Senin, 18 Oktober 2010

ZAINAB AL-GHAZALI


ZAINAB AL-GHAZALI

Zainab al-Ghazali adalah seorang wanita yang memperjuangkan hak-hak Islam. Beliau dilahirkan pada 1917 di Buhaira, Mesir. Beliau adalah dari keturunan Khalifah Umar al-Khattab dan Hasan bin Ali bin Abi Talib. Bapanya seorang guru agama dan peniaga kapas serta lulusan Universiti al-Azhar.

Zainab adalah seorang yang berjiwa kental dan berani di dalam memperjuangkan agama Islam. Semasa beliau masih remaja iaitu pada tahun 1936, beliau telah menyertai Kesatuan Wanita Mesir. Namun beliau telah keluar daripada kesatuan itu dan menubuhkan Jamaah Wanita Muslimah. Penubuhan Jamaah Wanita Muslimah adalah bagi menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam.

Pada tahun 1928, Hasan al-Banna bertemu dengan Zainab untuk menjadi penggerak kepada sayap wanita bagi pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Imam Hasan al-Banna mahu supaya Jamaah Wanita Muslimah bergabung dengan Ikhwanul Muslimin. Namun Zainab menolak pelawaan itu tetapi bersetuju untuk memberikan kerjasama apabila diperlukan.

Selepas daripada itu Zainab telah berbaiah dengan Imam Hasan al-Banna pada tahun 1948 dan pada tahun 1949, Zainab menyokong dan memperjuangkan agama Islam bersama-sama dengan Imam Hasan al-Banna. Pada 12hb Februari 1949, Imam Hasan al-Banna telah syahid kerana mati ditembak.

Peristiwa kematian Imam Hasan al-Banna tidak memetahkan semangat Zainab didalam memperjuangkan daulah Islam. Bersama-sama dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin yang baru iaitu Hasan al-Hudhaibi, Zainab menunaikan baiah yang pernah dibuat semasa Imam Hasan al-Banna masih hidup. Perjuangan beliau bersama-sama dengan Ikhwanul Muslimin telah ditentang oleh pemerintah pada masa tersebut iaitu Jamal Abdul Naseer. Kisah penderitaan hidupnya semasa pemerintahan Jamal Abdul Naseer ada tertulis didalam kitab Hari-Hari Dalam Hidupku.

Zainab telah ditangkap dan dipenjarakan pada tahun 1965 apabila kerajaan Mesir berasa curiga pada pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Jamaah Wanita Muslimah telah dibubarkan dan pada tahun 1966 Zainab telah dibicarakan dan dihukum penjara seumur hidup dengan melakukan kerja-kerja berat.

Pada tahun 1967, kerajaan Mesir telah tewas kepada Israel dan sekutunya di dalam peperangan tiga serangkai. Pada tahun 1971, hukuman ke atas Zainab telah dibatalkan dan beliau dibebaskan dari penjara oleh pemerintah yang baru iaitu Anwar Sadat apabila Jamal Abdul Naseer meninggal dunia.

Zainab merupakan seorang yang mempunyai bakat di dalam bidang penulisan. Beliau banyak menulis di dalam majalah al-Da’wa dan merupakan seorang editor bagi sebuah ruangan berkaitan pembangunan rumah tangga Muslim di dalam majalah tersebut.

Di dalam satu temuramah pada tahun 1981, beliau telah berkata; “Islam menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya iaitu kebebasan, hak dalam ekonomi, politik, sosial, hak awam dan hak persendirian. Islam memberikan hak-hak wanita dalam keluarga lebih dari persatuan atau agama lain. Wanita boleh berkata perihal kebebasan wanita dalam masyarakat kritian, yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi di dalam Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata perihal kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam memberikan mereka semua hak-hak mereka”.

Antara karya beliau yang terkenal adalah sebuah buku yang bertajuk Return of The Pharaoh. Buku tersebut telah diharamkan oleh kerajaan Mesir kerana isi kandungannya ditujukan khas kepada presiden Mesir pada masa tersebut.

Zainab al-Ghazali telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Rabu, 3 Ogos 2005 semasa umurnya 88 tahun. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar