Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya maka abang saya telah kembali sihat walaupun tidak sepenuhnya. Terima kasih dari saya dan keluarga kepada semua yang telah mendoakan dan yang solat hajat untuk abang saya, semoga Allah memberikan ganjaran di atas segala budi baik anda semua.
Terkini, saya dimaklumkan bahawa abang saya akan dibenarkan pulang pada esok hari iaitu ahad 10.10.2010 dan akan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar selepas ini. Sememangnya kepulangannya bukan sahaja dinantikan oleh keluarganya bahkan kami semua dan terutamnya ibu saya yang tercinta yang tidak putus-putus berdoa untuk kebaikkannya. Begitulah kasihnya seorang ibu kepada seorang anak, walaupun dalam keadaan kesihatan ibu saya yang uzur, beliau gagahkan diri untuk sama-sama membaca Yassin serta bangun malam untuk solat memohon kepada Allah demi kebaikkan anak yang dikasihinya. Sebenarnya saya sendiri kagum dan bangga kerana menjadi anak kepada seorang ibu yang begitu pengasih tetapi tegas kepada anak-anaknya dan saya yakin anda juga memiliki ibu yang sedemikian.
Para pembaca yang saya kasihi sekalian, saya menyeru kepada diri saya, keluarga saya dan kepada anda semua supaya sama-samalah kita mengasihi ibu dan bapa kita. Mereka tidak mengharapkan wang atau harta kita tetapi mereka mengharapkan kasih sayang dan perhatian dari kita. Selalulah kita pulang untuk menjenguk mereka atau setidak-tidaknya selalulah menelefon mereka. Ingatlah walau sebaik mana sekalipun usaha yang kita buat ianya tidak akan dapat membalas jasa mereka. Begitulah tinggi dan mulianya jasa ibu disisi Allah, berutunglah kepada mana-mana ibu yang dapat mendidik anak-anaknya sebagaimana seperti yang dikehendaki Allah.
Marilah kita sama-sama berazam supaya kita menjadi anak-anak kebanggaan kepada ibubapa kita. Cuba para pembaca bayangkan, seandainya pada suatu hari nanti, ibu atau bapa kita yang telah dimamah usia, tiba-tiba datang dan duduk disebelah kita dan merenung dalam-dalam muka kita dengan penuh kasih sayang, tiba-tiba beliau bersuara dengan nada yang perlahan “Nak, sebenarnya emak rasa bersyukur dan bangga kerana mengandung dan mempunyai anak seperti engkau ….” Saya ingin bertanya, apakah perasaan anda pada ketika itu ? Adakah nilai kata-kata yang keluar itu boleh diukur dengan harta benda…? Maka berusahalah kita agar ibu atau bapa kita mengucapkan kata-kata indah itu kepada kita. Wallahualam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar