Selasa, 05 Oktober 2010

Ilmuan Islam - Abu A'la al-Maududi

Abu A’la al-Maududi

Nama sebenar beliau adalah Abu A’la al- Maududi. Beliau dilahirkan pada 25hb September 1903 di Aurangabad yang terletak di wilayah Hyderabad. Beliau adalah daripada keturunan perawi hadis yang digelar Maudud. Sejak dari kecil lagi beliau telah bergiat aktif dalam gerakan Islam di India. Malah beliau sendiri datang ke India bersama rombongan tentera Muhammad al-Qasim ath-Thaqafi.

Abu A’la al-Maududi telah mendapat pendidikan awal di rumahnya. Ayahnya bernama Ahmad Hasan yang mengajar anak-anaknya dirumah. Mereka di ajar membaca dan menulis. Antara bahasa yang diajar oleh bapanya adalah bahasa Arab, Parsi dan Urdu. Abu A’la al-Maududi fasih berbahasa Arab pada usia muda. Pada usia 14 tahun, beliau berjaya menterjemahkan al-Mirat al-Jadidah yang ditulis oleh Qasim Amin daripada bahasa Arab ke bahasa Urdu.

Semasa beliau berusia 11 tahun, beliau telah belajat secara formal di sekolah yang terdapat di Aurangabad. Beliau mula belajar mata pelajaran sains sejak sekolah. Lima tahun kemudian beliau terpaksa berhenti sekolah kerana bapanya meninggal dunia. Pada usia 16 tahun, beliau lebih berminat menceburkan diri dalam politik. Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan esei. Penulisan eseinya itu menjurus kepada memuji kehebatan Mahatma Ghandi dan Madan Muhan Malaviya. Kemudia pada tahun 1918 beliau berhijrah ke Binjur dan mula bekerja sebagai wartawan.

Abu A’la al-Maududi menceburkan diri dalam bidang kewartawanan. Beliau menjadi wartawan dan editor akhbar Jabal Nur, Delhi, Hyderabad. Pada tahun 1938 beliau berhijrah ke Punjab. Tujuan sebenar beliau berpindah ke Punjab adalah mahu memimpin Dar al-Islam dan membangunkan komuniti Islam di India. Namun minatnya yang mendalam dalam bidang politik menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan aktivitinya di Dar al-Islam.

Pada tahun 1939, beliau bergiat aktif dalam politik di Lahore. Kesempatan beliau berada di Lahore digunakan dengan mengajar Pengajian Islam di Sekolah Tinggi Islamiyah. Pada Ogos 1941 beliau bersama-sama 75 orang pengikutnya telah menubuhkan al-Jama’ah al-Islamiyyah. Bermula dari situ beliau lebih aktif dengan politik apabila beliau dilantik menjadi ketua pemimpin al-Jama’ah al-Islamiyyah.

Penglibatannya di dalam bidang politik banyak membantu dirinya mengembangkan lagi bakat penulisannya. Karya-karyanya banyak mengutarakan pandangannya pada soal Islam, masyarakat, ekonomi dan politik. Beliau banyak mengarang buku dalam lapangan pemikiran Islam.

Pemikirannya hampir sama dengan pemikiran imam Hasan al-Banna dan Sayyid Qutb. Antara karyanya yang terkenal adalah ar-Riba wal Hijab, Dauru Syabab al-Muslim, al-Usus al-Islami dan al-Mustolahat al-Arba’ah. Karyanya yang bertajuk Tafhim al-Quran adalah mengenai terjemahan dan ulasan ayat-ayat al-Quran. Karya itu ditulis dalam bahasa Urdu dan menjadi sumber bacaan pada kalangan sarjana Islam.

Abu A’la al-Maududi banyak memainkan peranan dalam pembentukan al-Jama’ah al-Islamiyyah. Beliau sangat petah berhujah. Bahkan pihak musuh Islam terpaksa akur dengan pendiriannya yang tegas. Beliau pernah beberapa kali dipenjarakan. Pada tahun 1953 beliau pernah dijatuhkan hukuman mati kerana dituduh menghasut. Peristiwa itu menggegarkan negara, namun pada tahun 1955 mahkamah agung menetapkan supaya tuduhan itu dibatalkan apabila mendapat campur tangan daripada para ulama.

Abu A’la al-Maududi akhirnya meletakkan jawatannya sebagai ketua pemimpin al’Jama’ah al-Islamiyyah. Beliau memegang jawatan itu dari tahun 1941 hingga 1972. Jawatan tersebut kemudiannya diserahkan kepada Tufail Muhammad pada tahun 1972. Sejak itu, Abu A’la al-Maududi banyak menghabiskan masanya dengan berkarya. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 22hb September 1979. Semoga Allah merahmati beliau.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar