Kamis, 14 Oktober 2010

Utbah Bin Rabiah

UTBAH BIN RABIAH

Utbah Bin Rabiah merupakan salah seorang tokoh di dalam kaum Quraisy yang menentang dakwah yang dibawa oleh Nabi s.a.w dan para pengikutnya. Beliau juga mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Nabi s.a.w.

Sudah sekian lama Utbah bin Rabiah menyimpan niat supaya Nabi s.a.w berhenti dari berdakwah. Pada suatu hari, Nabi Muhammad s.a.w sedang bersendirian di Masjidil Haram, kesempatan ini telah digunakan oleh Utbah untuk memujuk Nabi bagi menghentikan dakwah baginda. Utbah telah pergi menemui Nabi s.a.w seraya berkata ; “Wahai saudaraku, engkau adalah orang yang terpandang dan berasal dari keluarga yang dihormati, akan tetapi engkau telah membawa masalah besar di dalam kaum mu dengan memecahbelahkan perpaduan mereka.

Dengar dengan teliti, aku mahu mengajukan usul dan tawaran kepada mu. Fikirkan dengan bersungguh-sungguh dan aku harap engkau mempersetujuinya. Sekiranya engkau tidak mempersetujui kesemuanya mungkin sebahagian daripadanya juga sudah cukup.”

Nabi pun menjawab, “Baiklah, sampaikan apakah tawaran mu itu ?”

Utbah pun menyampaikan usul dan tawarannya, “Wahai saudaraku ! sekiranya engkau melakukan dakwah mu ini kerana mahu mendapatkan harta kekayaan, kami sanggup mengumpulkan sebahagian daripada harta kekayaan kami dan akan kami serahkan kepadamu sehingga engkau menjadi antara orang yang terkaya di antara kami.

Sekiranya engkau mengidamkan kehormatan dan pangkat daripada dakwahmu ini, kami mampu menjadikan engkau sebagai pemimpin kami dan menurut segala keputusanmu. Ataupun engkau mahu menjadi raja kami? Kami juga boleh mengangkatmu menjadi raja kami?

Sekiranya apa yang membuatkan engkau melakukan dakwah ini adalah daripada penguasaan jin yang berada di dalam tubuhmu dan engkau tidak dapat melepaskan diri daripada penguasaan jin tersebut, kami sanggup mencari dukun atau tabib yang mampu menyembuhkanmu. Berapa tinggi pun biaya perubatannya kami sanggup menanggungnya.”

Nabi Muhammad s.a.w pun menjawab “Dengarkan pula kata-kataku, wahai saudaraku !”

Utbah pun berkata, “Baiklah, aku mahu mendengarkannya!”

Nabi s.a.w pun membacakan ayat Al-Quran, iaitu surah Fussilat dari awal dan apabila tiba di ayat yang ke 13 yang bermaksud, “ Sekiranya mereka berpaling katakan, ‘Aku memperingatkan kamu dengan petir seperti petir yang menimpa kaum A’ad dan kaum Tsamud.’ “ Wajah Utbah menjadi pucat kerana takut dan meminta baginda menghentikan bacaannya.

Tanpa menghiraukan ketakutan yang melanda Utbah, Nabi s.a.w terus membacakan surah Fussilat sehingga ayat 37, Utbah menjadi semakin takut dan akhirnya pergi meninggalkan Nabi s.aw dengan wajah yang pucat lesi.

Sekembalinya Utbah kepada kaumnya, para pemimpin Quraisy kehairanan dan tertanya-tanya, apakah yang terjadi kepada Utbah.

Utbah menjelaskan kepada mereka, “Aku mendengarkalimat-kalimat yang belum pernah aku dengar selama ini, bukan syair dan bukan mentera dukun. Percayalah kepadaku dan biarkanlah sahaja Muhammad itu. Lebih baik kita menghindarinya dan aku yakin kata-katanya itu kelak akan menjadi berita yang besar. Sekiranya nanti dia memperoleh kemenangan, kerajaannya itu bererti kerajaan kita semua, kerana kita adalah kaum Quraisy. Semoga kita berbahagia dibawah pimpinannya.”

Mendengar kata-kata Utbah itu, para pembesar Quraisy berteriak, “Kamu terkena sihir Muhammad, wahai Utbah!”

Utbah menjawab, “Terserah kepada apa yang kamu mahu katakan berkaitan dengan diriku.”


Ulasan;

Utbah sebenarnya sudah nampak kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ,di kala dia berdialog dengan Nabi s.a.w, tetapi disebabkan beliau tidak mahu menanggung malu dihadapan kaumnya maka dia memilih untuk tidak memeluk Islam dan akhirnya beliau mati di dalam Peperangan Badar.

Begitu juga dengan apa yang berlaku pada masyarakat kita sekarang ini. Seorang ahli maksiat sebagai contohnya kaki minum arak, dia bukannya tidak tahu bahawa arak itu haram dan membawa keburukan kepada jasmani dan rohaninya, tetapi disebabkan malu kepada kawan-kawannya atau memikirkan apa yang akan diperkatakan oleh kawan-kawannya yang kaki botol itu, maka ia memilih untuk terus minum arak untuk mengelakkan dari rasa malu kepada kawan-kawannya itu. Begitu juga dengan perkara-perkara maksiat yang lain seperti kaki judi, kaki perempuan dan lain-lain lagi.

Tetapi disini ingin saya bertanya, kenapa tidak mengutamakan, apa yang Allah akan kata kepadanya? Kenapa kata-kata manusia durjana pula yang perlu diutamakan ? Di mana rasa malu kepada Allah apabila melakukan dosa dan kesalahan ? Mengapa perlu rasa malu apabila meninggalkan perkara-perkara maksiat? Apakah yang akan kita jawab apabila berhadapan dengan Allah kelak ?

Semoga kisah di atas dapat kita jadikan sebagai pengajaran buat kita, dan sama-samalah kita muhasabah diri kita supaya kita tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Kepada yang masih terlibat dengan perkara-perkara maksiat, saya menyeru dan merayu kepada anda, supaya bertaubatlah dan kembalilah ke jalan yang benar. Pintu taubat sentiasa terbuka luas, buatlah pilihan yang bijak sebelum terlambat. Nikmat tuhan manakah lagi yang engkau hendak dustakan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar