Kamis, 26 Agustus 2010

Ramadhan Al Mubarak





Asalamualaikum wbt


Terlebih dahulu marilah kita merafakkan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya maka kita masih dapat berada di dalam bulan yang penuh berkah ini dan menjalani ibadah puasa sehingga ke hari ini. Kebanyakkan daripada kita kadang kala tidak menghargai bahawa untuk kita berada di dalam bulan Ramadhan ini merupakan salah satu nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita.


Adakah kita memerhatikan bahawa berapa ramai orang yang tidak diberikan kesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan pada kali ini ? Adakah kita memerhatikan bahawa berapa ramai orang pula yang hanya diberikan kesempatan untuk berada hanya di awal Ramadhan, ada yang hanya sampai dipertengahan Ramadhan dan ada yang sampai hingga ke akhir Ramadhan. Apa pun kita kena bersyukur dengan ketetapan Allah s.w.t.


Cumanya saya berpesan kepada diri saya dan para pembaca sekelian, apabila kita sudah menyedari bahawa untuk kita berada di dalam bulan Ramadhan ini merupakan satu anugerah Allah yang tidak ternilai, maka marilah kita sama-sama memanfaatkan dengan memperbanyakankkan amalan , bermuhasabah diri di samping memohon keampunan di atas segala dosa-dosa kita yang telah lalu.


Sebagaimana Hadis Nabi s.a.w berkaitan dengan Ramadhan dimana pada awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan diakhirnya dibebaskan dari api neraka. Maka dengan sisa Ramadhan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi marilah kita berusaha untuk meningkatkan amalan kita agar dengan yang demikian Ramadhan kita pada kali ini lebih berkualiti berbanding Ramadhan kita di tahun-tahun yang lepas.


Saya berdoa mudah-mudahan kita semua dapat bertemu dengan malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan mudah-mudahan tarbiah Ramadhan pada kali dapat menjadikan kita hamba yang lebih bertaqwa dan lebih berkualiti di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kita sebagai seorang Khalifah. Amin




Rabu, 25 Agustus 2010

Makluman mengenai abang saya

Asalamualaikum wbt

Sebagai makluman kepada para pembaca sekelian, abang saya masih belum sedar dan masih bergantung kepada "life support machine" walaubagaimanapun keadaan beliau kini stabil. Alhamdulillah. Insyallah kita doakan yang terbaik untuknya.

Tempoh hari saya, abang sulung dan adik saya bertolak lebih kurang jam 9.30 pm dari rumah saudara kakak ipar dan tiba di Bukit Mertajam jam 2.30 am. Hajat nak terus ke Hospital tapi dinasihatkan untuk pulang kerumah dahulu memandangkan pada waktu tersebut memang tidak dibenarkan melawat. Jadi pada keesokkan harinya kami seharian berada di hospital sehingga waktu berbuka dan berbuka bersama-sama dengan isteri dan anak-anak abang saya.
Sempat juga bacakan surah Yassin di dalam wad icu dan esoknya pada hari ahad sekali lagi kami menziarahi abang pada waktu tengahari dan mula bertolak balik ke Kuala Lumpur pada jam 7.00 pm dan tiba lebih kurang pada jam 11.00 pm.

Saya juga bercadang untuk pulang bersama-sama dengan keluarga saya menziarahi abang sekali lagi pada hari Jumaat malam ini kerana dapat pulang llebih ama sikit sempena cuti merdeka dan insyallah akan pulang semula pada hari selasa depan.

Saya sekali lagi memohon kemaafan kepada semua pembaca yang mengujungi blog saya ,kerana tidak dapat membuat posting artikel seperti biasa , mohon diberikan sedikit ruang waktu kepada saya dan insyallah saya akan cuba membuat posting artikel seperti biasa dan saya sekali lagi saya memohon jasabaik para pembaca sekelian untuk sama-sama doakan yang terbaik untuk abang saya, semoga jasabaik anda akan mendapat ganjaran disisi Allah.

Sekian, wasalam.

Perawi 48 - Amir Bin Saad

Amir Bin Saad, ialah Amir bin Saad bin Abi Waqas Al-Quraisyi, Al-Zuhri Al-Madani dari kalangan tabi’in. Beliau menjadi sebutan di kalangan orang-orang tertentu seperti bapanya, Saidina Uthman bin Affan, Ibnu Umar, Usamah, Abu Said, Abu Hurairah, Saidatina Aisyah dan lain-lain. Anaknya iaitu Daud dan Said bin Al-Musyyib telah meriwayatkan hadis dari beliau dan mereka amat mempercayainya. Beliau meninggal dunia di Madinah pada tahun 103 Hijrah.

Jumat, 20 Agustus 2010

Pulang Ke Kampung Untuk Ziarah Abang

Asalamualaikum wbt

Esok saya terpaksa pulang kekampung untuk menziarahi abang saya yang sedang sakit yang kini berada di Hospital Besar Pulau Pinang dan insyallah sekiranya tiada apa-apa halangan saya akan pulang semula pada hari ahad depan. Sehubungan dengan itu saya tidak dapat membuat sebarang posting artikel di dalam tempoh tersebut.

