online (01hb Jun 2010)


Komando Yahudi gempur enam kapal bantuan bawa bekalan kemanusiaan


ASHDOD: Komando Israel menyerbu beberapa kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza awal semalam menyebabkan 19 orang maut dan 36 lagi cedera, kebanyakannya aktivis Turki sekali gus mencetuskan krisis diplomatik antarabangsa.

Anehnya, Israel menyalahkan aktivis kerana mencetuskan keganasan hingga membawa kematian menyebabkan aktivis memberi keterangan bagaimana ia berlaku di perairan antarabangsa.

Rakaman secara langsung sebuah bot Turki yang boleh dilihat di internet, menunjukkan komando berpakaian hitam Israel turun dari helikopter dan menyerang aktivis.“Ketika keadaan masih gelap, komando Israel turun dari helikopter ke kapal Mavi Marmara dan terus melepaskan tembakan sebaik menjejakkan kaki di dek,” menurut laporan laman web Pergerakan Bebaskan Gaza.Rakaman itu menunjukkan keadaan kacau bilau dengan beberapa bot peronda Israel berada tidak jauh dari situ.Tentera Israel, bagaimanapun, mendakwa askarnya hanya menembak selepas diserang dengan pisau, cotar dan tembakan peluru hidup. “Kesan daripada keadaan itu anggota tentera laut menggunakan kekerasan termasuk melepaskan tembakan,” menurut jawapan tentera Yahudi itu. Apapun, Israel tetap mempersalah aktivis damai terbabit.“Mereka yang memulakan keganasan. Kami berusaha sedaya upaya mengelakkannya. Tetapi askar kami diserang dengan pisau, besi serta ditembak,” kata jurucakap Netanyahu, Mark Regev.Antara yang cedera termasuk komando laut Israel, dua daripada mereka parah dan tiga lagi semakin pulih.


Ketika butir-butir pertumpahan darah itu mula diketahui umum, sebuah bot tentera Israel dilihat mengiringi kapal besar berwarna putih dan sebuah lagi kapal lebih kecil masuk ke pelabuhan Ashdod.Lelaki berpakaian hitam dilihat di dek bot lebih besar dipercayai kapal penumpang. Laporan media menyatakan, seorang pemimpin Arab, Raed Salah juga cedera dalam kejadian itu.Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan korban serangan di perairan antarabangsa itu sebagai mangsa pembunuhan beramai-ramai Yahudi dan mengumumkan tempoh berkabung tiga hari.“Kita perlu ambil keputusan yang sukar hari ini,” kata seorang pegawainya di televisyen tanpa menjelaskan lebih lanjut.Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga menggesa diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan tindakan umpama lanun, jenayah dan pembunuhan oleh Israel, kata ketua perunding, Saeb Erakat.Selain itu, masyarakat Arab Israel juga menyarankan mogok diadakan sebagai membantah operasi laut Yahudi itu selain melancarkan protes.


Berikutan itu, beratus-ratus orang daripada pelbagai peringkat politik keluar beramai-ramai ke jalan raya di bandar Nazareth bagi membantah serangan berkenaan.Pergerakan Hamas pula meminta PA berhenti berunding dengan Israel kerana melakukan jenayah terkutuk itu, kata pemimpinnya, Ismail Haniyeh. – AFP