Senin, 11 Oktober 2010

5.Hadis Yang Berupa Taqrir Nabi s.a.w

Hadis Yang Berupa Taqrir Nabi s.a.w

Yang disebut sebagai Hadis yang berupa taqrir Nabi s.a.w ialah sekiranya ada seseorang sahabat atau beberapa orang sahabat melakukan sesuatu perbuatan di hadapan Nabi s.a.w, lalu beliau membiarkan sahaja dan tidak menegur atau tidak memberikan apa-apa reaksi, maka itulah yang disebut dengan taqrir yang aslinya ialah penetapan. Sesuatu yang ditaqrirkan oleh Baginda Nabi itu tentu sahaja hukumnya halal, sebab sekiranya haram, sudah pasti ditegur atau diingatkan oleh Baginda Nabi.

Sabtu, 09 Oktober 2010

Kasih Ibu Dan Abang Saya Di Benarkan Pulang....

Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya maka abang saya telah kembali sihat walaupun tidak sepenuhnya. Terima kasih dari saya dan keluarga kepada semua yang telah mendoakan dan yang solat hajat untuk abang saya, semoga Allah memberikan ganjaran di atas segala budi baik anda semua.

Terkini, saya dimaklumkan bahawa abang saya akan dibenarkan pulang pada esok hari iaitu ahad 10.10.2010 dan akan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar selepas ini. Sememangnya kepulangannya bukan sahaja dinantikan oleh keluarganya bahkan kami semua dan terutamnya ibu saya yang tercinta yang tidak putus-putus berdoa untuk kebaikkannya. Begitulah kasihnya seorang ibu kepada seorang anak, walaupun dalam keadaan kesihatan ibu saya yang uzur, beliau gagahkan diri untuk sama-sama membaca Yassin serta bangun malam untuk solat memohon kepada Allah demi kebaikkan anak yang dikasihinya. Sebenarnya saya sendiri kagum dan bangga kerana menjadi anak kepada seorang ibu yang begitu pengasih tetapi tegas kepada anak-anaknya dan saya yakin anda juga memiliki ibu yang sedemikian.

Para pembaca yang saya kasihi sekalian, saya menyeru kepada diri saya, keluarga saya dan kepada anda semua supaya sama-samalah kita mengasihi ibu dan bapa kita. Mereka tidak mengharapkan wang atau harta kita tetapi mereka mengharapkan kasih sayang dan perhatian dari kita. Selalulah kita pulang untuk menjenguk mereka atau setidak-tidaknya selalulah menelefon mereka. Ingatlah walau sebaik mana sekalipun usaha yang kita buat ianya tidak akan dapat membalas jasa mereka. Begitulah tinggi dan mulianya jasa ibu disisi Allah, berutunglah kepada mana-mana ibu yang dapat mendidik anak-anaknya sebagaimana seperti yang dikehendaki Allah.

Marilah kita sama-sama berazam supaya kita menjadi anak-anak kebanggaan kepada ibubapa kita. Cuba para pembaca bayangkan, seandainya pada suatu hari nanti, ibu atau bapa kita yang telah dimamah usia, tiba-tiba datang dan duduk disebelah kita dan merenung dalam-dalam muka kita dengan penuh kasih sayang, tiba-tiba beliau bersuara dengan nada yang perlahan “Nak, sebenarnya emak rasa bersyukur dan bangga kerana mengandung dan mempunyai anak seperti engkau ….” Saya ingin bertanya, apakah perasaan anda pada ketika itu ? Adakah nilai kata-kata yang keluar itu boleh diukur dengan harta benda…? Maka berusahalah kita agar ibu atau bapa kita mengucapkan kata-kata indah itu kepada kita. Wallahualam.

