Rabu, 20 Oktober 2010

7.1 Apakah Matan Hadis ?

Apakah Matan Hadis ?


Matan hadis itu bermaksud, isi apa yang disabdakan, isi yang diperbuat atau isi dari taqrir Rasulullah s.a.w.

Contohnya ;

Imam Bukhari meriwayatkan hadis dari G, G dari F dan selanjutnya sampai B dari A, lalu A berkata :

Rasulullah s.a.w bersabda ;
“ Barangsiapa yang berdusta atas namaku ( Nabi Muhammad ) dengan sengaja ( yakni mereka-reka hadis sendiri dan dikatakan bahawa itu adalah sabda Baginda ), maka hendaklah menempati tempat duduknya di dalam neraka.”

Oleh itu sabda yang keluar daripada Nabi seperti di atas disebut matan hadis atau isi hadis.

Jikalau berupa perbuatan, misalnya ialah ;
A berkata : “ Nabi s.a.w itu begini….begini.”

Jikalau berupa taqrir pula, misalnya ;
A berkata : “ Saya dan si anu berbuat demikian, sedang Nabi mengetahuinya dan Baginda s.a.w mendiamkan sahaja.”

Hadis Nabi s.a.w itu dapat juga dinamakan sunnah Rasulullah s.a.w. Jadi Takrif atau pengertiannya sama sahaja, iaitu qaulun Nabi s.a.w aw fi’luhuu aw taqriiruhuu ( sabda Nabi s.a.w atau perbuatannya ataupun taqrirnya.

Senin, 18 Oktober 2010

ZAINAB AL-GHAZALI


ZAINAB AL-GHAZALI

Zainab al-Ghazali adalah seorang wanita yang memperjuangkan hak-hak Islam. Beliau dilahirkan pada 1917 di Buhaira, Mesir. Beliau adalah dari keturunan Khalifah Umar al-Khattab dan Hasan bin Ali bin Abi Talib. Bapanya seorang guru agama dan peniaga kapas serta lulusan Universiti al-Azhar.

Zainab adalah seorang yang berjiwa kental dan berani di dalam memperjuangkan agama Islam. Semasa beliau masih remaja iaitu pada tahun 1936, beliau telah menyertai Kesatuan Wanita Mesir. Namun beliau telah keluar daripada kesatuan itu dan menubuhkan Jamaah Wanita Muslimah. Penubuhan Jamaah Wanita Muslimah adalah bagi menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam.

Pada tahun 1928, Hasan al-Banna bertemu dengan Zainab untuk menjadi penggerak kepada sayap wanita bagi pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Imam Hasan al-Banna mahu supaya Jamaah Wanita Muslimah bergabung dengan Ikhwanul Muslimin. Namun Zainab menolak pelawaan itu tetapi bersetuju untuk memberikan kerjasama apabila diperlukan.

Selepas daripada itu Zainab telah berbaiah dengan Imam Hasan al-Banna pada tahun 1948 dan pada tahun 1949, Zainab menyokong dan memperjuangkan agama Islam bersama-sama dengan Imam Hasan al-Banna. Pada 12hb Februari 1949, Imam Hasan al-Banna telah syahid kerana mati ditembak.

Peristiwa kematian Imam Hasan al-Banna tidak memetahkan semangat Zainab didalam memperjuangkan daulah Islam. Bersama-sama dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin yang baru iaitu Hasan al-Hudhaibi, Zainab menunaikan baiah yang pernah dibuat semasa Imam Hasan al-Banna masih hidup. Perjuangan beliau bersama-sama dengan Ikhwanul Muslimin telah ditentang oleh pemerintah pada masa tersebut iaitu Jamal Abdul Naseer. Kisah penderitaan hidupnya semasa pemerintahan Jamal Abdul Naseer ada tertulis didalam kitab Hari-Hari Dalam Hidupku.

Zainab telah ditangkap dan dipenjarakan pada tahun 1965 apabila kerajaan Mesir berasa curiga pada pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Jamaah Wanita Muslimah telah dibubarkan dan pada tahun 1966 Zainab telah dibicarakan dan dihukum penjara seumur hidup dengan melakukan kerja-kerja berat.

Pada tahun 1967, kerajaan Mesir telah tewas kepada Israel dan sekutunya di dalam peperangan tiga serangkai. Pada tahun 1971, hukuman ke atas Zainab telah dibatalkan dan beliau dibebaskan dari penjara oleh pemerintah yang baru iaitu Anwar Sadat apabila Jamal Abdul Naseer meninggal dunia.

Zainab merupakan seorang yang mempunyai bakat di dalam bidang penulisan. Beliau banyak menulis di dalam majalah al-Da’wa dan merupakan seorang editor bagi sebuah ruangan berkaitan pembangunan rumah tangga Muslim di dalam majalah tersebut.

Di dalam satu temuramah pada tahun 1981, beliau telah berkata; “Islam menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya iaitu kebebasan, hak dalam ekonomi, politik, sosial, hak awam dan hak persendirian. Islam memberikan hak-hak wanita dalam keluarga lebih dari persatuan atau agama lain. Wanita boleh berkata perihal kebebasan wanita dalam masyarakat kritian, yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi di dalam Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata perihal kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam memberikan mereka semua hak-hak mereka”.

Antara karya beliau yang terkenal adalah sebuah buku yang bertajuk Return of The Pharaoh. Buku tersebut telah diharamkan oleh kerajaan Mesir kerana isi kandungannya ditujukan khas kepada presiden Mesir pada masa tersebut.

Zainab al-Ghazali telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Rabu, 3 Ogos 2005 semasa umurnya 88 tahun. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Sabtu, 16 Oktober 2010

7. Matan Hadis Serta Sanad atau Isnad

Matan Hadis Serta Sanad atau Isnad


Sesuatu hadis itu sudah pasti ada matan dan ada sanad atau isnadnya. Matan ertinya isi hadis manakala sanad atau isnad bererti sandaran atau penyandaran.

Sekiranya Rasulullah s.a.w bersabda akan sesuatu perkara, maka sabdanya itu sudah pasti didengar oleh satu orang, dua orang atau beberapa orang sahabat. Yang mendengar itu pula menyampaikan kepada orang yang belum mendengarnya, baik ia sesama sahabat atau yang bukan sahabat (orang yang hidup di zaman sesudah Nabi wafat) lazimnya dikenali sebagai Tabi’I dan sekiranya dijamakkan pula di panggil Tabi’in. Demikianlah maka pada akhirnya apa yang disabdakan oleh baginda sampai kepada Mudawwin atau Mukharij, seperti imam-imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasa’I, Tirmidzi dan sebagainya.

Sekarang mari kita bincangkan bagaimanakan Mudawwin itu ketika menceritakan sesuatu hadis. Misalnya, Imam Bukhari dan Imam Muslim, kedua-dua orang pencatat hadis ini yang kitab-kitab mereka dianggap oleh seluruh ulama Islam sebagai kitab hadis yang sama sekali tidak berisikan kecuali dengan hadis sahih semata-mata. Maka dari itu kitab kedua-dua imam ini dikatakan sebagai Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.

Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak pernah bertemu dengan Baginda Nabi s.a.w dan dipisahkan dengan jarak waktu yang jauh dengan zaman Rasulullah s.a.w. Oleh yang demikian, kedua-dua imam ahli hadis ini tidak dapat menerima secara langsung dari Nabi s.a.w, tetapi dengan melalui perantaraan beberapa orang.

Sebagai contohnya ;

Imam Bukhari menerima hadis itu dari G, G pula menerima dari F, F dari E, E dari D, D dari C, C dari B, B dari A dan barulah A ini menerima secara langsung dari Rasulullah s.a.w. Oleh itu dari Nabi s.a.w hingga ke Imam Bukhari ada tujuh orang.
Imam Muslim menerima hadis dari I dan begitulah seterusnya sampai B dan B pula menerima dari A dan A itulah yang menerima secara langsung dari Nabi s.a.w. Di sini antara Nabi dengan Imam Muslim ada sembilan orang.

Setiap orang dari G atau I sampai A ini masing-masing disebut Rawi atau Perawi yakni orang yang meriwayatkan atau orang yang menceritakan Hadis. Beberapa orang rawi yang berjumlah keseluruhannya tujuh atau sembilan atau kadang-kadang kurang atau lebih dari jumlah itu, maka rangkaian rawi-rawi tersebut dikatakan isnad dan boleh juga dikatakan sanad.

Maksudnya bahawa Imam Bukhari menyandarkan apa yang diterimanya itu G dan G menyandarkan kepada F, demikianlah seterusnya sampai kepada yang terakhir sekali. Adapun Imam Muslim menyandarkannya kepada I dan I kepada H dan begitulah seterusnya sampai yang terakhir seklai. Itulah sebabnya, maka ianya disebut sanad atau sandaran, juga isnad atau penyandaran.

Kamis, 14 Oktober 2010

Utbah Bin Rabiah

UTBAH BIN RABIAH

Utbah Bin Rabiah merupakan salah seorang tokoh di dalam kaum Quraisy yang menentang dakwah yang dibawa oleh Nabi s.a.w dan para pengikutnya. Beliau juga mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Nabi s.a.w.

Sudah sekian lama Utbah bin Rabiah menyimpan niat supaya Nabi s.a.w berhenti dari berdakwah. Pada suatu hari, Nabi Muhammad s.a.w sedang bersendirian di Masjidil Haram, kesempatan ini telah digunakan oleh Utbah untuk memujuk Nabi bagi menghentikan dakwah baginda. Utbah telah pergi menemui Nabi s.a.w seraya berkata ; “Wahai saudaraku, engkau adalah orang yang terpandang dan berasal dari keluarga yang dihormati, akan tetapi engkau telah membawa masalah besar di dalam kaum mu dengan memecahbelahkan perpaduan mereka.

Dengar dengan teliti, aku mahu mengajukan usul dan tawaran kepada mu. Fikirkan dengan bersungguh-sungguh dan aku harap engkau mempersetujuinya. Sekiranya engkau tidak mempersetujui kesemuanya mungkin sebahagian daripadanya juga sudah cukup.”

Nabi pun menjawab, “Baiklah, sampaikan apakah tawaran mu itu ?”

Utbah pun menyampaikan usul dan tawarannya, “Wahai saudaraku ! sekiranya engkau melakukan dakwah mu ini kerana mahu mendapatkan harta kekayaan, kami sanggup mengumpulkan sebahagian daripada harta kekayaan kami dan akan kami serahkan kepadamu sehingga engkau menjadi antara orang yang terkaya di antara kami.

Sekiranya engkau mengidamkan kehormatan dan pangkat daripada dakwahmu ini, kami mampu menjadikan engkau sebagai pemimpin kami dan menurut segala keputusanmu. Ataupun engkau mahu menjadi raja kami? Kami juga boleh mengangkatmu menjadi raja kami?

Sekiranya apa yang membuatkan engkau melakukan dakwah ini adalah daripada penguasaan jin yang berada di dalam tubuhmu dan engkau tidak dapat melepaskan diri daripada penguasaan jin tersebut, kami sanggup mencari dukun atau tabib yang mampu menyembuhkanmu. Berapa tinggi pun biaya perubatannya kami sanggup menanggungnya.”

Nabi Muhammad s.a.w pun menjawab “Dengarkan pula kata-kataku, wahai saudaraku !”

Utbah pun berkata, “Baiklah, aku mahu mendengarkannya!”

Nabi s.a.w pun membacakan ayat Al-Quran, iaitu surah Fussilat dari awal dan apabila tiba di ayat yang ke 13 yang bermaksud, “ Sekiranya mereka berpaling katakan, ‘Aku memperingatkan kamu dengan petir seperti petir yang menimpa kaum A’ad dan kaum Tsamud.’ “ Wajah Utbah menjadi pucat kerana takut dan meminta baginda menghentikan bacaannya.

Tanpa menghiraukan ketakutan yang melanda Utbah, Nabi s.a.w terus membacakan surah Fussilat sehingga ayat 37, Utbah menjadi semakin takut dan akhirnya pergi meninggalkan Nabi s.aw dengan wajah yang pucat lesi.

Sekembalinya Utbah kepada kaumnya, para pemimpin Quraisy kehairanan dan tertanya-tanya, apakah yang terjadi kepada Utbah.

Utbah menjelaskan kepada mereka, “Aku mendengarkalimat-kalimat yang belum pernah aku dengar selama ini, bukan syair dan bukan mentera dukun. Percayalah kepadaku dan biarkanlah sahaja Muhammad itu. Lebih baik kita menghindarinya dan aku yakin kata-katanya itu kelak akan menjadi berita yang besar. Sekiranya nanti dia memperoleh kemenangan, kerajaannya itu bererti kerajaan kita semua, kerana kita adalah kaum Quraisy. Semoga kita berbahagia dibawah pimpinannya.”

Mendengar kata-kata Utbah itu, para pembesar Quraisy berteriak, “Kamu terkena sihir Muhammad, wahai Utbah!”

Utbah menjawab, “Terserah kepada apa yang kamu mahu katakan berkaitan dengan diriku.”


