Sabtu, 16 Oktober 2010

7. Matan Hadis Serta Sanad atau Isnad

Matan Hadis Serta Sanad atau Isnad


Sesuatu hadis itu sudah pasti ada matan dan ada sanad atau isnadnya. Matan ertinya isi hadis manakala sanad atau isnad bererti sandaran atau penyandaran.

Sekiranya Rasulullah s.a.w bersabda akan sesuatu perkara, maka sabdanya itu sudah pasti didengar oleh satu orang, dua orang atau beberapa orang sahabat. Yang mendengar itu pula menyampaikan kepada orang yang belum mendengarnya, baik ia sesama sahabat atau yang bukan sahabat (orang yang hidup di zaman sesudah Nabi wafat) lazimnya dikenali sebagai Tabi’I dan sekiranya dijamakkan pula di panggil Tabi’in. Demikianlah maka pada akhirnya apa yang disabdakan oleh baginda sampai kepada Mudawwin atau Mukharij, seperti imam-imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasa’I, Tirmidzi dan sebagainya.

Sekarang mari kita bincangkan bagaimanakan Mudawwin itu ketika menceritakan sesuatu hadis. Misalnya, Imam Bukhari dan Imam Muslim, kedua-dua orang pencatat hadis ini yang kitab-kitab mereka dianggap oleh seluruh ulama Islam sebagai kitab hadis yang sama sekali tidak berisikan kecuali dengan hadis sahih semata-mata. Maka dari itu kitab kedua-dua imam ini dikatakan sebagai Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak pernah bertemu dengan Baginda Nabi s.a.w dan dipisahkan dengan jarak waktu yang jauh dengan zaman Rasulullah s.a.w. Oleh yang demikian, kedua-dua imam ahli hadis ini tidak dapat menerima secara langsung dari Nabi s.a.w, tetapi dengan melalui perantaraan beberapa orang.

Sebagai contohnya ;

Imam Bukhari menerima hadis itu dari G, G pula menerima dari F, F dari E, E dari D, D dari C, C dari B, B dari A dan barulah A ini menerima secara langsung dari Rasulullah s.a.w. Oleh itu dari Nabi s.a.w hingga ke Imam Bukhari ada tujuh orang.
Imam Muslim menerima hadis dari I dan begitulah seterusnya sampai B dan B pula menerima dari A dan A itulah yang menerima secara langsung dari Nabi s.a.w. Di sini antara Nabi dengan Imam Muslim ada sembilan orang.

Setiap orang dari G atau I sampai A ini masing-masing disebut Rawi atau Perawi yakni orang yang meriwayatkan atau orang yang menceritakan Hadis. Beberapa orang rawi yang berjumlah keseluruhannya tujuh atau sembilan atau kadang-kadang kurang atau lebih dari jumlah itu, maka rangkaian rawi-rawi tersebut dikatakan isnad dan boleh juga dikatakan sanad.

Maksudnya bahawa Imam Bukhari menyandarkan apa yang diterimanya itu G dan G menyandarkan kepada F, demikianlah seterusnya sampai kepada yang terakhir sekali. Adapun Imam Muslim menyandarkannya kepada I dan I kepada H dan begitulah seterusnya sampai yang terakhir seklai. Itulah sebabnya, maka ianya disebut sanad atau sandaran, juga isnad atau penyandaran.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar