11. Cara Menerima Hadis, Menyampaikan Dan Sifatnya :
Para ahli Hadis yang meriwayatkan Hadis itu menggunakan cara yang berlainan untuk menerima serta meriwayatkan Hadis tersebut. Sebagai contohnya adalah seperti berikut ;
a. Mendengar daripada guru yang meriwayatkan Hadis, maksudnya ialah murid mendengarkan guru ketika membacakan sesuatu Hadis, lalu dihafal atau ditulis, kemudian dibacakan kepada gurunya tersebut.
b. Seseorang membacakan sebuah atau beberapa Hadis lalu ahli Hadis itu membenarkan yakni tidak menyalahkannya.
c. Dengan ijazah yakni seorang ahli Hadis berkata kepada yang lain, misalnya:”Hadis yang ku bacakan atau yang ku tulis itu anda boleh meriwayatkan daripada ku. Aku menerima Hadis itu dari A, A dari B, B dari C” dan seterusnya hingga sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w.
d. Seorang ahli Hadis menuliskan Hadis dalam sebuah kitab, kemuadia ia berkata kepada orang yang dipercayai olehnya :”Hadis-hadis yang ada dalam kitab itu, boleh anda riwayatkan daripadaku”
Empat kaedah di atas adalah cara yang tersohor di dalam menerima Hadis serta meriwayatkannya kepada orang lain. Adapun kata-kata yang lazim digunakan untuk meriwayatkan Hadis itupun berbeza-beza, umpamanya ;
a. Dengan kata Haddatsanaa “Umaru, ertinya; “Umar memberitahukan kepada kami”,atau; Akhbaranii Sahlun, ertinya;”Sahal mengkhabarkan kepada ku”
b. Dengan kata : Sami’tu atau Sami’naa, ertinya : “Aku mendengar”, atau : “Kami mendengar”, lalu dilanjutkan : “Aliyan yaquulu”, ertinya : “Ali berkata”.
c. Dengan kata-kata : Rawainaahu’an Saalimin, ertinya ; “Kami meriwayatkan Hadis itu daripada Salim”. Lalu diteruskan bahawa Salim dari A, A dari B, sehingga akhirnya Rasulullah s.a.w.
d. Atau dengan kata-kata lain yang menunjukkan bahawa rawi yakni yang meriwayatkan itu menerima Hadis yang dimaksudkan olehnya itu secara langsung dari orang yang ada di atasnya, misalnya : “Diucapkan oleh ‘Amir kepada saya’, dikhabarkan oleh ‘Usamah kepada saya’, “Dikatakan oleh Ibnu Abbas kepada saya”, “Diceritakan oleh “Aisyah kepada saya”, “Di bacakan oleh Zainab kepada saya” dan lain-lain lagi.
Perubahan kata-kata itu besar pengaruhnya terhadap perubahan tingkatan atau darjat sesuatu Hadis yang diriwayatkan. Oleh kerana itu rawi sesuatu Hadis wajiblah memiliki syarat-syarat yang diperlukan untuk dapatkan Hadis yang disampaikan itu berdarjat tinggi. Perihal sifat meriwayatkan sesuatu Hadis itu ada dua sifat, iaitu ;
a. Dengan ucapan sebagaimana yang didengarnya sendiri oleh rawi itu dari Nabi s.a.w tanpa mengubah, menambah atau menguranginya.
b. Dengan maksud dan ertinya saja, sedang lafaz dan ucapannya disusun sendiri oleh rawi atau orang yang meriwayatkan Hadis itu.
Ada juga rawi yang menceritakan perbuatan Rasulullah s.a.w ataupun taqrirnya terhadap perbuatan orang lain dengan lafaz atau ucapannya sendiri pula.
Sifat meriwayatkan Hadis sebagaimana yang tercantum di bahagian ;
a. Itu dinamakan Hadis menurut riwayat yakni dengan keaslian yang disabdakan oleh Nabi s.a.w., sedang yang tercantum dalam bahagian ,
b. Itu dinamakan Hadis menurut makna, yakni makna dari sabda Nabi s.a.w.
Oleh sebab itu seringkali kita menemui beberapa Hadis yang berlainan lafaznya antara yang diriwayatkan oleh A dengan yang diriwayatkan oleh B,C, dan sebagainya. Namun demikian maksud dan isinya adalah sama. Cara semacam itu tidak mengapa, asalkan terpelihara makna dan maksudnya, sesuai dengan tujuan yang dikehendaki oleh Nabi s.a.w
Tidak ada komentar:
Posting Komentar