Ulasan;

Utbah sebenarnya sudah nampak kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ,di kala dia berdialog dengan Nabi s.a.w, tetapi disebabkan beliau tidak mahu menanggung malu dihadapan kaumnya maka dia memilih untuk tidak memeluk Islam dan akhirnya beliau mati di dalam Peperangan Badar.

Begitu juga dengan apa yang berlaku pada masyarakat kita sekarang ini. Seorang ahli maksiat sebagai contohnya kaki minum arak, dia bukannya tidak tahu bahawa arak itu haram dan membawa keburukan kepada jasmani dan rohaninya, tetapi disebabkan malu kepada kawan-kawannya atau memikirkan apa yang akan diperkatakan oleh kawan-kawannya yang kaki botol itu, maka ia memilih untuk terus minum arak untuk mengelakkan dari rasa malu kepada kawan-kawannya itu. Begitu juga dengan perkara-perkara maksiat yang lain seperti kaki judi, kaki perempuan dan lain-lain lagi.

Tetapi disini ingin saya bertanya, kenapa tidak mengutamakan, apa yang Allah akan kata kepadanya? Kenapa kata-kata manusia durjana pula yang perlu diutamakan ? Di mana rasa malu kepada Allah apabila melakukan dosa dan kesalahan ? Mengapa perlu rasa malu apabila meninggalkan perkara-perkara maksiat? Apakah yang akan kita jawab apabila berhadapan dengan Allah kelak ?

Semoga kisah di atas dapat kita jadikan sebagai pengajaran buat kita, dan sama-samalah kita muhasabah diri kita supaya kita tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Kepada yang masih terlibat dengan perkara-perkara maksiat, saya menyeru dan merayu kepada anda, supaya bertaubatlah dan kembalilah ke jalan yang benar. Pintu taubat sentiasa terbuka luas, buatlah pilihan yang bijak sebelum terlambat. Nikmat tuhan manakah lagi yang engkau hendak dustakan.

6. Perbezaan Antara Hadis Dan Asar

Perbezaan Antara Hadis Dan Asar

Hadis itu adalah sabda, perbuatan atau taqrir Nabi Muhammad s.a.w, maka yang di namakan asar ialah ucapan para sahabat. Selain dari makna perkataan para sahabat, asar itu juga bermakna bekas menurut erti aslinya.

Adakalanya perkataan sahabat itu juga disebut riwayat yang erti aslinya cerita seperti ucapan Saidina Umar bin Alkhaththab, Saidina Ali bin Abu Talib, Saidina Khalid bin Alwalid dan lain-lain radhiallahu anhum.

Selasa, 12 Oktober 2010

OKTOBER 2010

Asalamualaikum wbt

Alhamdulillah pada bulan oktober ini genaplah umur anak saya yang kecil sekali itu berumur 2 tahun. Kadang-kadang letih juga nak melayan keletahnya yang berbagai ragam terutama sekali apabila saya sedang membuat kerja di hadapan komputer, ada saja permintaannya nak minta saya buka utube sebab nak tengok video binatang. Sememangnya semua anak-anak saya sukakan binatang. Terbaru yang saya tidak boleh lupakan ialah apabila menghadiri kenduri di rumah jiran saya, dimana kami sekeluarga hanya berjalan kaki sahaja sebab jaraknya yang dekat. Semasa di dalam perjalanan pulang ada seekor anjing yang mengekori kami, apa lagi kakak-kakak dia semuanya kelam kabut berlari nak menyorok di belakang saya sebab takutkan kepada anjing tersebut termasuk juga dengan si kecil tu, dia pun kelam kabut juga tetapi bukannya berlari menyorok di belakang saya malah dia berlari ke arah anjing tersebut akhirnya saya pula yang jadi kelam kabut berlari tangkap dia, begitulah serba sedikit mengenai keletah anak kecil saya yang tidak boleh dijangkakan ragamnya.

Untuk pengetahuan para pembaca semua, pada bulan ini aktiviti saya agak penuh jadi saya memohon maaf sebab posting artikel di dalam blog ini agak kurang berbanding sebelum-sebelum ini. Terlalu banyak perkara yang saya perlu selesaikan dan hand over sebagai persiapan awal. Sebagai manusia kita hanya merancang dan Allah yang menentukan, kadang-kadang kita berharap kepada sesuatu yang kita rasa baik untuk kita tetapi Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Apa pun janganlah kita buruk sangka dengan Allah seandainya apa-apa yang kita inginkan tidak tercapai. Insyallah, jika diizinkan-Nya, akan saya kongsikan bersama dengan para pembaca sekalian.