Jumat, 08 Oktober 2010

Majlis Meraikan Bakal Haji

Majlis jamuan makan bagi meraikan bakal-bakal haji



Asalamualaikum wbt

Untuk makluman para pembaca sekalian, pada 01hb Oktober 2010 yang lepas, masjid di qariah saya telah mengadakan majlis solat hajat dan doa selamat untuk bakal-bakal haji yang akan menunaikan fardhu haji di tanah suci pada tahun ini.
Pada malam tersebut pihak masjid telah menjemput semua bakal-bakal haji ke hadapan untuk diperkenalkan kepada para jemaah dan yang lebih penting lagi, mereka juga saling kenal mengenali di antara satu sama lain, sekurang-kurangnya semasa berada di tanah suci nanti mereka tidaklah berasa keseorangan kerana bersama mereka ada rakan jemaah dari qariah yang sama. Manakala bagi para jemaah pula dengan adanya majlis yang sebegini mudah-mudahan akan dapat menyuntikkan azam para jemaah untuk ke tanah suci bagi mengerjakan ibadah haji pada masa-masa yang akan datang.
Alhamdulillah, pada tahun ini terdapat lebih kurang 14 orang bakal haji yang terdiri dari muslimin dan muslimat dari qariah saya yang akan berangkat pergi ke tanah suci bagi mengerjakan haji. Apapun sama-samalah kita doakan agar Allah memelihara keselamatan mereka dan dipermudahkan segala urusan mereka di sana serta mendapat haji yang mabrur dan semoga mereka selamat pergi dan selamat kembali,Amin.

Kamis, 07 Oktober 2010

KASIH SAYANG YANG TIADA TANDINGAN

Video di atas menceritakan mengenai kisah seekor kucing yang kematian kawannya yang mati di langgar kereta. Dia cuba membangunkan kawannya itu tetapi akhirnya dia menyedari yang kawannya telah mati....betapa kasih dan sayangnnya dia kepada kawannya itu. Seandainya binatang boleh mempunyai perasaan yang sedemikian apatah lagi kita sebagai manusia sepatutnya lebih lagi.

Selasa, 05 Oktober 2010

Ilmuan Islam - Abu A'la al-Maududi

Abu A’la al-Maududi

Nama sebenar beliau adalah Abu A’la al- Maududi. Beliau dilahirkan pada 25hb September 1903 di Aurangabad yang terletak di wilayah Hyderabad. Beliau adalah daripada keturunan perawi hadis yang digelar Maudud. Sejak dari kecil lagi beliau telah bergiat aktif dalam gerakan Islam di India. Malah beliau sendiri datang ke India bersama rombongan tentera Muhammad al-Qasim ath-Thaqafi.

Abu A’la al-Maududi telah mendapat pendidikan awal di rumahnya. Ayahnya bernama Ahmad Hasan yang mengajar anak-anaknya dirumah. Mereka di ajar membaca dan menulis. Antara bahasa yang diajar oleh bapanya adalah bahasa Arab, Parsi dan Urdu. Abu A’la al-Maududi fasih berbahasa Arab pada usia muda. Pada usia 14 tahun, beliau berjaya menterjemahkan al-Mirat al-Jadidah yang ditulis oleh Qasim Amin daripada bahasa Arab ke bahasa Urdu.

Semasa beliau berusia 11 tahun, beliau telah belajat secara formal di sekolah yang terdapat di Aurangabad. Beliau mula belajar mata pelajaran sains sejak sekolah. Lima tahun kemudian beliau terpaksa berhenti sekolah kerana bapanya meninggal dunia. Pada usia 16 tahun, beliau lebih berminat menceburkan diri dalam politik. Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan esei. Penulisan eseinya itu menjurus kepada memuji kehebatan Mahatma Ghandi dan Madan Muhan Malaviya. Kemudia pada tahun 1918 beliau berhijrah ke Binjur dan mula bekerja sebagai wartawan.

Abu A’la al-Maududi menceburkan diri dalam bidang kewartawanan. Beliau menjadi wartawan dan editor akhbar Jabal Nur, Delhi, Hyderabad. Pada tahun 1938 beliau berhijrah ke Punjab. Tujuan sebenar beliau berpindah ke Punjab adalah mahu memimpin Dar al-Islam dan membangunkan komuniti Islam di India. Namun minatnya yang mendalam dalam bidang politik menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan aktivitinya di Dar al-Islam.

Pada tahun 1939, beliau bergiat aktif dalam politik di Lahore. Kesempatan beliau berada di Lahore digunakan dengan mengajar Pengajian Islam di Sekolah Tinggi Islamiyah. Pada Ogos 1941 beliau bersama-sama 75 orang pengikutnya telah menubuhkan al-Jama’ah al-Islamiyyah. Bermula dari situ beliau lebih aktif dengan politik apabila beliau dilantik menjadi ketua pemimpin al-Jama’ah al-Islamiyyah.

Penglibatannya di dalam bidang politik banyak membantu dirinya mengembangkan lagi bakat penulisannya. Karya-karyanya banyak mengutarakan pandangannya pada soal Islam, masyarakat, ekonomi dan politik. Beliau banyak mengarang buku dalam lapangan pemikiran Islam.

Pemikirannya hampir sama dengan pemikiran imam Hasan al-Banna dan Sayyid Qutb. Antara karyanya yang terkenal adalah ar-Riba wal Hijab, Dauru Syabab al-Muslim, al-Usus al-Islami dan al-Mustolahat al-Arba’ah. Karyanya yang bertajuk Tafhim al-Quran adalah mengenai terjemahan dan ulasan ayat-ayat al-Quran. Karya itu ditulis dalam bahasa Urdu dan menjadi sumber bacaan pada kalangan sarjana Islam.

Abu A’la al-Maududi banyak memainkan peranan dalam pembentukan al-Jama’ah al-Islamiyyah. Beliau sangat petah berhujah. Bahkan pihak musuh Islam terpaksa akur dengan pendiriannya yang tegas. Beliau pernah beberapa kali dipenjarakan. Pada tahun 1953 beliau pernah dijatuhkan hukuman mati kerana dituduh menghasut. Peristiwa itu menggegarkan negara, namun pada tahun 1955 mahkamah agung menetapkan supaya tuduhan itu dibatalkan apabila mendapat campur tangan daripada para ulama.

Abu A’la al-Maududi akhirnya meletakkan jawatannya sebagai ketua pemimpin al’Jama’ah al-Islamiyyah. Beliau memegang jawatan itu dari tahun 1941 hingga 1972. Jawatan tersebut kemudiannya diserahkan kepada Tufail Muhammad pada tahun 1972. Sejak itu, Abu A’la al-Maududi banyak menghabiskan masanya dengan berkarya. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 22hb September 1979. Semoga Allah merahmati beliau.

Senin, 04 Oktober 2010

4.Hadis Yang Berupa Perbuatan Nabi s.a.w


Hadis Yang Berupa Perbuatan Nabi s.a.w

Sebagai manusia, sudah tentu Nabi s.a.w melakukan aktiviti-aktiviti seharian seperti yang berhubungan dengan peribadinya sendiri seperti menjahir terompahnya, membawa barangan yang dibelinya dan lain-lain lagi serta berhubungan dengan kerumahtanggaannya seperti bergaul dengan isteri-isterinya, begitu juga apabila Baginda berhubungan dengan masyarakat seperti bagaimana jika bersembahayang dengan orang ramai, apa yang dilakukan Baginda semasa di dalam peperangan, cara-cara membahagi harta rampasan perang dan sebaginya. Semua itu diketahui dan dilihat oleh para sahabat, kadang-kadang ada seorang sahaja sahabat yang mengetahui sesuatu perbuatan nabi, ada yang dua orang atau ada pula perbuatan Baginda yang diketahui oleh ramai sahabat. Sahabat atau beberapa sahabat yang mengetahui apa yang beliau s.a.w lakukan itu lalu menceritakan perbuatan Baginda s.a.w kepada orang lain, yang diberitahu juga menyampaikan kepada orang lain lagi yang di belakangnya sehingga sampailah akhirnya hal itu kepada para Mudawwin atau Mukharrij.

Jumat, 01 Oktober 2010

3.Hadis Yang Berupa Sabda Nabi Muhammad s.a.w

Hadis Yang Berupa Sabda Nabi Muhammad s.a.w

Sudah tentu sesuatu hadis yang secara terang-terang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w itu disebut Hadis Nabi.

Tetapi ada ketika orang mengatakan hadis Aisyah radhiallahu anha, maka tujuannya itu bukanlah sekali-kali bahawa hadis tersebut diucapkan oleh Syaiyadatina Aisyah, isteri Rasulullah s.a.w, tetapi membawa maksud bahawa hadis tersebut diriwayatkan atau yang diceritakan oleh beliau itu sebagai penerima yang pertama dari hadis Rasulullah s.a.w secara langsung atau orang yang pertama hadis itu di sampaikan oleh Rasulullah s.a.w.
Bagaimana pula dikatakan misalnya hadis Bukhari, hadis Muslim, hadis Ibnu Majah, hadis Nasa’I dan lain-lain lagi, maka maksudnya ialah, mereka itulah yang meriwayatkan hadis tersebut tetapi bukan sebagai penerima pertama, sebabnya kerana mereka tidak bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Jadi mereka adalah pencatat hadis tersebut dan sebagai penerima terakhir sekali. Pencatat yang mengumpulkan beberapa hadis di namakan sebagai Mudawwin dan boleh juga disebut sebagai Mukharrij, yakni yang mengeluarkan.