Sebagai makluman saya juga tidak pasti abang saya menderita penyakit apa, cuma dari apa yang dimaklumkan kepada saya ianya bermula dengan bengkak pada bahagian leher dan bernanah dan yang terbaru terdapat jangkitan kuman pada hatinya yang menyebabkan beliau mendapat penyakit kuning. Keadaan menjadi sedikit sukar kerana abang saya juga mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Apa-apa pun saya berdoa, semoga Allah akan memberikan kesembuhan dan memulihkan kesihatan abang saya dan memberikan kesabaran kepada keluarga beliau. Saya juga memohon jasabaik para pembaca sekelian untuk mendoakan kesembuhan kepada abang saya, semoga jasabaik anda akan mendapat ganjaran di sisi Allah.

Sekian, jazakallah.

Perawi 47 - Al-Aswad Bin Yazid

Al-Aswad Bin Yazid, ialah Al-Aswad bin Yazid bin Qis bin Abdullah An-Nakha’1 Al-Kufi dari kalangan tabi’in, merupakan orang yang soleh dan berpengetahuan agama yang mendalam dan bersama Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab. Beliau meninggal pada tahun 75 Hijrah.

Rabu, 18 Agustus 2010

Sahabat 8 - Saad bin Abi Waqas

Sahabat 8 – Sa’ad bin Abi Waqas ( Pendakwah Berprinsip )

Saad bin Abi Waqas adalah Saad Bin Malik bin Uhaib bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Beliau dilahirkan 23 tahun sebelum Hijrah dan merupakan bapa saudara nabi dari sebelah ibu. Saad termasuk dalam kumpulan yang pertama memeluk Islam dan semasa itu berumur 17 tahun. Beliau turut serta dalam perang Badar dan seluruh peperangan yang lain bersama Nabi Muhammad dan merupakan orang yang pertama memanah pada jalan Allah. Berhubung dengan ini nabi bersabda “Panah wahai Saad, ayah dan ibuku sebagai tebusan”[Hadis riwayat Tirmizi]

Saad juga merupakan seorang panglima perang yang bijaksana, beliau pernah dipilih oleh Umar al-Khattab bagi memimpin pasukan tentera Islam menghadapi tentera Parsi di Qadasiyah pada tahun ke 15 Hijrah. Perang ini dimenangi oleh umat Islam dan menjadi penentu didalam kejatuhan empayar Parsi dan kemudian beliau memimpin tentera Islam menawan ibu kota Parsi iaitu Ctesiphon.

Saad juga merupakan sahabat yang menyebarkan Islam di China bermula di Guangzho. Beliau meninggal dunia di Aqiq pada 55 Hijrah semasa berusia lebih kurang 80 tahun.

Antara sifat-sifat unggul yang ada pada Saad ialah berpegang teguh kepada prinsip ajaran Islam. Peristiwa yang dikaitkan dengan sifat unggul ini ialah sikapnya kepada ibunya yang memaksanya keluar dari Islam. Saad adalah anak kepada Hamnah binti Abu Sufyan. Beliau amat patuh dan taat kepada ibunya. Apabila ibunya mengetahui Saad memeluk Islam, ibunya sangat marah dan bersumpah tidak akan berbicara dengan Saad dan tidak akan menjamah sebarang makanan dan minuman. Ibunya berkata;”Wahai anakku, sekiranya kamu tidak meninggalkan agama baru yang kamu anuti itu, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati. Apabila aku mati penduduk Mekah akan mencela kamu sebagai pembunuh ibunya sendiri.” Saad berkata kepada ibunya;”Wahai ibuku, sekiranya ibu mempunyai 100 nyawa dan nyawa-nyawa itu keluar satu persatu dari tubuh ibu, aku tetap tidak akan meninggalkan agamaku. Apabila ibu berasa lapar, makanlah dan sekiranya ibu tidak mahu makan, tak usahlah makan.” Akhirnya ibunya mengalah dan menjamah semula makanan dan minuman.

Berhubung dengan peristiwa ini Allah s.w.t telah berfirman “Dan jika kedua ibubapa kamu memaksa kamu supaya mempersekutukan Aku dengan sesuatu tanpa pengetahuanmu, maka janganlah kamu menurutinya namun gauli mereka dengan baik di dunia. Ikutlah jalan orang-orang yang kembali kepada-Ku, hanya kepada Akulah tempat kembali dan Aku khabarkan kepadamu apa yang kamu lakukan.” (Surah Luqman ayat 15)

Begitulah ciri-ciri unggul yang terdapat pada Saad bin Abi Waqas yang berpegang teguh kepada prinsip serta tidak goyah apabila diancam.

Senin, 16 Agustus 2010

Tazkirah Ramadhan Oleh Ustaz Mohammad Kazim


Asalamualaikum wbt

Semalam 15.08.2010 para jemaah yang bersolat Terawih di Masjid Bandar Bukit Puchong amat bertuah kerana berpeluang untuk solat dan mendengar tazkirah yang di sampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Mohammad Kazim Elias al-Hafiz daripada Ipoh, Perak.

Slot tazkirah yang diperuntukkan kepada beliau adalah selepas solat witir tetapi jemaah tetap tidak berganjak malah semakin ramai. Tazkirah yang disampaikan padat dengan isi dan disulami dengan contoh-contoh yang kadangkala mencuit hati para jemaah.

Apapun kepuasan jelas terpancar pada wajah setiap jemaah yang selama ini hanya mendengar suara beliau dari cd tetapi semalam para jemaah dapat menatap wajah malah bersalaman dengan beliau.

Mudah-mudahan akan ada lagi usaha untuk membawa beliau ke Masjid Bandar Bukit Puchong.

Sekian, wasalam.